Kawan-kawan kakcik

Jumaat, 27 Oktober 2017

Filem Tombiruo Penunggu Rimba - sedikit ulasan...

Makcik menonton filem ini atas belanja dari adik perempuan yang turut menonton bersama suami dan anak mereka yang berusia sembilan tahun.

Bilangan penonton sepanjang tayangan berlangsung tidak lebih dari sepuluh orang termasuk kami berempat.  Mungkin sebab tayangan pertama pada jam 11.00 pagi walaupun pada hari cuti.  Sewaktu keluar sebaik tayangan berakhir pun nampaknya hanya ada beberapa orang di luar panggung.

Tarikan sebenar bagi macik dan adik perempuan makcik untuk menonton filem ini adalah kerana kehadiran pelakon Faizal Hussein.  Kami memang meminati lakonan beliau.

Apa pandangan peribadi makcik terhadap filem ini?  Tak payahlah makcik ulas tentang aspek-aspek yang di luar pengetahuan makcik.  Makcik cuma hendak ulas tentang 'apa yang makcik nampak dan rasakan' sahaja...

-  Lakonan para pelakon utama memang hebat - tapi makcik rasa masih ada 'kekosongan' di sana sini.  Babak demi babak kadangkala macam tiada kesinambungan atau sedikit 'melompat'  Macam mana nak kata ya?  Tak pandai hendak makcik huraikan tetapi makcik rasa agak bosan.

- Pemandangan memang cantik. Sungai yang mengalir dengan airnya yang tenang dan jernih.  Pandangan ke arah gunung yang memukau melalui 'bahagian atas hutan'.  Kenapa makcik kata 'bahagian atas hutan'?.  Sebab bila pandang di bawah, ianya tidaklah menggambarkan sebuah hutan yang 'benar-benar hutan'.  Hanya bagai sebuah dusun yang sudah ada laluan untuk berlari dan berkejaran.

- Ada babak Ejim membawa Wan Suraya ke pondoknya di atas pokok.  Eh... bukan main berkilat bekas ubi kayu / minuman yang disuakan oleh Ejim seolah-olah baru dibeli dari kedai.  Memang memerlukan Pemikiran Aras Tinggi sekiranya penonton ingin berfikir.  Atau 'lantaklah', ianya hanya sebuah filem.  Jangan pula ada yang suruh penonton membeli novel (novel cetakan pertama terbit dalam tahun 1998), untuk menghadam keseluruhan jalan cerita. 

- Sewaktu Ejim masih kecil, tiba-tiba ujud satu keluarga di mana ibubapa melarang anaknya berkawan dengan Ejim yang tidak berwajah manusia itu.  Rasa macam tak perlu pun babak itu.

-  Makcik suka dengan  topeng yang dipakai oleh Ejim.  Cantik di mata makcik dan makcik tak perlu hendak membayangkan wajah Zul Ariffin di sebalik topeng itu.

- Sayangnya di akhir cerita tidak ditunjukkan bahawa Amiruddin (kembar Ejim) berjaya membawa Ejim kembali mengenal Maha Pencipta.

- Kepada yang berangan-angan hendak melihat wajah Zul Ariffin di sebalik topeng, rasanya tak perlu pun.  Kalau ikut novel sambungan Tombiruo itu, selepas menjalani pembedahan, wajah Ejim adalah mirip kembarnya Amiruddin.  Maknanya, bolehlah dibayangkan wajah Farid Kamil di sebalik topeng itu...hahaha...

Apa-apapun, makcik memang tak puas menonton lakonan Faizal Hussein. Tanpa perlu membina badan pun, langkah dan aksi beliau sudah cukup hebat.  

Rasa persaudaraan yang cuba ditunjukkan antara Ejim dan Amiruddin terasa bagaikan tidak sampai...

Makcik adalah peminat tegar novel-novel thriller tulisan Ramlee Awang Murshid.  Bagaimanapun selepas bersara, sudah begitu lama rasanya makcik tidak membeli sebarang novel...

Khamis, 26 Oktober 2017

Dulu dan sekarang...


Lebih 30 tahun lalu.  Berat masing-masing tak sampai pun
50kg.  Pakai kasut bertumit halus setinggi 3 inci selamba
jalan keliling Zoo Negara.




Sekarang.  Naik atas penimbang, penimbang pun minta ampun!
Jangankan kasut bertumit halus setinggi 3 inci, pakai selipar pun
boleh tersilap langkah!

Rabu, 25 Oktober 2017

Selasa, 24 Oktober 2017

Cuti-cuti Melaka...

Terima kasih kepada adik-adik serta adik-adik iparku (terutama adik bongsuku suami isteri) yang menaja sepenuhnya percutian ini. Percutian sepatutnya tiga hari dua malam tetapi makcik, pakcik dan anak-anak hanya dapat pergi di hari kedua kerana anak bujang ada temuduga.  
Biarpun ibubapa kami sudah tiada, ikatan persaudaraan kami
tetap utuh walau ada pasang-surutnya...


...hanya keluarga seorang adik perempuanku tidak dapat turut
serta kerana masalah kesihatan suaminya...

Antara kaum lelaki yang ada...

...dan wanita-wanita yang memang kurang bilangannya

Pakcik tumpang bergaya...

...dan makcik tak mahu ketinggalan!

Along dan keluarganya datang seketika

Walaupun gayat, tetap naik juga ke menara...

...anak-anak seronok bermandi-manda walau sudah malam buta.
Berkumpul di menara



...kami gembira bersama

Di homestay inilah kami menginap.

Isnin, 23 Oktober 2017

Semoga kasih ke hujung nyawa (pantun berkait)...

Dirikan kubu di Tanah Jawa
tempat bersembunyi para tentera
berpakaian sedondon sehati sejiwa
tangan dipimpin saya gembira

Tempat bersembunyi para tentera
tidak terlihat dek mata musuh
tangan dipimpin saya gembira
jangan biarkan saya terjatuh

Tidak terlihat dek mata musuh
mudah serangannya hendak ditingkah
jangan biarkan saya terjatuh
kerana saya tak kuat melangkah

Mudah serangannya hendak ditingkah
walau bersembunyi di dalam paya
kerana saya tak kuat melangkah
sedikit halangan menakutkan saya

Walau bersembunyi di dalam paya
sesaat memisahkan hidup dan mati
sedikit halangan menakutkan saya
pelukan pakcik mendamaikan hati

Sesaat memisahkan hidup dan mati
hilang lenyap tidak bertanda
pelukan pakcik mendamaikan hati
semoga kasih ke hujung nyawa...

Selasa, 17 Oktober 2017

Pantun (sempena bulan Bahasa)...

Anak dara menghidang laksa
kuah diambil dari kuali
bulan Oktober bulan Bahasa
berapa ramai yang ambil peduli?

Jual pelita di Pekan Selasa
penat menjual sedari pagi
jika bukan kita memartabatkan Bahasa
hendak diharap siapa lagi?

Pergi ke sungai menjala ikan
dapat seekor di tengahari
sedihnya hati bahasaku dirojakkan
dari kuli hinggalah ke menteri

Bergelang emas disalut suasa
cincin permata tersarung di jari
kononnya cerdik merojakkan bahasa
ke mana dibuang jati diri?

Menangkap puyu di tengah bendang
luka kaki tertusuk duri
tulisan aku siapa nak pandang
duduklah mengeluh seorang diri...

Isnin, 16 Oktober 2017

Kehidupan berumahtangga...

(Gambar hiasan)
Sepanjang hampir 31 tahun dalam dunia rumahtangga,
bukan tidak pernah tiada sengketa.  Tapi, biarlah orang
melihat yang baik-baik dan boleh dicontohi sahaja.

ada pahit manisnya
ada masam masinnya
dalam derita terselit bahagia
dalam bahagia terselit cacat-cela

itu semua warna-warni
yang perlu dilalui
bukan kerana pilihan sendiri
tapi ujian yang datang tanpa disedari

bagaimanapun ia
bagaimanapun corak yang tertera
kita yang melakarnya
sama ada rela atau terpaksa

kadangkala tidak tertanggung
sehingga kita menjadi bingung
kepala rasa berdengung
tubuh rasa terapung-apung

tutuplah aib rapat-rapat
walau dengan orang terdekat
kepada Allah sahaja kita bermunajat
agar orang lain tak ikut terlibat

banyak buruk dari baiknya
bila cerita rumahtangga dijaja-jaja
orang yang tak tahu apa-apa
mula ingin sama membuka mulut dan mata

cerita sejengkal jadi sedepa
meleret-leret tiada kesudahannya
tokok tambah sesedap rasa
tak sedar ikut menambah dosa

sudah-sudahlah
cukup-cukuplah
tak perlu kamu kata dia
kemudian dia kata kamu

fikirkanlah
bukan hanya kamu berdua
malah turut melibatkan keluarga
sudah tak tahu nak sorokkan muka
sudah kehabisan kata-kata

...tapi kamu boleh tak rasa apa-apa!

Khamis, 12 Oktober 2017

Tiada yang memahami...

...betapa sepinya sekeping hati
walau gelak ketawa di kanan dan kiri
masih juga tidak mengubati
calar yang dipendam hari demi hari

calar yang mula merekah
mengeluarkan darah dan nanah
terkesan hingga ke wajah
yang pucat tidak berdarah

hanya Ilahi juga tempat mengadu
bila semua yang ada hanya membisu
seolah-olah tidak wujud seorang aku
bagaikan sebatang tiang yang kaku dan bisu

puas cuba meraih perhatian
apa dikehendaki cuba diadakan
namun tetap tidak dipedulikan
dipandang dengan riak tidak berkenan

mungkin ini adalah balasan
terhadap apa yang pernah kulakukan
bila hati tidak terpuaskan
diam-diamlah dalam kepasrahan


..andai mata boleh berbicara...
(gambar imbas kembali - 2 tahun lalu di Kashmir)

Rabu, 11 Oktober 2017

'Butter Chicken' permintaan Si Bongsu...


Anakanda bongsu minta maknya masakkan 'butter chicken'.  Siap dia carikan resepi bila maknya kata 'tak reti nak buat'.  Tapi, seperti biasa, maknya akan masak ikut suka hati sahaja...

Bila makcik letak gambar ini di facebook, ada yang bertanyakan
resepi walaupun makcik dah beri amaran 'jangan tanya resepi'.
Hahaha... jadi, makcik letak jugalah resepi ikut suka itu. :)

Isi ayam dipotong kecil2. Diperap lebihkurang 30 minit dengan bahan perapan (tepung + serbuk kari + sebiji telur dan sedikit garam yg digaul shg menjadi seperti serbuk roti). Jangan letak air sebab ayam dah sedia lembab.


Goreng ayam yg telah diperap dalam kuali non stick menggunakan hanya sedikit minyak.

Ketepikan ayam yang telah digoreng.

Bahan kuah :

Tumiskan 5 ulas bawang putih (yang telah dicincang), 2 biji cili merah dan 6 biji cili api (kedua-dua jenis cili dihiris) serta dua sudu daun kari ke dalam 2 sudu butter yg telah dipanaskan.

Masukkan 1 tin susu cair dan 3 keping keju. Kacau hingga kuah menggelegak dan sebati. Masukkan ayam goreng tadi. Rasa masin manisnya. (Makcik tak letak gula).

Siap.

Selasa, 10 Oktober 2017

Jangan pentingkan diri sendiri...

Mungkin pemandu kereta merah itu 'terpaksa' meletakkan
kenderaan begitu selepas kereta kuning di sebelahnya juga
tidak diletakkan dengan betul di dalam petak yang disediakan,
Apa pula alasan pemandu kereta kuning?

Isnin, 9 Oktober 2017

Ke Majlis Perkahwinan Blogger Yeop Maz dan Mia Namia...

Tarikh : 7/10/2017 (Sabtu), makcik menerima undangan untuk menghadiri majlis meraikan pernikahan pasangan blogger di Shah Alam.  Walaubagaimanapun, macik tak pasti sama ada dapat menghadirinya atau tidak kerana pakcik terlebih dahulu telah menerima undangan di Rembau.

Makcik cuma 'sebut-sebut' sahaja hendak hadir ke Shah Alam.  Pakcik kata 'InsyaAllah sempat.  Nanti dari Rembau kita ke Shah Alam'.

Lebihkurang 10.30 pagi, makcik dan pakcik bergerak dari rumah.
Melepasi tol Sg Besi, jalan sudah bukan main sesak.  Alamak!
Makcik buka waze untuk mengetahui kenapa jalan sesak sangat.
Mengikut laporan waze, ada major accident di hadapan.  Pakcik
kata, kalau 'tak boleh lepas', kita keluar sahaja di mana-mana
simpang dan terus ke Shah Alam.

Aduhai... mujur juga pihak Lebuhraya cepat bertindak
dengan membuka laluan bertentangan.  Dapatlah kami menyusuri
jalan tersebut walau dengan sangat perlahan.

Rupa-rupanya ada lori membawa muatan kayu terbakar!
Bagaimanapun akhirnya kami sampai juga ke Rembau.  Wah...
memang meriah majlis di sini dan jemputan pun memang ramai
termasuk YB (dalam perjalanan keluar makcik nampak kereta
Undang Rembau menuju arah majlis).  Makcik langsung tidak
mengambil gambar di majlis tersebut.  Makan lagi penting!


Jam 2.30 petang kami sampai juga di Shah Alam.
Sudah tidak ramai tetamu yang ada. Pengantin pun
sedang melayan tetamu yang ingin bergambar
dengan mereka.  Makcik pun menyelit sama!
Sempat juga makcik bertemu dengan beberapa orang blogger
yang masih ada di situ.  Antaranya blogger dan usahawan
Akma Omar yang kecil molek ini. Makcik memang seriau
bila bergambar dengan orang yang comel...hehehe

Bertemu juga dengan blogger yang dah pencen kot dari dunia
blog
, Cikgu Roshidayu Che Mat dan keluarganya.

Bertegur sapa dengan Tn Haji Amir Hassan,
pemilik dan pengasas Denaihati Network.  Melalui majlis
Sepetang Bersama Blogger yang dianjurkan oleh pasukan
Denaihati sebelum ini, makcik mengenali ramai blogger
hebat walaupun makcik sendiri masih di takuk lama.

Kepada Yeop Maz @ Khairil Mazri dan Mia Namia @ Hanis Halid, mak doakan agar mahligai yang baru kalian bina utuh dan kukuh walau apa sahaja dugaan yang melanda.  Hidup berumahtangga bermakna hidup berkongsi segala-galanya.  Kejujuran dan kesabaran adalah teras yang tidak boleh diketepikan.  Hiduplah dalam landasan berpandukan aturan yang ditetapkan Allah dan Rasulnya.  Susah senang biar bersama.  Semoga kalian berbahagia dalam jalan menuju ke syurga.  Aamiin Ya Rabbal Alamiin...


Jumaat, 6 Oktober 2017

Buaian cucu...



Buaian untuk cucu
tergantung sepi di situ
di ruang rumah yang bercelaru
sesepi hati seorang atuk yang tertunggu-tunggu

Seorang atuk memandang sayu
di dalam hatinya ada rindu
namun dia tetap tahu
tetaplah 'anak orang' walau dipanggil cucu

#catatansajasaja
#asalnyacerpenkurombaksemula
#takterluahbilahatisudahcedera

Khamis, 5 Oktober 2017

Sambutan Hari Ulangtahun Kelahiran...

Sebenarnya sudah tidak tahu hendak menulis apa.  Belek-belek telefon, terjumpa gambar-gambar masa anak menantu buat sambutan hari lahir 'sekali gus' untuk anak-anak mereka dan juga makcik tua ini.  Kebetulan sambutan dibuat pada 26/08/2017 iaitu dua hari selepas makcik menyambut ulangtahun kelahiran yang ke 56 pada 24/08/2017.

Jom tengok gambar :

Terima kasih CPL yang sanggup datang awal dalam perjalanannya
pulang ke kampung.  Geram tengok FattahC yang comel ini.

Rumah kecil.  Jadilah ada sedikit tempat
untuk anak-anak yang datang bermain.

Qaid dah 3 tahun

Zayyan sudah setahun

Nenek mereka sudah 56 tahun.  Entah berapa
tahun lagi agaknya Allah pinjamkan nyawa.

Eh...eh...terselit pulak gambar ini! (^_^)

Anak-anak tahfiz juga dijemput...

...bersempit-sempit mereka di ruang yang terhad.

Makanlah seadanya apa yang ada...

Rabu, 4 Oktober 2017

Cantiknya Puteri Julia Nabila...

Oh...dia bukan Puteri dari mana-mana kerabat diraja.  Namanya Puteri kerana ayahnya Megat.  Nama begini biasa di Negeri Perak tempat asal makcik.  Kalau ayah bernama Megat, anak perempuan biasanya akan diletak nama Puteri...

Memang cantik anak gadis Dato' Ziela Jalil ini.  Bukan sahaja cantik, malah cerdik dan perwataknnya pun nampak baik. Alhamdulillah.


Puteri Julia sudah pun bergelar Doktor selepas menamatkan pengajiannya di Royal College of Surgeon, Ireland.

Jom tengok gambar-gambar gadis ini yang makcik ambil laman web Oh Bulan...





Selasa, 3 Oktober 2017

Di Lenggeng sahaja...

Bila makcik mengikut pakcik ke kebun sahabatnya berhampiran Kg Sg Jai, Lenggeng, Negeri Sembilan, kami akan melalui satu jalan yang sunyi.  Jarang kami terserempak dengan kenderaan di sini.  Jalan ini terletak di sebelah kiri (dari Nilai / Kuala Lumpur) sebelum lampu isyarat tidak jauh dari Balai Bomba Mantin.

Makcik suka melalui jalan yang redup dengan rimbunan pohon-pohon yang menghijau ini.  Sampai makcik terfikir, 'kalaulah penggiat filem Bollywood buat penggambaran di sini, pasti akan nampak lagi cantik dengan hero dan heroinnya menari-nari sambil menyanyi'...

Jom tengok.  Cantik ke idok?






Kita sering mengkagumi keindahan yang ada di luar negara tetapi kita lupa menghargai apa yang ada di hadapan mata...