Academia.eduAcademia.edu

Sejarah Sosio-ekonomi Kraftangan di Brunei Darussalam.

Sejarah Sosio-ekonomi Tradisi Kraf Tangan Brunei. Oleh Dayang Siti Norkhalbi Haji Wahsalfelah, PhD Awang Abdul Hai bin Haji Julay Akademi Pengajian Brunei Universiti Brunei Darussalam. Pengenalan. Kertas kerja ini akan membincangkan tentang ekonomi tradisi kraf tangan sebelum tahun 1960an yang dihasilkan di Brunei. Perbincangan ini memfokuskan kepada penghasilan kraf tangan masyarakat Melayu Brunei. Kertas ini cuba untuk mengupas perkembangan perusahaan kraftangan dan hubungannya dengan sosio-ekonomi di negara Brunei Darussalam. Di samping itu akan disentuh juga potensi perusahaan kraftangan. Kraf tangan sering dihubungkait dengan kehalusan seni yang melambangkan ciri, motif dan simbol. Hasil daripada inilah kemahiran kraf tangan menjadi aset penting yang terdapat pada situkang. Kraf tangan juga merupakan satu identiti dan elemen yang membentuk satu warisan budaya turun temurun di dalam sesebuah masyarakat. Catatan sejarah menunjukkan bahawa Negara Brunei Darussalam kaya dengan khazanah budaya material. Istilah budaya material ini juga merangkumi hasil pertukangan tangan atau kraf tangan yang dicipta untuk memenuhi keperluan masyarakat yang selalunya mempunyai kepentingan sesuai dengan perubahan dan perkembangan semasa. Budaya material mempunyai 1 peranan yang wajar dan realistik dalam kehidupan sama ada di rumah atau pada peringkat komuniti. Salah satu kepentingan kraf tangan dalam masyarakat ialah sumbangannya terhadap perkembangan sosio-ekonomi. Sejarah Pengeluaran dan Penggunaan Hasil Kraf tangan. Catatan awal yang dibuat oleh pengembara-pengembara asing yang datang ke Brunei banyak menyebutkan kemahiran bertukang tangan ini tertumpu di Kampong Ayer. Di zaman sebelum naungan British, Kampong Ayer bukan sahaja merupakan pusat pemerintahan, tetapi juga pusat kebudayaan dan perekonomian yang sangat penting (Md Zain 1996). Brunei dikatakan terkenal dengan pembuatan barangan kraf tangan seperti menenun kain, pertukangan tembaga, emas dan perak, kerja-kerja menganyam dan pembuatan perahu (Jiram 2008: 42). Pigafetta yang datang melawat Brunei pada tahun 1521 menjelaskan bahawa industri kraf tangan sudah wujud pada abad itu dan beliau merekodkan bahawa terdapat 56 buah meriam yang diperbuat dari logam besi, tersergam indah di depan istana Sultan Bolkiah. Beliau juga mencatatkan tentang penggunaan pedang, tombak dan perisai oleh pengawal-pengawal Istana. Peralatan yang diperbuat daripada perak seperti kedudukan dian dan pelita juga digunakan. Para pembesar negara membawa keris dan memakai pakaian dari kain tenunan. Selain menjadi pakaian, kain tenunan juga dijadikan sebagai langsir di istana (Hughes-Hallet 1998: 32-33). Menurut laporan ini, Brunei sudah wujud sebagai sebuah negara yang bertamadun dan mempunyai teknologi pembuatan yang canggih pada masa itu sebanding dengan negara-negara yang menjajah. 2 Hasil kajian juga mendapati terdapat beberapa buah kampung yang dinamakan bersempena dengan kemahiran atau pekerjaan penduduk kampung (Abdul Latif 1996). Spencer St. John ada menyebutkan nama-nama kampung atas pekerjaan dan kemahiran penduduknya di antaranya ialah Kampong Pandai Besi yang penduduknya mahir bertukang besi dan Kampong Pandai Emas1 bagi tempat kediaman tukang emas, perak dan bertenun kain. Many of the people are employed casting brass guns, or are goldsmiths or general traders and latterly their women have commenced the manufacture of expensive and handsome gold brocade. (Spencer St. John 1862: 256) Brown (1970: 65-66) pula menjelaskan bahawa pembuatan perahu merupakan salah satu aktiviti kraf tangan yang penting kerana perahu adalah salah satu keperluan perhubungan dan juga sumber ekonomi masyarakat Brunei ketika itu dan masih relevan sehingga kini. Pada zaman tradisi, kegiatan-kegiatan ekonomi yang bersumberkan laut terutama penangkapan ikan merupakan tulang belakang ekonomi Brunei (Pg Khairul Rijal 2008). Pada ketika itu, majoriti penduduk Kampong Ayer bergantung pada aktiviti menangkap ikan sebagai pekerjaan utama dan ini memerlukan perahu bagi tujuan menangkap ikan. Pada waktu dahulu, terdapat berbagaibagai jenis dan bentuk perahu yang digunakan untuk menangkap ikan seperti bidar, jumpung, bagung dan temuai (Hj Takong 1996:202). Selain itu, perahu juga berperanan penting sebagai alat perhubungan dan pengangkutan yang digunakan oleh masyarakat yang tinggal di Kampong Ayer. Sehingga kini, pembuatan perahu masih lagi aktif dilakukan terutama di Kampung Setia. pengeluaran perahu lebih tertumpu pada perahu tambang. Walau bagaimanapun, Sumbangan perahu kepada 1 Kampung ini juga dikenali dengan nama Kampung Sungai Kedayan. 3 masyarakat di Kampung Ayer bukan hanya terhad dari segi pembuatan, malah memberikan sumbangan ekonomi yang agak besar sebagai pendapatan dalam perusahaan perkhidmatan pengangkutan. Pada zaman dahulu, anak-anak muda menerima upahan untuk mengayuhkan penumpang dari satu tempat ke suatu tempat yang lain. Di samping itu, mereka juga mengambil upah berkayuh untuk mengambil air untuk kegunaan seharian. Dari itu, perahu mempunyai kepentingan menjana ekonomi di zaman tradisi. Perkembangan Perusahaan Tradisi Kraf tangan. Perkembangan kraf tangan boleh dibahagikan kepada dua tempoh iaitu sebelum 1940an dan selepas 1940an. Sebelum tahun 1940, aktiviti perusahaan kraf tangan lebih tertumpu kepada pertukaran barang. Negara ini memang sudah terdedah kepada bangsa-bangsa asing dan mempunyai hubungan perdagangan dengan mereka. Brunei pernah pada suatu ketika dahulu merupakan sebuah pelabuhan penting bagi pedagang-pedagang luar dan berlakunya pertukaran barang dagangan. Laidlaw yang melawat Kota Bharu, Kelantan pada hujung abad dua puluh mencatatkan beliau melihat barangan timah dan tembaga dari Brunei diperdagangkan di pasar membeli-belah di sana (Ishak 1991:29). Bahkan Peter Blundell mencatatkan juga bahawa gong hasil buatan dari Brunei sangat terkenal di rantau Asia Tenggara (Hj Takong 1996:208). Dari catatan ini, jelas bahawa barangan logam dari Brunei telah tersebar ke luar negara. Di samping itu, Residen British juga mempunyai peranan dalam membantu perkembangan aktiviti kraf tangan sebelum 1940. Terdapat permintaan barangan kraf tangan dari perak, tembaga, tenunan dan senjata daripada pegawai-pegawai luar untuk keperluan dan koleksi 4 mereka. Dari itu tidak mustahil mereka membawa balik hasil kraf tangan yang dikumpul ke negara asal atau tempat mereka bertugas. Ini juga mungkin di antara sebab hasil kraftangan Brunei boleh di dapati di muzium-muzium di luar negara seperti di England, Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina (Mustafa Ahmad 1988:96). Salah seorang Residen British yang terlibat menyumbang terhadap perkembangan perusahaan kraftangan di Brunei ialah H.Chevalier. Beliau bertanggungjawab dalam memberi galakan untuk menggunakan teknologi moden dalam aktiviti pertukangan tangan terutama pertukangan perak di kalangan masyarakat Brunei (M. Shahree 1976:46). Penggunaan teknologi moden ini mungkin telah meningkatkan pengeluaran hasil pertukangan perak. Di samping itu, penemuan bentuk ukiran baru dan juga kemudahan mendapat bahan-bahan mentah yang diimpot dari England juga telah menyumbang terhadap perkembangan dan kemajuan perusahaan perak. Pada tahun 1947 sebuah pusat swasta yang mengendalikan penjualan kraf tangan yang terletak di Jalan Chevalier (seberang jalan Bendahara) telah ditubuhkan. Pusat ini telah pun berkembang dan hasil daripada kejayaan pusat pertama ini, satu lagi pusat telah ditubuhkan yang terletak di Jalan Roberts (Mustafa Ahmad 1988: 99). Tempoh kedua bagi perkembangan perusahaan kraf tangan ialah di zaman pemerintahan Sultan Omar Ali Saifuddien III. Baginda terkenal dengan jolokan nama “Akitek Brunei Moden”. Semasa pemerintahan baginda mempunyai inisiatif dan telah menitahkan supaya perusahaan kraf tangan perlulah dikembangkan terutama perusahaan kraf tangan perak, tenunan dan tembaga. Baginda juga menjadikan Istana Darul Hana sebagai tempat pertukangan perak dan mengambil beberapa tukang perak untuk bekerja di Istana. Bagi memastikan seni kraf tangan terus 5 berkembang, Kerajaan Brunei telah menghantar beberapa orang pelajar untuk melanjutkan kursus pertukangan perak di England. Penggunaan hasil kraf tangan dalam adat istiadat diraja yang diperbuat daripada logam seperti keris, gangsa, bedil, celapa, kabuk dan penastan, pesigupan dan alat-alat yang lain boleh dilihat sebagai usaha mempertahan dan mengembangkan pengeluaran dan permintaan hasil kraf tangan. Dalam adat istiadat, barangan kraf tangan ini mempunyai peranan sebagai alat kebesaran dan juga alat perhiasan diraja yang digunakan semasa istiadat-istiadat seperti perkahwinan diraja, istiadat bergelar, hari keputeraan dan seumpamanya. Di samping itu, semasa pemerintahan Sultan Omar Ali Saifuddien III, baginda juga telah memperkenankan pemakaian kain tenunan sebagai sebahagian dari pakaian rasmi dalam adat istiadat diraja, terutama ketika pakaian cara Melayu digunakan. Baginda telah memperkenankan penggunaan warna, jenis, rekabentuk, corak dan motif untuk membezakan status dan pangkat para pembesar negara (Siti Norkhalbi 2007). Sebagai orang yang bertanggungjawab memelihara dan memperkembangkan warisan tenunan ini, baginda sering memakai pakaian dari kain tenunan ketika berangkat dalam majlis beradat istiadat. Dari penjelasan ini menunjukkan Sultan Omar Ali Saifuddien III memainkan peranan yang sangat penting bagi memastikan aktiviti pertukangan tangan dipelihara, dipertahankan dan diperkembangkan. Dan usaha ini telah dilanjutkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam. Inisiatif ini adalah suatu kelaziman di mana kerabat diraja memang merupakan penaung yang memastikan kesinambungan kewujudan kraf tangan. Ini bukanlah merupakan 6 suatu yang ganjil kerana pengeluaran dan penggunaan hasil kraf tangan memang biasa dikaitkan dengan golongan raja-raja dan seterusnya menggambarkan kekuasaan (Uchino 2005). Kepentingan Hasil Kraf Tangan Dalam Masyarakat Melayu. Penggunaan kraf tangan dalam masyarakat merupakan faktor yang penting bagi memastikan kesinambungan pengeluarannya. Hasil kraf tangan ini tidak hanya mempunyai fungsi gunaan tetapi juga menekankan kepada fungsi ekspresif dan simbolik. Keseimbangan fungsi-fungsi tersebut memberikan nilai yang lebih tinggi ke atas barangan kraf tangan (Wan Abd. Kadir et al 2004). Pengeluaran dan penggunaan barangan kraf tangan ini berkait rapat dengan adat, kebudayaan dan kesenian warisan bangsa Melayu. Sebagai contoh, motif-motif yang digunakan untuk menghiasi barangan kraf tangan melambangkan jati diri Melayu yang mengandungi nilainilai seni keindahan dan kehalusan tradisi budaya Melayu. Ini menunjukkan bahawa barangan kraf tangan merupakan elemen yang penting dalam sosiobudaya masyarakat Melayu yang meliputi ruang lingkup yang luas sebagai lambang nilai budaya dan identiti. Barangan kraf tangan yang diperbuat daripada logam sama ada emas, perak, tembaga dan besi seperti keris, celapa, gangsa masyarakat Melayu. serta kain tenunan mempunyai peranan penting dalam Barangan kraf tangan ini biasa dilihat penggunaannya dalam upacara beradat seperti majlis perkahwinan, istiadat penganugerahan gelaran dan sebagainya. Barangan kraf tangan ini tidak hanya terhad penggunaannya di kalangan golongan atasan, tetapi juga dalam lingkungan masyarakat biasa. 7 Dalam Silsilah Raja-Raja Brunei yang dicatatkan oleh Imam Yaakub (Sweeney 1998) juga banyak menyebutkan tentang penggunaan budaya material dalam adat istiadat diraja iaitu majlis menobatkan raja. Di antara alat-alat yang digunakan ialah kasur bertepi emas, puan kerajaan, keris kerajaan, pedang kerajaan dan perisai kerajaan. Di sebutkan juga penggunaan penastan perak, kabuk perak, persigupan emas, lembing bersampak emas dan lain-lain. Permintaan terhadap barangan logam tidak hanya terhad di kalangan masyarakat Melayu Brunei malah di kalangan masyarakat Melayu yang lain. Laporan Tahunan Brunei 1908 mencatatkan barangan logam seperti gong, gulingtangan, tawak-tawak dan barangan tembaga yang lain juga dibekalkan kepada puak Dusun, Iban dan Belait dan barangan ini dipertukarkan dengan barangbarang hutan yang dibawa oleh puak tersebut. Di zaman tradisi, barangan logam diperlukan oleh puak-puak ini untuk menunjukkan status kekayaan mereka. Di samping itu, barangan logam juga mempunyai peranan dalam adat sebagai hantaran perkahwinan dan pembayar denda jika melakukan kesalahan yang tertentu. Kain tenunan Brunei juga mempunyai peranan yang penting dalam budaya masyarakat Melayu Brunei. Ianya digunakan sebagai pakaian dan juga hantaran perkahwinan. Dalam keadaan ini, kain tenunan mempunyai peranan yang penting dalam mewujud dan mengeratkan hubungan sosial, serta melambangkan status sosial. Bagi masyarakat Melayu Brunei, kain tenunan Brunei jenis jong sarat dijadikan sebagai salah satu hantaran perkahwinan yang mesti diberikan oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. Sebuah perkahwinan tersebut dianggap tidak sempurna, malah boleh menimbulkan aib jika pengantin lelaki tidak mampu memberikan kain tenunan Brunei kepada bakal isterinya. Di samping melambangkan kasih sayang, pemberian kain tenunan juga menunjukkan kestabilan kedudukan kewangan pengantin lelaki (Siti Norkhalbi 2007). 8 Sumbangan dan Potensi Kraf Tangan Kepada Sosio-Ekonomi. Satu masalah yang dihadapi ialah kesukaran untuk memperolehi laporan terperinci tentang pendapatan dan penghasilan kraf tangan tradisi. Ini bukanlah suatu perkara yang luar biasa kerana pertukaran zaman tradisi adalah berdasarkan sistem barter atau pertukaran barangan. Walaubagaimana pun terdapat bukti yang menunjukkan bahawa penghasilan kraf tangan dan sistem pertukaran barangan telah menjadi sumber mata pencarian yang penting kepada pengusahanya. Aktiviti yang bersifat perusahaan kecil dan sederhana atau disebut juga sebagai cottage industry tidak dapat dinafikan telah menjadikan Kampong Ayer terkenal dengan aktiviti ekonomi yang berorientasikan kraf tangan2. Sebagai contoh kegiatan aktiviti ekonomi tradisi seperti bertenun kain telah menghasilkan pendapatan di kalangan penduduk kampung seperti di Kampung Lurong Sikuna dan Kampung Bukit Salat, perusahaan tembaga di kampung Ujong Bukit dan perak di Kampung Sungai Kedayan. Informan dari puak Kedayan menjelaskan bahawa di zaman tradisi harga kain tenunan sangat mahal dan pada ketika itu harga sebidang kain jong sarat adalah sebanding dengan seekor kerbau. Dari itu, kemampuan seseorang untuk memiliki kain tenunan itu menggambarkan status ekonominya. Di samping itu, laporan yang ditemui telah membuktikan bahawa perusahaan kraf tangan mempunyai peranan dalam meningkatkan dan menyumbang kepada ekonomi pengusaha dan juga negara. Peter Blundell menjelaskan bahawa di antara perusahaan kraf tangan yang mendatangkan keuntungan dan menjamin kehidupan ialah perusahaan perak berbanding dengan perusahaan kraf tangan yang lain (Haji Takong 1996: 205). Ini diperkukuh lagi di mana menurut 2 Terdapat kampung yang dikenal dengan nama kraf tangan yang dihasilkan oleh penduduk kampung seperti Kampung Pemeriuk yang kemudiannya dikenal sebagai Kampung Pandai Besi. 9 catatan yang terdapat dalam Laporan Tahunan Brunei tahun 1930 mencatatkan pendapatan dari hasil pertukangan perak seperti kotak rokok, mangkuk dan kerongsang telah mencapai melebihi $15,000. Dari penjelasan di atas menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi tradisi kraf tangan merupakan di antara sumber ekonomi masyakarat di Kampong Ayer pada tempoh tersebut. Dengan galakan yang ada daripada pihak kerajaan yang menyedari bahawa kraf tangan merupakan warisan budaya yang perlu dipelihara agar tidak pupus, menjadikan perusahaan ini mempunyai potensi walaupun hanya diusahakan secara kecil-kecilan di kalangan mereka yang memiliki kemahiran bertukang. Usaha kerajaan mengekalkan penggunaan hasil kraf tangan dalam majlis beradat istiadat merupakan langkah yang sangat penting dalam memastikan permintaan terhadap hasil kraf tangan berterusan. Kemerosotan dan Langkah Pengekalan Perusahaan Kraf Tangan Tradisi. Namun sehingga tahun 1960an, banyak kegiatan kraf tangan telah mula berkurangan terutama dalam perusahaan emas, perak dan tembaga. Kekurangan bahan mentah adalah salah satu penyebab kemerosotan ini. Brunei tidak menghasilkan bahan mentah dari bahan logam dan bergantung kepada bahan mentah yang dimport. Saingan dari barangan logam yang datang dari luar juga menyumbang kepada kemerosotan pengeluaran barangan logam tempatan. Faktor lain yang menyumbang kepada berkurangnya perusahaan pertukangan logam ialah kemahiran bertukang ini hanya dimiliki di kalangan keluarga tertentu dan diwariskan kepada ahli keluarga yang paling dekat sahaja (Hj Takong 1996:209). Terbukanya peluang 10 pekerjaan dalam sektor kerajaan dan sektor minyak juga di antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan penglibatan dalam perusahaan kraf tangan tradisi. Sektor kerajaan dan sektor minyak merupakan dua sektor yang menawarkan peluang pekerjaan yang tinggi dan kondisi yang lebih baik. Dengan pendapatan bulanan yang tetap serta kemudahan-kemudahan yang ditawarkan telah menarik minat untuk bekerja dalam sektor-sektor tersebut. Fenomena ini tidak hanya terjadi pada kemahiran pertukangan logam, tetapi berlaku juga pada kemahirankemahiran bertukang yang lain termasuk bertenun kain. Menyedari akan hal kemerosotan perusahaan kraf tangan ini, pihak kerajaan telah mengambil langkah agar kemahiran dan pengeluaran kraftangan dapat dipelihara dan dipertahankan. Satu langkah yang telah dilaksanakan oleh kerajaan ialah menubuhkan Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei pada 1 September 1975. Di awal penubuhan, Pusat ini ditempatkan di Kampung Perpindahan Berakas yang terletak kira-kira lapan kilometer dari Bandar Seri Begawan. Pada 1 Januari 1984, Pusat ini telah berpindah ke bangunan baru yang terletak di Bandar Seri Begawan, menghadap Kampong Ayer. Bangunan ini telah dibuka rasmi oleh Al-Marhum Sultan Omar Ali Saifuddein Sa’adul Khairi Waddien sempena kemerdekaan negara Brunei Darussalam. Pusat ini menawarkan lima jenis kursus iaitu pertukangan perak, tembaga, ukiran kayu, tenunan dan anyaman dan pembuatan songkok. Terdapat syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk mengikuti kursus ditawarkan di Pusat ini. Kursus hanya dibukakan kepada rakyat dan penduduk tetap negara Brunei Darussalam yang berumur di antara 17 hingga 35 tahun sahaja. Di samping itu, para pemohon mestilah lulus sekurang-kurangnya tingkatan dua sekolah menengah atau sebanding. Pemohon yang lulus mata pelajaran matematik dan lukisan akan diutamakan. 11 Pemohon yang berjaya akan menjalani latihan selama tiga tahun dan diberikan elaun sebanyak B$350.00 sebulan dan pakaian seragam. Penubuhan Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan adalah satu langkah kerajaan untuk memberi latihan dan kemahiran kepada generasi muda dalam seni kraf tangan. Dengan memberi elaun bulanan kepada pelatih-pelatih merupakan galakan untuk menarik minat para belia untuk menceburi bidang ini. Salah satu bidang yang pesat berkembang ialah perusahaan tenunan. Mulai tahun 1980an perusahaan bertenun kain secara komersial telah mula bertapak. Terdapat lepasan yang terlatih dari Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei telah menubuhkan perusahaan sama ada secara bersendirian dan beroperasi di rumah mereka sendiri, tetapi ada juga pengusaha yang lebih berani dengan menyewa tempat di kawasan pusat perniagaan (central business district) (Siti Norkhalbi 2006). Satu lagi usaha pelestarian yang dibuat bagi memastikan kesinambungan warisan tradisi bertenun kain ini ialah dengan menubuhkan bengkel tenunan di kawasan perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Kampong Bolkiah A dan B yang terletak di kawasan Kampong Ayer. Penubuhan bengkel tenunan di Kampong Ayer ini merupakan langkah untuk memberi galakan kepada penduduk di kawasan ini untuk mempertingkatkan sumber ekonomi mereka, di samping menghidupkan semula aktiviti tradisi kraf tangan bagi menarik pelancong asing (Muhammad Hadi 2006). 12 Kesimpulan. Perusahaan kraf tangan tradisi memberikan sumbangan yang besar dalam sejarah pembangunan negara. Sumbangannya bukan hanya terhad pada kegemilangan tamadun budaya, tetapi juga dalam menjana pembangunan ekonomi negara. Walaupun tidak banyak catatan yang terperinci tentang pendapatan dari hasil kraf tangan kerana sifat pertukaran tradisi yang berasaskan sistem barter, namun bukti-bukti yang ada jelas menunjukkan sumbangannya kepada pendapatan pengusahanya dan negara secara umum. Melihat kepada sumbangan ini maka pihak kerajaan telah mengambil inisiatif untuk mempertahankan dan memperkembangkan kemahiran dan pengeluaran kraf tangan di negara ini. Tidak dinafikan perusahaan kraf tangan tradisi ini menghadapi kemerosotan mulai tahun 1960an disebabkan oleh beberapa faktor seperti kekurangan bahan mentah, kemahiran yang terhad dan terbukanya peluang pekerjaan baru di dalam sektor moden. Namun kerajaan telah mengambil langkah bijak untuk mempertahankannya dari mengalami kepupusan. Buktinya adalah penubuhan Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei. Pusat ini telah meletakkan hasil kraf tangan sebagai barangan yang sangat bernilai dan bermutu tinggi. Jika di zaman tradisi nilai kraf tangan dibandingkan dengan komoditi lain, contohnya nilai sebidang kain tenunan adalah sebanding dengan seekor kerbau. Kini, produk kraf tangan dinilai dengan matawang. Ini jelas menunjukkan bahawa barangan kraftangan seperti tenunan, perak dan tembaga adalah sangat berharga dan bermutu tinggi dan perusahaan kraf tangan tradisi yang boleh menjana pertumbuhan ekonomi Brunei. 13 Bibiliografi: Abdul Latif Haji Ibrahim (Haji). 1996. ‘Kampong Ayer: Warisan, Cabaran dan Masa Depan’. Simposium Antarabangsa Kampong Ayer. Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam. 6-9 September 1996. A. Rahman Haji Karim. (1976). ‘Barang-barang Perak Brunei’, Ikhtisar Budaya, ms 56-59. Dewan Bahasa dan Pustaka, Bandar Seri Begawan. Blundell, P. 1923. The City of Many Waters. London: Arrowsmith Brown, D. 1970. 'Brunei: The Structure and History of A Bornean Malay Sultanate'. Monograph of the Brunei Museums Journal 2:2. Chi S.C, Cleary M.C and Ka T.S. 1996. 'The Changing Socio-Economic Profile of Kampong Ayer and Environmental Implications' dalam Kampong Ayer: Warisan, Cabaran dan Masa Depan. Edited by Haji Abdul Latif Haji Ibrahim, ms. 117-160. Gadong: Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam. Hughes-Hallett. H.R. 1998 [1968]. ‘A Sketch of the history of Brunei’. Papers Relating to Brunei. ms 28-45. Kuala Lumpur: The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. Ishak Shaari. (1991). ‘Keadaan Ekonomi dan Struktur Masyarakat Melayu Kelantan pada Abad ke-19’. Masyarakat Melayu Abad ke-19. ms18-55. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Jiram Jamit. (2008). ‘Perkembangan Pentadbiran Kewangan Brunei Antara Tahun 1906-1931’. Janang. ms 41-56. Bandar Seri Begawan: Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam. Lamat Jaafar. (1989). ‘Pertukangan Tembaga di Brunei’, Budaya Bangsa, ms 46-57. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka. Md. Zain bin Haji Serudin (Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr Haji). 1996. Ucapan Rasmi Majlis Pembukaan Rasmi Simposium Antarabangsa Kampong Ayer. 14 Simposium Antarabangsa Kampong Ayer Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam. 6 September 1996. Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong. 2006. 'Kampong Ayer (Aying): Cabaran dan Masa Depan'. Konferensi Antaruniversiti di Borneo-Kalimantan ke 2: Transformasi Sosial Masyarakat Perkotaan/ Bandar di Borneo-Kalimantan, Pontianak, Kalimantan Barat Indonesia, 13-15 Ogos 2006. Mustafa Ahmad, (Haji). (1988). ‘Kraftangan Brunei: Masa Depannya’, Intisari Kebudayaan Brunei, ms.92-110. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka. M. Shahree P.O.K.J.L.A.I.D Hj Hussin. (1976). ‘Pertukangan Perak dan Emas di Brunei’, Ikhtisar Budaya, ms. 45-54., Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka Nicholl, R. (Peny.). 1975. European Sources for the History of the Sultanate of Brunei in the Sixteenth Century. Bandar Seri Begawan.: Muzium-Muzium Brunei. Pengiran Khairul Rijal Pg Hj Abd.Rahim. (2008). ‘Perusahaan Perikanan dan Teknologi Penangkapan Ikan Yang Digunakan di Negara Brunei Darussalam Semasa Zaman Pentadbiran Residen British (1906-1941)’. Janang. ms. 76-107. Bandar Seri Begawan: Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam. Siti Norkhalbi Haji Wahsalfelah. 2006. 'Transformasi Lokasi Pengeluar Kain Tenunan: Kesinambungan Warisan Budaya Brunei Darussalam'. Konferensi Antaruniversiti di BorneoKalimantan ke 2: Transformasi Sosial Masyarakat Perkotaan/ Bandar di BorneoKalimantan, Pontianak, Kalimantan Barat Indonesia, 13-15 Ogos 2006. Siti Norkhalbi Haji Wahsalfelah. (2007). Textiles and Identity in Brunei Darussalam. Bangkok: White Lotus Press. St.John, S.( 1962). Life in the Forests of the Far East. London: Smith, Elder and Co. Sweeney, A. (1998). 'Silsilah Raja-Raja Brunei' in Papers Relating to Brunei. m.s 46-127. Kuala Lumpur: The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. Syed Hashim bin Abdullah Al-Habsyi. 1983/1984. The Traditional Economics Activities in the 15 Kampong Ayer. B.A. Thesis, University of Singapore. Takong Amit (Haji). (1996). ‘Ekonomi Tradisional Kampong Ayer- Satu Identiti Budaya Kerja Masyarakat Melayu Brunei’, Kampong Ayer: Warisan, Cabaran dan Masa Depan. ms 194215. Bandar Seri Begawan: Akademi Pengajian Brunei. Uchino, M. 2005. ‘Socio-Cultural History of Palembang Songket’ dalam Indonesia and the Malay World. 33(96). m.s. 205-223 Wan Abdul Kadir Wan Yusoff et al. 2004. Teknologi Melayu: Konsep dan Bibliografi. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. 16