Hubungan Etnik
Hubungan Etnik
Hubungan Etnik
Kepelbagaian peradaban antara manusia dengan ciri-ciri khas iaitu ciri-ciri yang sarat dengan
nilai universal positif yang perlu diketengahkan merupakan sesuatu yang unik bagi membuka
ruang dan peluang untuk saling kenal mengenali, hormat menghormati dan juga mempelajari
peradaban lain (Ahmad Fazullah, Jamal Rizal & Hasnah Hussiin, 2007). Dalam ruang lingkup
latar belakang rakyat Malaysia, kewujudan sebuah masyarakat majmuk dengan penduduk
berbilang kaum, agama dan budaya dilihat sebagai suatu yang unik dan menjadi suatu tarikan
bagi negara ini.
Kegemilangan pengendalian sistem ekonomi pada zaman ini telah menarik pedagang
Cina dan India untuk datang ke negara ini bagi menjalankan aktiviti perdagangan atau
perniagaan. Malah, ikatan perkahwinan dan jaringan asimilasi telah membentuk satu komuniti
yang baharu bagi masyarakat Cina yang dikenali sebagai baba dan nyonya. Manakala dalam
kalangan masyarakat India pula proses yang sama turut berlaku dan membentuk satu
komuniti yang dikenali sebagai Chetti.
1
HUBUNGAN ETNIK (MPU 3122) | NURPUTERI JOHARI
Hal ini disokong oleh Lian Kwen Fee (2006) (di dalam Nazri et al., 2016) yang
menyatakan bahawa punca kewujudan perkauman di Malaysia mula dikesan semasa
pentabiran penjajahan British pada lewat abad ke-19 yang melahirkan bentuk masyarakat
majmuk yang berbeza semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka. Perbezaan pola
masyarakat majmuk ini memberi kesan yang mendalam kepada hubungan etnik di Malaysia
sehingga kini. Imbas kembali kepada zaman penjajahan British, kebanyakan polisi British
yang lalu banyak memberikan kesan kepada struktur masyarakat di negara ini (Cheah Boon
Kheng, 2004).
Sebagai contoh, melalui perjanjian Inggeris-Belanda (1824), pihak British telah berjaya
meluaskan perdagangan di Tanah Melayu yan mana aliran kemasukan modal perdagangan
dan buruh semakin meningkat (Hamidah, 2009). Kemasukan imigran Cina dan India ke Tanah
Melayu digalakkan oleh British atas dasar untuk memajukan kepentingan ekonomi dan politik
mereka. Walau bagaimanapun, akomodasi antara kaum berlaku yang mana imigran Cina
digalakkan untuk membuka lombong-lombong bijih timah dan emas (Leong H. Liew, 2003) (di
dalam Nazri et al., 2016) . Manakala, imigran India secara beramai-ramai pada tahun 1840
pula diserap masuk untuk bekerja di ladang tebu dan kopi di Seberang Prai.
Dengan termeterainya Perjanjian Pangkor, pihak British telah diberikan kuasa dalam
beberapa aspek merangkumi kepada pengutipan hasil, undang-undang tanah dan buruh
asing. Dalam konteks ini, dasar pecah perintah merujuk kepada pemisahan penempatan
antara kaum yang dilaksanakan secara sengaja atau terancang melalui pelaksanaan dua
dasar penjajahan yang dibawa bersama iaitu imperialisme dan kolonialisme yang jelas
memberikan pengaruh yang amat besar terhadap bentuk hubungan etnik yang wujud di
negara ini.
Hal ini demikian, kewujudan ekonomi dualisme ini telah mengakibatkan kaum bukan
bumiputera dibiarkan maju dalam ekonomi moden merujuk kepada sektor perniagaan,
2
HUBUNGAN ETNIK (MPU 3122) | NURPUTERI JOHARI
pembuatan, pengeluaran getah dan perlombongan bijih timah yang memberikan pulangan
pendapatan atau hasil yang lebih tinggi dan lumayan. Manakala, kaum bumiputera dibiarkan
bergiat terus dalam ekonomi pertanian tradisional (Ness, 1967) (di dalam Hamidah, 2009).
Perkara ini turut disokong oleh Silcock (di dalam Hamidah, 2009) yang menyatakan bahawa
kebanyakan orang Melayu yang berkerja dalam sektor pertanian tradisional memperoleh
pendapatan yang lebih rendah berbanding orang bukan Melayu yang menguasai sektor
perdagangan, pembuatan, perlombongan, binaan dan estet getah.
Malah, Chamhuri & Surtahman (1991) juga menyatakan perihal yang sama iaitu sektor
pertanian sentiasa menghadapi keadaan hidup yang serba ketinggalan, kekurangan
terutamanya dari segi kemudahan fizikal dan dipenuhi gejala kemiskinan. Perkara ini boleh
dilihat melalui statistik keluarga miskin mengikut strata pada tahun 1980, sejumlah 43.1%
penduduk luar bandar adalah miskin berbanding di bandar hanya sebanyak 15.8% (Chamhuri
& Surtahman, 1991). Justeru, kewujudan ekonomi dualisme inilah yang membawa kepada
ketidak seimbangan ekonomi yang akhirnya memberi kesan kepada struktur ekonomi dan
struktur hubungan etnik di negara ini.
Jika dilihat melalui ruang lingkup perbincangan hubungan etnik, pengenalan sistem
tanah bagi kepentingan perdagangan secara tidak sengaja telah mengakibatkan petani yang
kebanyakannya atau boleh dikatakan keseluruhannya adalah orang Melayu telah kehilangan
tanah. Kronologi pengenalan kepada peraturan atau enakmen yang berkait dengan perihal
pemilikan tanah seperti pengenalan kepada pindaan pajakan tanah (1911), Enakmen Tanah
Simpan dan penguatkuasaan peraturan pada tahun 1915 yang menyebabkan kawasan
penempatan atau simpanan orang Melayu yang tidak boleh dimiliki oleh orang-orang bukan
Melayu ditetapkan sebenarnya merupakan antara kesan zaman pluralistik yang menjadi
penghalang kepada kesepaduan hubungan etnik di negara ini.
3
HUBUNGAN ETNIK (MPU 3122) | NURPUTERI JOHARI
Hal ini demikian, peraturan yang dilaksanakan telah meninggalkan satu kesan di mana
orang Melayu tetap kekal hidup di kawasan desa dan hanya mampu menjalankan sesuatu
pekerjaan yang hanya cukup utnuk menyara hidup sendiri sedangkan kaum lain terus
membangun dan mempunyai taraf ekonomi sara diri yang lebih baik. Statistik menunjukkan
jumlah penduduk Malaysia pada Ogos 1970 adalah seramai 10, 439, 530 orang yang mana
sebanyak 56.9% merupakan bumiputera daripada penduduk Malaysia merangkumi kepada
46.8% adalah orang Melayu, 34.1 % bagi orang Cina, 9.0% bagi orang India dan lainnya
(Jabatan Statistik, 1972) (di dalam Hamidah, 2009). Walaupun jumlah penduduk bumiputera
lebih mendominasi dan menjadi majoriti penduduk berbanding penduduk bukan bumiputera,
penduduk bumiputera masih dilihat jauh ketinggalan dalam aspek ekonomi. Hal ini jelas
menunjukkan kewujudan ketidak seimbangan pendapatan dan penempatan antara etnik di
Malaysia kesan daripada zaman pluralistik penjajahan British.
Dalam ruang lingkup perbincangan ini, isu yang ingin diketengahkan yang membawa
kepada wujudnya penghalang kepada perpaduan etnik di Malaysia akibat daripada pluralistik
yang terbentuk oleh penjajahan British ialah Peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa 13 Mei 1969
telah memberi kesedaran mengenai ketidakseimbangan ekonomi yang wujud antara kaum
menjadi salah satu penghalang kepada penyatupaduan kesemua etnik di negara ini. Rentetan
daripada itu, DEB yang diperkenalkan merupakan salah satu langkah integrasi nasional yang
diwujudkan oleh kerajaan yang bertujuan bagi menyusun semula masyarakat dan membasmi
kemiskinan yang dihadapi oleh kesemua kaum.
Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan telah menyebabkan jurang antara etnik
telah dapat dikurangkan, kemiskinan telah hampir dibasmikan dan budaya hidup kelas
menengah telah menjadi kenyataan serta struktur masyarakat telah berubah (Just Faaland,
Jack Parkinson dan Rais Saniman, 2005) (di dalam Nazri et al., 2016). Pola hubungan etnik
di Malaysia selepas terlaksananya DEB lebih dipengaruhi oleh batas etnik yang nipis dan
perhubungan yang wujud adalah bukan atas dasar perkiraan etnik.
Hakikatnya, isu hubungan etnik yang wujud sebenarnya adalah merupakan suatu
manipulasi yang terhasil disebabkan kemunduran, pengangguran, kemiskinan, peminggiran
dan ketidaksamarataan dalam kehidupan masyarakat. Hal ini dapat dibuktikan melalui
kenyataan yang dkeluarkan oleh Kamaruzaman (1990) dalam ‘The Malaysia Chinese
Dilemma’ yang mana masyarakat Cina sebilangan besarnya kurang bersetuju dengan
pelaksanaan DEB. Pandangan ini turut disokong oleh Kua Kia Soong (di dalam Dr. Nur Azuki,
2007) yang beranggapan bahawa pelaksanaan DEB ini tidak adil kepada bukan bumiputera
dan hanya menguntungkan segelintir golongan elit Melayu sahaja.
4
HUBUNGAN ETNIK (MPU 3122) | NURPUTERI JOHARI
Siti Rohani (1990) di dalam penulisannya juga turut menyatakan perihal yang sama
yang mana wujud golongan yang berpandangan bahawa ekonomi negara akan terus terencat
sekiranya DEB diteruskan. Hal ini demikian, pelaksanaan DEB menetapkan syarat yang ketat
dan boleh menimbulkan permasalahan penyelewengan sekiranya syarat ditetapkan tidak
diamalkan. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa pelaksanaan DEB tidak memberikan apa-
apa faedah sebaliknya hanya menambah masalah yang sedia ada.
Walau bagaimanapun, perkara ini disangkal oleh Laporan Ekonomi Negara dalam
Malaysia yang menyatakan dengan terperinci kedudukan DEB yang adil. Pelaksanaan DEB
telah membawa perubahan yang signifikan dalam penyusunan semula masyarakat Malaysia
kerana identifikasi ekonomi antara kaum semakin pudar (Aszlan & Iszuan, 2013). Melalui
perkara ini, dapat dilihat bahawa penghalang kepada perpaduan etnik itu bukanlah atas dasar
perhubungan antara etnik dan batas etnik yang nipis. Sebaliknya, ketidakseimbangan
ekonomi yang wujud antara etnik inilah yang sebenarnya menjadi punca utama yang
menghalang kepada perpaduan antara etnik di negara ini.
Kenyataan ini disokong oleh Asrizal Radzi (2013) yang menyatakan bahawa peristiwa
rusuhan kaum yang berlaku pada bulan Mei tahun 1969 membuktikan dengan cukup jelas
bahawa wujudnya perasaan syak wasangka dan perasaan permusuhan yang amat ketara
dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini yang mana pada ketika itu, golongan
bumiputera melihat orang Cina sebagai kaum yang menguasai ekonomi di Malaysia tidak
memainkan peranan yang sepatutnya dalam membantu kaum lain agar pembahagian
kekayaan ekonomi menjadi lebih adil dan saksama (Asrol, Ishak & Khairi, 2014).