1
AKOMODASI DAN ADAPTASI BUDAYA KERJA BAHARU
Oleh Noorzihidayah Md Noor
19 Mei 2020
Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia pada 17 Mei 2020 yang mengangkat
tema Connect 2030: ICT for Sustainable Development Goals telah meletakkan sasaran 10 tahun
akan datang untuk melihat bagaimana masyarakat seluruh dunia berakomodasi dan mengadaptasi
teknologi maklumat sebagai aplikasi utama dalam menjalani kehidupan seharian. Ini termasuklah
dalam melaksanakan tugasan di pejabat sebagai budaya kerja baharu sebagai meraikan
transformasi keorganisasian.
Infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Malaysia telah dibangunkan
sejak tahun 1997 di mana ia meliputi pemanfaatan web dan emel, jaringan Local Area Network
(LAN), Wide Area Network (WAN) serta sistem menjana dokumen. Konfigurasi sistem ICT
seterusnya telah diperluaskan dengan mengoptimakan akses Internet pada tahun 2000. Pelbagai
konsep pembangunan telah dilakukan oleh kerajaan untuk memberi kemudahan dalam
pelaksanaan tugas seperti e-kerajaan, e-dagang, e-pembelajaran, e-perolehan dan sebagainya.
Menurut Hofstede et.al (2010), budaya memainkan peranan dalam mempengaruhi
sesebuah kumpulan kerja dalam organisasi Budaya kerja selalunya dicetuskan oleh kakitangan
dalam sesebuah organisasi sebagai salah satu kebiasaan dalam melaksanakan tugasan. Budaya
yang dipraktikkan juga tiada dalam peraturan mahupun undang-undang yang ditetapkan dalam
organisasi sebaliknya lebih kepada sikap serta perilaku individu atau sekelompok pekerja yang
menjadikannya sebagai norma harian dalam pergaulan dan pelaksanaan tugas. Budaya kerja juga
dikatakan sebagai penting untuk memastikan sesebuah organisasi dapat mencapai matlamatnya.
Sehubungan dengan itu, budaya kerja yang sesuai dan positif akan membawa kemajuan manakala
budaya kerja yang sebaliknya boleh menjejaskan prestasi organisasi secara umumnya.
Safeena dan Kammani (2013) pula menyatakan dalam jangka masa dua dekad yang lepas
organisasi berhadapan masalah terutamanya dari segi capaian maklumat dan perkhidmatan oleh
pengguna, dan pada masa yang sama kerajaan kurang memberi perhatian terhadap kualiti
perkhidmatan dan tanggungjawab kepada pengguna. Namun begitu, kehadiran wabak COVID-19
Penulisan Akademik/2020/MENTION FSSK/UKM/Noorzihidayah Md Noor
2
tanpa sedar secara tidak langsung telah membuka satu fasa rutin baharu yang agak berbeza pada
tahun ini kepada semua masyarakat dunia termasuk di Malaysia. Pandemik ini telah
mempengaruhi banyak aspek dalam kehidupan manusia termasuk dari sudut kesihatan mahu pun
perkembangan teknologi komunikasi. Penggunaan teknologi berasaskan web dan peningkatan
ketara kemudahan internet telah menyedarkan kerajaan seluruh dunia mengenai peluang yang ada
termasuk e-dagang yang memudahkan transaksi pembelian barangan secara dalam talian serta
gaya komunikasi secara maya yang semakin meluas.
Beberapa organisasi termasuk agensi kerajaan telah mula mempraktikkan komunikasi
tanpa sempadan menerusi konsep e-kerajaan bagi menyokong operasi dan penyampaian maklumat
yang lebih berkesan. Matlamat utama kerajaan adalah untuk meningkatkan lagi prestasi kecekapan
dan keberkesanan pengurusan sektor awam, meningkatkan produktiviti kerajaan dan
keberkesanan kos (Fang 2002) serta dalam masa yang sama dapat menjalinkan hubungan
yang lebih baik dengan rakyat.
Sektor awam seringkali dillihat sebagai sektor penting dalam merancang, membentuk dan
melaksanakan pelbagai program pembangunan demi memperkukuhkan perjalanan sistem
pentadbiran dan pengurusan negara (Wan Idros Wan Sulaiman 2015) di mana sektor ini perlu
menyediakan perkhidmatan yang berkualiti memandangkan badan ini berkait rapat dengan orang
ramai. Ahmad et al., (2012) menyatakan urusan pentadbiran kerajaan seperti penjimatan masa
berasaskan kepada perkhidmatan yang lebih cekap dan prosedur yang mudah, dapat
mempertingkatkan lagi pengurusan pejabat. Selain daripada mencapai matlamat utama tersebut,
penggunaan e-Kerajaan secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti dalam pembuatan
keputusan dan juga mempromosikan penggunaan ICT kepada sektor lain (Nkwe, 2012). Operasi
kerajaan dilihat masih lagi dalam proses mengadaptasi penggunaan teknologi maklumat dan
komunikasi secara optimum. Perubahan dalam organisasi melalui norma baharu ini secara tidak
langsung telah membuka mata masyarakat untuk mengukur keupayaan pihak kerajaan
menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap walaupun dalam cara mengaplikasi konsep bekerja
dari rumah. Persekitaran yang kompleks dan mencabar hari ini, mendesak organisasi
mempertimbangkan kesejahteraan pekerja untuk memastikan produktiviti dan jajaran kepentingan
bersama, semasa proses perubahan berlaku (Beirne 2013).
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali pada 14 Mei 2020 melalui Bicara
Naratif Bersama KSN: Norma Baharu yang disiarkan di TV1 RTM berkata penggunaan teknologi
seperti mesyuarat melalui sidang video telah diperkenalkan dalam sektor kerajaan sebelum ini,
namun ia hanya digunakan sepenuhnya kini dan banyak memberikan manfaat ketika wabak
COVID-19. Beliau turut mempertimbangkan penggunaan teknologi ini selepas pasca pandemik
COVID-19 supaya boleh menjimatkan lagi peruntukan membina ruang pejabat yang baharu dan
tidak memerlukan kos peralatan yang tinggi oleh kerana memerlukan sedikit pegawai untuk hadir
ke pejabat. Penggunaan aplikasi teknologi komunikasi seperti Microsoft Team, Zoom dan Google
Meet sebagai platform untuk bermesyuarat secara maya telah mula digunakan secara meluas pada
masa kini dalam memastikan perkhidmatan tidak terjejas.
Penulisan Akademik/2020/MENTION FSSK/UKM/Noorzihidayah Md Noor
3
Kemudahan internet amat penting semasa tempoh bekerja dari rumah
untuk memastikan perkhidmatan tidak terjejas
Kemudahan teknologi seperti ini sebenarnya telah lama wujud tetapi dirasakan tiada
keperluan untuk menggunakannya kerana sebelum ini pekerja lebih gemar berbincang secara
bersemuka, mempertimbangkan tahap sulit sesuatu dokumen serta penghantarannya, kekangan
rangkaian internet dan ‘restu’ ketua jabatan itu sendiri. Internet memainkan peranan yang sangat
penting sehinggakan rangkaian internet itu menjadi pelengkap globalisasi dalam dimensi
elektronik. Teknologi komunikasi masa kini membuka peluang kepada pekerja untuk bekerja dari
rumah (Mohd Azul 2015) di samping organisasi harus memberi peluang kepada pekerja untuk
bertugas atau bekerja di rumah tetapi perlu berkomunikasi dengan pihak pejabat melalui emel,
telefon, sistem berasaskan web, konferen/sidang video dan chat atas talian. Perkara ini seperti yang
telah dilaporkan oleh Jami’ah Shukri dalam akhbar Berita Harian (2011) di mana seiring dengan
perkembangan teknologi komunikasi kini, Kementerian Kerja Raya telah menjadi perintis
program bekerja dari rumah disusuli dengan Kementerian Sumber Manusia bagi memberi peluang
kepada pekerja terutamanya wanita untuk melakukan tugasan mereka secara efektif tanpa
mengabaikan keluarga untuk mendapatkan work life balance.
Masyarakat bermaklumat seharusnya terbina melalui manfaat teknologi komunikasi yang
berevolusi seiring dengan dunia tanpa sempadan. Kepelbagaian teknologi dan kepenggunaan
maklumat melalui teknologi telah membuka ruang lingkup komunikasi baharu yang seharusnya
dipraktikkan dengan lebih optimum. Media baharu sebagai medium komunikasi terutamanya
dalam penyampaian maklumat mempunyai sisi impak yang positif dan negatif sama ada kepada
pengguna mahu pun masyarakat global. Masyarakat perlu bijak menapis maklumat yang diterima
sebelum menyebar luas kepada pengguna yang lain bagi tujuan perkongsian. Oleh yang demikian,
perlu dipastikan supaya maklumat yang diterima dan dihantar adalah sahih dan memberi manfaat
kepada semua yang terbabit.
Secara holistiknya, budaya kerja juga boleh berubah seiring dengan teknologi yang
tercipta. Jika dahulu, pekerja yang hanya mempunyai telefon talian tetap di rumah sahaja atau
perlu berada di pejabat yang akan menerima mesej melalui telefon yang hanya berfungsi untuk
bercakap. Tetapi kini penggunaan telefon telah diperluaskan dalam menyampaikan maklumat di
Penulisan Akademik/2020/MENTION FSSK/UKM/Noorzihidayah Md Noor
4
mana-mana sahaja hatta ‘di atas awan’ sekalipun dengan kos yang minima seperti penggunaan
aplikasi WhatsApp dan Telegram. Namun begitu, pihak majikan perlu sentiasa bersikap efisien
dan efektif dalam memikul tanggung jawab dengan membuat pemantauan serta pengawalan bukan
sahaja untuk memastikan tahap produktiviti kakitangan berlangsung dalam keadaan yang baik
tetapi pada masa yang sama, menunjukkan bahawa majikan bijak dan tahu bagaimana untuk
berkomunikasi dengan persekitaran organisasi (Wan Idros & Maizatul Haizan 2015) untuk
menghadapi sebarang rintangan semasa perubahan berlaku. Sehubungan dengan itu, penyelia
haruslah melihat kesesuaian ciri-ciri komunikasi dan tugasan untuk diaplikasi menggunakan
teknologi yang ada. Pekerja juga perlu memastikan peralatan yang digunakan dijaga sebaik
mungkin terutamanya yang melibatkan penggunaan bersama di pejabat.
Walau bagaimanapun, kesan negatif turut dirasakan di mana teknologi boleh menyebabkan
technostress misalnya arahan kerja di luar waktu kerja melalui WhatsApp, tuntutan menyiapkan
tugas dalam tempoh yang tidak munasabah dan beban kerja yang semakin bertambah. Justeru
penyelia perlu mengimbangi beban kerja dan emosi pekerja dalam melaksanakan tugas masa kini
yang serba serbinya perlukan kepantasan dan kesegeraan. Semoga teknologi komunikasi sedia ada
kini dapat membina kesejahteraan dan kelestarian yang berterusan pada masa akan datang.
Penulisan Akademik/2020/MENTION FSSK/UKM/Noorzihidayah Md Noor
5
RUJUKAN
Ahmad, M. O., Markkula, J., & Oivo, M. (2012). Factors influencing the adoption of egovernment services in Pakistan. European, Mediterranean & Middle Eastern Conference
on Information Systems, 118–133.
Beirne, M. 2013. Rhetoric and the Politics of Workplace Innovation: Struggling With
Empowerment and Modernization. Cheltenham: Edward Elgar.
Fang, Z. (2002). E-government in digital era: concept, practice, and development. International
journal of the computer, the internet and management, 10(2), 1-22.
Hofstede, G.H., Hofstede, G.J. & Minkov, M. 2010. Cultures and Organization: Software for the
Mind. Edisi ke-3. New York: McGraw-Hill.
Jami’ah Shukri. 2011. Berita Harian. 9 Mei.
Mohd Azul Mohamad Salleh. 2015. Perkembangan Industri Teknologi Komunikasi Dan
Maklumat (ICT) Kepada Masyarakat. Dlm. Mohd Safar Hasim & Samsudin A. Rahim
(pnyt.). Komunikasi di Malaysia: Status dan Cabaran, hlm. 274-292. Bangi: Penerbit
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Nkwe, N. (2012). E-government: challenges and opportunities in Botswana. International Journal
of Humanities and Social Science, 2(17), 39–48.
Safeena, R., & Kammani, A. (2013). Conceptualization of electronic government adoption.
International Journal of Managing Information Technology, 5(1), 13.
Wan Idros Wan Sulaiman & Maizatul Haizan Mahbob. 2015. Hubungan komunikasi
keorganisasian dengan perancangan strategik modal insan Universiti Kebangsaan
Malaysia. Jurnal Komunikasi Malaysian Journal of Communication 31(2): 1-14.
Wan Idros Wan Sulaiman. 2015. Komunikasi Dalam Sektor Awam. Dlm. Mohd Safar Hasim &
Samsudin A. Rahim (pnyt.). Komunikasi di Malaysia: Status dan Cabaran, hlm. 209-227.
Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Penulisan Akademik/2020/MENTION FSSK/UKM/Noorzihidayah Md Noor