Penulisan Ilmiah
Penulisan Ilmiah
Penulisan Ilmiah
1.0 Pengenalan
Secara rasminya kedatangan British di Tanah Melayu bermula pada tahun 1786 setelah
Francis Light menduduki Pulau Pinang dan perluasan wilayah sehingga ke Seberang
Perai berlaku dengan termeterainya perjanjian pada tahun 1800 (Noriah Mohamed et. al,
2006). Kedatangan kuasa Eropah ke Alam Melayu dengan misi serampang tiga mata iaitu
untuk mengembangkan agama Kristian (gospel), mencari kekayaan (gold) dan mencapai
kemegahan (glory) (Faezah Kassim, 2014). Bagi memastikan kelangsungan penguasaan
politik dan ekonomi, pihak British telah melaksanakan dasar pecah dan perintah dalam
pentadbiran. Peranan pentadbiran British dalam mewujudkan masyarakat berbilang kaum
dan dasar diskriminasi juga telah menyumbang kepada berlakunya kepincangan
perpaduan antara kaum terbesar di Tanah Melayu iaitu kaum Melayu, Cina dan India.
Selain itu, kedatangan British turut menyebabkan masalah ekonomi dalam masyarakat
pluralisme yang berlaku dengan jelas melalui pentadbiran pecah dan perintah yang
dilaksanakan dalam pekerjaan penduduk pelbagai kaum di alam Melayu. Akibatnya,
kedatangan pihak Inggeris hanya sekadar mengaut keuntungan di Tanah Melayu dan
manfaat yang seharusnya diperolehi kaum pribumi dinafikan misalnya keuntungan
pertanian, penguasaan tanah, hasil perlombongan, kemudahan pendidikan dan
infrastruktur perbandaran. Inilah manfaat yang sepatutnya dinikmati penduduk pribumi
tetapi dinafikan oleh pihak pentabir kolonial. Kesimpulannya, kedatangan British telah
menyebabkan pelbagai impak yang menjadi titik tolak berlakunya rusuhan kaum pada 13
Mei 1969 (Abd. Aziz Ahmad & Alias Mohamed, 2004).
Kewujudan pelbagai budaya, agama dan bahasa dalam kalangan rakyat di negara ini
mampu menggugat keharmonian dan kesejahteraan negara kita. Peristiwa hitam 13 Mei
ini telah membuka mata seluruh rakyat Malaysia bahawa masalah perpaduan wujud
dalam kalangan rakyat Malaysia yang majmuk. Peristiwa ini merupakan satu tragedi
berdarah yang banyak meninggalkan kesan terhadap politik, ekonomi dan sosial
masyarakat Malaysia yang sememangnya bukan suatu peristiwa yang berlaku secara
tiba-tiba atau kerana sebab-sebab yang spontan tetapi ianya merupakan suatu rentetan
kepada sebab-sebab atau peristiwa yang telah berlaku sebelumnya.
1
2.0 Isu dan cabaran
2.1 Politik
Di negara ini terdapat pelbagai parti politik yang berasaskan kumpulan etnik dan
setiap parti politik akan memperjuangkan kepentingan kumpulan etnik yang
diwakilinya. Ini dapat dibuktikan melalui pembentukan parti Malaysian Indian
Congress (MIC) oleh kaum India, Malaysian Chinese Association (MCA) bagi
kaum Cina dan United Malays National Association (UMNO) untuk kaum Melayu.
Politik perkauman ini boleh menimbulkan perasaan tidak senang hati dan
mengukuhkan semangat perkauman jika penyuaraan kepentingan etnik tertentu
dibuat tanpa mengambil kira kepentingan semua pihak (Kailasan, 2015). Jika isu
perkauman seperti bahasa, kebudayaan, pendidikan, agama, kerakyatan dan
ekonomi dibangkitkan, maka tindakan ini tidak akan menyumbang kearah
masyarakat yang bersatu padu.
Sehubungan itu, struktur masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum
telah melahirkan banyak persatuan-persatuan politik sosial dan ekonomi yang
berasakan kaum masing-masing (Shamsul Amri, 2007). Perkara ini telah
memeperkuatkan lagi rasa syak wasangka di antara satu sama lain kerana
persatuan-persatuan ini hanya memperjuangkan kepentingan kumpulan kaum
yang diwakilinya sahaja tanpa menghiraukan kaum-kaum yang lain (Redzuan
Othman, 2008). Parti-parti politik yang berbentuk perkauman seringkali
mengeksploitasi perbezaan-perbezaan yang wujud di kalangan kaum hingga
menimbulkan rasa tidak puas hati yang ketara antara satu kaum dengan kaum
yang lain.
Kemasukan buruh Cina dan India di Tanah Melayu yang banyak menyebabkan
mereka berani untuk menyuarakan pendapat dan tampil mewakili kaum mereka.
Hal ini ditambahkan lagi dengan dasar British yang hendak memastikan buruh
Cina dan India kekal di Tanah Melayu kerana ia dapat menjamin keuntungan
ekonomi. Buktinya, kita lihat bagaimana undang-undang England yang digunakan
di Tanah Melayu telah diubahsuai mengikut undang-undang status tempatan dan
kod Dinasti Ching. Bukan itu sahaja, golongan buruh Cina dan India turut
menyuarakan tuntutan hendak menjadi penduduk tetap Negeri-Negeri Melayu dan
hak yang sama seperti penduduk Melayu di Tanah Melayu. Mereka juga
menyatakan hasrat hendak tinggal tetap dan menjanjikan ketaatsetiaan yang tidak
berbelah bahagi terhadap kerajaan (Ishak Saat, 2011).
Sehingga kini, masalah yang dihadapi oleh negara kita masih belum selesai.
Menteri Perpaduan kita masih dilihat mendiskriminasikan kaum-kaum lain dan
2
menabur cerita-cerita yang diragui kesahihannya. Menteri tersebut mengeluarkan
pendapat bahawa masyarakat India di Malaysia ditindas dan dipaksa untuk
memeluk agama Islam. Tetapi, hal ini tidak berlaku di Malaysia. Jadi, di manakah
integriti beliau sebagai seorang menteri dan peranan beliau sebagai Menteri
Perpaduan untuk menjernihkan keadaan yang melanda di Malaysia? Kenyataan
yang berbaur rasisme ini perlu dielakkan dan ia hanya akan memberikan
pandangan negatif daripada orang luar terhadap Malaysia. Perkara ini sedikit
sebanyak mencacatkan imej negara. Sepatutnya, beliau perlu bertindak dengan
lebih cekap dan berusaha untuk memulihkan kekacauan yang sedang hangat
diperkatan. Beliau perlu mengadakan satu program yang menyatupadukan semua
kaum dan bukannya mempertahankan hak kaum beliau sahaja. Seolah-olah beliau
masih lagi mempunyai sikap rasisme dan hanya memfokuskan kepada
kepentingan kaumnya sahaja.
Di sini saya dapat simpulkan bahawa sehingga kini, integrasi nasional masih
kurang dipupuk dalam setiap diri rakyat Malaysia. Jika di peringkat pentadbiran
dan pengurusan negara masih lagi goyah, ia akan memberi kesan kepada rakyat.
Oleh itu, pihak pentadbiran perlu memikirkan cara untuk mewujudkan identiti
nasional dalam setiap diri rakyat Malaysia.
2.2 Ekonomi
Pembangunan ekonomi Tanah Melayu sebelum campur tangan kuasa penjajah
adalah bergantung kepada sektor pertanian dan perikanan. Masyarakat Melayu
tidak mempunyai masalah dalam mencari nafkah kerana adanya tanah-tanah yang
subur dan laut yang banyak dengan ikan. Selain itu, sumber-sumber hutan juga
senang diperoleh seperti buah-buahan, kayu-kayuan, rotan dan sebagainya.
Pekerjaan penduduk Tanah Melayu kebanyakkannya adalah petani, pemungut
hasil hutan dan terlibat dalam mengeluarkan hasil-hasil bumi.
Namun setelah pengenalan dasar pecah perintah di Tanah Melayu,
pembahagian kawasan penempatan dan sektor pekerjaan menyebabkan
berlakunya ketidakseimbangan ekonomi antara kaum (Abdullah Dahana, 2002).
Contohnya, orang Melayu tidak digalakkan untuk terlibat dalam industri bijih timah
dan getah oleh Inggeris. Ini menyebabkan orang Melayu hanya kekal dalam
kegiatan pertanian. Melalui bertani sahajalah mereka dapat menampung
keperluan makanan keluarga. Kegiatan ekonomi yang berbeza ini telah
mewujudkan jurang pendapatan antara masyarakat bandar dan luar bandar (Roff,
2003). Ketidakseimbangan ini menyebabkan setiap kaum saling mencemburui
satu dengan yang lain. Misalnya, orang Melayu cemburu dengan kemewahan dan
3
kejayaan yang diperoleh oleh orang Cina. Manakala, orang Cina dan India pula
cemburu akan kelebihan orang Melayu yang mendapat peluang perkhidmatan
dalam sektor pentadbiran dimana golongan elit Melayu diambil bekerja dalam
pentadbiran British. Keadaan ini menyebabkan timbulnya rasa tidak puas hati dan
persaingan ekonomi yang tidak sihat. Setiap kaum tidak mahu satu kaum yang lain
lebih berjaya dan menonjol daripada mereka.
Dasar penjajah Inggeris yang mengamalkan konsep pecah dan perintah ini
merupakan satu tindakan dan telah menjadi punca wujudnya jurang antara kaum
sama ada dari sudut ekonomi dan juga polarisasi kaum (Samsudin A. Rahim,
2007) Umpamanya orang-orang Cina tinggal di bandar-bandar menjalankan
perniagaan dan juga di kawasan-kawasan lombong sebagai pelombong dan
merekalah sebenarnya memiliki aset yang tinggi dalam ekonomi masyarakat
Malaysia. Sementara orang-orang Melayu tinggal di luar bandar sebagai petani
atau nelayan kecil. Kaum India kebanyakannya pula sebagai buruh kasar kerajaan
dan pekerja di ladang. Pada hakikatnya kegiatan ekonomi orang-orang Melayu dan
India adalah bercorak sara diri. Keadaan ini menyebabkan kedudukan ekonomi
masyarakat bumiputera khususnya Melayu menjadi lemah dan ketinggalan (Ho
Hui Ling, 2004).
Corak penglibatan ekonomi antara kaum dalam kegiatan ekonomi yang
berbeza telah menjadikan kedudukan sosio-ekonomi mereka tidak seimbang. Hal
ini kerana, golongan imigran dibiarkan mengekalkan identiti dan budaya masing-
masing dan tidak digalakkan berhubung secara langsung dengan kaum
bumiputera oleh pihak Inggeris (Kassim Thukiman, 2008). Pihak Inggeris sengaja
memisahkan kaum-kaum bagi mengelakkan dan menyekat sebarang usaha
penyatuan yang membawa risiko penentangan terhadap penjajah .Hal ini
menyebabkan perbezaan antara kaum pada masa itu sangat menebal sehingga
mereka tidak ada masa untuk mengenali antara satu sama lain.
Di sini kita dapat lihat bahawa, dengan wujudnya pemisahan tempat bagi setiap
kaum, terdapat jurang antara satu sama lain. Kaum Cina terus megah di bandar-
bandar dan kaum India dan Melayu berada di kampung-kampung dan ladang-
ladang. Dalam membentuk integrasi nasional, sesebuah negara itu perlu bersatu
padu dalam membina satu kesepaduan antara satu sama lain. Perpaduan perlu
diwujudkan bagi mengelakkan pengasingan kegiatan ekonomi ini berlaku. Jika
perpaduan antara setiap kaum ini dapat diwujudkan, maka akan terbentuklah
Malaysia yang mempunyai masyarakat yang bersifat amalgamasi serta
mempunyai identiti yang tersendiri.
4
2.3 Sosial
Seperti yang kita tahu, pendidikan merupakan satu aspek yang amat penting
dalam memajukan pemikiran dan membentuk peribadi yang mulia setiap insan
(Ridhuan Tee, 2010) Hal ini kerana, seseorang yang mempunyai taraf pendidikan
yang tinggi, mempunyai kelulusan yang diiktiraf daripada pusat pengajian akan
dipandang mulia sekaligus mereka akan dilantik untuk menjadi ketua dalam apa
jua organisasi. Hal ini kerana orang ramai mempercayai kredibiliti yang dimiliki oleh
golongan yang mempunyai pelajaran. Merujuk kepada itu, setiap kaum berlumba-
lumba untuk membina pusat pendidikan untuk generasi akan datang. Mereka
mempunyai kesedaran untuk memberi pendidikan kepada anak mereka supaya
anak mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.
Dengan wujudnya pengasingan penempatan mengikut kegiatan ekonomi
semasa pemerintahan British, maka ia akan menjejaskan aspek sosial
masyarakat. Apabila terjadinya pengasingan penempatan ini, setiap kaum akan
membina pusat pendidikan yang tersendiri (Lee, 2011). Masyarakat Cina dan India
membina sekolah vernakular yang terdiri daripada Sekolah Pendidikan Cina dan
Sekolah Pendidikan Tamil manakala masyarakat Melayu pula menubuhkan
Sekolah Pendidikan Melayu dan Sekolah Agama Madrasah. Setiap sekolah akan
menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantara sebagaimana
yang telah ditetapkan oleh pihak British.
Hala tuju pendidikan semasa zaman penjajahan British bertujuan untuk
menyekat peluang orang Melayu daripada mengembangkan bakat mereka dan
untuk memisahkan mereka daripada perkembangan sosio-ekonomi negara. Pada
keseluruhannya, pendidikan di zaman penjajahan British ialah bersifat bebas
atau laissez-faire kerana terdapat lima jenis pendidikan yang telah diwujudkan dan
tidak mempunyai keseragaman, iaitu Inggeris, Melayu, Cina, Tamil dan agama
Islam (Sia Keng Yek 2005).
Sehubungan itu, terdapat tiga peringkat pendidikan iaitu pendidikan British
rendah dan menengah dihadiri oleh kanak-kanak bangsawan Melayu dan
hartawan Cina dan India. Seterusnya, terdapat sekolah Melayu peringkat rendah
dibantu oleh British dengan matlamat menjadikan mereka sebagai petani yang
lebih baik daripada ibu bapa mereka. Peringkat yang ketiga ialah wujudnya
sekolah vernakular Cina dan India yang berdasarkan negara asal masing-masing.
Setiap jenis sekolah tersebut mempunyai falsafah dan hala tuju pengajaran dan
kurikulum yang berbeza.
Selain perbezaan dalam aliran pendidikan, kerencaman sistem pendidikan
juga dapat dilihat daripada sudut kurikulum, sukatan mata pelajaran serta orientasi
5
matlamatnya (Subramaniam, 2014). Sehubungan itu, aliran pendidikan Cina dan
India, kurikulum, sukatan mata pelajaran dan orientasinya berkiblatkan negara
asal mereka. Keadaan ini menyebabkan interaksi sesama mereka hanya berkisar
dalam kalangan etnik yang sama (Mansor Mohd Nor et al. 2006).
Ini telah menyebabkan tiada keseragaman dari segi identiti dan fahaman
kerana negara China contohnya mengamalkan fahaman komunisme dan silibus
yang diambil dari Negara China mempunyai unsur-unsur komunisme tetapi lain
pula dengan kaum lain yang berteraskan fahaman yang lain. Selain itu tidak
terdapat satu bahasa pengantar yang seragam telah menyebabkan setiap kaum
hanya tahu bercakap dalam bahasa ibunda masing-masing sahaja. Ini telah
menyebabkan timbulnya pelbagai masalah yang telah menggugat perpaduan
kaum. Ini telah memberikan satu impak negatif dalam pembentukan perpaduan
kaum di Malaysia.
Kesimpulannya, kewujudan sistem pendidikan dalam zaman Inggeris ini
telah mewujudkan polarisasi di Tanah Melayu. Penubuhan sekolah-sekolah
vernakular yang berasaskan kepentingan kaum masing-masing ini telah
membawa pemisahan yang sangat ketara antara penduduk di Tanah Melayu.
Sistem pendidikan yang bersifat perkauman yang kuat ini menyebabkan polarisasi
di Tanah Melayu begitu ketara sekali.
3.0 Kesimpulan
Penjajahan British di Tanah Melayu meninggalkan kesan yang sangat mendalam
terutamanya dari aspek politik, ekonomi, perlembagaan, pendidikan, agama, hubungan
antara etnik dan sosial.Kesemua aspek tersebut merupakan titik tolak tercetusnya
peristiwa 13 Mei 1969 yang merupakan satu detik hitam dalam lipatan sejarah negara.
Masalah peristiwa hitam ini jika dilihat dari satu aspek sememangnya banyak memberikan
kesan negatif terhadap negara kita tetapi jika dilihat pula dari satu sudut yang lain, ia
sebenarnya banyak memberi kebaikan kepada kita semua rakyat Malaysia.
Peristiwa 13 Mei merupakan satu titik tolak ke arah kebaikan kepada negara kita
kerana selepas sahaja peristiwa tersebut berlaku semua pihak mulai sedar dan saling
bekerjasama membentuk perpaduan yang lebih jitu seperti yang dapat kita saksikan kini.
Apa yang perlu dilakukan kini oleh rakyat Malaysia ialah terus mendukung aspirasi
nasional tanpa mengira apa pun fahaman politik dan saling membantu antara satu sama
lain ke arah Malaysia yang lebih adil. Dasar-dasar yang dirangka oleh kerajaan pula
haruslah didokong dan diberi sokongan yang sewajarnya agar ia berjaya mencapai
matlamatnya. Selepas 13 Mei 1969 juga jelas menampakkan satu peningkatan yang amat
membanggakan bagi negara kita dari segi pemupukan perpaduan kaum dan ia adalah
6
hasl daripada usaha-usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan melalui dasar-dasar
seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan
Kebangsaan dan Dasar Pembangunan Nasional serta Wawasan 2020.
7
RUJUKAN
Abd. Aziz Ahmad & Alias Mohamed (2004). Persatuan Melayu Selangor. Petaling Jaya:
Gateway Publishing House Sdn. Bhd.
Abdullah Dahana (2002). China dan Malaysia dalam Arena Perang Dingin 1949-74. Bangi:
Penerbit UKM.
Azmah Abdul Manaf (2001). Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia. Selangor Darul Ehsan.
Utusan Publication (M) Sdn Bhd.
Faezah Kassim (2014). Perkembangan Persatuan Tiga Kaum Utama Di Tanah Melayu
Sebelum Perang Dunia Kedua. Jurnal Sultan Alauddin Sulaiman Shah Vol 4 Bil 1 (2017).
e-ISSN: 2289-8042.
Ho Hui Ling. (2004). Darurat 1948–1960: Keadaan sosial di Tanah Melayu. Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Ishak Saat. (2011). Radikalisme Melayu Perak 1945-1970. Pulau Pinang: Penerbit Universiti
Sains Malaysia.
Kailasan, Ambalakan (2015). Political Expediencies and the Process of Identity Construction:
The Quest for Indian Identity in Malaysia. Kajian Malaysia. Vol. 23. No. 1.
Kassim Thukiman. (2008). Malaysia: Perspektif sejarah dan politik. Skudai: Universiti
Teknologi Malaysia.
Lee Ting Hui (2011). Chinese Schools in Peninsular Malaysia. Singapore: Institute of
Southeast Asian Studies.
Mansor Mohd Noor, Abdul Rahman Abdul Azizi & Mohamad Ainuddin Iskandar Lee (2006).
Hubungan Etnik Di Malaysia. Selangor: Prentice Hall Pearson Malaysia Sdn Bhd.
Mohd Ridhuan Tee Abdullah (2010). Cabaran Integrasi Antara Kaum Di Malaysia: Perspektif
Sejarah, Keluarga Dan Pendidikan. Jurnal Hadhari Bil. 3 (2010) 61-84.
Mohammad Redzuan Othman. (2008). Era Islam. Seminar Sejarah Nasional Malaysia.
Universiti Malaya, 27 November 2008.
Noriah Mohamed, Muhammad Haji Salleh, Mahani Musa, Mokhtar Saidin, Ahmad Jelani
Halimi, Mohd lsa Othman, Sohaimi Abd. Aziz (2006). Sejarah Awal Pulau Pinang. Pusat
Pengajian llmu Kemanusiaan. Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang November 2006
Roff, W. R. (2003). Nasionalisme Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
8
Samsudin A Rahim. (2007). Sosialisasi Politik. Utusan Malaysia, 21 April.
Sia Keng Yek (2005). SRJK (Cina) Dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan: Dilema dan
Kontroversi. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Shamsul Amri Baharuddin. (2007). Modul Hubungan Etnik. Putrajaya: Kementerian Pengajian
Tinggi Malaysia.
Subramaniam, Manimaran. (2014). Agama Hindu dan Pembentukan Identiti India Malaysia:
Kajian mengenai Pertubuhan-pertubuhan Agama Hindu di Malaysia. Tesis PhD Universiti
Malaya, Kuala Lumpur.