Kompleks Haji Kelana Jaya Andai Ini Dakapan Terakhir
Air mata masih berbaki. Ketika mencium tangannya sebelum dia lolos dari pandangan mata air mata puas diseka kala tubuh kami bertaup kemas dihati hanya terdetik Allah apakah ini kiranya dakapan terakhir aku untuknya. Jarak yang memisah takdir Allah s.w.t tiada siapa yang mengetahui. Saya menangis umpama anak kecil kehilangan ibu dalam dakapan erat dia. Hanya Allah yang mengetahui isi hati ketika itu. Lengkap berihram dengan sayu saya melepaskan dia pergi dengan doa agar kasih sayang kami moga masih panjang.
Bila dia hilang dari pandangan mata air mata masih tidak henti mengalir bahu anak pula menjadi tempat melepas kesedihan. Anak-anak merenung pilu. Air mata yang ditahan sejak petang akhirnya tumpah jua, dari petang juga Hikram asyik bertanya kenapa mata mama merah.
Senyum dalam tangisan, saya gembira dia dapat menunaikan haji tahun ini tetapi sebagai isteri yang tidak lagi berupaya menjaganya ketika di sana saya tetap rasa sangat bersedih.
Gelang pengenalan jemaah haji Malaysia tertera nama dan nombor kad pengenalan di bahagian belakang gelang. Dia berbisik abah pakai emas putih dan saya sempat mengusik kalau dulu anak lelaki bergelang begitu mesti abah marah.
Abah dengan anak bungsu, Hikram sudah terpaksa pakai cermin mata bermakna tidak lagi dapat mewarisi legasi tugas abah sebagai Pegawai Polis.
Haiii...saya Pak Usu. Pewaris katanya satu-satunya cucu lelaki dari 4 orang cucu yang ada. Dia dapat pangkat datuk tetapi saya hanya dapat pangkat opah.
Suasana persekitaran di Kompleks Haji Kelana Jaya yang menjadi tempat berkumpulnya jemaah sebelum berlepas ke KLIA. Urusan daftar masuk dilakukan di sini, hanya melalui pemeriksaan Imigresen di KLIA.
Di rumah boleh minta isteri buatkan kopi di sini hanya tekan di mesin sahajalah.
Kandid abah dan kakak.
Nampak sangat anak-anak semakin membesar semua lebih tinggi dari abah sikit hari lagi Hikram pula mengejar. Sekejap sahaja masa berlalu.
Selepas melambai abah di kompleks kami tunggu pula bas keluar dari kawasan komplek, kebetulan dia menaiki bas nombor dua. 13 biji bas keseluruhannya diiring oleh anggota polis trafik dan sebuah ambulan menuju ke KLIA.
Mengharungi 42 hari tanpa cinta hati hidup seumpama kosong, bukan tidak pernah ditinggal-tinggalkan tetapi entah mengapa kali ini terasa sangat kelainannya. Segenap hati seperti ada ruang-ruang lompong tidak terisi. Kehilangan bila teman bersarapan, makan tengahari dan makan malam tiada di sisi. Menuju ke hari berakhirnya detik itu hanya doa mampu diiring buatnya.