Memaparkan catatan dengan label emosi. Papar semua catatan

Umrah Sedihkah Emak?

`Mak suatu hari kita pergi ya, moga Allah s.w.t makbulkan doa setiap kali sujud Kak Yang agar kita dapat bersama menjadi tetamunya kelak. Bersama mak, Syed dan anak-anak Kak Yang Iqbal Hadi, Hayani dan Hikram. Insan-insan kesayangan yang sentiasa berada di hati, kalau dapat hendak mereka bersama merasa kegembiraan beribadah di sana’.



Semalam mak pergi majlis perkahwinan di Gurun seperti biasa anak-anak lelaki mak melayan kehendak mak ke Botanical Park di Puncak Gunung Jerai.





Semalam telefon emak seperti biasa seminggu 2 kali tetapi sekiranya ada isu-isu penting dalam keluarga seminggu 7 kali telefon emak selain meredakan kerinduan sendiri sekurang-kurangnya meringankan resah di hati emak apabila ada masalah timbul dalam keluarga. Mak seperti biasa ceria bersama anak-anak lelaki yang sentiasa melayan setiap permintaan dia. Alhamdulillah. Adik-adik masih kuat memimpin tangan emak walaupun masing-masing ada tugasan dan tanggungjawab hakiki yang lain.


Emak sampaikan satu berita gembira namun dihujungnya ada satu getaran yang sangat sukar untuk diungkapkan. Telinga mendengar namun hati ini dapat menangkap sedikit kesedihan yang cuba di sembunyikan dalam perbualan. Terasa. Kawan baik emak yang merupakan saudara jauh akan menunaikan umrah bulan depan walaupun tidak berkemampuan namun rezeki Allah s.w.t hantarkan orang lain untuk memudahkan dia. Ada insan yang sanggup cukupkan perbelanjaan saudara ini untuk menunaikan umrah.













Balik mak temankan anak-anak main bowling pula.



Rezeki dia namun saya sangat terasa. Takut andai emak berkecil hati. Saya mampu membeli rumah bernilai ratusan ribu ringgit, saya tidak lokek membeli setiap keinginan anak namun saya menolak ketepi keinginan emak yang satu ini. Dia tidak pernah menyuarakan keinginan ini tetapi bukankah keinginan itu lahir dalam setiap hati umat Islam? Saya abaikan perasaan itu dengan mendahulukan perkara lain yang pada pendapat saya lebih penting sehingga saya terlupa mungkin semua itu mengguris hati emak sedangkan selama ini emak sentiasa mendahulukan kami anak-anaknya. Hidup tanpa suami dengan seribu kepayanah tanpa kerja tetap untuk membesarkan 6 orang anak. Sukar sangatkah untuk menyelam ke dasar hati emak?


Tiba-tiba Allah s.w.t jentik hati saya. Bergetar sebuah kesedaran, mengalir seribu kekesalan dalam setiap urat darah, nadi berdegup laju. Allah…sesungguhnya kemudahan orang lain itu memberi pengajaran kepada aku hambamu. Suatu hari moga harinya bakal tiba emak tersenyum manis merenung Kaabah.



Catatan Hiba :

Suatu Hari Anak Mula Terasa



Sakit Tanpa Ibu dan Ayah


Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, berat masalah yang kita tanggung ada lagi insan lain yag lebih kuat diuji. Fitrah kita sebagai manusia berkeluh-kesah dan merasakan masalah yang kita hadapi itu seolah-olah sangat berat dan tidak adil untuk kita. Subhanallah, Maha suci Allah sesungguhnya Dia lebih tahu. Setiap musibah setiap ujian pasti akan datang bersama hikmah.


Kawan sekolah saya merangkap saudara jauh baru-baru ini datang dari kampung menziarah adik lelakinya yang terlantar hampir dua minggu di Hospital Putrajaya. Hanya mengharapkan sepupu yang menetap di Kajang untuk menjengah dan menjaga kebajikan adiknya. Mereka menerima ujian yang sangat besar bila kehilangan ibu dan ayah dalam jarak masa yang agak dekat lewat 20 tahun yang lalu. Masing-masing masih muda, 3 adik masih bersekolah dan akhirnya adik ketiga terus berkahwin tanpa ada peluang melanjutkan pelajaran. Kini adik ke 4 terlantar di hospital sedangkan adik beradik yang lain punya komitment tersendiri.


Di sebabkan tidak mahu menyusahkan adik-beradik dia merahsiakan sakit dengan alasan tidak mahu menyusahkan kakak sulung yang merupakan ibu tunggal, abang yang menghidap penyakit jantung dan kakak ke tiga yang terpaksa menjaga suaminya yang mengidap kencing manis. Luluh rasa hati saya mendengar cerita kakak sulung. Mengikut kata doktor setelah pembedahan membuang  bisul di usus, luka tersebut mengalami jangkitan kuman dan telah merebak ke dalam darah. Hiba melihat dia terlantar tanpa ingin memandang tetamu yang datang menziarah.


Sebagai sahabat saya memberi kata-kata semangat buat mereka sekeluarga. Juga sebagai seorang kakak tetap memberi nasihat walaupun dia hanya sepatah dua menegur saya ketika melawatnya di hospital. Kata-kata semangat moga dapat membantu mereka sekeluarga mengharungi ujian berat ini. Apatah lagi bila tiada ibu dan ayah yang boleh mengambil tahu keadaan mereka. Saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat mereka bersaudara moga ujian ini akan menguatkan lagi hubungan mereka adik-beradik. Hari ini dia dipindahkan ke Hospital Alor Setar bagi memudahkan urusan abang, kakak serta adik-adik. Kebetulan pula mereka juga menjaga datuk sebelah arwah ibu yang semakin uzur.



Ibu tonggak keluarga, sakit anak-anak, susah anak-anak ibu akan menjadi penguat semangat bagi semua, dalam apa juga keadaan ibu adalah insan paling penting. Bukan menolak kehadiran seorang ayah tetapi kasih ibu itu terus meresap di hati sedangkan kasih ayah tidak ditunjukkan secara nyata. Tetapi doa ayah dan ibu sentiasa menjadi harapan yang besar buat anak-anak.




Bengkel Motor Kena Pecah


Cabaran orang berniaga memang tak dapat dijangka terutama sekali dalam bab sakit hati serta dengki mendengki. Sebagai peniaga seharusnya bersedia mental dan fizikal untuk menghadapi cabaran yang satu ini kerana kita tidak mampu untuk merubah sikap manusia. Paras dengki itu akan bertambah tinggi seiring dengan kejayaan setiap peniaga, semakin berjaya semakin ramai yan sakit hati dan sakit mata melihat. Maka bermula juga tindakan-indakan yang tidak sepatutnya berlaku yang berlawanan  dengan hukum mahupun undang-undang.



Pemegang mangga kena ketuk. Operasi mungkin sebelum subuh sebab kedai sebelah menyebelah beroperasi sehingga 1am dan gerai burger kat depan pun 2-3am baru tutup.



Adik saya Muhammad Shahizat tuan punya JMR Motorwork di Perlis tak terkecuali menghadapi situasi sakit hati dan dengki ini walaupun perniagaannya tidaklah segah Chin Hin Motor yang terkenal di Kedah/Perlis. 27hb Oktober 2015 bengkel kecil berdekatan Kolej Komuniti Tambun Tulang dipecah masuk, pelbagai barangan hilang dan paling menghairankan stok spare part motosikal tak di usik, duit sewa kedai yang terselit di celah-celah resit masih ada yang hilang adalah perkakasan untuk bekerja seperti spanar dan lain-lain. Nampak dia sangat tenang namun dia luahkan juga rasa kecewa kepada anggota yang mengambil keterangan di balai. Katanya `Saya tak kisah kalau masuk ke kedai ambik barang-barang lain tapi dia ambik pancing macam mana saya nak mengail lagi?’.




 



JMR Motorwork Tambun Tulang spare part tak terjejas tetapi barang-barang untuk buat kerja yang hilang.



Spanar yang hilang adalah barangan kesayangan dia tanpa spanar kerja tak boleh nak buat, selain itu ada 3-4 barang lain lagi hilang yang harganya setiap satunya melebihi seratus ringgit. Satu set spanar berjenama SATA yang hilang pula bernilai lebih Rm1800, barangan kesayangan dia pulak. Kesemua barangan yang dicuri adalah yang boleh dibawa dengan tangan kemungkinan pencuri itu datang dengan motor, pecahkan pemegang mangga di pintu depan ambil barang dan pergi dalam keadaan tergesa-gesa sehingga lupa menutup pintu.



JMR Motorwork kedai utama di Pida Dua Sekerat kedai ini depan rumah mak sahaja.


Semua barang kena beli semula kalau dapat dana seperti ni tak apa juga `10 Super Awesome MalaysianBusinesses: Which One Do You Think DeservesRM250,000?’ boleh berangan untuk mulakan perniagaan yang lebih besar tanpa perlu memeningkan kepala. Bukan setakat berangan boleh terus mulakan besarkan perniagaan di kedai baru yang lebih bagus. Adik saya pun bermula dari rumah, kemudian buat bangunan depan rumah mak jadikan bengkel daftar perniagaan secara sah, hadiri kursus anjuran pelbagai agensi kerajaan terutama MARA. Kemudian mendapat pinjaman dari TEKUN dan MARA. Semua itu bukan terbina sekelip mata semua itu memerlukan usaha dan kerja keras. Bila mula berjaya sedikit timbul iri hati, dengki kianat sedangkan mereka enggan berusaha.


Perkara mula-mula bila tengok keadaan kedai dia bagi tau mak yang ada bersama. Allah s.w.t sedang mengatur yang terbaik buat dia, moga siapa yang ambik barang-barang dalam begkel dia mendapat petunjuk tanpa ada riak kecewa di wajah dia tetapi hati menangis siapa yang tahu. Sebagai kakak perkara yang sama saya bagitahu insyaallah ada hikmahnya. Allah lebih mengetahui dan Dia tak akan menganiaya hambanya dan tidak akan juga menguji kepada yang tidak mampu menaggung.



Walaupun kecewa semangat tetap tak hilang JMR Motorwork di Kampung Pida Dua Sekerat dan Tambun Tulang tetap beroperasi seperti biasa.



Sukarnya Menjadi Penyimpan Rahsia


Seorang kawan meluahkan masalah yang dihadapi sambil menangis, meratapi segala kesdihan serta ujian yang Allah s.w.t berikan kepadanya. Tanpa selindung walaupun sedikit dia bercerita memberi sepenuh kepercyaan kepada kita. Sebagai kawan yang baik kita mendengar penuh tumpuan sesekali mencelah, akhirnya memberi nasihat yang lebih positif menghadapi setiap keadaan. Pada akhirnya dia meminta kita menyimpan cerita tersebut sebagai rahsia. Amanah yang terlalu berat untuk digalas.


Baru-baru ini saya dikejutkan dengan pesanan melalui telefon bimbit oleh seorang kawan baik sejak 20 tahun yang lalu. Walaupun jarang berjumpa tetapi kami sentiasa berhubung sama ada melalui telefon mahupun email. Ayat-ayat yang ditulis amat menggetarkan jiwa dan menyentap hati. Saya mencari-cari di mana silapnya. Saya tercakap tanpa disedarikah? Menuduh dengan sebegitu seolah-olah hanya saya sahaja yang tahu kisah hidupnya. Remuk redam hati saya, sedih usah cerita kerana saya memegang amanah yang diberi sehingga tidak menceritakan kepada seorang lagi kawan baik kami, begitulah saya memegang permintaan dia.


Bagi saya ini satu tuduhan yang berat. Menuduh saya menyebarkan cerita masalah rumahtangga yang saya simpan kemas selama ini. Apa yang saya dapat dengan membuka aib dia? Selama ini saya memberi moral support kepada dia, menyokong segala keputusan dia selagi perkara itu baik, cuba menenangkan setiap kesedihan serta lara di hati dia. Saya cuba menjadi sahabat yang boleh diharapkan dikala suka mahupun sedih, dikala ketawa mahupun berduka. Membantu sebaik mungkin selagi mampu.


Ini ujian buat saya. Setelah 20 tahun menjadi sahabat mungkin ini ujian buat saya dan dia untuk melihat sejauh mana tetapnya hati kami dalam bersahabat. Saya menjawab yang mana perlu di pesanan ringkas yang dihantar kemudian saya diam rasanya itulah jalan yang terbaik buat kami ketika ini. Saya manusia bukan malaikat saya juga tidak sempurna mungkin ada ketikanya saya terlalai tetapi untuk terus menuduh adalah terlalu kejam buat saya. Bukan hari ini dia mengenali saya sekiranya tidak terbina kepercayaan mana mungkin dia berkongsi cerita peribadi yang menjadi rahsia dengan saya.


Apa yang pasti satu pengajaran saya dapat hari ini, biarlah jangan yang ada meminta saya menyimpan rahsia lagi takut beginilah padahnya. Mungkin dia juga ada bercerita dengan orang lain selain dari saya tetapi tiba-tiba bila perkara itu diketahui umum kemungkinan nama saya akan terpalit juga. Biarlah saya tidak tahu dari esok mencipta musuh dengan sahabat sendiri. Terputusnya silaturrahim yang telalu panjang tempohnya akan memberi kesan yang mendalam kepada jiwa.


Sahabat. Kepercayaan itu tidak terbina sehari-dua, seminggu-dua atau setahun-dua tetapi terbina sejak 20 tahun. Mengapa begitu mudah kepercayaan itu diruntuhkan?



Pesanan buatmu sahabat. Muhasabah diri selalu. Merenung segala kesilapan-kesilapan yang pernah kita lakukan kepada orang disekeliling kita. Adakah kita menjaga mulut dari membuka aib orang, manjaga mulut dari bercerita perihal orang lain atau menjaga mulut dari bercakap perkara sia-sia. Allah s.w.t itu adil. Hari ini kita membuka aib orang esok lusa kita sendiri akan dibogelkan dihadapan orang. Tak perlu risau kita diaibkan kerana Allah s.w.t akan membawa kebaikan-kebaikan kepada dirimu kelak. Berdoalah kerana doa orang yang teraniaya itu makbul namun jangan pula kita menganiaya orang lain kerana doa orang yang kita aniya itu amkbul dan mungkin Allah s.w.t akan memberi bala kepada kita pula. Jaga mulutmu jaga perilakumu moga apa yang selalu dikongsi di media social olehmu adalah cerim peribadi mu yang sebenar bukan sekadar lakonan.





Mati Tak Menunggu Sakit Berat

Pagi ini 23hb September 2015 keluarga besar kami di kejutkan dengan pemergian suami kepada sepupu emak yang berusia 47 tahun. Itulah hukum Allah buatnya diambil ketika usia masih muda tanpa sakit lama dan berpanjangan. Kejutan buat semua keluarga namun Allah s.w.t lebih mengetahui yang terbaik buat setiap hambanya. Pergi di ketika umat Islam seluruh dunia sedang berwukuf di Arafah. Moga makbullah doa-doa mereka yang menziarahi arwah hari ini.


Pada mulanya arwah Pak Long Kamal Bin Harun mengalami demam, setelah 10 hari itupun selepas puas dipujuk isteri, beliau mendapatkan rawatan di hospital dan ditahan untuk rawatan lanjut. Disahkan menghidapi denggi tetapi kesihatan arwah  semakin merosot kemudian doctor mengesahkan pula dia mengidap batu karang. Hanya dalam masa 4 hari dia koma dan dimasukkan ke ICU kerana kegagalan kedua-dua buah pinggang berfungsi. Hari kelima arwah menghembuskan nafas yang terakhir. Pergi tanpa menaggung sakit yang terlalu lama.


Lelaki tetap tinggi egonya, keras kepala dan sangat takut bila disebut doktor mahupun hospital apatah lagi sekiranya perlu mengambil ubat secara rutin. Berbeza dengan wanita yang lebih perihatin dengan kesihatan diri, terasa kelainan pada badan cepat-cepat berjumpa doktor. Mungkin salah satu sebab sakit arwah menjadi tenat dalam kadar yang cepat kerana mengabaikan rasa sakit yang sedikit pada badan dengan alasan masih mampu bertahan  dan bila penyakit dikesan telah berada ditahap yang agak serius.



Itu bahagian dia kita pula entah bila moga bila saat-saat itu menjelma kita sudah cukup bersedia dan menghadapinya dengan senyuman. Doa setiap kali solat agar Allah s.w.t permudahkan perjalanan hidup juga perjalanan mati buat kita semua. Mati tak menunggu sakit sebaliknya apabila tiba waktunya malaikat maut tanpa tercepat mahupun terlewat sedetik pun akan tetap menyapa dan membawa nyawa kita pergi. Tinggallah tubuh terbujur kaku menjadi ratapan insan-insan kesayangan kita.



Minyak Naik Susah Minyak Turun Saya Lagi Susah

 Rasa jantung bagaikan terhenti berdegup dengan khabar angin yang sedang berlegar-legar di serata tempat. Bicara yang tak mampu kita tahan dari diperkatakan, namun yang pasti semua itu berbekas dihati setiap orang. Minyak naik susah minyak turun saya lagi susah. Bila industry ini menjadi kebergantungan untuk rezeki yang dikais setiap hari. Jadi naik turun minyak turut mempengaruhi prestasi syarikat serta kedudukan kakitangan.


Setahun yang lalu saya telah melalui saat-saat sedih apabila terpaksa meninggalkan syarikat tempat saya bekerja secara terpaksa. Tujuh tahun menabur bakti, menimba ilmu semuanya terpaksa ditinggalkan dengan berat hati. Saya dibayar namun semua itu bukanlah nilai trauma yang saya hadapi akibat dari hilang pekerjaan. Setahun dua bulan berlalu khabar kurang enak mula bermain-main di sini. Hati mula bergetar. Apakah kisah itu akan berulang kembali?


Harga minyak yang kian jatuh mengakibatkan semua projek sama ada diberhentikan atau ditangguhkan ke suatu tarikh yang tidak diketahui. Syarikat di dalam bidang yang sama, satu persatu mula mengurangkan kakitangan akibat dari kesan kejatuhan harga minyak dunia bagi mengurangkan kos. Tak kurang juga yang mengurangkan gaji kakitangan sehingga 10%. Hanya mampu berdoa ‘naiklah wahai minyak’ bukan untuk kepentingan sendiri tetapi masih ramai yang terus berharap kerana harga minyak turut mempengaruhi ekonomi dunia.


Rezeki Allah s.w.t yang tentukan. Berdoa dan terus berdoa agar semua berjalan dengan lancar. Dia lebih tahu apa yang terbaik buat setiap hambanya. Paling penting hiduplah sekadar kemampuan, agar bila jatuh tidak terus terduduk terduduk masih bisa meneruskan kehidupan tanpa perlu meminta-minta.




Harga Minyak Jatuh Nilai Ringgit Merudum Mampu Ke Nak Senyum


Harga minyak jatuh lagi sehingga hari ini sudah melepasi kurang dari USD40/barrel. Rasa susah sangat hati ini sebab sektor pekerjaan saya amat bergantung kepada harga pasaran minyak dunia. Sudah beberapa syarikat yang sama aliran yang mengurangkan kakitangan selain syarikat yang saya pernah kerja dahulu berturut-turut pula syarikat lain mengurangkan pekerja. Projek yang site di dalam Malaysia pun sudah mula kecilkan skop kerja dan projek lain pun nampak sangat perlahan perkembangannya walaupun projek tersebut usahasama dengan Arab Saudi.


Bagi bidang kerjaya saya pula setiap 10 tahun memang kami akan melalui situasi yang hampir sama di dalam industry minyak dan gas. Setiap 10 tahun akan berlaku pengucupan dalam industry ini yang memaksa syarikat-syarikat mengurangkan pekerja. Suka atau pun tidak telanlah semuanya dengan hati yang terbuka. Berpeganglah dengan kata-kata `rezeki itu milik Allah s.w.t’. Masih menaruh harapan yang tinggi untuk kenaikan gaji dan bonus untuk FY2015 pada awal bulan Januari tahun hadapan. Jumlah kakitangan pun telah melebihi 300 orang berbanding tak sampai 150 orang semasa saya sertai syarikat ini tahun Jun tahun lalu.


Tukaran matawang Malaysia juga semakin merudum tanpa tanda-tanda untuk pulih. Ini bukan bidang saya jadi eloklah saya hanya menyuarakan kegusaran dihati tanpa membincangkan dengan lebih halus. Jika dilihat trend tukaran matawang asing dunia kebanyakan memang agak menurun jadi buat masa sekarang bersabar dengan ujian ini. Hati semakin bimbang bila tidak nampak usaha proaktif kerajaan dalam menangani isu RM yang kian jatuh.


Marilah kita sama-sama berdoa untuk Malaysia, untuk kita semua. Makian, cacian, umpatan, fitnah, tunding menunding tidak akan membantu ekonomi Malaysia bahkan semakin melemahkan. Baik pemimpin mahu pun rakyat belajarlah menjadi manusia yang berakal. Sama-sama kita berusaha membaiki diri agar menjadi insan yang doanya diterima Allah s.w.t.



Walau apa pun situasi kat luar sana kami masih tetap beraya sakan-sakan.





Jadilah Anak Pemanis Hidup Ibu Bapa


Satu ketika dahulu kita di besarkan dengan penuh kasih sayang serta perhatian yang tak berbelah bahagi dari kedua orang tua. Setiap permintaan selagi terdaya akan dipenuhi walaupun ada ketikanya mereka terpaksa mengikat perut demi permintaan anak-anak. Membanting tulang empat kerat atas nama sebuah kehidupan untuk melihat anak-anak berjaya. Bukan untuk mereka tetapi untuk mebina masa depan anak-anak supaya tidak hidup susah separti mereka. Sehinggalah suatu ketika rutin itu akan berputar bila kedua ibu-bapa semakin lanjut usia dan anak-anak mula membina hidup sendiri. Hati mereka semakin sepi sesepi rumah mereka yang sudah hilang hiruk-pikuk suara anak-anak.


Lalu rumah yang dulu menjadi tempat melenjan rasa, membuah suka-duka kini menjadi persinggahan setahun sekali, bila anak-anak punyai keluarga sendiri serta kejayaan dan pangkat merebut masa bersama mereka. Sebagai anak kita dilambung bahagia berada dipuncak nikmat hidup dan mereka orang tua yang pernah membesarkan kita merenung kosong masa hadapan. Bertapa mereka tidak berguna diusia lanjut bila anak-anak mula menjauhkan rumah yang menjadi syurga mereka suatu ketika dahulu. Emak mula menangis mengenang anak yang satu ketika dahulu akan menjerit-jerit memanggil ibu bila sahaja kelibat ibu hilang di mata, si ayah mula merenug pilu halaman rumah membayangkan betapa girang anak menunggu dan berlari dihalaman menyambutnya pulang dari pekan. Air mata mereka tidak mampu membasuh luka.


Tanggungjawab mereka berakhir sudah namun sisa-sisa kehidupan masih perlu diteruskan. Jadilah anak sebagai pemanis hidup ibu bapa. Bertanggungjawab sehingga helaan nafas mereka yang terakhir. Tanpa doa mereka kejayaan tidak akan bersama kita. Tanpa kerahan kudrat keduanya kita tidak akan mengukir kejayaan. Bukan jasa mereka minta dibalas sebab jasa mereka memang tak terbalas sekurang-kurangnya berehsan kepada mereka penuh kasih-sayang.


Pesanan buat seorang anak.

`Tika rambut mereka semakin memutih, urat-urat tangan kian menonjol, tubuh mereka semakin membongkok, telinga mereka semakin tidak jelas serta mata mereka semakin kabur itulah tanda kudrat mereka semakin tiada. Sudah sampai masanya hidup mereka dibantu sebagai mana kehidupan kita sewaktu kecil yang perlu dibantu makan pakainya. Sudah ketikanya tangan kita menyuap mereka denganpenuh kasih sayang sebagaimana mereka menyuap kita ketika kecil’


Bekerja punya tanggungjawab pada keluarga sendiri namum kedua orang tua janga dilupa. Kecil gaji bukan alasan beri semampu kita, andai yang mampu Rm50 sebulan berilah setakat itu kalau mampu Rm1000 sebulan syukur nikmat yang Allah beri kerana dengan didikan mereka juga kita mampu memberi banyak kepada mereka. Bukan sedikit atau banyak menjadi bualan namun ingatan yang berterusan itu yang paling penting. Istiqomah setiap bulan. Moga doa ibubapa akan dapat lebih membantu kita. Rezeki itu bukan hanya duit ringgit harta kekayaan tetapi nikmat sihat tubuh badan juga adalah rezeki yang paling berharga.


Bagi yang masih punya ibubapa auditlah diri adakah kita telah membuat yang terbaik kepada keduanya. Sebagai isteri bersyukurlah sekiranya suami mengutamakan kebajikan ibubapa selain tanggungjawab kepada anak dan isteri kerana dia sedang memberi contoh kepada zuriat sendiri. Suami pula bertolak ansurlah dengan isteri bila berkaitan soal tanggungjawab isteri kepada kedua ibubapanya pula. Bukan bermakna bila ijab dan qabul berlangsung terputus tanggungjawab kepada orang tuanya, sebagaimana suami ingin berbakti kepada ibubapa sendiri begitulah juga isteri ingin berbakti kepada orang tuanya juga. Janganlah suami mementingkan diri sendiri berehsanlah kepada kedua ibu bapa dan ibu bapa mertua.


Hidup bagaikan roda suatu ketika kita pernah menjadi anak, memandang kehidupan ibubapa tika melayan orang tua mereka. Suatu hari kita pula mengambil alih keadaan ibubapa bila telah berkeluarga sendiri, kita pula menjadi ibubapa. Pandang kisah ibubapa kita dahulu jadikan iktibar ambil yang baik buang yang tercela moga kita dapat menjadi anak-anak soleh/solehah yang disayangi ibubapa dan diredai Allah s.w.t.



Rindu Serindu Rindunya


Pagi ini Ahad 7hb Jun mak saudara di Puncak Alam post sesuatu di FB mengenai arwah tok ayah, hati jadi sebab sangat air mata tanpa dipinta membasahi pipi. Lemas. Hati sangat-sangat terusik. Sedih. Sebak bersatu dijiwa. Perasaan yang hanya Allah sahaja tahu.


Saya ditakdirkan menjadi yatim sejak berusia 2 tahun bila arwah abah meninggalkan kami dalam kemalangan di Ladang Tebu, milik Felda di Chuping Perlis. Sejak itu kami mendapat kasih sayang seorang ayah dari arwah tok ayah iaitu ayah kepada emak. Kami berpindah dari Sungai Serai, Chuping berdekatan Batu Bertangkup untuk tinggal bersebelahan rumah tok ayah kerana ketika itu kami 4 beradik masih kecil. Usia emak pun sekitar 26 tahun.


Setiap yang hidup pasti akan pergi mengadap Ilahi. Ketika saya berada di IKM arwah tok ayah pula pergi mengadap Ilahi 3 hari menjelang 1 Syawal. Saya jauh tiada berita dikirim, bila pulang insan kesayangan saya tiada dipangkin depan rumah seperti kebiasaannya menunggu kepulangan cucunya. Selepas berbuka puasa barulah tok datang ke rumah membawa khabar. Air mata bukan ubat lagi ketika itu...


Sehingga kini saya sentiasa rindukan dia sebagaimana seorang anak rindukan ayahnya. Saya rindu setiap bait kata-katanya, saya rindu pada renungan mata marahnya kerana apabila dia marah dia jarang bercakap cuma merenung sebagai isyarat, saya rindu untuk mendengar leterannya kepada kami cucu-cucunya. Paling saya rindu setiap kali dia pulang dari nat (pekan sehari) dia akan duduk dipangkin dibawah rumah membahagi-bahagikan buah yang dibeli kepada setiap seorang dari kami.


Saya banyak menghabiskan masa tinggal bersama arwah tok dan tok ayah sebab bila mak berpindah mengikut ayah tiri saya masih tinggal di situ kerana enggan pindah sekolah hanya hujung minggu saya pulang ke rumah emak. Makan, minum dan sekolah saya banyak diuruskan oleh tok dan tok ayah ketika itu. Tok ayah juga adalah Pengurusi PIBG tempat saya bersekolah dan semasa di sekolah menengah dia telah berjumpa dengan guru di sekolah supaya nama saya dikeluarkan dari mana-mana aktiviti sukan kerana mengidap asthma sedangkan saya memang suka bersukan.


Kegemaran arwah tok ayah adalah kopi pekat secawan kopi dengan 3 sudu kecil kopi dan 2 sudu kecil gula pekat dan pahit. Bila tiba Ramadhan arwah tok akan menyediakan agar-agar sirap yang kami panggil agar-agar merah bila berbuka agar-agar dipotong dimasukkan ke dalam gelas berisi air dijadikan pembuka selera apabila berbuka. Sirap agar-agar kegemaran dia!




Kenangan itu ada ketikanya membuatkan hati saya sangat sakit. Saya pernah melukakan hati dia demi dia saya cuba berubah berusaha untuk berubah berusaha untuk berjaya. Saya sayang dia. Rindu yang menggunung tak mungkin ada ubatnya. Al-Fatihah buat arwah tok ayah Senapi Bin Man.


Bos Perempuan Bila Naik Angin Meroyan


Kesibukan menyiapkan kerja dengan terpaksa mendapatkan data dari department lain sangat mencabar serta memerlukan kesabaran. Kadang-kadang kerja kita sedikit tersasar dari jadual asal apabila terpaksa menunggu data yang diminta. Persefahaman dan tolak ansur kedua belah pihak menjadi sangat perlu di titik ini. 


Di dalam ketekunan melakukan kerja tiba-tiba keheningan pejabat terganggu dengan suara nyaring seorang perempuan. Semua memanjangkan leher ke arah suara tersebut. Lama dia seolah menjerit-jerit tidak puas hati kepada seorang pelajar yang sedang menjalani latihan 'intern'. Sehingga seorang lelaki yang berada di dalam bilik mesyuarat keluar dan merenung kearahnya sambil meletakkan jari dibibir lalu memberi isyarat supaya budak tersebut beredar. Masih jelas suaranya lagi meluahkan kemarahan walaupun berada di bilik sendiri. Beremosi sungguh dia.


Dia hanya belajar di sini walaupun pekerja jagalah emosi. Lantunan suara kita akan menjadi kayu pengukur untuk menjadi seorang ketua yang baik. Bergelar ketua bukan lesen untuk kita menengking sesuka hati kepada setiap orang yang melakukan kesilapan. Jadilah ketua yang adanya di hormati tiadanya diingati, bukan lembutnya kita untuk dipijak tetapi lembut penuh ketegasan.


Ramai wanita yang menjadi ketua di luar sana dengan karekter masing-masing namun masih ramai juga mereka melebihkan emosi berbanding pertimbangan wajar. Bos perempuan biasanya dilabelkan sebagai cerewet, emosi dan lebih suka membebel kepada perkara yang tidak perlu. Sering terpengaruh dengan mood sendiri andainya mempunyai masalah di luar. 


Persekitaran menilai kita berapa banyak mata yang melihat telinga yang mendengar dan mulut yang bakal bercakap. Bersabar 5 minit akan lebih banyak membawa manafaat bukan kepada kita mahupun orang sekeliling berbanding kemaranah setengah jam yang akan merosakkan persepsi orang lain kepada kita untuk selama-lamanya. Jadilah rakan sekerja yang saling bertolak ansur.



Indahnya Hidup Bermadu

Hanya yang merasa tahu indahnya hidup bermaduu. Apa yang telah tertulis di dalam Al-Quran dan hadis adalah yang terbaik buat kita hambanya. Hanya nafsu serta kelemahan-kelemahan manusia yang merosakkan segala kecantikan yang Allah sw.t telah aturkan untuk umatnya. Iman yang merapuh hati yang mudah terpesong dengan bisikan syaitan yang sentiasa cuba melemahkan kepercayaan. Kehendak yang melebihi nilai-nilai keperluan.


Tidak ingin menunding jari pada suami, isteri pertama, kedua, ketiga mahupun yang keempat. Nilai itu Allah telah aturkan sebaik mungkin bersama aturan undang-undang yang sangat telus. Kemampuan kita seakan teruji untuk meletakkan kita sebagai insan yang redha bila salah seorang mula tamak dan mengambil kesempatan lalu yang kuat akan menang dan kita meninggalkan terus erti peri kemanusaiaan untuk menjadi pemenang.


Kawan saya diuji sehingga dia mula merasa terlalu perit untuk melaluinya sehingga setiap detik umpama kehidupan panjang yang menyiksakan. Sehingga suatu ketika dia mula goyah sehingga memilih berpisah sebagai jalan terbaik bila suami mula menggabaikan kehidupan dan memenangkan hanya suatu pihak.Sebagai hamba dia masih bergantung pada Allah s.w.t penyerahan jiwa dan raga sepenuhnya sehingga membawanya ke Tanah Suci Mekah ditemani suami dengan harapan suaminya akan berubah. Di sana mereka diuji berkali-kali namun dia menetapkan hati hanya Allah jua tempat dia bergantung. Sekembalinya dari sana hatinya lebih kuat dengan ujian yang datang walaupun masalah tidaklah selesai sepenuhnya tetapi Allah beri kekuatan kepadanya.


Tidakkah kita yang merosakkan kecantikan berpoligami? Rasa ingin memiliki hanya untuk diri sendiri rasa sayang yang keterlaluan sehingga mengabaikan suatu pihak yang lain semua rasa itu datang dari hati yang sentiasa diketuk syaitan, dihembus api-api kebencian di dalamnya. Ketamakan yang memberi imej buruk kepada indahnya bermadu.


Saya memandang kehidupan pada pengakhiran indahnya hidup bermadu. Bila uban mula memutih dikepala tika muka sudah mula berkedut tangan mula ditimbuli urat-urat kasar lalu kecantikan juga semakin pudar.  Anak-anak mula ada kehidupan sendiri, bekeluarga dan tinggal berjauhan. Tinggalah si ibu tua dan ayah menghitung baki usia ketika sakit isteri-isteri saling bantu membantu, ketika suami sakit isteri-istei begilir menjaga lalu tanggungjawab sedikit berkurangan.


Anak-anak bersatu hati, ketika ibu sendiri tidak mampu melayan ketika pulang bercuti si ibu tiri megambil alih tanggungjawab dengan ikhlas. Melayan kehendak anak, menantu dan cucu dari isteri pertama dengan gembira.  Menerima pemberian dari anak-anak tidak kira anak sendiri mahupun anak tiri, dari lima anak menjadi sepuluh orang anak dicampur anak-anak tiri. Bukankah dikira beruntung?


Lalu apa lagi yang kita harapkan di penghujung usia? Masih lagi mahu merebut kasih, masih enggan menerima takdir berpuluh tahun, keras umpama kerikilkah hati kita sehingga le tua kita ingin menolak kehendak Allah s.w.t. Setiap yang pahit pasti akan ada kemanisan di penghujungnya. Tidak akan sia-sia segala ujian Allah s.w.t kepada setiap hambanya melainkan ada hikmah yang tersembunyi yang kita mampu fahami atau sebaliknya.



Gaji Oh Gaji

Bertabahlah.

Management tunjuk dekat bank, bank tunding kat company. Kononya internet banking bank berkenaan bermasalah jadinya dah 3hb pun gaji belum masuk. Gaji sepatutnya masuk setiap Jumaat terakhir tiap-tiap bulan yang sepatutnya pada 31hb Oktober.

Bos boleh tak pekerja buat kira-kira untuk late payment charges yang di kenakan ke atas pinjaman yang lewat dibayar kerana kebanyakan tarikh akhir bayaran pinjaman kami adalah 1hb berikutnya...



KTM Kajang Touch & Go


Saya kini menjadi pengguna tegar perkhidmatan awam sejak seminggu lepas dan akan berlarutan sehingga bulan November. Parking kereta di depan masjid di Jalan Reko kemudian berjalan 1km ke Stesen KTM Kajang naik tangga, turun tangga tunggu komuter. Sampai di KL Sentral bergegas naik LRT kemudian berjalan lagi 1km ke pejabat. Saya bersenam setiap hari kini.


Bagi memudahkan perjalan saya menggunakan kad Touch & Go, jimat masa. Hari Jumaat yang lalu saya menambah nilai Rm50 malangnya sebaik sahaja saya mengimbas kad untuk keluar baki hanya tinggal Rm29 dari Rm48 yang masih ada di dalam kad. Pagi ini sekali lagi saya menggunakan kad dan baki menyusut dengan ketara.


Saya menuju ke kaunter Touch & Go KTMB di KL Sentral dan katanya saya tidak menimbas kad semaa masuk di Stesen KTM Kajang dan dikenakan penalti sebanyak Rm17.00. Sekiranya terdapat apa-apa masalah saya di minta pergi ke Pejabat Touch & Go yang berdekatan sahaja dengan Kaunter Tiket KTMB. Dua hari perjalanan langsai Rm50 dengan baki terkini Rm7.20.


Palang masuk untuk ke Komuter memang sentiasa terbuka jadinya bila kita meletakkan kad mungkin kita tidak perasan yang mesin pengimbas hanya membunyikan sekali 'beep' berbanding 2 kali yang sepatutnya. Jadi kita terus masuk dan mengimbas di stesen berikut jadi kita akan dikenakan penalti. Berbanding LRT yang sentiasa tertutup dan bila kita mengimbas akan terbuka atau sekiranya mesin tidak dapat membaca kad ia tidak akan terbuka jadi adalah lebih selamat.


Bagi saya KTMB perlu lebih memandang berat perkara sebegini, patutlah saya tengok dari Stesen KTM Kajang jarang pengguna komuter menggunakan kad Touch & Go. Hari Isnin beratur panjang dikaunter tiket mungkin mereka menggunaan pas seminggu atau tiket pergi balik. Pejabat Touch & Go hanya buka pada pukul 8.30am sedangkan saya mengejar masa untuk pergi semula ke sana saya perlu mengutamakan kerja saya yang lebih penting. Jadinya saya anggap itu bukan rezeki saya. Insyaallah akan ada rezeki lain.


Hati-hati menggunakan kad Touch & Go di mana-mana juga Stesen KTMB. Jangan sampai kita menjadi mangsa tidak efisyennya sesuatu perkidmatan. Kesilapan berlaku di mana-mana cuma untuk membetulkan semula memang mengambil masa.


Siti Robeah Syed Jamalin 28.03.41 - 8.9.14 Dalam Kenangan


Pagi saya publish cerita kami sekeluarga menziarah kakak Pak Tuan yang sedang sakit di Hospital Changkat melintang dan kemudian dipindahkan ke Hospital Baling kerana lebih dekat dengan anak yang akan menjaganya. Tanggungjawab seorang anak, istei serta ibu tetap perlu digalas dalam waktu yang sama. Itulah jalan terbaik.


Pukul 3.00 pm saya dapat panggilan dari kakak nombor 3 Pak Tuan mengatakan Chor sedang tenat sedang semalamnya diberitakan yang dia semakin sihat. Bantuan pernafasan sudah mula diberi secara berkala bukan lagi 24 jam. Dia juga sudah mula makan bubur nasi dengan agak banyak serta sudah mampu bercakap. Rupanya dia hanya menyedapkan hati insan-insan di sekelilingnya. Tepat 3.45pm telah sampai hukumnya Siti Robeah Syed Jamalid telah pergi menemui penciptanya. Kesedihan memenuhi ruang di hati, ibu mertua telah kembali ke rahmatullah 5 bulan yang lalu sedih masih terasa kini kakak ipar pulak pergi. Kesedihan berganda.


Bertolak dari rumah dengan anak-anak pada pukul 8.30 malam, tiba di Kampung Ekor, Bota Kiri pada pukul 12 malam. Tak mampu rasanya kaki melangkah. Hening. Suram bukan seperti selalu. Jenazah terbaring kaku. Semuanya telah disempurnakan di rumah menantunya di Kroh, dimandiakn, dikafankan dan disolatkan di sana dan dibawa balik ke Bota Kiri atas permintaan Pak Tuan. Hanya bahagian muka dibuka keesokan harinya untuk memberi peluang kepada anak-anak serta saudara dan jiran-jiran memberi penghormatan terakhir. Sekali lagi di solatkan di masjid berdekatan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di belakang masjid.


Usai majlis pengkebumian awan hitam mula berarak, cuaca yang tadi cerah tiba-tiba menjadi gelap. Sebaik sampai kembali ke rumah Chor hujan membasahi bumi, lebat kemudian renyai-renyai dan berhenti. Cuaca yang tadi hanagt tiba-tiba menjadi sejuk. Semoga Allah s.w.t memudahkan urusan dia di alam barzakh.


Cerita duka dua kehilangan ahli keluarga suami tahun ini sedangkan tahun lepas kami juga di uji dengan berita sedih di pihak keluarga saya. Kehilangan ibu saudara, seminggu kemudian saya keguguran dan selang tiga bulan nenek pula mengikut emak saudara menemui sang pencipta. Al-Fatihah buat semua keluarga yang telah dahulu mengadap Ilahi. Hanya doa dan ayat-ayat suci Al-Quran yang mampu dikirim buat mereka. Moga Allah s.w.t mempermudahkan urusan mereka dan urusan kita kelak.




Jangkitan Kuman Di Paru-Paru


Hari ini genap 12 hari kakak Pak Tuan yang sulung di masukkan ke hospital akibat dari jangkitan kuman di paru-paru. Masih bergantung dengan oksigen sepemuhnya. Di usia 73 tahun tak banyak yang boleh diharapkan dan hanya doa dititipkan agar kesihatan dia pulih segera. Semuanya bergantung kepada dayatahan tubuh dia untuk menerima antibiotik yang diberi dan melawan sakitnya. Punca mungkin dari batuk yang berpanjangan. Tinggal sendirian hanya kadang-kadang anak cucu menjengah tiada siapa memastikan dia makan ubat.


6hb April 2014 mereka kehilangan ibu jadi bila doktor memberitahu bila-bila masa sahaja jantungnya boleh berhenti semua jadi terkaku. Dia kakak sulung menjadi pengganti ibu kini lemah tidak berdaya. Khamis dimasukkan ke hospital Changkat Melintang, Bota Kanan dan semua adik beradik dan anak-anak dimaklumkan keadaannya. Sabutu kami bergegas balik ke sana, ziarah. Semua anak-anak Chor ada di sisi.





Sampai di katal Pak Tuan memeluk dan cium Chor berkali-kali sambil membisikkan kami datang ziarah dia, buka mata kemudian dia lelap lagi. Sedih. Selalunya bila balik ke Bota Kiri menjadi rutin singgah ke rumah dia menghantar barang dapur, hari ini arah kami sedikit berbeza ke hospital. Dia hanya kakak ipar tetapi umur dia melebihi umur emak saya sendiri jadinya kasih dan ehsan saya umpama kasih yang tumpah pada seorang ibu.



Anak-menantu Chor yang memenuhi ruang hospital, juga kami sekeluarga yang datang menziarah. Saya duduk di sisi Chor membisikkan zikrullah memberi kata-kata semangat kepadanya. Sesekali mengusap belakangnya bila dia batuk, membetulakan wayar-wayar ditangannya setiap kali berpusing.



Anak Chor yang menjaganya di hospital bersama kakak nombor empat Pak Tuan, dulu dia bertugas sebagai nurse di hospital yang sama sekarang sudah bersara.

 

Ini kakak Pak Tuan yang nombor tiga tinggal di rumah pusaka arwah emak juga sedang meniti usia senja. Moga Allah s.w.t memberi kesihatan yang baik buat mereka.


Semalam Chor dipindahkan ke Hospital Baling kerana tiada waris yang akan menjaganya di Hospital Changkat Melintang. Anak-anak mempunyai tuntutan tugasan masing-masing jadinya anak perempuan sulung yang tinggal di Kroh ambil tanggungjawab untuk jaga emak. Syukur alhamdulillah Chor dapat menantu yang baik dan bertanggungjawab. Saya berharap anak-anak yang lain tidak akan lepas tangan dan tidak lupa tanggungjawab mereka sebagai anak.

Sepanjang Hari Habuk Masuk Mata


Mereka menangisi keluarga yang kembali tebujur kaku. Hilang sudah senyum, tawa serta belaian manja. Ada anak menjadi yatim, ada isteri menjadi balu, ada suami bertasbih pilu, ada ibu merintih sedih dan ada ayah menyeka mata di lengan baju. Mereka menyimpan kisah duka yang dalam. Perit seberat mata kita yang basah menanggung dan menumpang sedih lagi berat bagi mereka yang kehilangan. Tragedi yang mengundang nestapa sepanjang hidup mereka.


Kisah mereka menjadi sejarah, pusara mereka bakal dikenang selamanya. Mereka bersemadi bersama doa jutaan rakyat bukan hanya kaum keluarga. Mereka pergi penuh penghormatan. Rezeki mereka telah Allah s.w.t tentukan bersama doa dari seluruh rakyat Malaysia.



Jenazah terakhir dari 20 mangsa yang terbang pulang hari ini.


Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Jenazah nahas MH17 selamat mendarat di KLIA tepat jam 9.54 pagi dengan menggunakan penerbangan pesawat MH16129.


Sepanjang hari habuk asyik berterbangan di udara, membuatkan mata sentiasa merah berair. Itu hati saya cair diketuk pilu dan hiba. Bagaimana agaknya hati mereka? Ya-Allah kuatkan mereka, moga redha mu Ya-Allah akan bersama kaum keluarga mangsa dengan memberi kekuatan dan kesabaran buat mereka. Anak kecil moga kau mengerti suatu hari nanti.



Hati Agar-Agar


'Mama kawan kakak Izza (bukan nama sebenar) nak oder biskut yang kakak bagi dia semalam tu (Cornflake Coklat)'
'Dia bayar le...'
'Dia nak buat apa biskut?'
'Dia nak bawak balik kampung'
'Mak dia tak buat biskut ke?
'Tak'
'Dia nak bayar ke, berapa?'
'Rm25'
'Dia nak satu bekas je'
'Duit tu mana dapat?'
'Dia kumpul'


Sambil menaip Whatsapp air mata saya berderai tak tertahan, sambil menaip entri ini puas air mata diseka tak ingin juga ia berhenti mengalir. Hati ibu saya dipagut pilu, sesak jiwa saya mengenang nasib dia. Dada bagi dipasak.


Anak sebaik dia terpaksa menerima ujian hidup yang pahit, menaggung derita mungkin dari sejak bergelar anak tiri diusia 3 tahun. Bagai jarum menyucuk-nyucuk hati bila terfikirkan soal dia. Trauma yang dia hadapi akan kekal sepanjang hidup dia.


Suatu hari kebenaran akan tersingkap jua. Doa yang terbaik buat dia. Doakan juga saya dapat membantu dia, moga Allah s.w.t mengizinkan saya untuk membantu agar dia dapat melalui hidup dengan tenang. Dapat merasa kasih ibu walaupun bukan dari ibu yang melahirkan dia.


'Duit simpan dia ke?
Allah...
Mama nanges kak.
Kesian.'
'Mama jangan le menangis'
'Kakak ada mama buatkan biskut raya...Izza tak ada mak nak buatkan biskut untuk dia...'
'Ambik le satu kotak Cornflake Coklat tu...'
'Okeyyy...'
'Cakap mama bagi, duit simpan buat belanja sekolah'


Hati saya umpama agar-agar bila berhadapan situasi sebegini. Anak tiri yang dilayan umpama ibu tiri zaman bawang merah bawang putih. Berbirat-birat serta berparut-parut diperut. Sampai hatinya seorang wanita yang Allah lahirkan lembut dan penuh dengan ehsan melayan seorang anak perempuan sebegitu. Walaupun tiada pertalian darah bukankah bila sanggup menerima bapanya sepatutnya juga dia melapangkan dada untuk menerima keseluruhan ahli keluarga lelaki tersebut.


Insyaallah bila segalanya selesai saya akan kongsikan di sini lagi. Kisah sedih seorang anak yang menjadi mangsa sebuah perceraian. Derita dan lara dihati yang disimpan sendiri. Ibu, ayah fahamilah hati anak-anak, jagalah kebajikan mereka walaupun sudah tidak bersama.



12.01


Lagi seminggu nak bekerja kemudian Sabtu minggu depan akan bermulalah perjalanan 500km yang mencabar mntal dan fizikal. Cadangnya ingin pulang ke kampung awal pagi Sabtu sekitar pukul 4am tetapi ada perkara lain yang perlu diuruskan. Perjalanan rasanya lebih selesa di awal pagi sebolehnya saya ingin mengelak kesesakan sekita Slim River sehingga ke Tapah yang kadang-kadang sehingga tidak bergerak kenderaan. Bayangkan lebuhraya pun jem. Itu belum masuk cerita kemalangan sana-sini, sepanjang perjalanan mesti 3-4 kemalangan akan ditempuhi.


Membebel.


11.30 saya keluar dari pejabat, panas lit-lit kata orag tempat saya. Panjat tangga jejantas sampai puncak tercungap-cungap, zikir dalam hati. Bab turun lajulah. Berjalan di tengah panas. Siap urusan Tabung Haji saya singgah sekejap di Bank Islam bersebelahan untuk tukar duit raya, malangnya duit Rm10 kiriman seorang kawan kehabisan stok.


Keluar menuju Maybank, Menara PNB yang baru dibuka. Pelanggan tidak ramai sebab ramai yang tidak tahu di situ ada bank mungkin yang ada cuma 5 orang sedang berbaris untuk tukar duit. Saya pergi ke kaunter nombor dan bercakap dengan kakitangan bank.


'Encik saya nak tukar duit boleh tak kat sini'
'Maaf puan tukaran duit dah tutup pukul 12 tengahari'
'Ooo..terima kasih'


Tengok jam kat tangan. What a fishhh! Pukul 12.01 tengahari. Apa salahnya di beri sahaja borang tukaran duit tu. 1 minit sahaja pun, lagipun tak perlu ambik nombor terus berbaris sahaja. Langsung tak ada budi bicara.


Alhamdulillah walaupun cuaca di luar panas terik dengan matahari tegak di atas kepala saya masih boleh kawal hati. Bukan rezeki saya untuk tukar duit di sini pujuk sendiri jiwa. Zikir banyak-banyak dalam hati. Saya senyum juga walaupun sebenarnya saya separuh ikhlas.


Puasa sepatutnya dapat mendidik jiwa serta diri kita untuk bersabar, sekiranya kita biarkan emosi mengawal diri bermakna Ramadhan kita hanya sis-sia. Kita berpuasa tetapi kita tidak menghayati.



MH17 Ujian Buat Kita Lagi


Saya tidur awal. Bangun pukul 12.30am Kakak Hayani bagitahu 'Ma satu lagi kapal terbang MAS terhempas'. Dalam mamai saya mencapai telefon bimbit 'scrool up and down' memang ada update kemudian capai remote televisyen. Siaran langsung di TV3 bersama Izwan dan Dato' Nik Huzlan. Segalanya pasti.


Badan saya menggigil. Allah...Allah...Allah... Ujian apakah lagi yang diturunkan kepada kami semua. Walaupun tidak sehebat di Gaza tetapi ia cukup perit buat kami semua.


Ketika ini sokong menyokonglah antara satu sama lain, perpaduan dan persefahaman akan banyak membantu ketika ini.


Buat semua keluarga penumpang dan anak kapal bersabarlah dengan ujian yang maha hebat ini. Ujian Ramadhan yang berat. Moga mereka di tempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah buat semua mangsa.


Kisah sedih MH370 masih berbaki kini kita di uji lagi.


Penerbangan pertama Boeing 777 MH17 ini pada 17.7.97 dan penerbangan terakhirnya 17.7.14.


#prayformh17
#prayforMalaysia
#prayforallmuslims


Ibu Tiri Zaman Bawang Merah Bawang Putih


Menyelusuri kehidupan yang terlalu banyak sangat cabaran yang kadang-kadang bahu terasa seperti tidak mampu lagi menanggung namun ditika lelah terasa sampai ke penghujung masih diberi kekuatan untuk terus menyusun langkah demi sebuah kehidupan. Cabaran tidak pernah putus namun itulah yang mengajar erti sebuah kehidupan, mendidik diri menjadi insan yang sentiasa bersyukur atas nikmat dari Allah s.w.t. Ujian itu memberi kekuatan untuk lebih gigih mencorak masa hadapan.


Kisah yang meruntun hati ibu saya hanya sebahagian kisah kehidupan biasa yang sentiasa mewarnai bumi. Dunia serba moden, ilmu di hujung jari tetapi masih ada insan-insan yang menyimpan duri di hati, membiarkan daging menjadi busuk kerana mengikut bisikan bertanduk di dalam diri. Merenung nasib dia terasa nikmatnya anak-anak yang kehilangan ayah tetapi masih ada saya sebagai ibu.


Saban hari Kakak Hayani akan bercerita mengenai seorang kawan sekelas yang akhirnya menjadi kawan baik. Dayana gadis manis kecil molek menangisi kehidupan dengan menjadi anak yang kuat, dalam derita kelam hatinya dia berusaha untuk membuktikan yang terbaik. Mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR dan berjaya menempatkan diri di Kelas Rancanga Khas (kelas bagi pelajar yang tidak berjaya ke asrama penuh).


Ibu-bapa berpisah kemudian bapa berkahwin dan Dayana berada di bawah jagaan bapanya, ibunya pula tinggal di Kuala Lumpur dan sangat sedikit cerita yang saya dengar mengenai ibunya. Ibu tiri mempunyai seorang anak lelaki yang sama umur dengan Dayana dan sekelas. Bila perangai ibu sebegitu anak juga akan mengikut perangai ibu jadi dengki dan iri hati menjadi sebati di dalam diri anak. Ada sahaja yang tidak kena pada pandangan mata mereka. Kadang-kadang Dayana menangis di sekolah kerana tidak tahan dengan perangai mereka. Suatu hari saya menghantar Hayani bersama kawan-kawannya ke rumah Dayana untuk meyiapkan kerja sekolah di rumah seorang lagi rakan dan paling tidak saya sangka bukan sekadar Dayana sahaja menjadi mangsa, kawan-kawan juga turut di marahi. Tidakkah kita ingin menjaga air muka anak di depan kawan-kawan mereka?


Si ibu tiri membezakan kasih anak tiri dan kasih anak sendiri. Belanja sekolah anak sendiri Rm5 si anak tiri Rm2 dan bagi saya apa yang dapat dibeli dengan duit sebanyak itu lalu nasihat saya buat Kakak Hayani bantu yang mana perlu. Tika menjemput anak di sekolah acapkali Dayana akan ditinggalkan dan terpaksa balik berjalan kaki sedangkan anak sendiri balik berkereta dalam hawa dingin. Di sebabkan ibu mendidik anak sebegitu si anak sendiri akan berlarian ke kereta dengan harapan si ibu akan meninggalkan si anak tiri dan itulah yang terjadi. Banyak lagi kisah sedih yang membebani hati gadis comel ini.


Saya menjadi terlalu sedih apabila suatu hari dia menyatakan bertapa beruntungnya Hayani kerana mempunyai ibu seperti saya. Sebagai seorang ibu saya sangat beremosi. Saya faham perasaan Dayana mungkin dia terusik melihat cara saya melayan anak-anak mahupun kawan-kawan mereka. Paling saya tidak faham tidakkah si bapa terusik melihat anak dilayan dan diperlakukan sebegitu atau tidakkah si ibu sendiri rela anak dilayan sebegitu oleh si ibu tiri. Apa yang saya tahu si bapa sangat sayangkan anaknya dan menurut apa sahaja pemintaan Dayana mungkin atas sebab itu si ibu tiri membina satu tembok untuk Dayana. Dendam. Iri hati. Hasad dengki


Kabur empangan mata menahan titisan jernih, kelam hati menanggung lara yang panjang, sakit di jiwa umpama tercucuk duri yang tajam. Doa saya agar gadis ini tetap tabah dan saya tahu hatinya sangat kuat walaupun jiwanya terdera. Kadangkala saya titipkan kata-kata nasihat buat Dayana melalui Hayani, memberi bantuan moral agar dia tidak hanyut mengikut rasa. Allah s.w.t memberi ujian hanya buat insan terpilih.



Bunga-bunga di taman hati saya moga saya akan terus menjadi ibu yang baik.