Papers by MUHAMMAD HATTA

Jurnal Pengajian Islam, 2021
Kajian ini merupakan kajian kualitatif dengan reka bentuk analisis kandungan yang bertujuan untuk... more Kajian ini merupakan kajian kualitatif dengan reka bentuk analisis kandungan yang bertujuan untuk mengetahui pandangan yang dikemukan oleh para ilmuwan klasik tatabahasa Arab tentang ciri-ciri kata kerja pola ʼinfaʽala dan menganalisis kata kerja pola ʼinfaʽala yang terdapat di dalam kamus Muʽjam ʽArabiy ʼAsāsiy berdasarkan ciri-ciri yang dinyatakan oleh ilmuwan klasik tatabahasa Arab. Kajian mendapati majoriti ilmuwan klasik tatabahasa Arab menetapkan bahawa ʼaghlab (kebanyakan) pola ʼinfaʽala menunjukkan makna muṭāwaʽah iaitu kesan bagi sesuatu perbuatan yang dilakukan oleh pelaku. Selain itu, mereka menetapkan bahawa pola ʼinfaʽala mestilah kata kerja tak transitif (fi'l lāzim). Di samping itu, mereka juga menyatakan bahawa pola ini menunjukkan kesan perbuatan kata kerja pola faʽala yang mempunyai huruf dasar yang sama dengannya. Dalam pada itu, terdapat ilmuwan yang menyatakan bahawa kebanyakan huruf fā' binaan pola ʼinfaʽala tidak terdiri daripada huruf wāw, lām, nūn dan rā' kerana huruf-huruf tersebut akan menyebabkan berlaku proses idghām (asimilasi bunyi) dengan huruf nūn dalam pola ʼinfaʽala. Sekiranya terdapat contoh kata kerja pola ʼinfaʽala yang tidak selari dengan pendapat-pendapat tersebut, mereka mengkategorikannya sebagai perkara yang shāz (ganjil) atau nadir (jarang berlaku). Namun, ia tidak disokong dengan angka yang jelas bagi menerangkan tahap ʼaghlab (majoriti), shāz (ganjil) atau nadir (jarang berlaku) bagi ciri-ciri pola tersebut. Hasil kajian menemukan sebanyak 203 kata kerja pola ʼinfaʽala di dalam kamus Muʽjam ʽArabiy ʼAsāsiy. Semua kata kerja tersebut dianalisis secara statistik sebagai cara terbaik bagi mendapatkan jumlah peratusan setiap ciri-ciri bagi pola ʼinfaʽala dan menjelaskan ciri-ciri sebenar pola tersebut.

5th International Seminar on Islamiyyat Studies (IRSYAD 2019), 2019
Ilmu Qiraat secara rasmi telah lama bertapak di Malaysia dengan penubuhan Darul Quran pada tahun ... more Ilmu Qiraat secara rasmi telah lama bertapak di Malaysia dengan penubuhan Darul Quran pada tahun 1966 untuk memenuhi hasrat Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Putera Al-Haj yang ingin mewujudkan sebuah Institut Pengajian al-Quran di Malaysia. Bertitik tolak daripada inisiatif tersebut, ilmu yang dianggap eksklusif untuk para pelajar tahfiz ini semakin pesat berkembang dengan pembinaan lebih banyak institusi tahfiz dan qiraat di serata Malaysia. Namun, pengajian qiraat di Malaysia lebih menitikberatkan persoalan berkaitan pembacaan dan kurang memberikan penekanan terhadap aspek tafsirnya. Justeru, kertas kerja ini akan mengupas berkenaan perbezaan qiraat sepuluh dan kesannya terhadap penafsiran al-Quran dengan menjadikan kata kerja kala kini sebagai sampel kajian. Metodologi yang digunakan adalah kaedah analisis kandungan secara tematik dengan mengenal pasti ayat-ayat yang mengandungi kata kerja kala kini yang disandarkan kepada kata ganti nama diri kedua dan ketiga di dalam Surah Ali Imran. Seterusnya memaparkan bagaimana perbezaan qiraat pada ayat tersebut dapat memberi kesan terhadap konteks ayat-ayat al-Quran. Kajian mendapati, dengan perubahan qiraat membawa kepada perubahan makna dan sasaran. Tambahan pula, dengan menggabungkan perbezaan tersebut dapat menghasilkan pemahaman terhadap ayat al-Quran dengan lebih menyeluruh kerana ayat al-Quran itu sendiri bersifat ditafsirkan antara satu dengan yang lain.

Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-4 (PASAK4 2019), 2019
Ilmu al-Qiraat merupakan salah satu daripada cabang Ulum Al-Quran. Ia merupakan ilmu yang membinc... more Ilmu al-Qiraat merupakan salah satu daripada cabang Ulum Al-Quran. Ia merupakan ilmu yang membincangkan berkenaan kaedah menyebut kalimah-kalimah dalam Al-Quran disamping menjelaskan perbandingan bacaan antara imam-imam qiraat. Antara topik yang disentuh dalam ilmu ini adalah Saktah. Ia telah dikupas oleh ulama terdahulu dan ulama kontemporari dalam nukilan mereka. Namun, kajian berkenaan Saktah ini masih belum mendapat perhatian yang meluas dalam kalangan para ilmuan. Oleh itu, kajian ini bertujuan (1) Mengkaji tema pengkaji lepas berkaitan Saktah. (2) Mengenalpasti isu yang boleh dijadikan kajian baru pada masa akan datang. Kajian ini merupakan kajian kualitatif dengan reka bentuk tinjauan literatur. Pemerolehan data dilakukan secara kandungan yang terdiri daripada tesis, disertasi, buku, jurnal, kertas kerja, seminar prosiding dan laman sesawang. Data-data ini pula dianalisis secara tematik. Antara elemen yang dikaji berkenaan Saktah ialah definisi Saktah, syarat-syarat Saktah, jenis-jenis dan tempat Saktah berdasarkan imam-imam qiraat dan analisis daripada sudut bahasa arab serta tafsirannya.

Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-5 (PASAK5 2020), 2020
Qirāʼāt al-Quran merupakan salah satu cabang 'ulūm al-Quran. Ia merupakan ilmu yang membincangkan... more Qirāʼāt al-Quran merupakan salah satu cabang 'ulūm al-Quran. Ia merupakan ilmu yang membincangkan kaedah menyebut kalimah-kalimah di dalam al-Quran. Ia juga menjelaskan perbandingan bacaan antara imam-imam qirāʼāt. Ia telah dibincangkan dalam kalangan ilmuwan terdahulu hingga kini. Namun, kebanyakan kajian qirāʼāt al-Quran di Malaysia adalah bersifat monodisiplin sedangkan disiplin ilmu ini memerlukan penelitian dan penerapan daripada disiplin ilmu lain dalam mengupas sesebuah permasalahan. Antara disiplin ilmu yang mempunyai hubung kait yang kuat dengan ilmu qirāʼāt al-Quran adalah ilmu linguistik. Asimilasi kedua-dua bidang ilmu ini akan memberikan kefahaman yang lebih jelas berkaitan sebab berlaku perbezaan bagi sesuatu bacaan dalam kalangan imam-imam qirāʼāt. Oleh itu, Kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti hubung kait ilmu qirāʼāt al-Quran dengan ilmu linguistik. Kajian ini juga bertujuan untuk mengenal pasti kajian-kajian lepas berkaitan penerapan ilmu linguistik terhadap qirāʼāt al-Quran yang telah dijalankan di Malaysia. Kajian ini merupakan kajian kualitatif dengan reka bentuk analisis kandungan untuk mendapatkan data kajian. Analisis linguistik yang dilakukan terhadap ayat-ayat yang dibaca dengan cara berbeza oleh para imam untuk menjelaskan bentuk penerapan linguistik terhadap qirāʼāt al-Quran. Kajian mendapati bahawa ilmu linguistik mempunyai hubung kait yang kuat dengan ilmu qirāʼāt al-Quran dan berfungsi sebagai satu alat untuk memahami sebab dan kesan perbezaan bacaan para imam qirāʼāt. Hasil kajian juga menunjukkan kajian penerapan bidang linguistik terhadap qirāʼāt al-Quran di Malaysia masih kurang. Oleh itu, pengkaji mencadangkan agar kajian penerapan linguistik terhadap qirāʼāt al-Quran dapat dilakukan dengan lebih meluas dalam kalangan ilmuwan dan sarjana di Malaysia kerana ia dapat membantu para ilmuwan dan sarjana dalam memahami sebab dan kesan perbezaan bacaan para imam qirā'at al-Quran dengan lebih baik.
Conference Presentations by MUHAMMAD HATTA

Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-7 (PASAK 7 2022), 2022
Morfologi adalah salah satu cabang ilmu linguistik am dan merupakan antara disiplin ilmu utama ya... more Morfologi adalah salah satu cabang ilmu linguistik am dan merupakan antara disiplin ilmu utama yang terlibat dalam proses menganalisis bahasa. Proses tersebut menyebabkan semua bahasa di dunia tidak dapat lari daripada terkait secara terus dengan perbincangan ilmu morfologi termasuklah bahasa Arab. Meskipun kajian bidang morfologi bahasa Arab telah banyak dilakukan oleh penyelidik, namun ia lebih tertumpu kepada aplikasi ilmu morfologi bahasa Arab dan kurang menitikberatkan latar belakang dan sejarah perkembangannya. Kajian ini bertujuan untuk memahami sejarah perkembangan ilmu morfologi dunia Arab di samping mengenal pasti batasan ilmu ini. Kajian ini juga bertujuan untuk mengemukakan karya-karya penting morfologi bahasa Arab yang boleh dijadikan sumber rujukan para pengkaji. Kajian ini merupakan kajian kualitatif dengan menggunakan kaedah kepustakaan bagi mengumpulkan data sebelum ia dianalisis menggunakan kaedah analisis kandungan mengikut tema-tema tertentu. Dapatan kajian merumuskan bahawa ilmu morfologi dan sintaksis bahasa Arab telah dibahas dan dikaji sebagai satu disiplin ilmu yang dikenali sebagai tatabahasa Arab. Namun, ilmu morfologi bahasa Arab kurang diberi penekanan oleh para ilmuwan dunia Arab pada peringkat awal perkembangan ilmu tatabahasa Arab. Kajian turut mengenal pasti pelbagai pendapat dalam kalangan ilmuwan Arab dalam menentukan ruang lingkup ilmu morfologi bahasa Arab. Pendapat-pendapat tersebut dikelaskan berdasarkan ciri-ciri persamaan dan perbezaan. Di samping itu, kajian mendapati lebih daripada 30 hasil penulisan para ilmuwan Arab yang membincangkan tentang ilmu morfologi bahasa Arab secara umum mahupun khusus. Karya-karya tersebut terhasil pada pelbagai latar masa bermula sejak lebih seribu tahun lalu hingga kini sekali gus menjadi garis masa sebagai panduan bagi perkembangan bidang morfologi bahasa Arab.
Uploads
Papers by MUHAMMAD HATTA
Conference Presentations by MUHAMMAD HATTA