Academia.eduAcademia.edu

PEMIKIRAN P. RAMLEE - WAWANCARA WIRAMANJA

WAWANCARA WIRAMANJA MENGENAI PROJEK TRANSKRIPSI FILEM P. RAMLEE Wawancara ini disiarkan UTUSAN MALAYSIA, 29 Mei 2012 ---------------------------------------------------------------------------- MUKADIMAH S empena memperingati 39 tahun pemergian Allahyarham Seniman Agung, Tan Seri Dr. P. Ramlee yang meninggal dunia pada 29 Mei 1973, Utusan Malaysia mengambil insiatif mewawancara Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM, Kampus Puncak Alam, Selangor. Ab dul Rahman Ahmad Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Wiramanja yang menerima pengiktirafan dan anugerah daripada The Malaysia Book of Records kerana tugas luar biasa melakukan penyelidikan dan transkripsi kepada 40 buah filem P. Ramlee itu. Projek itu adalah menerusi Dana Penyelidikan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS). Usaha ini bukan sekadar bernostalgia, sebaliknya memperkayakan khazanah seni negara apatah lagi skrip asal filem-filem P. Ramlee sudah lenyap ditelan sejarah Studio Jalan Ampas, Singapura sekitara 1940-an hingga 1960-an dulu. Wawancara yang disirakan ini juga bersesuaian sebagai inspirasi pada Majlis Perhimpunan Seniman Malaysia sempena Hari Seniman Malaysia 2012 di Astaka Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur bermula pukul 8.00 malam ini. Berikut adalah wawancara oleh wartawan Utusan Malaysia NAZERI NONG SAMAH untuk menyelami pemikiran Wiramanja mengenai keluhuran budi dan falsafah hidup P. Ramlee yang banyak tersembunyi. UTUSAN MALAYSIA: Setelah lima tahun iaitu dari Oktober 2006 hingga November 2011 melakukan transkripsi kepada 40 filem hasil karya, arahan dan lakonan P. Ramlee, apakah yang dapat dimanfaatkan daripada kerja-kerja tersebut? WIRAMANJA: Apapun saya amat berterima kasih kerana usaha ini tidak menjadi kenyataan tanpa bantuan dan sokongan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menangani usaha besar ini menerusi Dana Penyelidkan FINAS bagi projek berat melakukan transkripsi kepada 40 filem P. Ramlee itu. Sukar untuk diucapkan dengan kata-kata, namun kerja tersebut bukan kerja sia-sia, tetapi untuk mereka ya ng benar-benar memerlukan dalam semua aspek kajian dan pembelajaran. Paparan dalam sesebuah filem bukan sekadar untuk ditontoni tetapi dihayati dan dipelajari kemanusabahan mesej dan pengajarannya untuk ditauladani. Justeru, untuk menelaah subjek matter sesebuah filem memerlukan teks iaitu skripnya. Seseorang gagal menelaah sebuah karya tanpa pembacaan dan penelitian teks. Skrip yang dihasilkan daripada transkripsi filem tersebut dapat digunakan untuk penyelidikan, pembacaan, penelitian, penghayatan dan lain-lain. Justeru, kemanfaatannya terlalu luas. UTUSAN MALAYSIA: Kita melihat karya Allahyarham P. Ramlee memaparkan kisah masyarakat sezaman dengannya. Apakah komen saudara mengenainya? WIRAMANJA: P.Ramlee memapar kisah masyarakat sebagai satu pemikiran di luar minda berfikir mereka. Menjadikan kisah bujang lapok sebagai memperlihatkan kehidupan remaja zaman itu yang kuat dan erat dalam persahabatan. Mereka boleh hidup dalam satu bilik berkongsi dan berjalan bersama sehingga menghadapi masalah rakan-rakan jugak bersama. Kehidupan sebegitu sememangnya sudah tidak berlaku lagi di zaman ini. Begitu juga paparan kehidupan masyarakat Malaysia di tahun limapuluhan, hidup berkongsi dan menyewa satu bumbung yang dipaparkan dalam filem Seniman Bujang Lapok dan Bujang Lapok. Ini memperlihatkan zaman selepas negara mengecapi kemerdekaan menghadapi segala kesulitan, dari bekalan air, letrik dan kemudahan asas yang lain. Jadi, dalam filem tersebut sebagai satu dokumentasi zaman itu. UTUSAN MALAYSIA: Allahyarham Tan Sri P. Ramlee memartabatkan golongan ibu tunggal dalam filem “Bujang Lapok” Apakah komen saudara? WIRAMANJA: Junjungan besar kita Nabi Muhamad SAW memartabatkan janda, itu sebab baginda mengahwini Siti Khadijah, supaya umatnya jangan memperlecehkan golongan itu. Jika kita hina janda, seolah-olah kita menghina Nabi kita. Justeru, Allahyarham P. Ramlee menjadikan janda iaitu Normah menjadi wirawati dalam filem Bujang Lapok sebagai mewakili seorang wanita yang telus ikhlas dan berhati mulia. Kemuliaan Janda muda itu menolong menyelesaikan kemelut di antara keluarga Sudin dan keluarga Zaiton memperlihatkan peranan janda sangat besar. Dalam filem Bujang Lapok, P. Ramlee berkahwin janda dan diluar filem juga kesemua isterinya adalah janda. Inilah sikap P. Ramlee yang bukan hipokrit dan Allahyarham mengikut sunnah Rasullullah SAW. UTUSAN MALAYSIA: Filem Allahyarham P. Ramlee berjaya bukan kerana penglibatannya secara individu tetapi secara teamwork. WIRAMANJA: Saya sangat bersetuju. Bangunnya filem p. ramlee bukanlah dia seorang yang melakukannya, tetapi banyak. Contoh di belakang tabir yang menjadi jurucamera, juruteknik, dan lain-lain selain daripada orang Melayu adalah daripada pelbagai bangsa. Kita tidak menafikan kepakaran orang Cina dan India seperti; H. R. Narayana, Kam Shin Boon, Chow Cheng Kok, Lee Leong Hing, Mok Chek Pok, C. Ramachandran (sekadar menyebut beberapa nama). Ini bukti kesepaduan dan keperpaduannya masyarakat di zaman itu boleh berkerjasama menjayakan sebuah filem mencorakkan kisah masyarakat Malaysia yang dibumbungi pelakon Melayu. Barangkali kita terlepas pandang atau tidak mengetahui bahawa cerita asal Filem Bujang Lapok juga adalah daripada B.H. Chua iaitu berbangsa Cina, Filem Panggilan Pulau, cerita asal oleh S. Ramanathan dan lain-lain. P. Ramlee juga dididik oleh pengarah bukan Melayu seperti B.S. Rajhan, B.N. Rao, R. Krishnan. S. Ramanathan dan lain-lain. UTUSAN MALAYSIA: Jadi, sumbangan bangsa-bangsa lain dalam pembikinan filem P. Ramlee tidak boleh dipandang ringan? WIRAMANJA: Semua sumbangan masyarakat Malaysia yang tinggal sebumbung di negara ini terlibat secara langsung dan tidak langsung. Cumanya, barangkali P. Ramlee ada kaedah tertentu memimpin masyarakat dalam karya filemnya. Dia juga dianggap pemimpin negara, walaupun tidak dapat menjadi Perdana Menteri, dan sudah ke arah itu sebenarnya. Pernah diceritakan oleh Datuk Aziz Sattar, bahawa P. Ramlee ada menyimpan cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri dalam guruannya, tetapi hakikatnya itulah, filem arahan dan karyanya. Setiapkali tayangan filemnya berulangkali, sudah tentu semua bangsa seluruh negara berada di depan tv, sama di kedai kopi, warung, dan lain-lain. Semua bangsa tahu siapakah P. Ramlee, waimah kanak-kanak bukan Melayu sekalipun mengenainya. Itulah kerja filem P. Ramlee. UTUSAN MALAYSIA: Kenapa masyarakat terlalu mengagongkan P. Ramlee secara berlebihan? WIRAMANJA: Bukan kita mengagongkan membuta-tuli, tetapi ada fakta dan logik akal. Negara kita masih belum ada P. Ramlee kedua, ketiga dan seterusnya, tetapi yang ada hanya tempelan sahaja, meniru cara dia menyanyi, bercakap sahaja, tetapi bukan menambah dan memperbanyakkan khazanah filem Melayu yang seiras, kalaupun tidak setanding dengannya. Memang sekarang tidak ada Ramlee yang lain. Yang tak sedapnya, cerita yang sedia ada diolah semula dan dicacamarbarkan dan seolah-olah kita sudah kehabisan idea untuk mencipta filem komedi sebagaimana P. Ramlee lakukan. Ini sebagai komen ikhlas, Maaf. Barangkali peminat filem P. Ramlee sependapat dengan saya. Kalau boleh sila tonton Teater Muzikal RAM karya Prof. Dr. Hatta Azad Khan yang sinis sindirannya kepada peniru P. Ramlee. Selain itu, tidak keterlaluan kita mengangkat atau mengagungkan P. Ramlee, kerana Allahyarham juga boleh duduk sebaris dengan pengarah filem luar negara seperti; Charlie Chaplin, Sergei Eisenstein, Stanley Kubrick, John Ford, D.W. Griffith, Steven Spielberg, Martin Scorsese, Federico Fellini, Ingmar Bergman, Francis Ford Doppola, Akira Kurosawa dan nama-nama besar yang lain dengan genre filem yang berbeza. UTUSAN MALAYSIA: Untuk menambah dan memperbanyakkan karya-karya sebagaimana Allahyarham Tan Sri P. Ramlee lakukan apakah saranan saudara? WIRAMANJA: Memang ada filem komedi tumbuh dan lahir di negara ini yang kita tidak boleh pandang rendah. Sumbangan mereka besar juga, seperti Prof. Dr. Hatta Azad Khan, Prof. Razak Mohidden, Mamat Khalid, Adlin Shuaki, Aziz M. Osman dan lain-lain. Mereka ini lahir dalam kelompok masyarakat terdedah dengan ilmu dan genre filem di zaman filem sebagai satu industri. Pemikiran pertama adalah filem mesti menguntungkan. kalau tidak tak usah buat filem. Ada yang berjaya seperti Datuk Yusuf Haslam, David Teo dan lain-lain. Namun, semua masyarakat perlu menyokong menjadi penonton filem Malaysia tetapi bukan pengkritik yang tidak pernah masuk panggung wayang langsung. Jika selalu sangat mengkritik, mereka yang dengar tidak mahu menonton, apa salahnya memberi rangsangan positif supaya ramai pergi menonton. Zaman Allahyarham P. Ramlee, industrinya kecil tetapi penontonnya besar, ramai. Jadi kekuatan boxofficenya terserlah kerana audiens tiada pilihan, itu kebarangkalian. Dan kita seharusnya menyedari dan membuat pengukuran filem kita dengan kemampuan kita dengan jumlah penduduk Malaysia. Cuba kita membandingkan negara yang baru membangun dalam bidang ini, tetapi bukan negara yang telah maju sebagai dacing pengukur. Filem-filem barat menjual teknologi dalam filem mereka, filem Hong Kong menjual aksi-aksinya dan kita boleh menjual keunikkan budaya yang beradat dalam filem kita. Contohnya penerapan nilai kesenian silat Melayu dalam filem, walaupun kelihatan lembut dan lemah-gemalai tetapi seninya sangat halus, ada cerita dalam seni Melayu itu. Walaupun dalam lemah-gemalai dalam persilatan Melayu itulah buah-buah silat yang boleh membunuh lawan. Tarian Melayu mirip pada persilatan, kerana dalam tarian kita berpencak dan disitu musuh tersalah langkah. Paparkan cerita cara-cara membuat keris sehinggalah berpencak silat dalam cerita tersebut. Umpama orang dahulu menempa senjata pegang dengan jari sahaja, sebagai menunjukkan kehandalan mereka. Apapun, filem-filem di negara ini boleh dibanggakan dan sudah ada banyak persaingannya. Kita kena berbangga, tolong bagi semangat sikit tetapi jangan melemahkan semangat mereka. Tahniah rakan-rakan pengeluar filem Melayu. UTUSAN MALAYSIA: Filem mendokumentasi dan manifestasi kisah manusia sejagat supaya ditauladani dan dijadikan pedoman dan panduan audiens. Bagaimana saudara melihat karya daripada penggiat filem zaman silam dan muktakhir? WIRAMANJA: Zaman silam dan muktakhir banyak ditandai dengan pelbagai rencah permasalahan masyarakat serta dibauri dengan konflik di dalam negara dan luar negara. Sudah tentu ini mempengaruhi pembikinan filem yang berkait dengan konflik tersebut. Di zaman silam, masyarakat tanah air berdepan dengan kemelut mengecapi kemerdekaan dan pembangunan fizikal negara serta lain-lain. Semua ini menjadi idea dan pemikiran dijadikan kisah dalam filem. Contohnya filem Pendekar Bujang Lapok, merakamkan detik orang-orang Melayu menuntut ilmu diusia emas, iaitu Sekolah Buta Huruf. Apa yang digambarkan oleh Tan Sri P. Ramlee memperlihatkan betapa tidak cerdiknya orang-orang Melayu ketika itu. Dan betapa bertanggungjawapnya kerajaan mengadakan sekolah sebegitu yang sememang realitinya terjadi tetapi bukan sengaja diadakan untuk memperbodohkan orang Melayu sendiri. Secara total filem zaman silam lebih menitikberatkan isu di luar keperibadian manusia iaitu watak dibebani dengan permasalahan sosial. Umpamanya, filem Antara Dua Darjat mengisahkan konfik darah dan keturunan, Gerimis, mengisahkan konflik bangsa dan berlainan agama. Sementara filem muktakhir lebih menjurus isu dalaman keperibadian manusia itu sendiri. Umpamanya, kisah pencintaan remaja, rumahtangga bergolak, tokoh korporat yang menyeleweng dan lain-lain. Kesemuanya dipaparkan seolah membuka pekong keperibadian orang-orang Melayu sendiri. Sepatutnya filem muktakhir berganjak lebih matang ke arah menjadikan mediumnya untuk mendidik manusia menjadi lebih terbaik dan berwawasan. Kalau seorang petani, bukan lagi petani miskin, tetapi mempunyai ijazah, kalau pemandu teksi, pemegang ijazah yang menjadikan kariernya terpuji. Dia bukan lagi menjadi pemandu teksi. sebaliknya pemandu pelancung sebagai duta menarik lebih ramai pelancung ke negara ini dengan memberi maklumat terkini bersandarkan pendidikannya. UTUSAN MALAYSIA: Sebagai tokoh akademik dan juga penggiat seni tanah air, apakah cadangan saudara untuk kita memartabatkan sumbangan Allahyarham P. Ramlee supaya tercatat di peta dunia? WIRAMANJA: Senang saja, kita tubuhkan Universiti P. Ramlee, biar nama agong tersebut kekal selamanya. Di negara luar juga, nama-nama besar yang terbabit dalam bidang perfileman ada universiti serta kolej untuk mereka dan mengapa P. Ramlee tidak ada universitinya? Sesungguhnya, sumbangan P. Ramlee kepada negara ada pada namanya. Impak pendidikan sejagat dalam filem P. Ramlee menjadikan karyanya dinilai pelbagai sudut. Umum menterjemahkan karyanya pelbagai mengikut kacamata mereka berlandaskan kajian masing-masing. Namun, saya merujuk huruf ‘P’ diawal namanya pelbagai pengertian seperti; 1). Pelakon, 2). Pengarah, 3). Penyanyi, 4). Pemuzik, 5). Pelawak, 6). Penulis Skrip, 7). Pemikir, 8). Penyair, 9). Penyampai, 10). Pendidik, 11). Penghibur, 12). Penglipurlara, 13). Pengurus, 14). Penerbit, 15). Pengubah lagu, 16). Penulis Lirik, 17). Pemidato, 18). Pengkritik, 19). Pengarang dan; 20). Pemimpin. Duapuluh (20) acronym “P” di awal nama mengangkat karyanya menjadi agong sehingga semua masyarakat Malaysia mengenali dan meminatinya. Atas dasar itu, barangkali seluruh masyarakat Malaysia sependapat dengan saya dan amat bersetuju jika Universiti P. Ramlee wujud di tengah masyarakat yang sentiasa mengangkat Allahyarham Seniman Agong yang tiada tolok bandingannya. Makanya Universiti P. Ramlee bakal melatih bakat-bakat baru dalam bidang 20P bakat yang dimiliki Allahyarham Tun Dr. Tan Sri P. Ramlee. Wallahuallam. PAGE 5