Selamat datang kepada semua pengunjung blog CUTE OVEN, SMALL KITCHEN. Diharap dengan kunjungan anda dapatlah kita berkongsi ilmu disamping menambah kenalan. Terima kasih atas kesudian bertandang ke sini.

Untuk makluman, di dalam blog ini sukatan cawan adalah menggunakan cawan metrik manakala sukatan sudu pula 98% adalah menggunakan sudu metrik.
Bagi yang sering bertanya apakah 'Tbsp' dan 'tsp'; 'Tbsp' = tablespoon & 'tsp' = teaspoon.
Showing posts with label Nasi. Show all posts
Showing posts with label Nasi. Show all posts

Thursday, 13 June 2013

LEMANG SEGERA


Assallamualaikum WBT dan salam sejahtera.

Semoga hari ini menjadi hari yang lebih baik dari semalam bagi kita semua. Dipanjatkan doa dan kesyukuran ke hadrat Illahi kerana masih diberi peluang bernafas di muka bumi ini untuk terus menginsafi diri.

Lemang ni Nadz buat semasa masak lontong bersama sambal tumis bilis dan rendang ayam berkerisik hari tu. Bila dah siap, memanglah tak akan sama rasanya 100% dengan original lemang yang dibakar dan dimasak di dalam buluh tu. Haishhhh..terliur pula bila fikir lemang yang banyak dijual di rumah bonda di kampung. 

Anyway, just nak melepaskan gian, bolehlah dicuba cara ni. Cara ni Nadz belajar masa tinggal di negara orang dulu. Makcik-makcik dan pakcik-pakcik melayu yang dah jadi PR di sana yang ajarkan. Yelah, manalah nak dapat buluh di sana untuk membakar lemang. So guna cara instant je lah. Kalau cara tradisional tu, kena mengadap api dan bakar lemang berjam-jam. Yang ni sebab dah instant, tak adalah lama sangat nak menyediakannya. 

Cara penyediaan lemang ni lebih kurang sama macam nak buat kuih lopes versi tradisional tu. Kalau diikutkan, buat kuih lopes memang kena rebus pulut yang kita masak kejap di atas api dapur setelah dibalut kemas dan diikat ketat dengan daun pisang. Biar pulutnya elok kembang dan padat. Cuma now days, kita semua suka permudahkan dan ringkaskan cara tradisional ni agar cepat siap apa yang dimasak. Pelbagai cara yang lebih mudah, ringkas dan cepat ada untuk diikuti sekarang ni. Eh???? Apa pasal cerita pasal kuih lopes pulak ni?? Bukan ke nak cerita pasal lemang segera..hehehe...sori melalut.

LEMANG SEGERA

Bahan-bahan :
  • 3 cawan beras pulut (lebih kurang 300 gm)
  • 300-350 ml santan pekat
  • Garam
  • Daun pisang secukupnya
  • Benang pengikat
  • Air secukupnya untuk merebus
Cara penyediaan :


  1.  Basuh beras pulut dan rendam semalaman atau beberapa jam. Toskan.
  2. Masukkan santan dan garam ke dalam periuk. Bila mula menggelegak, masukkan beras pulut tadi. Kacau-kacau hingga santan meresap ke dalam beras pulut. Buat hingga santan kelihatan tidak berair lagi. Sekejap je proses ni dalam 5 minit bergantung pada api dapurlah. Jangan khuatir sebab pulut ni memang tak masak sepenuhnya lagi. Masih berdetus atau berbiji kalau dipicit. Tutup api dapur dan biarkan ia suam.
  3. Sementara itu, layur kan daun pisang di atas api dapur dan lap bersih daun pisang tersebut. Sebolehnya biarkan daun pisang tu panjang ye sebab nak bungkus pulut tadi sebanyak dua kali balutan agar kukuh.
  4. Tebarkan daun pisan di atas permukaan yang rata. Sendukkan sedikit beras pulut tadi dan bungkus dengan daun pisang hingga menjadi silinder. Ikat dengan benang di kedua-dua hujung silinder tadi. Janganlah guna tali rafia sebab di akhir proses nanti, lemang ni akan dibakar di dalam oven. Nanti cair pula tali rafia tu..heheheee.. Buat sampai habis semua pulut digulung ke dalam daun pisang.
  5. Panaskan periuk dengan air yang banyak di atas api dapur. Masukkan semua pulut yang telah dibungkus dalam daun pisang tadi dan rebus lebih kurang 40-50 minit. Proses ini untuk memastikan pulut kembang dan padat dan masak sepenuhnya. Bila sudah siap, toskan.
  6. Bakar dalam oven pada suhu 180-200 C selama 15 minit atau sehingga daun pisang kelihatan kering.
  7. Sejukkan sebentar sebelum dipotong dan dihidangkan.
Ini satu lagi cara penyediaan yang Nadz pelajari dan buat masa tinggal di perantauan dulu. PR-PR yang ajarkan ni. Cara ini lagi express. 

Bahan-bahan :
  • 1 cawan beras pulut 
  • 1 cawan santan sederhana pekat
  • Garam
  • Aluminium foil
Cara penyediaan :
  1. Basuh beras pulut dan rendam semalaman. Toskan. Kalau tak rendam pun boleh juga.
  2. Masukkan beras pulut dan santan ke dalam loyang dan kukus hingga pulut masak. 
  3. Bila pulut telah suam, balut pulut dengan aluminium foil membentuk silinder. Bungkus ketat-ketat tau! Kemaskan dan ikat di setiap hujung silinder. Buat hingga habis.
  4. Panaskan periuk kukusan dan kukus pulut yang di dalam aluminium foil tadi lebih kurang 20-30 minit.
  5. Bila telah sejuk, bolehlah dipotong dan dihidangkan.
Memanglah tak kan sama dengan original lemang kan tapi untuk mengubati kerinduan dan memenuhi keinginan anak tekak, bolehlah guna cara ni daripada tak ada langsung..hehheheee... 

SELAMAT MENCUBA!

Tuesday, 11 June 2013

LONTONG DAN SAMBAL TUMIS BILIS


Assallamualaikum WBT dan salam sejahtera.

Tiba-tiba pula tekak ni nak makan lontong dengan nasi impit dan juga sambal tumis. Siapalah yang nak tolong buatkan kalau tak dibuat sendiri kan. 

Sesetengah orang memanggil Lontong ni dengan panggilan Sayur Lodeh. Tapi rasanya  menu yang sama je. Mungkin lain tempat, lain panggilannya. Cara penyediaannya pun ada juga bezanya. Sesetengah resepi, kalau tak silap Nadz, di awal penyediaan perlu menumis bahan tumisan. Tapi cara Nadz buat ni tak ada tumis-menumis. Resepi dah pernah letak dulu tapi Nadz letak jugalah lagi di sini.

Ha, tengok! Snap gambar dengan periuk sekali...hihhiiii..Tak ada skill langsung..huhuuu...

LONTONG

Bahan-bahan :
  • 5 ulas bawang merah
  • 2-4 sudu besar udang kering (dibasuh, direndam dan toskan)
  • 2 inci kunyit hidup (boleh juga guna serbuk kunyit)
  • 3 batang serai - dititik
  • 4 cawan santan cair (1 liter)
  • 2 cawan santan pekat (500 ml)
  • 2 batang terung panjang - potong-potong ikut suka
  • 4 biji kentang - potong 8
  • 5 batang kacang panjang - dipotong-potong
  • 1 batang lobak merah - hiris memanjang atau hiris bulat serong
  • 2 keping tempeh - didadu besar-besar
  • Fucuk dan soo hoon - direndam hingga lembut dan toskan
  • 4 biji cili hijau - hiris
  • Garam secukup rasa

Cara-cara :
  1. Tumbuk bawang merah bersama udang kering dan kunyit hidup.
  2. Masukkan bahan tumbuk dan juga serai yang diketuk bersama santan cair ke dalam periuk dan letakkan atas api dapur.
  3. Bila mula menggelegak, masukkan kentang. Biar separa empuk. Kemudian masukkan sayuran lain dan juga tempeh. Masak hingga sayuran lembut. Kemudian masukkan fucuk dan soo hoon serta cili hijau.
  4. Seterusnya masukkan santan pekat dan sentiasa kacau. Rasakan garamnya. Biar mendidih perlahan di atas api sederhana. Bila telah puas hati dengan rasanya, padamkan api dapur.
Cara Menghidang :
  1. Masukkan nasi impit (ikut la berapa banyak nak makan) ke dalam mangkuk.
  2. Sendukkan kuah lontong bersama isinya. Sudukan sambal tumis. Boleh dinikmati.
  3. Boleh juga dinikmati bersama rendang, serunding, kuah kacang dan juga telur rebus.


Sambal tumis ikan bilis

SAMBAL TUMIS IKAN BILIS

Bahan-bahan :
  • 1/2 cawan ikan bilis - basuh dan toskan
  • 20 tangkai cili kering - rebus, basuh dan toskan
  • 4 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci belacan
  • 1 labu bawang besar - dimayang
  • Air asam jawa secukupnya mengikut citarasa
  • Garam dan gula 
Cara penyediaan :
  1. Kisar cili kering yang telah direbus tadi bersama dengan bawang merah, bawang putih dan belacan.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan kisar dengan api sederhana hingga naik minyak dan cili garing. Kalau sebelum tumis ni, nak goreng dulu ikan bilis pun boleh. Guna saja minyak bekas menggoreng ikan bilis ni untuk menumis bahan kisar.
  3. Masukkan air asam jawa secukup rasa mengikut citarasa. Ni ikutlah selera masing-masing ye sebab sesetengah orang suka rasa lebih masam dalam sambal tumisnya. Sesetengah pula suka sedang-sedang saja. Masukkan juga garam dan gula.
  4. Masukkan ikan bilis dan bawang besar yang telah dimayang. Kecilkan api dapur dan biar sambal mereneh hingga agak pekat. Perasakan masin, masam dan manis sambal. Tambah apa yang perlu mengikut citarasa.
Oh, by the way nak bagi tau. Setiap kali masak lontong, Nadz memang buat banyak sebab MIL Nadz memang suka lontong. Sama ada ajak MIL datang makan di rumah atau tapau dan bawa ke rumah dia. Kalau masak nak bawa balik kampung arwah datuk hubby, MIL mesti pesan suruh simpankan untuknya sedikit.

Nadz masak lontong dan sambal tumis ni bersama dengan rendang ayam berkerisik dan juga lemang segera. Tapi resepi rendang ayam berkerisik dan juga lemang segera tu Nadz masukkan kemudian yer di entry lain. Penat pula rasanya ibu buyung ni bertenggek depan lappy lama-lama. Lenguh segala urat pinggang dan pinggul..hihihii...

SELAMAT MENCUBA!

Friday, 5 October 2012

NASI MINYAK SIMPLE


ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasihani. Coretan hari ini dimulakan setelah menyepi beberapa hari. Wahhh, dah masuk bulan Oktober rupanya. Cepatnya masa berlalu.

Hari ini nak kongsi resepi nasi minyak yang mudah je. Beras pun pakai beras biasa saja. Bukan beras basmathi yang memang selalu digunakan untuk pelbagai jenis nasi yang berperisa. 

Untuk lawan nasi minyak ni, Naz buat daging masak merah dan juga ayam masak kurma. Acar tu, tak lengkap sebenarnya. Cari-cari dalam peti ais, yang jumpa cuma lobak merah je. Bedal je la labu... Malas lak nak keluar cari timun..heheeee... Jadilah acar carrot. Jom tengok resepi.


NASI MINYAK SIMPLE
BY: Naz @ovenkecil.blogspot.com

Bahan-bahan:
  • 2 cawan beras - basuh dan toskan
  • 2 cawan air rebusan daging (ikut banyak mana air yang biasa disukat untuk beras ni)
  • 1/2 cawan susu cair
  • Rempah empat sekawan (kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, biji pelaga)
  • 2 sudu besar minyak sapi atau boleh ganti majerin
  • 3 ulas bawang merah - dimayang
  • 2 ulas bawang putih - dimayang
  • 1/2 inci halia - hiris memanjang
  • 1/2 sudu teh garam
  • Sedikit bawang goreng, kismis dan buah gajus sebagai hiasan
Cara-cara:
  1. Cairkan minyak sapi di dalam periuk letrik menggunakan api dapur. Tumis rempah empat sekawan dan juga bahan-bahan hiris. Biar hingga wangi.
  2. Masukkan air rebusan daging, garam dan susu cair. Kacau sebati.
  3. Masukkan beras, gaul dan tutup api dapur. Alihkan periuk letrik dari dapur gas dan masak nasi seperti biasa menggunakan periuk letrik tadi.
  4. Apabila nasi telah kering, gaul dan taburkan kismis serta buah gajus. Tutup periuk dan biarkan nasi masak sepenuhnya.
  5. Bila telah masak, hidangkan dengan taburan bawang goreng di atasnya.
NOTA: Kalau tak ada air rebusan daging, boleh ganti dengan kiub pati lembu atau kiub pati ayam.


AYAM MASAK KURMA
BY: Naz @ovenkecil.blogspot.com

Bahan-bahan:
  • 1/2 ekor ayam (lebih kurang 6 ketul)
  • 3-4 sudu besar rempah kurma (campur sedikit air untuk dijadikan pes)
  • 1 labu bawang besar - kisar
  • 3 ulas bawang putih - kisar
  • 1 inci halia - kisar
  • Rempah 4 sekawan (kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang, bunga cengkih)
  • 3 biji kentang - dibelah 4
  • Sedikit air asam jawa (optional atau boleh diganti dengan sekeping asam keping)
  • 2 cawan air (tambah lagi sekiranya perlu)
  • 1 cawan santan pekat
  • Garam
  • Minyak untuk menumis
Cara-cara:
  1. Bersihkan ayam dan buang kulitnya. Potong kepada beberapa bahagian.
  2. Panaskan minyak dan tumis rempah 4 sekawan dan bahan kisar hingga wangi.
  3. Masukkan pes rempah kurma dan tumis hingga naik minyak. Kacau-kacau supaya tidak hangit di bahagian bawah.
  4. Masukkan ayam dan sedikit air. Biar ayam kecut sedikit.
  5. Masukkan air, air asam jawa dan kentang. Biar menggelegak dan kentang empuk.
  6. Masukkan santan pekat dan garam. Kacau sentiasa agar tidak pecah minyak. 
  7. Apabila telah sebati dan mendapat rasa yang diinginkan, tutup api. Hidangkan bersama nasi.


DAGING MASAK MERAH
BY: Naz @ovenkecil.blogspot.com

Bahan-bahan:
  • 500 gm daging 
  • 4 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 batang serai - diketuk
  • 1/2 cawan cili kering kisar (ikutlah banyak mana nak sambalnya)
  • Rempah 4 sekawan (kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, biji pelaga)
  • 4 sudu besar sos tomato (boleh adjust ikut citarasa)
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Sedikit air rebusan daging 
  • Minyak untuk menumis
Cara-cara:
  1. Basuh daging dan rebus hingga empuk. Setelah empuk, tutup api dan keluarkan daging. Setelah sejuk, hiris nipis. Simpan air rebusan daging untuk memasak nasi dan sedikit untuk digunakan dalam resepi ini.
  2. Kisar bawang merah, bawang putih bersama cili kisar.
  3. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis rempah 4 sekawan dan juga bahan kisar serta serai. Tumis hingga garing dan wangi.
  4. Masukkan sos tomato dan sedikit air rebusan daging agar sambal tidak terlalu pekat. 
  5. Masukkan hirisan daging tadi. Rasakan garam dan gulanya. Setelah sebati, tutup api.
  6. Hidangkan bersama nasi.
Nasi minyak ni boleh dimakan bersama acar mentah atau pun nenas masak bombay sebagai pelengkap hidangan.

SELAMAT MENCUBA!

Thursday, 2 February 2012

LONTONG DAN NASI IMPIT


ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Salah satu menu yang agak terkenal ketika musim perayaan. Banyak versi juga cara menyediakan lontong ni. Ada yang menumis dulu dan ada yang tidak. Sayur-sayurannya pula pelbagai dan ikut citarasa setiap individu itu sendiri apabila menyediakannya.

Naz belajar memasak lontong daripada bonda di kampung. Lontong yang kami adik beradik sangat gemari  dari dulu, kini dan selamanya. Bonda Naz kalau masak lontong, memang selalu digandingkan dengan rendang daging.

Naz sendiri kalau macam malas nak menyediakan rendang sebagai teman lontong ni, mesti ada sambal tumis untuk digandingkan bersama. Buat sambal tumis tu pedas-pedas yang menyengat..perhhhhh!!! Sedap ooooo...

Lontong yang masih di dalam periuk.

LONTONG

Bahan-bahan :
  • 5 ulas bawang merah
  • 2 sudu besar udang kering (dibasuh, direndam dan toskan)
  • 2 inci kunyit hidup (boleh juga guna serbuk kunyit)
  • 3 batang serai - dititik
  • 4 cawan santan cair (1 liter)
  • 2 cawan santan pekat (500 ml)
  • 2 batang terung panjang - potong-potong ikut suka
  • 4 biji kentang - potong 8
  • 5 batang kacang panjang - dipotong-potong
  • 1 batang lobak merah - hiris memanjang atau hiris bulat serong
  • 2 keping tempeh - didadu besar-besar
  • Fucuk dan soo hoon - direndam hingga lembut dan toskan
  • 4 biji cili hijau - hiris
  • Garam secukup rasa

Cara-cara :
  1. Tumbuk bawang merah bersama udang kering dan kunyit hidup.
  2. Masukkan bahan tumbuk dan juga serai yang diketuk bersama santan cair ke dalam periuk dan letakkan atas api dapur.
  3. Bila mula menggelegak, masukkan kentang. Biar separa empuk. Kemudian masukkan sayuran lain dan juga tempeh. Masak hingga sayuran lembut. Kemudian masukkan fucuk dan soo hoon serta cili hijau.
  4. Seterusnya masukkan santan pekat dan sentiasa kacau. Rasakan garamnya. Biar mendidih perlahan di atas api sederhana. Bila telah puas hati dengan rasanya, padamkan api dapur.

Nasi impit.

Cara Menghidang :
  1. Masukkan nasi impit (ikut la berapa banyak nak makan) ke dalam mangkuk.
  2. Sendukkan kuah lontong bersama isinya. Sudukan sambal tumis. Boleh dinikmati.
  3. Boleh juga dinikmati bersama rendang, serunding, kuah kacang dan juga telur rebus.

SELAMAT MENCUBA!

Friday, 7 October 2011

NASI LEMAK & SAMBAL TUMIS SOTONG


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Mak aiiiii... Bersawang dah blog ni..Hehehe.. Lama tak dapat mengupdate blog dengan entry-entry yang baru. Ni nak minta dak Izah Muffin Lover tu tolong bersihkan sawang-sawang yang banyak di blog. Boleh ker Izah??^_^ hehehe..

Ok terus jer kepada resepi hari ini. Disebabkan resepi ni namanya nasi lemak, jadi kita cuba kurangkan lemak-lemak yang banyak di dalam resepi. Naz masak nasi lemak ni menggunakan campuran santan cair dengan susu segar rendah lemak. Rasanya tetap sedap. Mungkin lain kali boleh gantikan terus santan tu dengan susu segar rendah lemak pula. 

Untuk bahan sampingan seperti biasalah, ikut selera masing-masing. Cuma tang telur tu, encik hubby sebenarnya lebih suka telur goreng tapi sebab isteri tercinta dia ni nak kurangkan kalori dalam menu ni, jadi telur tu direbus sahaja. 

NASI LEMAK

Bahan-bahan :
(a) Nasi Lemak
  • 2 cawan beras
  • 1 cawan santan cair
  • 1 cawan susu rendah lemak
  • Air sekiranya perlu 
  • 3 ulas bawang merah - dimayang
  • 1 inci halia - dimayang atau diketuk saja
  • 2 helai daun pandan - dibasuh dan disimpul
  • 1/2 sudu teh garam
Cara-cara :
  1. Basuh beras dan toskan.
  2. Masukkan beras, santan, susu rendah lemak dan bahan-bahan lain di atas ke dalam periuk dan masak nasi seperti biasa. 
  3. Setelah masak boleh dihidangkan bersama dengan sambal tumis, ikan bilis goreng, telur rebus dan potongan timun.

(b) Sambal Tumis Sotong

  • 500 gm sotong segar - disiang, dibersihkan dan dicuci
  • 15 tangkai cili kering* ATAU 1 cawan cili kering yang telah dikisar
  • 4 ulas bawang merah*
  • 3 ulas bawang putih*
  • 1 sudu kecil belacan*
  • 1 labu bawang besar - dihiris kasar
  • 1 sudu kecil asam jawa dibancuh dengan 1/3 cawan air
  • Garam dan gula 
  • Minyak masak
Cara-cara :
  1. Panaskan 1 sudu besar minyak di dalam kuali. Masukkan sotong yang telah disiang. Biar hingga sotong kecut dan keluar airnya. Boleh tunggu hingga airnya sedikit kering. Angkat dan ketepikan.
  2. Kisar bahan-bahan bertanda * di atas. Panaskan minyak masak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan kisar hingga kering. Apabila kering, masukkan bawang besar yang dihiris kasar. Biar seketika.
  3. Masukkan air asam jawa, garam dan juga gula sekiranya perlu. Masukkan sotong tadi dan tunggu hingga menggelegak dan sambal sedikit pekat. Tutup api.
(c) Bahan-bahan lain :
  • Telur rebus
  • Ikan bilis goreng
  • Timun yang dihiris 
  • Kangkung celur sekiranya suka
Hidangkan nasi lemak bersama sambal tumis serta bahan-bahan sampingan yang lain.

SELAMAT MENCUBA!

Tuesday, 23 August 2011

NASI KUNING


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Siapa suka tengok rancangan masakan yang dihoskan oleh Sheila Rusly? Rancangan masakan yang kira popular juga tu.. Alaaaa.."Ketuk-ketuk Ramadhan".. 

Naz suka tengok rancangan ni tapi tak dapatlah ikuti setiap episodnya sebab banyak kerja lain juga yang menanti di rumah ni. Minggu lepas Naz tengok Shiela Rusly memasak Nasi Kuning ni. Buatnya simple sangat. Jadi terasa nak mencuba. Lagi pun minggu lepas birthday encik hubby. Saja la jamu orang di rumah ni dengan menu lain sikit bila berbuka puasa. Kebetulan Naz memang dah masak lauk rendang daging. Jadi nasi ni dimakan bersama rendang daging, telur masak gerau asam dan juga acar mentah.

Kalau tengok rancangan tu, selalunya resepi yang diberi tak dinyatakan secara terperinci berapa jumlah atau kuantiti bahan-bahan yang digunakan. Lebih kurang beri idea je kepada kita tentang menu yang ditunjukkan. Lepas tu pandai-pandai sendirilah adjust dan buat ye.

Jadi, resepi yang di bawah ni, Naz tulis secara detail tentang bahan-bahan yang Naz gunakan berdasarkan rancangan "Ketuk-ketuk Ramadhan" tu.


NASI KUNING
Idea Asal : Rancangan Ketuk-ketuk Ramadhan
Diolah Oleh : Naz@CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan :
  • 2 cawan beras - dibasuh dan ditoskan
  • 2 batang serai - dititik
  • 2 ulas bawang putih - dimayang
  • 1 labu bawang besar - dimayang
  • 1 helai daun pandan - dicuci dan disimpulkan
  • Sedikit garam halus
  • 1/2 cawan susu cair
  • 2 cawan air
  • Sedikit minyak masak untuk menumis
  • 2 tsp serbuk kunyit

Cara-cara :
  1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih dan juga serai. Biar hingga wangi.
  2. Masukkan beras dan gaul rata.
  3. Masukkan air dan susu cair.
  4. Masukkan garam dan juga daun pandan. Kacau rata.
  5. Taburkan serbuk kunyit dan gaul rata.
  6. Masak nasi seperti biasa.
  7. Apabila nasi telah kering, taburkan kismis atau gajus sekiranya suka.(part ni, Sheila Rusly tak buat..Naz tambah sendiri).
SELAMAT MENCUBA!

Wednesday, 10 August 2011

NASI BRIYANI


Assallamualaikum dan salam sejahtera semua.

Nasi briyani ni Naz masak untuk menu berbuka puasa. Naz guna Rempah Briyani ADABI. Tapi masa sendukkan nasi tu, Naz terlupa nak taburkan gajus dulu. Jadi nasi tu nampak kosong jer la. Lagi pun masa berbuka mana sempat nak make-up makanan tu cantik-cantik. Anak-anak dah lapar. Jadi mana yang sempat jer la snap gambar. Naz hidangkan nasi briyani ni bersama daging gulai kawah, ayam merah tomato dan juga jelatah.

NASI BRIYANI

Bahan-bahan :
  • 2 cawan beras Basmati
  • 2 cawan air
  • 1/2 cawan susu cair atau yogurt asli(plain yogurt)
  • 2 sudu besar rempah nasi briyani ADABI
  • 3 sudu besar minyak sapi
  • 1 helai daun pandan - dibasuh dan disimpulkan
  • Sedikit daun ketumbar dan daun pudina
  • 1 biji buah tomato - dibelah empat
  • 11/2 tsp garam
  • Sedikit pewarna kuning
  • Sedikit gajus - digoreng sebentar

Bahan kisar :
  • 4 ulas bawang merah*
  • 2 ulas bawang putih*
  • 1 inci halia*

Bahan tumis :

  • 2 inci kulit kayu manis
  • 1 kuntum bunga lawang
  • 2 biji buah pelaga

Cara-cara :
  1. Basuh beras dan toskan.
  2. Panaskan minyak sapi. Tumis bahan tumis hingga naik bau dan masukkan bahan kisar. Tumis 2-3 minit.
  3. Kemudian masukkan rempah nasi biryani ADABI dan kacau hingga wangi.
  4. Masukkan air, susu cair, daun ketumbar, buah tomato dan daun pandan. Kacau hingga mendidih.
  5. Masukkan beras dan garam. Gaul rata dan masak nasi seperti biasa.
  6. Apabila nasi kering, titiskan pewarna kuning di beberapa bahagian. Tutup periuk dan biarkan nasi masak sepenuhnya. Gaul rata nasi dan taburkan gajus. Sedia untuk dihidang bersama lauk kegemaran anda.
SELAMAT MENCUBA!

Saturday, 21 May 2011

SET NASI AYAM


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Okey, hari ni nak letak resepi nasi ayam yang biasa Naz buat di rumah. Resepi yang mudah saja.  Sebab anakanda Hani tak sihat, Naz terus kepada resepinya ye!

NASI AYAM & PELENGKAPNYA (untuk 3-4 orang makan)
Resepi Oleh : Naz's COSK

[A] NASI AYAM
 

Bahan-bahan :
  • 2 cawan beras
  • 2 cawan sup ayam atau ikut sukatan air untuk beras anda (resepi sup ayam di bawah)
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Daun bawang untuk hiasan
  • Bawang goreng untuk hiasan
Cara-cara :
  1. Basuh beras dan toskan.
  2. Masukkan beras bersama sup ayam dan sedikit serbuk kunyit ke dalam periuk. Gaul rata biar warna kuning sekata. 
  3. Masak seperti memasak nasi biasa.
  4. Setelah masak, sendukkan ke dalam mangkuk nasi dan taburkan dengan hirisan daun bawang dan juga bawang goreng.

[B] SUP

Bahan-bahan :
  • 1/2 ekor ayam (dibersihkan dan dibuang kulitnya)
  • 5 ulas bawang merah 
  • 4 ulas bawang putih
  • 2-3 inci halia (diketuk)
  • 1-2 kiub pati ayam
  • Garam secukup rasa
  • 1 sup bunjut
  • 1 liter air (boleh tambah atau kurangkan ikut keperluan)
  • 2-3 Tbsp minyak jagung untuk menumis (guna minyak masak biasa pun boleh)
  • 20 biji bebola ayam atau bebola ikan
  • Daun sup dan daun bawang (dihiris)
  • Bawang goreng
Cara-cara :
  1. Tumbuk bawang merah bersama bawang putih. 
  2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan tumbuk bersama halia. Biar naik bau dan layu. 
  3. Masukkan air dan juga ayam. Masukkan juga sup bunjut dan biar hingga menggelegak.
  4. Apabila menggelegak, masukkan kiub pati ayam dan garam. Rasakan masinnya.
  5. Apabila ayam telah empuk, keluarkan dan masukkan ke dalam mangkuk besar.
  6. Keluarkan sedikit sup ayam untuk memasak nasi.
  7. Lebihan sup kemudian dicampurkan bebola ayam atau bebola ikan ke dalamnya. Biar seketika hingga sebati. Tutup api.
  8. Hidangkan ke dalam mangkuk menghidang bersama hirisan daun bawang dan daun sup serta bawang goreng.

[C] AYAM 

Bahan-bahan :
  • Ayam dari sup di atas
  • Kicap manis
  • Minyak masak untuk menggoreng
Bahan tambahan (optional) :
  • 4 inci halia*
  • 2 ulas bawang putih* 
  • 3 ulas bawang merah* (* ditumbuk lumat)
Cara-cara :
  1. Ayam yang dikeluarkan dari sup tadi, diperap dengan kicap manis. Gaul rata kicap tersebut biar menyaluti rata ayam. Sekiranya suka boleh diperap bersama dengan bahan tambahan di atas sekali. 
  2. Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali dan goreng ayam. Tidak perlu menggoreng terlalu lama kerana ayam telah masak semasa di dalam sup tadi.
  3. Ayam yang telah masak dipotong atau dihentak sedikit dan masukkan ke dalam pinggan menghidang. Tuangkan lebihan kicap perap yang masih berbaki dari dalam mangkuk perap.

[D] SAMBAL CILI


Bahan-bahan :
  • 5 batang cili merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 1/2 cawan air masak
  • 2-3 Tbsp sos tomato
  • 1 Tbsp sos cili
  • 1 tsp gula pasir
  • 1 tsp garam halus
Cara-cara :
  1. Bahan-bahan di atas, dimasukkan ke dalam mesin pengisar dan kisar halus. Sesuaikan rasa sambal cili ini mengikut kesesuaian anda. 
  2. Hidangkan ke dalam mangkuk hidangan.

[E] KICAP NASI AYAM
Bahan-bahan :
  • Sedikit sup dari sup di atas
  • Kicap manis secukupnya
Cara-cara :
  1. Masukkan sedikit sup dari sup di atas ke dalam mangkuk hidangan.
  2. Tambahkan ke dalamnya kicap manis. Sesuaikan rasanya mengikut kehendak masing-masing.
[F] ULAM-ULAMAN


Bahan-bahan :
  • 2 batang timun
  • 2 biji buah tomato
  • 1 rumpun salad
Cara-cara :
  1. Basuh dan kupas kulit timun. Hiris ikut suka. 
  2. Basuh buah tomato dan hiris mengikut kehendak anda.
  3. Basuh daun salad sehelai demi sehelai dan susun ke dalam pinggan.
  4. Hidangkan ulam-ulaman bersama set nasi ayam yang lain.
SELAMAT MENCUBA!

Wednesday, 18 May 2011

NASI LEMAK HIJAU PANDAN


Assallamualaikum dan salam sejahtera

Nasi lemak hijau pandan? Pelik ke bunyi nya? Pelik tetapi benar.. Macam nasi lemak biasa je tapi warna nasinya hijau. Warna hijau yang terhasil datangnya dari air pandan yang dimasukkan semasa memasak nasi lemak ini. Bau harum pandan pun lebih dari biasa.


Tak ada mood nak tulis panjang lebar ni. Terus sahaja kepada resepinya yer.

NASI LEMAK HIJAU PANDAN
Resepi Oleh : Naz's COSK

Bahan-bahan :
  • 2 cawan beras
  • 1 cawan santan pekat
  • 1 cawan air daun pandan (4 helai daun pandan, dipotong-potong pendek dan dikisar dengan 2 cawan air. Kemudian tapis dan dapatkan 1 cawan air daun pandan ini)
  • 1 inci halia - diketuk
  • 2 helai daun pandan - dibasuh dan disimpulkan
  • 2 ulas bawang merah - dimayang
  • 1 tsp garam halus

Cara-cara :
  1. Basuh beras dan toskan.
  2. Masukkan beras bersama semua bahan lain ke dalam periuk dan masak nasi seperti biasa. Pastikan sukatan air mengikut sukatan beras anda.
  3. Setelah masak, hidangkan bersama sambal tumis sotong atau sambal tumis ikan bilis, telur rebus atau telur mata kerbau, hirisan timun atau kangkung celur dan juga ikan bilis goreng.



SELAMAT MENCUBA!

Thursday, 31 March 2011

NASI AYAM PENYET


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Masak Nasi Ayam Penyet ni untuk santapan famili. Banyak versi rasanya nasi ayam penyet ni..Pelbagai  resepi ada. Ini versi Naz sendiri.. Buat dengan cara yang paling mudah je.

NASI AYAM PENYET
Sumber : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

[A] Nasi putih

Bahan-bahan :

  • Beras dan 2 helai daun pandan - masak menjadi nasi putih biasa

[B] Ayam penyet


Bahan-bahan :
  • 1/2 ekor ayam (dibuang kulit, dibersihkan dan dipotong ikut suka)
  • 4 inci halia
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 Tbsp jintan putih
  • 1 Tbsp jintan manis 
  • 1 tsp serbuk kunyit
  • Garam secukup rasa


Cara-cara :
  1. Tumbuk halia, bawang putih, jintan putih dan jintan manis. Campurkan bahan tumbuk ini bersama serbuk kunyit dan garam; seterusnya gaul dengan ayam. 
  2. Masukkan air dalam pengukus dan susun ayam dalam kukusan. Kukus ayam selama lebih kurnag 15 minit. (air kukusan jangan dibuang - akan digunakan untuk memasak sup).
  3. Setelah masak, panaskan minyak di dalam kuali dan goreng ayam tadi. Tidak perlu terlalu lama kerana isi ayam telah masak semasa proses mengukus tadi.
  4. Angkat ayam dari kuali dan ketuk sebelum dihidangkan.
ayam di dalam kukusan...


[C] Sup bebola ayam


Bahan-bahan :
  • 20 biji bebola ayam - dibasuh dan dibelah 2
  • 2 biji kentang - dikupas kulit, dibasuh dan dibelah 8
  • 4 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 sup bunjut
  • Air dari kukusan tadi
  • 2 Tbsp minyak jagung - untuk menumis
  • Garam secukup rasa
  • Daun bawang dan daun sup untuk hiasan


Cara-cara :
  1. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan halia. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis bahan tumbuk hingga layu dan wangi.
  2. Masukkan air dari kukusan tadi bersama sup bunjut. Biar hingga menggelegak.
  3. Masukkan kentang. Bila kentang empuk, masukkan bebola daging ayam dan juga garam. Biar seketika. Tutup api. Taburkan hirisan daun bawang dan daun sup bila menghidang.

[D] Sambal belacan ayam penyet


Bahan-bahan :
  • 2 biji cili merah
  • 10 - 15 biji cili padi
  • 5 biji bawang merah (hiris kasar)
  • 20 gm belacan
  • 1 Tbsp udang kering 
  • 1 biji buah tomato (dibelah 4)
  • 1 Tbsp gula merah
  • Garam
  • Minyak untuk menggoreng
  • Asam limau sekiranya suka

Cara-cara :
  1. Panaskan minyak di dalam kuali. Gorengkan semua bahan satu per satu. Angkat.
  2. Tumbuk atau kisar bahan-bahan gorengan tadi. Sesuaikan rasanya. Perahkan asam limau. Hidangkan dengan nasi, ayam penyet dan juga sup bebola ayam.
SELAMAT MENCUBA!

Sunday, 27 February 2011

NASI LEMAK SERAI



Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Masak nasi lemak hari ini. Cuma kali ni, tak guna daun pandan sebagai pewangi nasi tapi digantikan dengan serai. Dulu pertama kali masak nasi lemak serai ni sebab di rumah Naz, pokok daun pandan dah habis nyawa..Entah apa silapnya, serumpun mati pokok tu. Jadi Naz tukarlah daun pandan kepada serai. Not bad! 
Mungkin ada juga orang lain yang dah pernah mencuba menggantikan daun pandan kepada serai untuk memasak nasi lemak kan..Wangi jer nasi tu dengan bauan serai.



Naz lawankan nasi lemak serai ni dengan sambal tumis udang. Request dari hubby. Lepas tu potongkan timun dan masak telur rebus. Anak ke 2 Naz, Maizatul Husna makan bertambah-tambah. Jarang dia makan banyak.



NASI LEMAK SERAI
Sumber : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan :
2 cawan beras
2 cawan santan
3 ulas bawang merah (dimayang halus)
1 inci halia (dihiris nipis panjang)
3 batang serai (dititik/ diketuk)
1 tsp halba
1/2 tsp garam

Cara-cara :
  1. Basuh beras dan toskan.
  2. Masukkan semua bahan ke dalam periuk dan masak nasi seperti biasa.
  3. Setelah masak hidangkan bersama dengan sambal tumis udang atau sambal tumis sotong, telur rebus atau telur dadar, ikan bilis goreng, timun atau kangkung celur.


SELAMAT MENCUBA!                     

Sunday, 5 December 2010

NASI LEMAK


Assallamualaikum dan salam sejahtera.


Sarapan pagi ni buat nasi lemak dengan sambal tumis sotong kering. Resepi Naz dah pernah letak dulu. Klick je pada nama makanan di atas tu ye untuk melihat resepi.
Cuma kali ini, sotong kering tu Naz rendam selama 4 jam sahaja. Tidak seperti sebelum ini, 6 jam Naz rendam sotong tu dalam air abu. Saja jer nak buat ujikaji. Hasilnya sotong tetap lembut dan boleh digigit selepas dimasak(tak macam tayar basikal lah) dan ada rasa kenyal-kenyal sikit. Tidak seperti yang dulu tu, bila direndam 6 jam memang lembut betul.
Jadi terpulanglah nak rendam lama mana. Kalau suka yang betul-betul lembut, rendamlah 6 jam. Tapi kalau suka rasa sotong tu biar ada liat-liat sikit, rendamlah dalam masa 4 jam sahaja. Okey kalau nak tengok cara merendam dan melembutkan sotong kering rujuk di sini.


Saturday, 30 October 2010

NASI LEMAK & SAMBAL TUMIS SOTONG KERING



NASI LEMAK
Bahan-bahan :

2 cawan beras
2 cawan santan
2 helai daun pandan(dibasuh dan disimpulkan)
1 inci halia(dihiris menjadi 3 keping)
2 ulas bawang merah(dimayang)
Secubit garam

Cara-cara :
1. Basuh beras dan toskan.
2. Masukkan semua bahan lain ke dalam periuk berisi beras dan masak seperti biasa.
3. Setelah masak, hidangkan bersama sambal tumis, telur rebus, ikan bilis goreng dan juga timun.



SAMBAL TUMIS SOTONG KERING
Bahan-bahan :

3 keping sotong kering (dipotong ikut suka)
20 tangkai cili kering(direbus seketika di atas dapur)
6 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci belacan(boleh abaikan pada yang tidak suka)
1 biji bawang besar(dihiris)
1 cawan air asam jawa
Garam
Gula
Minyak untuk menumis

Cara-cara :
1. Kisar cili kering bersama bawang merah, bawang putih dan juga belacan.
2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan mesin hingga garing.
3. Masukkan bawang besar dan gaul rata.
4. Masukkan sotong. Biarkan seketika sambil sesekali digaul rata.
5. Masukkan air asam jawa dan biar menggelegak.
6. Masukkan garam secukup rasa dan juga gula. Biarkan sehingga sambal kelihatan pekat.

NOTA : Untuk merendam dan melembutkan sotong kering yang masih kering tu, boleh rujuk di sini.

Saturday, 23 October 2010

NASI HUJAN PANAS


NASI HUJAN PANAS
Bahan-bahan
:
2 cawan beras/basmati [basuh dan toskan]
2 cawan air
1/4 cawan susu cair
1 biji tomato buah [cincangkan]
1 batang serai [ketukkan]
1 helai daun pandan [simpulkan]
1 kiub ayam
1 tsp garam
pewarna hijau, merah dan kuning
2 TBSP majerin atau minyak sapi

Bahan tumis:
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
1 inci kulit kayu manis
1 inci halia ]*
3 ulas bawang merah ]*
1 ulas bawang putih ]*
(* ditumbuk)

Cara membuat:
1. Panaskan majerin/minyak sapi dlm periuk.
2. Masukkan bahan tumis, serai dan daun pandan. Tumis hingga wangi.
3. Masukkan air dan garam. Biarkan sehingga mendideh.
4. Masukkan susu cair, kiub ayam, buah tomato dan beras. Kacau rata.
5. Masak saperti nasi biasa.
6. Bila nasi hampir kering, letakkan 1 warna pada 1 tempat yg berlainan. Taburkan kismis.
7. Biarkan nasi masak dan kering. Kemudian gembur-gemburkan supaya warna tadi rata keseluruhan nasi.
8. Hidangkan nasi bersama dengan lauk-pauk seperti ayam masak merah, kurma daging, kari ayam dan acar mentah atau pun nenas masak bombay..

Tuesday, 1 December 2009

NASI DAGANG TERENGGANU

Salam semua. Hari ni nak letak menu nasi dagang Terengganu. Ini resepi yang selalu Naz guna bila buat nasi dagang Terengganu. Resepi ni Naz belajar masa dok merantau di Perth dulu dari seorang kakak ni yang asalnya memang orang Terengganu. Satu hari tu dia ajak datang rumah dan menghidangkan nasi dagang. Sedap pulak rasa di tekak ni walaupun first time makan nasi dagang. Hubby pulak nampaknya memang suka sangat dengan hidangan di rumah kakak ni. So Naz pun tanyalah cara membuatnya. Alhamdulillah kakak ni tak lokek ilmu. Diceritakannya dari A sampai Z. Tak ada rahsia-rahsia langsung.

Lepas tu dengan tak sabar-sabarnya, Naz pun mencubalah resepi ni dalam 2 hari lepas tu. Yang rasa gembira sangat tu, sebab memang menjadi bila ikut resepi kakak ni walaupun first time buat nasi dagang. Jadi terima kasihlah pada kakak ni tadi yang menurunkan ilmunya padaku..



BAHAN UNTUK NASI DAGANG :
1/2 cawan beras pulut
2 cawan beras biasa
1 TBSP halba
5 ulas bawang merah – racik halus
1 inci halia – racik halus panjang-panjang
Garam secukupnya
1 tsp gula
1 cawan santan pekat

CARA :
1. Beras pulut dan beras biasa disatukan dan dibasuh. Rendam beberapa jam.
2. Panaskan kukusan dan kukus beras hingga naik wap (lebih kurang 30 minit).
3. Keluarkan beras; masukkan ke dalam mangkuk dan siram dengan air (biar nampak basah).
4. Kukus semula beras sampai masak (lebih kurang 1 jam).
5. Sementara itu, campurkan santan dengan bawang merah, halba dan sedikit garam dan gula. Masakkan seketika di atas api kecil (I masukkan dlm microwave jer). Tapi tak yah masak sampai menggelegak blup..blup..blup.. tu.
6. Beras yang telah masak dikeluarkan ke dalam mangkuk dan siram dengan santan. Gaul rata dan kukus semula lebih kurang 5 – 10 minit.

BAHAN UNTUK GULAI IKAN TONGKOL :
Ikan tongkol/ ikan aye (yang kecil dalam 5 ekor@ yg besar dikerat-kerat)
4 – 5 keping asam keping
Garam secukupnya
….Rebus ikan bersama bahan di atas dan sedikit air….

4 ulas bawang putih}
2 ulas bawang merah besar atau 8 ulas bawang merah kecil} dikisar
1 inci halia}
3 inci lengkuas}
1 inci kunyit hidup}
1 tsp serbuk ketumbar
1 tsp serbuk jintan manis
4 TBSP serbuk kari ikan
2 TBSP kerisik
2 TBSP gula melaka
2 TBSP cili boh (boleh omit bagi yang tak nak pedas)
Garam secukup rasa
2 cawan santan pekat
Minyak untuk menumis

CARA :
1. Panaskan minyak dan tumis bahan mesin dan cili boh. Gunakan api perlahan.
2. Serbuk kari + serbuk ketumbar + serbuk jintan dibancuh dgn sedikit air. Masukkan ke dalam periuk. Biarkan hingga garing atau pecah minyak.
3. Masukkan santan dan air dari rebusan ikan(lebih kurang 1 cup). Biar hingga mendidih.
4. Masukkan kerisik dan gula melaka. Kemudian masukkan ikan.
5. Rasakan garamnya. Boleh masukkan cili besar sekiranya suka.

BAHAN UNTUK ACAR TIMUN :
2 biji timun
1 batang carrot
1 biji cili merah
1 ulas bawang besar
Cuka
Garam
Gula

CARA :
Potong bahan-bahan di atas. Kemudian gaul bersama garam, cuka dan gula secukup rasa.

Jadi sesiapa yang nak cuba silalah. Tapi seperti yang kita maklum, banyak orang yang memasak, jadi sudah tentulah banyak variasinya resepi nasi dagang ni. Cuma, setakat ni, Naz masih belum pernah mencuba resepi nasi dagang lain.

Friday, 4 September 2009

NASI GORENG TOM YAM SEA FOOD

Bahan-bahan:
2 cawan nasi putih
4 ekor sotong sederhana besar (bersihkan & potong kecil)
3 - 4 ekor udang segar (bersihkan)
Carrot (potong ikut suka)
1 biji tomato (belah 6)
4 helai daun limau purut (dikoyakkan)
4 biji cili padi -diketuk (nak pedas, tambah lagi)
1 labu bawang besar (hiris)

4 ulas bawang putih*
2 ulas bawang merah* (* ditumbuk)
2 TBSP udang kering*
2 batang serai (hiris)*
2 TBSP pes tom yam
Sedikit minyak untuk menumis
Garam

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis bahan tumbuk, bawang besar dan cili padi hingga naik bau.
  2. Masukkan udang dan sotong. Biar seketika.
  3. Masukkan pes tom yam, carrot dan daun limau purut. Kacau rata.
  4. Masukkan nasi dan buah tomato. Kacau rata dan rasakan garamnya.
  5. Hidangkan bersama sebiji telur mata kerbau.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...