Satu ketika dulu, di zaman aku masih seorang anak kecil, tinggal di kampung dan berasal dari keluarga miskin, dapat makan kari ayam (walau hanya ayam kampung dan memang tak kenal pun dengan ayam daging pada masa itu) adalah sesuatu yang boleh dikatakan mewah. Biasanya ayam hanya dijadikan lauk pada hari raya. Rendang ayam yang mak masak memang sedap.
Sekarang, walaupun tidak kaya raya dan kadangkala mengeluh dengan harga ayam(suamiku yang mengeluh itu kerana urusan ke pasar adalah urusannya. Aku tak tahu pun harga ayam sekilo berapa...), tapi masih boleh rasanya kalau hendak makan masakan berasaskan ayam setiap hari sehingga jemu. Iya, kami sudah tidak kerap lagi membeli ayam kerana anak-anak juga nampaknya sudah beralih selera.
Apa pula yang aku kisahkan ini? Tajuk lain, isi lain...
Oh... suamiku menerima pemberian seekor ayam kampung yang siap diproses dari seorang teman. Tak tahu hendak masak apa, aku jadikan kari bersama kentang. Kemudian aku buat lempeng 'kosong' (tepung gandum dibancuh dengan air sejuk dan sedikit garam). Aku padankan kari dan lempeng. Rupa-rupanya tekak aku sudah semakin 'tua' (seiring peningkatan usia). Makanan yang dulunya menjadi kesukaan, sudah semakin sukar hendak ditelan. Ada sahaja rasa yang tidak kena. Sudah semakin mengada-ngada seleraku ini rupa-rupanya. Tapi di sebaliknya, aku mungkin lebih berselera makan nasi putih dengan ikan bilis yang digoreng bersama cili api dan bawang besar.
Anak-anak, bila suatu masa nanti andai panjang usia orangtua kalian dan mereka mula memilih-memilih untuk makan, janganlah marah-marah. Sebenarnya mereka sudah puas makan sepanjang hidup. Di hujung-hujung usia, mungkin makanan yang kalian tidak pandang itulah yang akan menjadi kesukaan mereka...