Hubungan Etnik
Hubungan Etnik
Hubungan Etnik
0 PENGENALAN
Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keunikan yang tersendiri berbanding
negara-negara lain iaitu rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik yang disebut
sebagai masyarakat majmuk. Furnivall (Ahmad Ali B. Seman, 2015) menjelaskan sifat-sifat utama
masyarakat majmuk iaitu campuran pelbagai jenis manusia. Setiap kelompok mempunyai agama
yang tersendiri, budaya dan bahasa berbeza.
Menurut Kamus Dewan (2005), pluralistik itu membawa maksud bersifat majmuk, dan
berasaskan pluralism. Wujudnya kepelbagaian bangsa, agama dan budaya di suatu tempat pada
satu masa secara dirancang atau dipaksakan oleh pihak–pihak tertentu yang berkepentingan.
Malaysia juga tidak lari daripada kesan pluralistik ini. Kewujudan masyarakat pluralistik yang
berlaku sejak zaman dahulu telah mengubah corak pentadbiran, ekonomi, sosioekonomi, politik
dan kepelbagaian agama. Perpaduan merupakan nadi utama kepada keharmonian dan
keamanan sesebuah negara terutamanya Malaysia yang mempunyai kepelbagaian kaum.
Perpaduan dan kedamaian sesebuah negara tidak akan terjamin sekiranya Malaysia tidak
mampu mengekalkan keharmonian antara pelbagai kaum dan etnik di negara ini dengan baik.
Sistem ekonomi di Malaysia adalah berasaskan kepada laizzez faire atau ekonomi pasaran
bebas yang diwarisi daripada British yang mana kuasa kerajaan terbatas bagi menjaga pelabur-
pelabur asing. Tindakan ini telah memberi kesan dan bermulanya pengenalan Dual Economy.
Menurut Ness (Ahmad Ali B. Seman, 2015), Dual economy yang diperkenalkan oleh pihak British
semasa penjajahan telah menyebabkan jurang ekonomi. Kaum bukan bumiputera dibiarkan maju
dalam ekonomi moden, iaitu perniagaan, pembuatan, pengeluaran getah dan perlombongan bijih
timah yang memberi pendapatan yang tinggi, manakala bumiputera dibiarkan bergiat terus dalam
ekonomi pertanian tradisional.
Berdasarkan kesan yang ditinggalkan oleh Dual Economy ini, kerajaan telah mengambil
inisiatif dalam menangani masalah jurang ekonomi antara bumiputera dan bukan bumiputera
dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Ia bertujuan bagi membasmi kemiskinan
dan untuk menyusun semula masyarakat. DEB mempunyai dua matlamat yang utama iaitu
pengambilan pekerja di pelbagai sektor ekonomi dan di semua peringkat pekerjaan serta hakmilik
1
harta produktif yang terdapat di dalam negara ini disusun semula supaya pada tahun1990 orang
Melayu akan dapat memiliki sekurang-kurangnya 30% daripada jumlah hakmilik tersebut (Yani
Yahaya dan Mary Tan Swee Ee, 2004). Proses perkembangan ekonomi ini dirangka bagi
memastikan semua kaum dapat menyertai pelbagai bidang ekonomi dan tidak terhad mengikut
etnik dan kaum sahaja. Ini menunjukkan bahawa kerajaan menggunakan DEB sebagai satu
medium untuk menyatupadukan rakyat dan sebagai penyusunan semula masyarakat. DEB telah
menyediakan peluang pekerjaan yang luas dan pendapatan rakyat dapat diseimbangkan antara
kaum. Secara tidak langsung jurang ekonomi dapat dihapuskan dan pemupukan perpaduan
dapat dilaksana dan dikekalkan.
Menurut Wong Khek Seng et. Al (2002), Malaysia adalah sebuah kerajaan yang
mengamalkan demokrasi berparlimen seperti yang disyorkan oleh British semasa memberi
kemerdekaan. Rakyat akan memilih pemimpin negara melalui proses pilihan raya yang diadakan
lima tahun sekali dimana parti politik yang memenangi majoriti kerusi dalam pilihan raya akan
menjadi pemimpin negara. Ianya merupakan satu cara klasik dimana negara mewujudkan
perpaduan dalam politik dengan konsep memilih pemimpin negara melalui persetujuan rakyat.
Dengan cara ini, perpaduan dapat dikekalkan memandangkan negara mengamalkan sikap
toleransi dan memberi pilihan kepada rakyat untuk memilih pemimpin negara. Penggabungan
parti politik pelbagai kaum di Malaysia secara tidak langsung telah menimbulkan semangat
perpaduan walaupun terdiri daripada pelbagai kaum serta menggalakkan kerjasama, interaksi
dan tolak ansur sesama ahli.
Kepelbagaian agama seperti Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya yang ada di
Malaysia turut menjadi satu medium untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan. Rakyat
Malaysia akan bertolak ansur kepada setiap penganut untuk menjalankan ritual atau perayaan
mereka tanpa ada timbul rasa tidak suka, benci mahupun tidak selesa. Semua perayaan dirai
dan setiap ritual agama dihormati. Seperti mana penganut lain menghormati umat Islam berpuasa
dan berhari raya, maka seperti itu juga mereka menghormati penganut lain menyambut perayaan
dan menjalankan ritual keagamaan mereka. Kepelbagaian agama yang wujud di Malaysia secara
tidak langsung akan memupuk sifat hormat menghormati dan bertolak ansur dalam kalangan
masyarakat di Malaysia dari awal. Ianya menjadikan Malaysia unik dengan keharmonian yang
wujud antara satu sama lain.
2
3.0 HUBUNGAN PLURALISTIK DI ALAM MELAYU, SARAWAK DAN SABAH,
KESULTANAN MELAYU MELAKA DAN PENJAJAHAN BRITISH SERTA
PEMBENTUKAN MALAYSIA
Asia Tenggara merupakan tempat pertembungan pelbagai tamadun dan budaya dunia yang
tersebar mengikut peredaran zaman. Pertembungan tamadun dan budaya ini berlaku disebabkan
oleh tiga dorongan iaitu faktor ketuhanan, kekayaan dan kemenangan. Faktor ketuhanan boleh
dilihat melalui penyebaran agama Hindu, Buddha dan Islam ke Asia Tenggara manakala faktor
kekayaan didorong oleh perdagangan dan kemenangan berlaku disebabkan oleh faktor
perluasan kuasa dan penjajahan. Ketiga – tiga faktor ini turut berlaku di Tanah Melayu dan
merupakan faktor yng membawa kepada masyarakat majmuk yang ada di Malaysia pada masa
kini.
Pluralitik yang berlaku di Alam Melayu boleh dilihat dari segi sosial, hubungan diplomatik,
keagamaan dan ilmu pemikiran. Masyarakat Alam Melayu awalnya menetap di kepulauan Melayu
yang dikenali sebagai Nusantara dan berpindah–randah dari satu pulau ke pulau lain ketika itu
dengan tujuan untuk berkahwin, berniaga, berperang dan sebagainya. Perpindahan masyarakat
di Alam Melayu ketika itu telah mewujudkan akomodasi dalam kehidupan bermasyarakat dimana
masyarakat belajar untuk menerima kedatangan masyarakat dari kepulauan lain tinggal bersama
tanpa ada jurang pemisah.
3
Dari segi hubungan diplomatik, Alam Melayu pada ketika itu telah mempunyai hubungan
antara peradaban China serta India. Hal ini dapat dilihat melalui tinggalan seni bina seperti candi
yang dibina bagi menunjukkan kuasa raja sebagai ketua sesuatu wilayah tersebut. Selain itu, ia
juga dapat dilihat melalui pengaruh agama dalam aspek kehidupan rakyat dan kepelbagaian
masyarakat yang wujud di Alam Melayu. Hubungan diplomatik ini mencapai zaman kemuncaknya
ketika pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. Seperti diketahui umum, China ketika itu
mempunyai hubungan yang cukup akrab dengan Alam Melayu sehingga wujudnya perkahwinan
antara kerabat China dan Kerabat Diraja Melaka.
Dari konteks keagamaan pula Alam Melayu pada awalnya pesat dengan penyebaran
agama Hindu dan Buddha ketika Nusantara di bawah pemerintahan Kerajaan Srivijaya. Konsep
Hinduisme boleh dilihat dengan jelas melalui pengaruhnya dari aspek sosial dan kebudayaan
seperti adat, antaranya amalan bersanding, berinai dan lain-lain. Kebanyakkan amalan dan ritual
telah disesuaikan dengan peredaran zaman dan agama yang dianuti kini seperti Islam di
Malaysia. Aspek Ilmu dan pemikiran pada era ini masih berpegang kuat kepada metafizik seperti
alam ghaib dan animisme. Berlainan dengan masa kini yang banyak berpegang kepada logik
akal dan sains.
Pluralistik juga dapat dilihat melalui aspek perdagangan yang berlaku ketika zaman
Kesultanan Melayu Melaka dimana sistem pemerintahan terbuka dan pentadbiran pelabuhan
yang diamalkan adalah sangat cekap. Tahap keselamatan yang tinggi di Melaka menjadi faktor
bagi pedagang-pedagang untuk menetap dan tinggal di Melaka. Secara tidak langsung Melaka
menjadi pertembungan budaya dari pelbagai tamadun seperti China, Arab, India dan sebagainya
yang membawa kepada kewujudan masyarakat pluralistik. Proses penghijrahan pedagang
daripada pelbagai bangsa ini berlaku secara semulajadi tanpa paksaan. Interaksi yang berlaku
ini menyebabkan wujudnya lingua franca di Tanah Melayu yang menjadi bahasa pengantar ketika
itu.
Keterbukaan pemerintahan empayar Melayu Melaka pada ketika itu telah membawa
kepada pertembungan pelbagai budaya yang wujud di Tanah Melayu sehingga kini. Kewujudan
plurality ini telah membawa kepada penerimaan pelbagai budaya seperti budaya berinai,
bersanding, dan sebagainya. Hal ini menunjukkan proses asimilasi dari budaya India yang
diamalkan oleh masyarakat Nusantara. Asimilasi budaya Hindu dapat dilihat dengan jelas melalui
penggunaan nama dewa-dewa Hindu seperti Sri Rama, Sithma Dewi dan Ramayana dalam seni
wayang kulit. Namun dari segi keagamaan pula, pengaruh Hindu-Buddha tidak begitu
mendominasi masyarakat Alam Melayu berbanding dengan pengaruh ajaran Islam. Buktinya,
4
tiada kitab atau rujukan yang membincangkan aspek-aspek falsafah, metafizik dan sistem sosial.
Pengaruh Hindu-Buddha hanya dapat dilihat melalui aspek kesusasteraan, senibina, dan
pemerintahan. Kepelbagaian budaya juga telah mewujudkan masyarakat baru di Tanah Melayu
seperti masyarakat Melayu-Arab, masyarakat Peranakan Cina (Baba dan Nyonya), masyarakat
India Muslim, masyarakat Peranakan Jawi serta masyarakat Serani.
5
4.0 KONSEP PERLEMBAGAAN SEBAGAI ASAS PEMBINAAN JATI DIRI DAN NEGARA
BANGSA.
Perlembagaan merupakan satu lambang kemerdekaan dan kedaulatan sesebuah negara selain
menjadi satu dokumen penting bagi memastikan negara itu diiktiraf sebagai negara yang
merdeka dan berdaulat. Perlembagaan bukan sahaja bertindak sebagai undang-undang utama
tetapi ianya juga bertindak sebagai dokumen cara hidup bernegara memandangkan kandungan
didalamnya menerangkan undang-undang dan hak setiap warganegaranya. Hal ini menjadikan
perlembagaan negara sebagai satu konsep pembinaan jati diri dan negara bangsa jika difahami
dan diteliti isi kandungan perlembagaan tersebut. Perlembagaan juga merupakan satu kontrak
sosial antara masyarakat pluralistik di Malaysia tentang kesepakatan yang telah dirunding.
Kontrak sosial pasca merdeka ini berlaku merujuk kepada syarat British untuk memberikan
kemerdekaan kepada Tanah Melayu sekiranya kaum Melayu, India dan Cina mencapai
persetujuan untuk menjadi rakyat bersama mengikut syarat-syarat yang dikemukakan dan setiap
etnik mempunyai wakil dalam bentuk parti politik serta mencapai kata sepakat untuk hidup aman
dan damai.
6
Di dalam Perlembagaan Malaysia turut menyebut bahawa agama Islam sebagai agama
rasmi dalam Perkara 3 Fasal 1. Perkara 11 Fasal 4 pula menerangkan dengan lebih lanjut
tentang tugas kerajaan untuk menguruskan perkara berkaitan agama Islam di Malaysia
termasuklah peruntukan bagi menyelenggara atau menubuhkan institusi agama. Namun begitu,
agama lain turut dibenarkan untuk terus diamalkan di Malaysia seperti dalam Perkara 3
berkenaan hak penganut agama lain serta kebenaran mereka menguruskan hal-hal berkaitan
agama mereka mengikut undang-undang yang ada. Perkara 3 dalam perlembagaan
menunjukkan bahawa perlembagaan Malaysia turut mengambil kira faktor agama dalam
membantu untuk mengekalkan keharmonian negara dan memastikan kestabilan negara agar
perselisihan faham berkaitan agama dapat dielakkan.
Integrasi nasional merupakan satu proses penyatuan masyarakat yang berasal dari pelbagai
latarbelakang, budaya dan cara hidup yan berbeza bagi membentuk satu identiti yang menepati
norma masyarakat setempat demi kebaikan bersama. Ianya merujuk kepada persefahaman
antara kaum yang terjalin dan dapat mengukuhkan perpaduan negara supaya negara dapat
mengekalkan perpaduan pelbagai kaum untuk jangka masa berpanjangan. Prof. Madya Dr.
Zainal Abidin Ahmad Mazlan Zulkifly (2006) ada menyebut bahawa tanpa perpaduan, negara itu
akan terdedah kepada pelbagai kelemahan dan ancaman yang boleh menjejaskan kedaulatan
negara itu sendiri. Integrasi nasional merupakan satu medium penting bagi memastikan
persefahaman antara kaum dapat dipupuk dan mengelakkan kedaulatan negara terjejas.
7
Bagu mewujudkan integrasi nasional yang berjaya, terdapat pelbagai halangan yang perlu
diatasi dan diantaranya ialah sifat perkauman yang wujud di dalam kalangan sesetengah
masyarakat yang menjadikan usaha mewujudkan integrasi sukar untuk direalisasikan. Sifat-sifat
perkauman masih boleh dilihat dan dirasai di Malaysia dan membuktikan bahawa persefahaman
antara kaum masih tidak tercapai secara sepenuhnya antara rakyat Malaysia. Sifat perkauman
ini kadangkala dipengaruhi oleh agama dan kepercayaan masing-masing. Contohnya, penganut
agama Hindu tidak memakan daging lembu kerana dianggap suci tetapi penganut agama lain
daging lembu merupakan salah satu makanan seharian.. Hal ini boleh membawa kepada
perbezaan pendapat yang mungkin membawa kepada perbalahan kaum. Bagi mengelakkan hal
ini menjadi satu masalah, kerajaan telah melaksanakan akta keselamatan dalam negeri dimana
sesiapa yang disyaki boleh ditahan selama dua tahun tanpa dibicarakan.
Selain itu, perbezaan seni kebudayaan turut menjadi punca kegagalan integrasi nasional.
Hal ini berlaku disebabkan kurangnya pendedahan terhadap budaya, adat dan corak hidup
sesuatu kaum yang ada di Malaysia. Bagi mengatasi masalah ini, Dasar Kebudayaan
Kebangsaan diwujudkan dimana pembentukan identiti nasional dipupuk berdasarkan kebudaan
Melayu dengan menerima unsur-unsur kebudayaan lain di Malaysia. Melalui perkongsian budaya
ini, setiap kaum berpeluang untuk memahami adat resam dan kepercayaan kaum yang ada di
Malaysia dan membantu masyarakat majmuk di Malaysia. Antara contoh perkongsian budaya
yang telah diamalkan termasuklah rumah terbuka yang diadakan oleh setiap kaum setiap kali
perayaan mereka berlangsung. Kaum Melayu akan menjalankan rumah terbuka pada Hari Raya,
Kaum Cina ketika Perayaan Tahun Baru Cina dan Kaum India ketika Deepavali. Melalui
pengamalan budaya ini ia akan menjadi contoh dan ikutan rakyat Malaysia untuk mengadakan
rumah terbuka yang dihadiri oleh tetamu daripada pelbagai kaum. Perayaan-perayaan daripada
etnik lain turut didedahkan kepada masyarakat Malaysia melalui media massa seperti siaran di
televisyen dan media cetak. Pendedahan ini memainkan peranan penting bagi masyarakat
Malaysia untuk memahami dan menerima budaya lain terutamanya budaya yang tidak disambut
di Kawasan tersebut seperti Hari Gawai di Sarawak oleh Etnik Dusun dan Pesta Kaamatan oleh
Etnik Kadazan – Dusun di Sabah.
8
Perbezaan status ekonomi mengikut kaum yang wujud sejak zaman Penjajahan British
telah menimbulkan perasaan iri hati dan cemburu terhadap kaum lain. Perbezaan ini wujud
disebabkan oleh penjajahan oleh British pada kurun ke 19 yang membawa kepada perubahan
ekonomi di Tanah Melayu melalui kemasukan imigran dari Cina dan India dalam sektor
perlombongan dan perladangan. Dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh pihak British ini
telah mewujudkan jurang ekonomi dalam kalangan masyarakat di Tanah Melayu. Kesan
kewujudan jurang ekonomi ini juga telah menyebabkan peristiwa berdarah 13 Mei antara kaum
Melayu dan kaum Cina dan mengorbankan lebih 300 orang pada ketika itu. Perkara ini bagaikan
bom jangka dan dibimbangi akan berulang lagi sekiranya tidak ditangani dengan betul. Justeru
itu, adalah penting untuk memastikan integrasi antara kaum berjaya dilaksanakan bagi
mengelakkan perkara seperti peristiwa 13 Mei berulang kembali.
Selain itu sebagai langkah untuk mengekalkan hubungan etnik yang baik di kalangan
generasi musa, kerajaan telah melaksanakan satu program iaitu Program Latihan Khidmat
Negara (PLKN) yang bermula pada tahun 2004. Matlamat utama program PLKN ini dilaksankan
bagi meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, memupuk
keharmonian kaum dan integrasi kebangsaan, membentuk perwatakan positif melalui nilai moral,
menanam semangat kesukarelaan selain membentuk golongan muda yang aktif dari aspek
fizikal, mental dan keyakinan diri. Program ini perlu diikuti oleh semua warganegara Malaysia
yang berusia 18 tahun atau setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tangan mengira jantina
atau kaum. Melalui program ini, ianya dapat memberikan pendedahan kepada generasi muda
yang berbilang kaum akan kepentingan jati diri dan perpaduan dalam negara yang heterogenous
demi menjamin keamanan dan keharmonian negara kekal terpelihara.
Kesimpulannya, masyarakat plural di Malaysia adalah hasil interaksi sejak lama dahulu
yang berlaku seawal abad ke-15 lagi. Ia bertambah hebat apabila galakan British kepada
penghijrahan masuk etnik Cina dan India ke Tanah Melayu. Walaupun ketiga kaum ini hidup
berasingan namun persefahaman dan keharmonian kaum ini sangat rapat sehingga Malaysia
mampu mencapai kemerdekaan. Keunikan ini seharusnya dikekalkan oleh generasi muda agar
negara yang tercinta tidak rosak dengan idea-idea luar yang boleh menjejaskan hubungan antara
kaum. Oleh itu, semua warga Malaysia perlu memainkan peranan masing-masing untuk
mengekalkan perpaduan hubungan antara kaum di Malaysia.
9
5.0 RUJUKAN
Abdul Aziz Bari. (2002). “Hak Asasi Dalam Perlembagaan Ruang Lingkup dan Masalahnya”,
Jurnal Syariah 10, (2002), 54.
Adnan Kamis. (1993). KBSM dan Pembentukan Intergrasi Nasional. Dlm. Adnan Kamis (pnyt.),
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah: Pandangan dan Maklum Balas, hlm. 268-
270.
Ahmad Ali Bin Seman. (2009). Pendekatan Kepelbagaian Budaya dan Sejarah Etnik ke Arah
Pemupukan Intergrasi Nasional. Dlm. Isjonidan Abdul Razaq Ahmad (pnyt.),
Tranformasi Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah, hlm 97-112, Pekan Baharu:
Cendekia Insani dan FKIP, Unri.
Ahmad Ali Bin Seman & Warti bt Kimi. (2015). Siri Teks Wajib IPG : Hubungan Etnik. Kuala
Lumpur. Pelangi Professional Publishing Sdn. Bhd.
Awang Had Salleh. (1980). Pendidikan Kearah Perpaduan. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti
Sdn. Bhd.
Harris Md Jadi. (2001). Etnik, Politik dan Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mansor Mohd Noor. (2005). Integrasi Etnik di IPTA. Pulau Pinang: Institut Penyelidikan
Pendidikan Tinggi Negara.
Mansor Mohd Noor. (2006). Hubungan Etnik di Malaysia. Kuala Lumpur: Pearson Prentice Hall.
Mohd Salleh Abas. (1985). Unsur-unsur Tradisi dalam Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shamsul Amri Baharuddin. (2007). Modul Hubungan Etnik. Kuala Lumpur: Maskh Sdn. Bhd.
Zainal Abidin Abdul Wahid. (1971). Konsep Negara Bangsa. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.
10