MEREKONSTRUKSI MOTIVASI KEINGINAN PENCAPAIAN:
PERSPEKTIF ISLAM1
Solahuddin bin Abdul Hamid
Universiti Utara Malaysia
[email protected]
Abstrak
Setiap sistem ekonomi sama ada Islam, sekular, sosialis dan kapitalis
cenderung untuk mengenalpasti satu motif asas yang boleh digunakan
seterusnya digeneralisasikan kepada seluruh manusia. Bagaimanapun,
secara fitrahnya, manusia memiliki personaliti, pemikiran, keinginan atau
kemampuan yang pelbagai serta berbeza antara satu sama lain.
Kepelbagaian tersebut turut dipengaruhi oleh pandangan semesta
(worldview) sesuatu agama atau budaya yang dianuti ketika mereka melihat,
mendekati dan berinteraksi dengan segala sesuatu dalam kehidupan
seharian. Seterusnya, ia menjadi nilai dan falsafah hidup seseorang bagi
membentuk dengan sikap dan cara pekerjaannya. Justeru, walaupun
matlamat sarjana Barat dan Islam cuba membangunkan perkara yang sama
iaitu jiwa manusia, namun konsep pembangunan antara kedua-duanya
adalah berbeza antara satu sama lain kesan daripada perbezaan ontologi
tentang kejiwaan manusia, pertentangan epistemologi ilmu dan kepelbagaian
metodologi pembangunan kerohanian manusia. Artikel ini cuba
mengorganisasi semula persoalan teoretikal motivasi keinginan pencapaian
supaya sekurang-kurangnya satu hari nanti umat Islam berkeupayaan
membentuk bukan sahaja kerangka pemikiran bahkan gagasan ilmu motivasi
itu sendiri berdasarkan tasawwur Islam.
Kata Kunci: merekontruksi, motivasi keinginan pencapaian, worldview, Islam.
1.
Pengenalan
Keinginan pencapaian adalah salah satu komponen penting motivasi bukan sahaja dalam
disiplin ilmu psikologi, malah dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pengurusan dan
akademik. Faktor psikologikal ini merupakan yang satu keperluan yang boleh dibentuk
1
Artikel ini telah dibentangkan di Capacity Building Workshop for Young Social Science Scholars, (2013),
Senat Room, al-Bukhary International University. Organized by Malaysian Social Science Association
(PSSM) & al-Bukhary International University (AIU).
1
dan dirangsang kepada individu atau masyarakat bagi mencapai kecemerlangan. Secara
umumnya, semua orang mempunyai keinginan untuk berjaya dan mengelak daripada
kegagalan. Jika keinginan untuk berjaya adalah lebih tinggi, maka akan timbul motivasi
untuk menghadapi apa sahaja risiko bagi tujuan mencapai kejayaan itu. Sebaliknya, jika
keinginan untuk mengelakkan kegagalan adalah lebih tinggi, maka risiko tersebut akan
berperanan sebagai penghalang daripada menghadapi situasi untuk mencapai kejayaan.
Walau bagaimanapun, elemen motivasi ini bukanlah bersifat dominan dalam
mempengaruhi kejayaan, sebaliknya ia lebih berupa penghargaan kendiri kepada
seseorang usahawan. Huraian konsep keinginan pencapaian dalam kertas kerja ini hanya
akan memfokuskan kepada persoalan teoretikal teori ini sahaja. Merekonstruksi
keinginanan pencapaian melalui penghayatan agama bermaksud membentuk semula
gambaran atau konsep keinginan pencapaian yang sedia ada berdasarkan kepada asasasas yang telah ditetapkan oleh ajaran agama iaitu Islam.
2.
Definisi Konsep Keinginan Pencapaian
Konsep ini sering dibincangkan dalam bidang sains sosial terutamanya dalam disiplin
psikologi dan keusahawanan kerana ia dikatakan mempunyai sumbangan terhadap
kejayaan seseorang usahawan (Littunen, 2000:296 dan Hisrich, 2000:93). Kajian secara
spesifik kebanyakannya di polopori oleh sarjana Barat seperti Heckhausan (1967),
McClelland dan Winter (1969), Atkinson (1983), Shaffer (1994) dan Lambing (2003)
yang merumuskan bahawa konsep keinginan pencapaian (n Ach) merupakan motivasi
dalaman yang terdapat dalam setiap diri manusia. Individu yang mempunyai keinginan
pencapaian tinggi (high n Ach) dijangka akan lebih berjaya daripada individu lain.
2
Mereka mempunyai ciri-ciri seperti menetapkan matlamat untuk dicapai, suka kepada
cabaran yang sesuai dengan keupayaan, mengambil risiko yang sederhana, mahukan
maklumbalas segera serta sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya. Individu
yang sentiasa ingin mencapai sesuatu matlamat akan mempamerkan sifat-sifat seperti
tekun bekerja, tabah, suka bekerja dengan orang yang dapat memberi sumbangan yang
sempurna, menetapkan piawai pencapaian untuk berjaya, berorientasi masa hadapan,
tidak bergantung kepada nasib semata-mata, jarang sekali mengambil risiko yang tinggi
dan
amat
bertanggungjawab
dalam
sesuatu
perkara.
McClelland
(1961:205)
mengandaikan, secara umumnya masyarakat yang tinggi keinginan pencapaian akan
mengeluar usahawan yang bertenaga bagi mempercepatkan proses pembangunan
ekonomi meskipun terdapat kesukaran untuk mencapainya. Konsep ini turut
dibincangkan oleh Atkinson (1983) yang mengatakan, personaliti setiap individu adalah
berbeza dari segi kebolehan, motif dan kepercayaan. Keinginan pencapaian merupakan
kecenderungan atau motif seseorang untuk berjaya. Manakala Beck (1990:292)
mengatakan personaliti jenis ini dikatakan tidak akan berasa gembira kecuali setelah
mendapat kejayaan secara berterusan. Lambing (2003) merumuskan, hampir setiap orang
bersetuju bahawa usahawan berjaya mengambil inisiatif dalam situasi orang lain tidak.
Keinginan mereka bertindak berdasarkan idea mereka selalunya membezakan dengan
orang yang bukan usahawan. Dalam erti kata lain, konsep keinginan pencapaian ini
merupakan satu ciri yang bersifat agak tekal dan konsisten dalam diri setiap individu
yang ingin berjaya.
3
3.
Konsep Keinginan Pencapaian Berdasarkan Perspektif Barat
Konsep keinginan pencapaian ini telah dibincangkan secara panjang lebar oleh
McClelland (1961). Beliau telah membahagikan keinginan tersebut kepada tiga dimensi
utama iaitu keinginan untuk pencapaian (n-ach), keinginan untuk berkuasa (n-pow) dan
keinginan untuk affiliasi (n-affil). Kesemua elemen ini diandaikan tercetus hasil daripada
pengaruh keluarga dan budaya di mana seseorang itu membesar. Ia juga adalah penentu
kepada kekuatan motivasi seseorang dalam mengatasi cabaran hidup dan menyelesaikan
sesuatu tugas. Menurut Beck (1990:292), idea gagasan McClelland ini adalah
kesinambungan daripada gabungan antara hipotesis Max Weber tentang etika kerja
Protestant dan semangat kapitalisme dengan dapatan kajian Winterbottom (1953) yang
cuba menunjukkan kemungkinan wujudnya perkaitan antara keinginan pencapaian
dengan pembangunan ekonomi. Lihat rajah 1 di bawah:
Rajah 1 : Hipotesis kesan nilai- nilai ajaran protestant terhadap keinginan
pencapaian dan pembangunan ekonomi.
(Hipotesis Weber)
Fahaman Protestant.
(nilai- nilai berdikari dan lain-lain
Kapitalisme moden
Lahir usahawan yang aktif
(Kajian Winterbottom)
Kebebasan dan latihan
Terbentuk motivasi pencapaian
Penguasaan oleh ibubapa
pada anak-anak
Sumber: David C. McClelland (1961:256)
Beliau merumuskan, ajaran dan nilai-nilai Protestant telah mewujudkan tiga perkara asas
iaitu pertama, kaedah tertentu bagi mendidik anak-anak. Kedua, penekanan kepada
4
konsep berdikari dan latihan penguasaan. Ketiga, kebebasan tersebut akan melahirkan
kanak-kanak yang mempunyai motivasi pencapaian yang tinggi. Mereka ini lebih
cenderung memilih kerjaya sebagai usahawan dan sentiasa berusaha mengembangkan
perniagaan. Manakala dapatan kajian Winterbottom (1953) pula memberikan penjelasan
psikologi tentang bagaimana perkembangan yang diterangkan oleh Weber berlaku. Ciriciri kegigihan dan berdikari yang dicetuskan oleh reformasi Protestant menggalakkan
ibubapa melatih anak-anak mereka supaya bebas bertindak menguasai keadaan. Ini
menjadikan anak-anak itu mempunyai keinginan pencapaian tinggi dan seterusnya
membawa kepada pembentukan semangat kapitalisme (McClelland, 1961:46-47).
Hipotesis teori ini secara umum menyatakan, masyarakat yang tinggi keinginan
pencapaian akan melahirkan usahawan yang bertenaga bagi membantu menggerakkan
pembangunan ekonomi dengan cepat. Negara yang memiliki kuantiti rakyat yang tinggi
keinginan pencapaian dijangkakan lebih maju pencapaian ekonominya berbanding negara
yang mempunyai masyarakat yang rendah keinginan pencapaian. Andaian tersebut
berasaskan inspirasi kepada aktiviti keusahawanan adalah motif pencapaian dan
bukannya motif keuntungan. Beliau berhujah, sekiranya motif keuntungan lebih
diutamakan, mereka akan bersara sebaik sahaja memperolehi keuntungan atau wang
tanpa perlu mengambil semula sebarang risiko dalam usaha niaga keusahawanan yang
lain. Sebaliknya, mereka dilihat terus gigih berusaha membangunkan usaha perniagaan
dan industri tersebut. Oleh itu, adalah lebih baik untuk mengandaikan bahawa mereka
dimotivasikan oleh keinginan untuk berjaya. Manakala wang dan keuntungan hanyalah
sebagai indeks dan kuantitatif yang juga merupakan kriteria untuk mengukur pencapaian,
5
bukannya satu motivasi untuk aktiviti keusahawanan (McClelland, 1961:233, 1971:109).
Lanjutan itu, konsep keinginan pencapaian adalah salah satu daripada komponen
motivasi yang terpenting dalam mengerakkan tingkahlaku dan mengubah personaliti
seseorang individu dan masyarakat.
4.
Kritikan Terhadap Teori
Semua model memiliki sempadan dan kontroversi, jika tidak ia bukanlah model. Dengan
merujuk buku McClelland (1976), Maehr dan Sjogren (1971) telah mengkritik hipotesis
beliau kerana gagal dalam meramal pembangunan ekonomi sesebuah negara. Misalnya,
dalam buku “The Achieving Society”, McClelland menggambarkan rakyat negara Jepun
mempunyai skor keinginan pencapaian rendah, manakala rakyat negara Argentina dan
India mempunyai skor keinginan pencapaian tinggi. Walau bagaimanapun, situasi
sebenar yang berlaku adalah sebaliknya. Negara Jepun menjadi lebih maju berbanding
Argentina dan India dari segi pembangunan dan pencapaian ekonomi. Maehr (1974) juga
tidak bersetuju dengan rumusan teori ini bahawa terdapat satu kesamaan (commonality)
ciri-ciri dan sifat pada personaliti usahawan yang merentasi batasan budaya, bangsa,
jantina dan faktor-faktor demografi yang lain. Beliau menyatakan bahawa perbezaan
budaya akan menghasilkan ketidaksamaan motivasi. Dalam erti kata lain, budaya yang
berbeza telah dikaitkan dengan aras motivasi yang berbeza berdasarkan cara hidup,
kebiasaan atau amalan yang berbeza sesuatu kumpulan etnik. Justeru, beliau
mencadangkan bahawa aras motivasi boleh diubah melalui pelbagai mekanisme,
contohnya dengan mengubah personaliti atau menyesuaikan sesuatu situasi dengan
personaliti.
6
Tahap keberkesanan teori ini juga diragui jika diaplikasi terhadap masyarakat bukan dari
kelas pertengahan kerana kebanyakan hasil kajian yang menyokong teori ini adalah dari
kalangan masyarakat kelas pertengahan sahaja. Selain itu, tiada persetujuan umum
terhadap proses mengintegrasikan hasil kajian berbentuk empirikal dalam aspek
penggunaan instrumen kajian. Justeru, dapatan kajian adalah tidak konsisten sepertimana
penggunaan termometer dalam mengukur haba (Atkinson, 1983: 45). Begitu juga, wujud
pertikaian dari segi kebolehpercayaan, kesahan dan konsistensi terhadap ukuran
pencapaian yang digunakan oleh McClelland kerana ia lebih berbentuk fantasi (Beck,
1990: 291).
Dalam konteks tempatan, Wan Refaei Abdul Rahman (1993:13) menyatakan, teori
McClelland ini telah digunakan secara meluas oleh agensi kerajaan tertentu di Malaysia
dalam usaha untuk membangunkan usahawan-usahawan Bumiputera. Bagaimanapun,
usaha tersebut dilakukan tanpa mengkaji terlebih dahulu sama ada teori ini sesuai atau
tidak untuk diaplikasikan di Malaysia.
Manakala berdasarkan perspektif Islam, huraian teori ini mengabaikan konsep
kesepaduan antara material dan spiritual. Keinginan dan kesedaran manusia untuk
berdamping lebih rapat dengan agama langsung tidak disentuh dengan baik serta teliti.
Manusia pada tafsiran akal hanya dilihat mempunyai dua dimensi utama iaitu jasad
(body) dan akal (mind), manakala perkara ketiga iaitu kerohanian (spiritual) telah
diabaikan sedangkan ia adalah unsur yang amat berharga dalam pembentukan dan
pembangunan diri manusia. Justeru, walaupun teori ini telah berjaya memotivasikan
7
manusia untuk berjaya, namun jalan dan matlamat tersebut agak kabur. Pengabaian
terhadap elemen kerohanian menyebabkan perbincangan terhadap keperluan manusia
akan berterusan tanpa kesudahan lantaran budaya hawa nafsu (the sensate culture) telah
menguasai
kehidupan
manusia.
McClelland
(1961:37)
dan
Beck
(1990:292)
mengandaikan, individu yang berkeinginan pencapaian tinggi adalah lebih bebas dan
kurang mengambil berat terhadap perasaan orang lain. Individu berpersonaliti keinginan
pencapaian tinggi diandaikan tidak akan berasa gembira kecuali setelah mendapat
kejayaan secara berterusan. Justeru, berasaskan pertimbangan psikologi, lebih banyak
manusia mencapai sesuatu, lebih banyak lagi dia mahu mencapainya. Adalah dikhuatiri,
tumpuan seluruh usaha untuk memenuhi keinginan diri yang hanya berlegar sekitar
kenikmatan nafsu syahwat, pangkat, darjat dan kuasa akan melahirkan masyarakat
materialistik mutlak yang menjadikan nilai-nilai kepentingan itu sebagai puncak yang
mesti diperjuangkan oleh manusia dalam seluruh kegiatan hidup mereka.
5.
Merekonstruksi Konsep Keinginan Pencapaian berteraskan Islam
Terdapat juga kalangan sarjana Islam yang telah mengkaji elemen motivasi ini secara
khusus. Antaranya, AbulHasan M. Sadeq (1990: 42, 2006:116) yang berhujah bahawa
Islam telah menawarkan tahap keinginan pencapaian yang jauh lebih tinggi daripada apa
yang disarankan oleh McClelland (1963). Manakala ‘Abd al-Latif Muhammad Khalifah
(2000:16) menyatakan keinginan pencapaian adalah salah satu komponen penting
motivasi yang meletakkan usaha individu sebagai asas kepada pencapaian dan ia
diperkukuhkan melalui perantaraan apa yang diingininya dalam semua bidang. Beliau
turut mempersetujui hipotesis McClelland (1961) bahawa individu yang mempunyai
8
keinginan pencapaian tinggi diandaikan akan lebih cenderung untuk menjadi usahawan
berbanding bidang lain. Bagaimanapun penulisannya lebih cenderung kepada rujukan
daripada sarjana Barat.
Berdasarkan tasawwur Islam, secara umumnya elemen utama kejadian manusia ialah aljism dan al-nafs. Manakala keperluan asas manusia adalah berlandaskan kepada asal
kejadiannya yang meliputi al-nafs, al-’aql, al-qalb, al-ruh dan al-fitrah. Masing-masing
mempunyai daya (quwwah) tersendiri kecuali al-jism yang hanya memiliki daya
menterjemahkan atau menzahirkan perintah al-nafs. Baharuddin (2004:240-243),
menjelaskan, dimensi-dimensi jiwa manusia juga memiliki sifat-sifat dan keperluankeperluan dasar. Al-jism bersifat keragaan atau kebendaan yang memerlukan biologi, alnafs bersifat kehidupan kerana dengan nafsu manusia mempertahankan dan melanjutkan
kehidupannya, memerlukan ketenteraman dan keamanan, al-’aql bersifat pemikiran dan
rasional memerlukan penghargaan kendiri, al-qalb bersifat supra-rasional, perasaan dan
emosional yang memerlukan cinta dan kasih sayang, al-ruh bersifat spiritual yang
memerlukan dasar kewujudan diri atau aktualisasi diri (manusia sebagai khalifah) dan alfitrah bersifat suci dan memerlukan dasar kepada agama. Oleh itu, secara fitrahnya,
keperluan manusia bersifat jismiyyah, nafsiyyah dan ruhaniyyah (spiritual).
Manakala dari sudut pandangan teologi Islam, tabiat manusia pula adalah ditentukan oleh
sikapnya (Surah al-Ra'd (13):11). Manusia akan memperolehi berdasarkan apa yang
diusahakan oleh mereka. Manusia juga tidak pernah dituntut beramal tanpa tujuan, tetapi
9
mereka perlu bertanggungjawab ke atas setiap tingkah laku yang lahir daripada
keinginan-keinginan tersebut.
Dalam memanifestasikan pelbagai keinginan tersebut, al-Qur’an telah mengulangi lafaz
al-ajr (balasan) lebih daripada 100 kali selari dengan kekuatan, amanah, ihsan, takwa,
pemurah, kasih sayang kepada kerabat, gandaan ganjaran dan tanpa rasa takut kepada
sesama makhluk (Badwi Mahmud al-Syeikh, 2000). Dalam erti kata lain, untuk mencapai
atau memperolehi sesuatu yang diinginkan, manusia perlu berusaha dan bekerja kerana ia
adalah sebagai ‘fitrah’ bagi memenuhi keinginan (Surah al-Hud (11): 61). Keinginan
lebih merupakan satu harapan, kemahuan atau dorongan untuk mencapai sesuatu;
ataupun untuk membebaskan diri dari sesuatu peransang yang tidak menyenangkan.
Manakala usaha adalah penyelesaian sesuatu tugas untuk mencapai keinginan tersebut
(Abd Mujib, 2001:243). Justeru, Muhammad bin Ibrahim al Khatib (2006135)
mengingatkan bahawa adalah menjadi satu kewajipan bagi umat Islam untuk menjadikan
pekerjaan mereka sebagai ibadat, bersungguh-sungguh, amanah, tekun untuk
meningkatkan produktiviti dan kualiti.
Dalam hal ini, penekanan Islam terhadap pekerjaan manusia adalah lebih didasarkan
kepada amalnya (Surah al-Tur (52):21 dan al-Mudaththir (74): 38) bukan berdasarkan
status sosial atau kekayaannya. Manakala amal soleh dalam skop yang lebih luas
bukanlah semata-mata berusaha menanamkan sifat-sifat yang baik di dalam hati dan
mengerjakan syiar-syiar ibadat sahaja, malah ia mencakupi kegiatan islah di bumi yang
merangkumi segala aktiviti pembinaan, pembangunan, kemajuan, pengembangan dan
10
produktiviti (Sayyid Qutb, 1992,4:1854). Tiada istilah kerahiban yang menentang dan
menekan pemuasan motivasi-motivasi jasmani sebagaimana juga tiada istilah
permisivisme mutlak bagi memuaskan motivasi–motivasi dari tubuh dan jiwa manusia.
Namun, pemenuhan pelbagai keperluan material adalah tertakluk kepada batas-batas
yang diperkenankan oleh Allah S.W.T. selari dengan penunaian pelbagai keperluan
spiritualnya.
Kesepaduan
antara
kedua–dua
elemen
motivasi
tersebut
bagi
merealisasikan
keseimbangan konflik antara material dan spiritual dalam diri manusia. Sebarang aktiviti
yang dilakukan juga mestilah selari dengan Islam iaitu hanya melakukan pekerjaan yang
dibenarkan dalam oleh Syarak, kerja yang tidak menghalangnya daripada melaksanakan
perintah agama yang khusus terutamanya sembahyang, sentiasa bertanggungjawab, jujur
dan adil dalam berurusan dengan sesiapa juga, di samping bekerja dengan serius dan
berhati-hati untuk menghasilkan barangan dan perkhidmatan yang berkualiti.
Secara bandingannya, jika McClelland (1963) mengandaikan keinginan pencapaian
tinggi mampu mengaktifkan aktiviti keusahawanan dan pembangunan ekonomi, secara
prinsipnya Islam telah menawarkan tahap keinginan pencapaian yang jauh lebih tinggi
daripada itu. Dalam hal ini, sekiranya motif keuntungan merupakan daya pendorong
dalam keusahawanan, Islam telah menawarkan motif keuntungan yang lebih daripada
mencukupi sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. di dalam Hadith yang bermaksud
“sembilan per sepuluh daripada mata pencarian terdapat dalam perniagaan”. Manakala
jika motif pencapaian merupakan faktor dominan yang meransang pembangunan
11
usahawan, Islam juga telah menyediakan dorongan tertinggi bagi pencapaian. Agama
bukanlah halangan kepada pembangunan ekonomi, sebaliknya menyokong ke arah itu
dengan menawarkan insentif khas kepada keinginan pencapaian. Firman Allah S.W.T.
yang bermaksud:
“Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing
menujunya, oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan”
Surah al-Baqarah (2):148
Malahan, seruan ke arah kebaikan tersebut tidak hanya terbatas kepada alam akhirat
sahaja, malah merangkumi kedua-duanya (Lihat juga surah al-Baqarah (2):201, al-Qasas
(28):77 dan al-Najm (53):39). AbulHasan M. Sadeq (1990:42 dan 2006:116)
menjelaskan, walaupun perintah tersebut adalah berbentuk umum, tetapi ia merangkumi
elemen kebendaan, keuntungan ekonomi dan kesejahteraan untuk kedua-dua tempat
tersebut. Seruan tersebut juga diiringi dengan dasar Islam yang menawarkan skim
pembiayaan pembangunan yang melindungi usahawan daripada beban kerugian melalui
sistem kewangan Islam untuk memudahkan potensi sumber manusia dalam pertumbuhan
keusahawanan. Dalam erti kata lain, Islam menawarkan kedua-dua motif iaitu
keuntungan dan motivasi pencapaian untuk pembangunan keusahawanan.
Justeru, seseorang Muslim tidak ada pilihan lain kerana Allah S.W.T. sendiri telah
menetapkan
bahawa
manusia
seharusnya
mempunyai
keinginan
pencapaian.
Memandangkan ia adalah sebahagian daripada tuntutan agama, sepatutnya keinginan
pencapaian yang tinggi dan berkualiti terdapat secara semulajadi dalam diri orang Islam.
12
6. Prinsip-Prinsip Keinginan Pencapaian Berdasarkan Perspektif Islam
Keinginan untuk memiliki adalah hasil pembelajaran manusia daripada proses sosialisasi.
Manusia belajar memiliki harta untuk menyelamatkannya daripada kemiskinan,
mendapatkan pengaruh, pangkat dan kekuatan dalam masyarakat melalui budaya
masyarakat sekeliling serta pengalaman-pengalaman peribadi mereka.
Tasawwur Islam telah meletakkan beberapa prinsip asas bagi mengawal keinginan
pencapaian dalam tingkahlaku umatnya seperti ia perlu dikendali, diarah dan dipenuhi
dalam batas-batas yang diperkenankan Syariat, tanpa berlebih-lebihan (Surah al-Ma’ idah
(5): 87-88) atau melanggar batas-batas tersebut demi kebaikan individu dan masyarakat
dan alam. Imam al-Ghazali (1996, 4:153-154) telah membahagikan jiwa manusia kepada
empat fakulti iaitu keilmuan, kemarahan, keinginan dan keadilan. Setiap fakulti kecuali
keadilan mempunyai dua ekstrem iaitu terlalu banyak dan terlalu sedikit. Tahap
pertengahan adalah kedudukan yang paling baik sementara ekstrem adalah kedudukan
yang dikeji. Kedudukan yang lebih jauh daripada pertengahan iaitu ekstrem akan
menghasilkan keburukan. Fakulti keinginan akan menghasilkan sikap tamak apabila
terlalu banyak, ketiadaan nafsu apabila terlalu sedikit dan apabila di pertengahan ia akan
menghasilkan ketabahan. Gambaran orang yang menyeleweng daripada jalan
pertengahan adalah seperti meninggalkan ibadat kepada Allah S.W.T. kerana terlalu
berputus asa atau melakukan ibadat secara berlebih-lebihan kerana terlampau takut
kepadaNya sehingga mendatangkan kemudaratan ke atas diri dan keluarga. Sikap
pertengahan dalam memenuhi keinginan-keinginan tersebut adalah sebaik-baiknya
kerana ia akan memelihara manusia daripada sebarang penyimpangan (Muhammad
13
’Uthman Najati, 2001:68). Justeru, doktrin pertengahan atau kesederhanaan ini tidak
bermaksud umat Islam hanya perlu memberikan 50 peratus daripada pemikiran atau
tenaganya dalam aktiviti ekonomi. Sebaliknya doktrin ini mempunyai konotasi yang
lebih mirip kepada kesempurnaan, keseimbangan dan keadilan kerana pada asasnya,
kedudukan pertengahan adalah yang paling ideal dalam Islam.
Manakala dalam konteks kerja yang telah ditetapkan, orang Islam dipandu oleh tiga
perimbangan iaitu pertama, kontrak kerja dianggap sebagai janji dan amanah yang tidak
boleh dimungkiri. Ia merupakan jaminan moral untuk melaksanakan tanggungjawab
seperti yang telah ditetapkan dalam kontrak kerja atau spesifikasi kerja. Kedua, Allah
S.W.T. memerintahkan agar manusia melaksanakan kerja dengan sepenuhnya apabila
menerima gaji penuh. Seseorang yang mengambil gaji penuh tetapi tidak bekerja dengan
sepenuhnya akan dikutuk oleh Allah S.W.T.. Ketiga, kerja sebagai ibadat merupakan
galakan untuk melakukannya dengan sempurna bagi meningkatkan produktiviti dan
menghasilkan kerja yang berkualiti (Abulhassan Muhammad Sadeq, 2003:24).
Justeru, piawaian keinginan pencapaian tinggi dalam budaya kerja berteraskan Islam
mestilah seharusnya memenuhi syarat seperti berkelayakan, berkemampuan (Surah alQasas 26), amanah, tekun (itqan) dan menunaikan janji sepertimana yang diperintahkan
dalam al-Qur’an (Surah al-Isra’(17):7). Islam lebih menekankan konsep bekerja untuk
mendapatkan rezeki yang baik (Surah al-Baqarah (2):172) dan al-Ma’idah (5):4), prinsip
bekerja dengan bersungguh-sungguh dan bersusah payah untuk mendapatkan hasil.
14
7.
Rumusan
Dalam erti kata lain, keinginan manusia untuk mencari keredaan Allah S.W.T. bukanlah
sebagai menghalang kepada mereka untuk mencari keuntungan duniawi dan mewujudkan
persaingan. Persaingan juga merupakan salah satu daripada dorongan kejiwaan yang
dipelajari seseorang dari kebudayaan di sekelilingnya. Allah S.W.T. suka apabila
seseorang itu melakukan sesuatu kerja secara serius iaitu selalu ingin mencapai yang
terbaik. Al-Qur’an telah mendorong manusia supaya bersaing dalam bertakwa kepada
Allah S.W.T., berbuat kebajikan, berpegang teguh kepada nilai kemanusiaan yang luhur,
mengikuti manhaj Rabbani dalam hidup, menjalinkan hubungan yang baik dengan Allah
S.W.T., keluarga dan masyarakat bagi mendapatkan kurniaan dan keredaan Allah S.W.T..
Begitu juga, pengejaran kepentingan diri tidak semestinya sesuatu yang buruk, malah ia
juga merupakan satu keperluan kepada manusia. Bagaimanapun, elemen ini akan
bertukar menjadi suatu ancaman sosial apabila keutamaanya telah melampaui batas atau
had-had tertentu. Kepentingan diri dengan skop yang terbatas kepada dunia semata-mata
sudah pasti akan menyuburkan sifat tamak, boros dan mengabaikan kepentingan orang
lain. Manusia bukan sekadar perlu berusaha untuk kepentingan diri, tetapi juga
melakukan infaq iaitu membelanjakan ke jalan Allah S.W.T. termasuk untuk masyarakat
yang miskin dan memerlukan kerana harta yang dimiliki adalah amanah Allah S.W.T..
Penyimpangan keinginan akan berlaku dalam jiwa manusia apabila kecintaan yang
bersangatan terhadap harta. Tindakan berlebih-lebihan dalam memenuhi pelbagai
keinginan dan ketidakmampuan manusia untuk mengendalikan dan mengusainya akan
menimbulkan konflik keinginan ini dengan tugas manusia sebagai hamba dan khalifah
Allah S.W.T.. Bagaimanapun, manusia mungkin tidak memperolehi semua hasil dari apa
15
yang dikerjakan di dunia ini walaupun dalam beberapa keadaan ia biasa diperolehi kerana
kehidupan dunia bukan sebagai tempat untuk mencapai segalanya. Bagaimanapun segala
usaha tersebut pasti akan mendapat balasannya, jika tidak di dunia ini, pasti ia akan
mendapat balasan di akhirat. Manusia hanya diperintahkan untuk bekerja keras
berdasarkan batas-batas yang telah ditetapkan oleh syariah.
8.
Rujukan
'Abd al-Latif Muhammad Khalifah (2000), al-Dafi'iyyah al-Injaz. Kaherah: Dar Gharib.
Abd Mujib (2001), Nuansa-Nuansa Psikologi Islam. Jakarta: PT RajaGrafindo Persada.
Abi Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (1996) Ihya’ ‘Ulum al-Din, Beirut:
Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
AbulHasan M. Sadeq (1990), “Entrepreneurship, Achievement Motivation and Economic
Development”, Light on Islamic Economics, November, vol. 2. Issue 1, h. 42.
AbulHasan M. Sadeq (2006), “Economic Growth in An Islamic Economy” dalam
AbulHasan M Sadeq (eds.), Development issues in Islam, Kuala Lumpur:
International Islamic University Malaysia.
Atkinson, J. W. (1983), Personality, Motivation and Action Selected Paper. New York:
Praeger Publishers.
Badwi Mahmud al-Syeikh (2000), al-Judah al-Shamilah fi al-‘Amal al Islami, c. 1.
Kaherah: Dar al-Fikr.
Baharuddin (2004), Paradigma Psikologi Islami, Studi Tentang Elemen Psikologi Dalam
al-Quran. Yogyakarta: Pustaka Pelajar.
Beck, R. C. (1990), Motivation: Theories and Principles. Englewood Cliffs, N.J.:
Prentice Hall, Inc.
Heckhausan, H. (1967), The Anatomy of Achievement Motivation, David C. McClelland
et al. (terj.). New York: Academic Press.
16
Hisrich, R. D. (2000), “Can Psychological Approaches be Used Effectively?: An
overview”, European Journal of Work and Organizational Psychology, 9 (1):
93-96.
Lambing, P. A. dan Kuehl, C. R. (2003), Entrepreneurship. New Jersey: Prentice Hall.
Littunen, H. (2000), “Entrepreneurship and The Characteristics of The Entrepreneurial
Personality”, International Journal of Entrepreneurial Behaviour & Research. j.
6, no. 6: 295-309.
Maehr, M. L. dan Sjogren, D. D. (1971), ”Atkinson’s Theory of Achievement
Motivation: First Step Toward a Theory of Academic Motivation?”, Review of
Educational Research, 41:143-161.
Maehr, M. L. (1974), “Culture and Achievement Motivation”, American Psychologist, j.
29: 887-89.
McClelland, D. C. (1961), The Achieving Society, London: The Free Press.
McClelland, D. C. dan Winter D. G. (1969), Motivating Economic Achievement. New
York: The Free Press.
McClelland, D. C. (1971), “The Achievement Motive in Economic Growth”, dalam Peter
Kilby (eds.) Entrepreneurship and Economic Development, New York: The Free
Press.
Muhammad bin Ibrahim al Khatib (2006), al-Nizam al-Iqtisadi fi al-Islam, Jordan: alMaktabah al-Wataniyyah.
Muhammad ’Uthman Najati (2001), Al-Qur’an wa ’ilm al-Nafs, c.7. Kaherah: Dar alShuruq.
Sayyid Qutb (1992), Fi Zilali al-Qur’an, Beirut: Dar al-Shuruq.
Shaffer, D. R. (1994). Social & Personality Development, c. 3, California: Brooks/Cole
Publishing.
Wan Refaei Abdul Rahman (1993), “Psikologi Dalam Konteks Satu Pendekatan”,
Syarahan Perdana Jawatan Professor Universiti Kebangsaan Malaysia, 10 April,
Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
17