Terier Scotland
Nama lain | Terier Aberdeen | ||||||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Nama ringkas | Scottie Aberdeenie | ||||||||||||||||||||||||
Negara asal | Scotland | ||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||
Catatan | Anjing kebangsaan Scotland | ||||||||||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Terier Scotland,[a] juga dikenali sebagai terier Aberdeen[b] dan dipanggil scottie, ialah satu baka anjing. Ia, yang pada mulanya merupakan salah satu baka terier tanah tinggi yang dikelompokkan di bawah nama "terier Skye", merupakan salah satu daripada lima baka terier yang berasal dari Scotland, yang lain merupakan terier Skye moden, cairn terrier, terier Dandie Dinmont, dan terier putih Tanah Tinggi Barat. Ia merupakan baka berdikari dan tahan lasak dengan lapis bulu luar mirip dawai dan lapis bulu bawah padat lembut. Earl Dumbarton pertama memberikan nama julukan kepada baka ini, iaitu "the diehard". Menurut legenda, Earl Dumbarton memberikan nama julukan ini kerana keberanian terier Scotland dan scottie juga merupakan ilham untuk nama rejimen beliau, The Royal Scots, Dumbarton's Diehard.[1] Terier Scotland pada asalnya dibiakbakakan untuk memburu haiwan perosak di ladang.
Ia merupakan baka terier kecil dengan rupa bentuk distingtif dan pernah mempunyai banyak peranan dalam kebudayaan popular. Ia pernah dimiliki oleh ramai selebriti, termasuk Presiden Amerika Syarikat ke-32, Franklin Delano Roosevelt, yang anjing beliau, Fala, termasuk dengan FDR sebagai patung di Washington, D.C., serta Presiden ke-43 George W. Bush. Ia juga sangat terkenal sebagai buah permainan dalam permainan papan, Monopoly. Sebagai anjing yang diperihalkan sebagai anjing feisty teritorial, ia dapat menjadi anjing pengawal bagus dan cenderung untuk menjadi sangat setia kepada keluarganya. Berhubung dengan kesihatan, terier Scotland lebih mudah mengalami gangguan perdarahan, gangguan sendi, penyakit autoimun, alahan, dan barah berbanding dengan baka anjing lain dan terdapat keadaan yang dinamai sempena baka ini yang dipanggil kejang scotty. Ia juga merupakan salah satu baka anjing lebih berjaya dalam Pertunjukan Anjing Westminster Kennel Club dengan sekali best in show pada tahun 2010.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Pengelompokan awal beberapa terier tanah tinggi (termasuk scottie) di bawah nama generik terier Skye menyebabkan sedikit kekeliruan dalam zuriat baka ini. Terdapat perselisihan sama ada terier Skye yang disebut dalam catatan awal abad ke-16 sebenarnya diturunkan daripada pendahulu scottie atau sebaliknya.[2] Walau bagaimanapun, ada kepastian bahawa scottie dan terier putih Tanah Tinggi Barat berkait rapat—kedua-dua pendahulu masing-masing berasal dari rantau Blackmount di Perthshire dan Mur Rannoch.[3] Scottie pada asalnya dibiakbakakan untuk memburu dan membunuh haiwan perosak di ladang dan untuk memburu bejar dan rubah di Tanah Tinggi Scotland.[4]
Asal usul sebenar baka setua terier Scotland adalah kabur dan tidak berdokumen.[5] Rekod bertulis pertama tentang anjing dengan perihal serupa dengan terier Scotland bertarikh dari tahun 1436, semasa Don Leslie memerihalkannya dalam buku beliau The History of Scotland 1436–1561. Dua ratus tahun kemudian, Sir Joshua Reynolds melukis sebuah potret tentang seorang gadis muda yang membelai seekor anjing yang berpenampilan serupa dengan scottie zaman moden.[6] Raja James VI dari Scotland ialah seorang tokoh sejarah penting yang tertampil dalam sejarah terier Scotland. Pada abad ke-17, semasa Raja James VI menjadi James I dari England, baginda mengutus enam ekor terier—yang dianggap sebagai pendahulu terier Scotland—kepada seorang raja Perancis sebagai hadiah.[7] Kecintaan dan kekaguman baginda terhadap baka ini meningkatkan kepopularannya di seluruh dunia.[2]
Ramai penulis anjing selepas awal abad ke-19 kelihatannya bersetuju bahawa terdapat dua keragaman terier yang wujud di Britain pada masa itu—Scotch terrier [sic] ("terier Scotland") berbulu kasar dan Terier Inggeris berbulu licin.[5] Thomas Brown, dalam karya beliau Biological Sketches and Authentic Anecdotes of Dogs (1829), menyatakan bahawa "terier Scotch pastinya ialah yang paling tulen dari segi baka dan [terier] Inggeris (licin) kelihatannya telah dihasilkan dengan silangan daripadanya".[5] Brown selanjutnya memerihalkan terier Scotch sebagai anjing "berpendirian rendah, dengan tubuh berotot kuat, tungkai gempal pendek, kepala besar yang berperkadar dengan tubuh" dan "pada umumnya berwarna pasir atau hitam" dengan lapis bulu "panjang, kusut, dan keras".[5] Walaupun terier Scotch yang diperihalkan di sini adalah lebih generik daripada spesifik untuk baka, ini menegaskan kewujudan terier berbulu kasar kecil dan keras yang dikembangkan untuk memburu buruan kecil di Tanah Tinggi Scotland pada awal abad ke-19; perihal yang mengongsi ciri dengan yang pernah dikenali sebagai terier Aberdeen dan kini dikenali sebagai terier Scotland. Selain itu, lukisan oleh Sir Edwin Landseer dan litograf tahun 1835 yang bertajuk "Scottish Terriers at Work on a Cairn in the West Highlands" kedua-duanya menggambarkan terier jenis scottie yang sangat serupa dengan yang diperihalkan dalam piawaian pertama terier Scotland.[6]
Pada abad ke-19, Tanah Tinggi Scotland, termasuk Kepulauan Skye, mempunyai banyak terier yang pada asalnya dikenali dengan istilah generik "terier berbulu pendek" atau "terier kecil Skye".[8] Menjelang penghujung abad ke-19, keputusan dibuat untuk memisahkan terier Scotland ini dan mengembangkan susur galur tulen dan baka spesifik. Pada asalnya, baka dipisahkan kepada dua kategori: terier Dandie Dinmont dan terier Skye (bukan terier Skye yang dikenali kini, tetapi nama generik untuk sekumpulan besar terrier dengan trait berlainan yang kesemuanya dikatakan berasal dari Kepulauan Skye). Pertunjukan anjing England di Birmingham pada tahun 1860 ialah yang pertama untuk menawarkan kelas untuk kumpulan terier ini.[5] Terier-terier ini terus dipamerkan dalam kumpulan generik selama beberapa tahun dan kumpulan-kumpulan ini termasuk leluhur bagi terier Scotland kini.[5] Sejarah tercatat dan perkembangan awal baka ini bermula pada lewat tahun 1870-an dengan perkembangan pertunjukan anjing. Pameran dan penghakiman anjing memerlukan perbandingan dengan piawaian baka dan dengan itu penampilan dan perangai scottie ditulis untuk kali pertama.[6] Akhirnya, terier Skye dibahagikan lagi kepada yang dikenali kini sebagai terier Scotland, terier Skye, terier putih Tanah Tinggi Barat, dan cairn terrier.[8]
Walaupun penggemar berusaha untuk mengenal pasti dan menyeragamkan baka ini dan perihalnya melalui lewat abad ke-19, terier Scotland dikenali dengan banyak nama berlainan: terier Tanah Tinggi, cairn terrier, terier diehard, dan paling kerap, terier Aberdeen—dinamai kerana bilangan banyak anjing ini di kawasan itu dan kerana J. A. Adamson dari Aberdeen berjaya mempamerkan anjing-anjing beliau pada tahun 1870-an.[5] Roger Rough, seekor anjing yang dimiliki oleh Adamson, Tartan, seekor anjing yang dimiliki oleh En. Paynton Piggott, Bon Accord, yang dimiliki oleh Messrs Ludlow dan Bromfield, dan Splinter II, yang dimiliki oleh En. Ludlow, merupakan pemenang awal bagi pameran anjing dan merupakan empat ekor anjing yang daripadanya semua pedigri terier Scotland akhirnya bermula.[6] Kerap ada kata-kata bahawa semua scottie zaman kini berpunca daripada seekor betina tunggal, iaitu Splinter II, dan dua ekor jantan. Dalam buku beliau, The New Scottish Terrier, Cindy Cooke merujuk Splinter II sebagai "ibu pengasas terier Scotland moden". Cooke selanjutnya berkata "Atas sebab apa pun, susur galur pembiak baka awal dibiakbakakan dengan anjing betina ini dengan mengecualikan semua yang lain. Setelah dikawankan dengan Tartan, ia menghasilkan Worry, ibu kepada empat ekor juara. Rambler, anak jantannya dengan Bonaccord, membapai dua ekor jantan pengasas bagi baka ini, Ch. Dundee (daripada Worry) dan Ch. Alistair (daripada seekor anak betina kepada Dundee)".[9] Juara pertunjukan di kedua-dua belah Atlantik diturunkan daripada Splinter dan anak-anak jantannya.[10]
Kapten Gordon Murray dan S.E. Shirley bertanggungjawab untuk menetapkan jenis pada tahun 1879.[3] Tidak lama selepas itu, pada tahun 1879, scottie buat pertama kali dipamerkan di Alexandra Palace di England,[11][12] sementara pada tahun berikutnya, ia mula dikelaskan dengan cara sama seperti yang dilakukan kini.[13] Piawaian bertulis pertama bagi baka ini dirangka oleh J.B. Morrison dan D.J. Thomson Gray dan muncul dalam Illustrated Book of the Dog karya Vero Shaw, yang diterbitkan pada tahun 1880; piawaian ini sangat berpengaruh dalam menetapkan kedua-dua jenis dan nama baka. Piawaian memerihalkan pewarnaan baka ini sebagai "kelabu, grizzle, atau brindle", kerana pewarnaan tipikal hitam pada scottie tidak menjadi bergaya atau digemari sehingga abad ke-20.[5]
Pada tahun 1881, "Scottish Terrier Club of England" diasaskan sebagai kelab pertama yang didedikasikan untuk baka ini. Setiausaha kelab, H. J. Ludlow, bertanggungjawab untuk mempopularkan baka ini di bahagian selatan Great Britain. "Scottish Terrier Club of Scotland" tidak diasaskan sehingga tahun 1888, tujuh tahun selepas kelab Inggeris.[13] Ikutan pembentukan kelab Inggeris dan kelab Scotland di sana, terdapat beberapa tahun perselisihan pendapat yang menyusul mengenai piawaian rasmi baka ini.[13] Isu ini akhirnya diselesaikan dengan piawaian semakan pada tahun 1930, yang berdasarkan kepada empat ekor anjing prapoten. Anjing-anjing itu merupakan Heather Necessity milik Robert dan James Chapman, Albourne Barty, yang dibiakbakakan oleh AG Cowley, Albourne Annie Laurie, yang dibiakbakakan oleh Miss Wijk, dan Marksman of Docken milik Miss Wijk (saudara seperinduk kepada Annie Laurie).[6] Keempat-empat anjing ini dan anak-anak mereka mengubah suai rupa scottie, khususnya panjang kepala, kedekatan dengan tanah, dan rupa segi empat sama tubuh. Kejayaan berikut mereka dalam gelanggang pertunjukan menyebabkan mereka menjadi sangat dicari-cari oleh orang awam dan pembiak baka British. Oleh itu, piawaian terubah suai sepenuhnya merevolusikan baka ini.[6] Piawaian baharu ini kemudiannya diiktiraf oleh The Kennel Club United Kingdom pada sekitar tahun 1930.[13]
Scottie diperkenalkan ke Amerika pada awal 1890-an, tetapi hanya mulai tahun-tahun antara Perang Dunia Pertama dengan Perang Dunia Kedua, baka ini menjadi popular. Scottish Terrier Club of America (STCA) dibentuk pada tahun 1900[14] dan piawaian ditulis pada tahun 1925.[6] Terier Scotland diiktiraf oleh United Kennel Club pada tahun 1934.[15] Menjelang tahun 1936, scottie ialah baka ketiga paling popular di Amerika Syarikat. Walaupun ia tidak kekal bergaya, ia terus menikmati kepopularan mantap dengan sebahagian besar orang awam yang memiliki anjing ini di seluruh dunia.[16] STCA mengasaskan Dana Amanah Kesihatan pada tahun 1995 yang menyokong penyelidikan tentang isu kesihatan pada baka ini.
Terier Scotland telah memenangi best in show dalam Pertunjukan Anjing Westminster Kennel Club lebih daripada mana-mana baka lain kecuali terier rubah dawai, sebanyak sembilan kali.[17] Kemenangan-kemenangan ini bermula pada tahun 1911 dengan kemenangan oleh Ch. Tickle Em Jock dan termasuk kemenangan terkini seperti pada tahun 1995 apabila Ch. Gaelforce Post Script (Peggy Sue) menang dan pada tahun 2010 dengan kemenangan oleh Ch. Roundtown Mercedes Of Maryscot.[18][19]
Perihal
[sunting | sunting sumber]Penampilan
[sunting | sunting sumber]Terier Scotland ialah terier kecil, padat, bertungkai pendek, dan terbina kukuh dengan tulang dan isi baik. Ia mempunyai lapis bulu keras, mirip dawai, tahan cuaca, dan tubuh tebal dan gempal yang tergantung di antara tungkai yang pendek dan berat. Ciri-ciri ini, sekali dengan ekspresi "varminty" yang sangat istimewa dan tajam dan telinga serta ekornya tegak merupakan ciri menonjol bagi baka ini. Menurut piawaian baka Scottish Terrier Club of America, matanya patut kecil, cerah, menusuk, berbentuk badam, dan tidak bulat. Warnanya dapat terdiri daripada hitam, hitam kekelabu-kelabuan, dan juga putih. Telinganya patut kecil, mencucuk, terletak dengan baik pada tengkorak, dan runcing, tetapi tidak pernah terpotong. Telinganya patut ditutup dengan bulu baldu pendek.[20]
Menurut piawaian baka STCA, ketinggian pada paras kelasa untuk kedua-dua jantina patut kira-kira 25 cm (9.8 in) dan panjang belakang dari kelasa ke ekor ialah kira-kira 28 cm (11 in). Pada umumnya, scottie jantan seimbang patut berukuran seberat 8.5–10 kg (19–22 lb) dan betina seberat 8–9.5 kg (18–21 lb).[20] Ia kira-kira setinggi 10–11 inci (25–28 cm).[21]
Bulu
[sunting | sunting sumber]Terier Scotland biasanya mempunyai lapis bulu luar keras mirip dawai dengan lapis bulu bawah lembut dan padat. Menurut piawaian baka STCA, lapis bulunya patut dipangkas dan sepadu dengan jumbai untuk memberikan garis luar tersendiri terier Scotland. Lapis bulu lebih panjang pada janggut, tungkai, dan tubuh bawah mungkin lebih lembut sedikit daripada lapis bulu tubuh tetapi tidak patut gebu atau kelihatan gebu.[20] Lapis bulu lebih panjang pada tungkai ini kerap dirujuk sebagai skirt scottie dan patut diberus setiap hari untuk mengelakkan bulu bersimpul atau kusut.
Warna lapis bulu terdiri daripada warna kelabu gelap hingga hitam legam dan brindle, campuran hitam dan perang. Scottie dengan lapis bulu gandum (jerami hingga hampir putih) kadang-kadang terlihat dan berpenampilan serupa dengan terier gandum berbulu lembut atau terier putih Tanah Tinggi Barat.
Banyak lapis bulu hitam dan brindle terier Scotland dapat mengandungi bintik-bintik perak dan putih di serata atau di kawasan kecil mirip tompok bagi bulu anjing.
Perangai
[sunting | sunting sumber]Scottie teritorial, berwaspada, cepat bergerak dan bersemangat, mungkin lebih daripada baka terier lain. Baka ini diketahui berdikari dan yakin diri, suka bermain, cerdas, dan telah digelar diehard kerana sifat lasak dan ketekunan tidak berkesudahan.[22] Gelaran "diehard" pada asalnya diberikan kepadanya pada abad ke-18 oleh George, Earl Dumbarton pertama.[6] Earl mempunyai sekawan terier Scotland masyhur yang begitu berani sehingga dinamai "Diehards". Anjing-anjing ini sepatutnya telah mengilhamkan nama Rejimen beliau, The Royal Scots, "Dumbarton's Diehards".[6]
Scottie, walaupun diperihalkan sangat penyayang, juga telah diperihalkan sebagai anjing degil.[23] Ia kadang-kadang diperihalkan sebagai baka menyendiri, walaupun telah diperhatikan cenderung untuk menjadi sangat setia kepada keluarganya dan diketahui terikat pada satu atau dua orang.[7]
Telah ada cadangan bahawa terier Scotland dapat menjadi anjing pengawas bagus kerana kecenderungannya untuk menyalak hanya apabila perlu dan kerana ia biasanya menyendiri terhadap orang asing, walaupun ini tidak selalu berlaku.[22] Ia telah diperihalkan sebagai baka berani yang mungkin agresif di sekeliling anjing lain melainkan diperkenalkan pada usia awal.[24] Terier Scotland pada asalnya dibiakbakakan untuk memburu dan melawan bejar Eurasia. Oleh itu, scottie cenderung untuk menggali serta mengejar mamalia kecil, seperti tupai, tikus, dan mencit.[24] Pembelaan kucing, arnab, feret, dan haiwan bela jinak kecil lain di dalam rumah dengan terier Scotland tidak digalakkan kerana hakikat bahawa baka anjing ini dibiakbakakan secara khusus untuk memburu mamalia kecil, seperti yang disebut di atas. Terier Scotland juga tidak disyorkan untuk duduk serumah dengan kanak-kanak kecil atau kanak-kanak yang tidak berpengalaman dengan anjing.[25]
Kesihatan
[sunting | sunting sumber]Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 12.7 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[26] Dua kebimbangan kesihatan genetik yang terlihat pada baka ini merupakan penyakit von Willebrand (vWD) dan osteopati kraniomandibel (CMO); Kejang scottie, kehelan tempurung lutut, dan abiotrofi serebelum juga kadang-kadang terlihat pada baka ini. Keadaan mata umum yang terlihat dalam pelbagai baka seperti katarak dan glaukoma dapat muncul pada scottie semakin ia menua. Tiada keadaan khusus yang berkaitan dengan kulit yang menjejaskan baka ini, tetapi ia dapat terjejas akibat keadaan umum berkaitan dengan anjing seperti parasit dan kurap.[27]
Kanser pada terier Scotland
[sunting | sunting sumber]Terier Scotland mempunyai peluang lebih besar untuk menghidap sesetengah kanser berbanding dengan baka tulen lain. Menurut penyelidikan oleh Program Data Perubatan Veterinar (1986), enam kanser yang terhadapnya terier Scotland kelihatan lebih berisiko (jika dibandingkan dengan baka lain) merupakan: (dalam susunan menurun) kanser pundi kencing dan karsinoma sel peralihan lain pada salur kencing bawah; melanoma malignan; karsinoma perut; karsinoma sel skuamosa bagi kulit; limfosarkoma, dan karsinoma hidung.[28] Kanser lain yang diketahui lazimnya menjejaskan terier Scotland termasuk sarkoma sel masta[29] dan hemangiosarkoma.[30]
Penyelidikan telah mencadangkan bahawa terier Scotland adalah 20 kali lebih berkemungkinan untuk menghidap kanser pundi kencing berbanding dengan baka lain[31] dan jenis paling umum bagi kanser pundi kencing ialah karsinoma sel peralihan pundi kencing (TCC).[28] Dr. Deborah Knapp dari Sekolah Perubatan Veterinar Universiti Purdue telah mengulas "TCC biasanya berlaku pada anjing lebih tua (purata umur 11 tahun) dan lebih umum pada betina (nisbah 2:1 betina dengan jantan)."[28] Gejala TCC merupakan darah di dalam air kencing, ketegangan untuk kencing, dan kencing kerap—walaupun pemilik yang menyedari sebarang gejala ini juga patut sedar bahawa gejala sama juga mungkin menunjukkan jangkitan salur kencing.[28]
Bentuk rawatan paling umum dan berkesan untuk TCC ialah Piroxicam, iaitu ubat antiradang bukan steroid yang "membolehkan sel-sel kanser membunuh diri."[28]
Kejang scottie
[sunting | sunting sumber]Kejang scottie ialah gangguan keturunan resesif autosom yang merencatkan kebolehan anjing berkenaan untuk berjalan. Ini disebabkan oleh kecacatan laluan di dalam otak yang mengawal pengecutan otot akibat paras rendah serotonin di dalam badan.[32] Biasanya gejala hanya muncul apabila anjing tertentu berada di bawah suatu tahap tekanan. Tungkai hadapan tertolak ke tepi, belakangnya melengkung, dan tungkai belakang terlalu melentur, lalu menyebabkan anjing berkenaan terjatuh sekiranya ia bergerak laju-laju. Keadaan ini tidak berkaitan dengan sawan dan anjing berkenaan kekal sedar sepanjang peristiwa dengan gejala yang reda sebaik sahaja punca tekanan telah dikeluarkan.[33] Buat masa ini, tiada pengujian genetik yang diketahui yang tersedia untuk kejang scottie. Diagnosis akan datang daripada doktor haiwan sebaik sahaja ujian diagnostik telah dijalankan. Ujian diagnostik untuk kejang scottie termasuk ujian fizikal, kiraan darah lengkap, profil biokimia, dan urinalisis.[34] Walaupun kejang scottie ialah penyakit terwaris, ini merupakan gangguan episodik yang tidak menyakitkan dan tidak mengancam nyawa.[35] Anjing terjejas dengan kejang scottie dan pasangan perinduknya tidak patut dibiakbakakan, jika sebaliknya, penyakit ini dapat diturunkan kepada mana-mana keturunan masa depan yang dilahirkan.[36]
Vitamin E, Diazepam, dan Prozac kesemuanya telah terbukti sebagai rawatan berkesan sekiranya diperlukan. Kejang scottie ditemukan pada baka terier lain, termasuk terier Czech.[33] "Kejatuhan episodik", iaitu keadaan yang terdapat pada cavalier King Charles spaniel dianggap serupa dengan gangguan ini.[37]
Osteopati kraniomandibel
[sunting | sunting sumber]Keadaan osteopati kraniomandibel ini, yang juga dikenali sebagai "rahang singa", "rahang westie", atau "rahang scottie", disebabkan oleh pertumbuhan tulang berlebihan pada rahang bawah yang biasanya berlaku pada usia antara empat dengan tujuh bulan. Seperti kejang scottie, ini ialah gangguan keturunan resesif autosom dan dapat menyebabkan ketidakselesaan kepada anjing berkenaan apabila ia mencuba untuk mengunyah.[38] Progresi keadaan ini biasanya menjadi perlahan pada usia antara sebelas dengan tiga belas bulan dan kadang-kadang diikuti oleh regresi separa atau lengkap perlahan.[39] Osteopati kraniomandibel dapat menjejaskan anjing daripada perinduk sama dan gejala penyakit ini termasuk kesukaran pencengkaman dan pengunyahan makanan, peliuran, dan pembengkakan muka, lebih khusus, pembengkakan di sekitar rahang.[40] Rawatan untuk osteopati kraniomandibel tidak wujud, tetapi penggunaan Prednisone dan kortison dapat membantu untuk meredakan gejala.
Keadaan ini juga telah terlihat pada baka anjing lain, seperti terier putih Tanah Tinggi Barat, cairn terrier, terier Boston,[41] serta sesetengah baka lebih besar seperti bulmastif.[42] Pengujian genetik untuk osteopati kraniomandibel tersedia pada masa ini dan membantu untuk mengenal pasti mutasi osteopati kraniomandibel.[43]
Penyakit von Willebrand
[sunting | sunting sumber]Penyakit von Willebrand ialah gangguan perdarahan keturunan yang terdapat pada anjing dan manusia. Pengujian DNA yang digunakan secara meluas oleh yang dikenali sebagai pembiak baka bereputasi telah menyebabkan pengurangan besar anjing terjejas.[35] Sebaik sahaja mutasi ditemukan pada seseekor anjing, anjing itu tidak patut dibiakbakakan. Penyakit ini disebabkan oleh kekurangan faktor von Willebrand yang berperanan dalam proses pembekuan darah. Ini dapat menyebabkan fungsi platelet abnormal dan masa perdarahan berpanjangan. Anjing terjejas dapat menjadi terdedah kepada perdarahan hidung dan peningkatan perdarahan selepas trauma atau pembedahan. Terdapat tiga jenis keadaan ini dengan Jenis I sebagai yang paling umum, manakala Jenis II dan III yang lebih jarang, tetapi lebih parah. Penyakit von Willebrand jenis I adalah agak lazim pada terier Scotland.[44]
Jenis I adalah lebih meluas pada pincer Dobermann tetapi juga selazim pada anjing gembala Shetland sebagaimana pada terier Scotland. Keadaan ini muncul pada kebanyakan baka sehingga takat tertentu, tetapi baka lain dengan risiko tertingkat termasuk anjing pengutip keemasan, anjing gembala Jerman, anjing pemburu baset, dan terier Manchester.[44]
Scottie masyhur dan kebudayaan popular
[sunting | sunting sumber]Scottie dan anjing gembala Jerman merupakan dua baka anjing yang pernah menghuni Rumah Putih lebih daripada tiga kali.[45] Presiden Franklin D. Roosevelt terkenal kerana memiliki seekor scottie bernama Fala, hadiah daripada sepupu jauh beliau, Margaret Suckley.[46] Presiden sangat menyayangi Fala sehingga beliau jarang pergi ke mana-mana tanpanya. Roosevelt mempunyai beberapa ekor scottie sebelum Fala, termasuk seekor yang bernama Duffy dan seekor lagi yang bernama Mr. Duffy. Eleanor Roosevelt mempunyai seekor terrier Scotland bernama Meggie semasa keluarga beliau memasuki Rumah Putih pada tahun 1933.[46] Lebih terkini, Presiden George W. Bush pernah memiliki dua ekor terier Scotland hitam, Barney dan Miss Beazley. Barney membintangi sembilan buah filem yang diterbitkan oleh Rumah Putih.[47]
Orang terkenal lain yang diketahui memiliki scottie termasuk: Ratu Victoria, Eva Braun, Dwight D. Eisenhower, Jacqueline Kennedy Onassis, Ed Whitfield, Rudyard Kipling, Gilbert Chesterton, dan Presiden Poland, Lech Kaczyński.[48] Pelakon Tatum O'Neal memiliki seekor terier Scotland. Beliau dikatakan sangat sedih kerana kematian anjing beliau akibat kanser dan usia lanjut sehingga beliau kembali menagih dadah.[49]
Scottie juga terkenal kerana ditampilkan dalam permainan papan popular, Monopoly, sebagai token pemain. Semas permainan ini mula-mula dicipta pada tahun 1930-an, scottie merupakan salah satu haiwan peliharaan paling popular di Amerika Syarikat dan juga merupakan salah satu token permainan paling popular Monopoly, menurut Matt Collins, naib presiden pemasaran untuk Hasbro.[50] Filem Disney tahun 1955 Lady and the Tramp, sekuelnya, dan reboot tahun 2019 menampilkan seekor terier Scotland bernama Jock. Seekor terier yang serupa dengan Jock ialah antara anjing yang menyampaikan pesanan tentang lima belas ekor anak anjing Dalmatia Pongo dan Perdita di seluruh London dalam filem Disney tahun 1961 One Hundred and One Dalmatians. Seekor scottie bernama Buster ialah haiwan peliharaan milik Fatty dalam siri novel misteri Five Find-Outers and Dog (1943–1961) karya Enyd Blyton. Seekor terier Scotland bernama Dulcinea ialah pengambil alih adegan dalam novel Amerika Latin tahun 1998 Yo-Yo Boing! karya Giannina Braschi.[51]Templat:Opinion Dalam novel Jeeves dan Wooster karya P. G. Wodehouse, Mak Cik Agatha kepada antagonis utama, Bertie Wooster, mempunyai seekor terier Aberdeen yang dipanggil Mackintosh. Terier Scotland juga lazim dalam adegan-adegan filem Coraline.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]- Senarai baka bela jinak Scotland
- Tanda anjing scotty (istilah radiologi)
Catatan
[sunting | sunting sumber]- ^ Jawi: تيريئر سکوتلند ; bahasa Inggeris: Scottish terrier ; Gaelik Scotland: abhag Albannach
- ^ Jawi: تيريئر ابردين ; bahasa Inggeris: Aberdeen terrier
Rujukan
[sunting | sunting sumber]Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Terier Scotland |
- ^ "Brief History of Scottish Terrier" [Sejarah Ringkas Terier Scotland]. Shinga (dalam bahasa Inggeris). 10 Julai 2013. Dicapai pada 23 Januari 2024.
- ^ a b Ruben, Dawn. "Choosing a Scottish Terrier" [Memilih terier Scotland] (dalam bahasa Inggeris). Pet Place. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ a b "Scottish Terrier" [Terier Scotland] (dalam bahasa Inggeris). Pet Planet. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ "Scottish Terrier" [Terier Scotland] (dalam bahasa Inggeris). Pedigree.com.au. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ a b c d e f g h Stamm, Miriam; Beauchamp, Richard G. (1998). A New Owner's Guide to Scottish Terriers [Panduan Pemilik Baharu untuk Terier Scotland] (dalam bahasa Inggeris). Neptune City, New Jersey, Amerika Syarikat: TFH Publications. ISBN 9780793827862. OCLC 40905839.
- ^ a b c d e f g h i "History of the Scottish Terrier" [Sejarah Terier Scotland] (dalam bahasa Inggeris). MacTavish Scotties. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Mei 2008. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ a b "The Scottish Terrier" [Terier Scotland] (dalam bahasa Inggeris). Dog Owner's Guide. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ a b "Choosing a Cairn Terrier" [Memilih cairn terrier] (dalam bahasa Inggeris). Pet Place. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ Harvil, Joseph. "Deconstructing the Diehard" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Great Scots Magazine. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ Graham, Claribel. "The Origin of the Scottish Terrier" [Asal Usul Terier Scotland] (dalam bahasa Inggeris). Scottish Terrier Club of America. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ "Scotties Info" [Maklumat Scottie]. The Scottish Terrier Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 11 September 2024.
- ^ "Alexandra Palace and the Scottie Connection" [Alexandra Palace dan Hubungan Scottie]. National Purebred Dog Day (dalam bahasa Inggeris). 17 Mac 2018. Dicapai pada 11 September 2024.
- ^ a b c d "Scottish Terrier: About Breed" [Terier Scotland: Tentang Baka] (dalam bahasa Inggeris). PasOddy.com. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ Barrie, Carswell. "History" [Sejarah] (dalam bahasa Inggeris). Scottish Terrier Club of America. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ "Scottish Terrier" [Terier Scotland]. United Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 16 April 2008. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ "Guide to the Scottish Terrier Club of America Collection (1902-2005)" [Panduan untuk Koleksi Scottish Terrier Club of America (1902–2005)] (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Jun 2012. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ "Best In Show Awards By Breed (1907-2009)" [Anugerah Best in Show mengikut Baka (1907–2009)] (dalam bahasa Inggeris). Westminster Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Mac 2010. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ "Scottie is Best Dog in U.S." [Scottie Ialah Anjing Terbaik di AS] (dalam bahasa Inggeris). Life. 26 Februari 1945. m/s. 65. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ "Best in Show Winners" [Pemenang Best in Show] (dalam bahasa Inggeris). Westminster Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Disember 2007. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ a b c "STCA Breed Standard" [Piawaian Baka STCA] (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ Cunliffe, Juliette (2002). The Encyclopedia of Dog Breeds [Ensiklopedia Baka Anjing] (dalam bahasa Inggeris). Bath, United Kingdom: Parragon. m/s. 248. ISBN 9780752580180. OCLC 59182873.
- ^ a b "Scottish Terrier" [Terier Scotland] (dalam bahasa Inggeris). Dog-Breed-Facts.com. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ "Terrier Dog Breeds" [Baka Anjing Terier] (dalam bahasa Inggeris). Buzzle.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Februari 2015. Dicapai pada 6 Mac 2024.CS1 maint: unfit URL (link)
- ^ a b Jones, Jewel R. "Profile of the Scottish Terrier" [Profil Terier Scotland] (dalam bahasa Inggeris). BarkBytes. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ "Scottish Terrier" [Terier Scotland]. www.orvis.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ McMillan, Kirsten Marie; Bielby, Jon; Williams, Carys Louisa; Upjohn, Melissa Mary; Casey, Rachel Alison; Christley, Robert Matthew (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death" [Kelanjutan usia baka anjing teman: yang berisiko untuk kematian awal]. Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 14 (1): 531. Bibcode:2024NatSR..14..531M. doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check
|pmc=
value (bantuan). PMID 38302530 Check|pmid=
value (bantuan). S2CID 267382263 Check|s2cid=
value (bantuan). - ^ "Overview of serious health conditions in Scottish terrier breed" [Gambaran keseluruhan keadaan kesihatan serius pada baka terier Scotland] (dalam bahasa Inggeris). Scottish Terrier Dog.com. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ a b c d e Fry Owen, Carole. "CANCER: The Scottish Terrier's War On Terror" [KANSER: Perang Terier Scotland ke Atas Ketakutan] (dalam bahasa Inggeris). Tartanscottie.com. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ Morrison, Wallace B. (15 Jun 1998). Cancer in Dogs and Cats: Medical and Surgical Management [Kanser pada Anjing dan Kucing: Pengurusan Perubatan dan Surgeri] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat: Lippincott Williams & Wilkins. ISBN 9780683061055. OCLC 751352869.
- ^ "Protecting your dog from cancer" [Melindungi anjing anda daripada kanser] (dalam bahasa Inggeris). scottiecancer.com. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ "Bladder Cancer in the Scottish Terrier" [Kanser Pundi Kencing pada Terier Scotland] (dalam bahasa Inggeris). North of England Scottish Terrier Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Jun 2008. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ "What is Scotty Cramp?" [Apakah Kejang Scotty?] (dalam bahasa Inggeris). Canine Inherited Disorders Database. 30 Oktober 2001. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ a b "Scottie Cramp" [Kejang Scottie] (dalam bahasa Inggeris). Cesky Terrier.co.uk. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ "Muscle Cramps in Scottish Terriers" [Kekejangan Otot pada Terier Scotland]. www.petmd.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ a b dcwd. "Genetic Issues - Scottish Terrier Club of America" [Isu Genetik - Scottish Terrier Club of America]. Scottish Terrier Club of America (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ scottiehealth (21 Januari 2013). "Cerebellar Abiotrophy (CA) Or Scottie Cramp" [Abiotrofi Sereblum atau Kejang Scottie]. Scottish Terrier Health Network (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ Slatter, Douglas H. (2003). Textbook of Small Animal Surgery [Buku Teks Surgeri Haiwan Kecil] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-3). Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat: Saunders. m/s. 1094. ISBN 9780721686073. OCLC 727769561.
- ^ Vanderlip, Sharon Lynn (1 Mei 2001). Scottish Terriers: A Complete Pet Owner's Manual [Terier Scotland: Panduan Lengkap Pemilik Haiwan Peliharaan] (dalam bahasa Inggeris). Hauppauge, New York, Amerika Syarikat: B.E.S. Publishing. m/s. 81. ISBN 9780764116391. OCLC 45270477.
- ^ "Craniomandibular Osteopathy (CMO): Page 3" [Osteopati Kraniomandibel: Halaman 3] (dalam bahasa Inggeris). PetPlace.com. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ "Craniomandibular Osteopathy (CMO) in Dogs" [Osteopati Kraniomandibel pada Anjing]. www.petplace.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ Ettinger, Stephen J.; Feldman, Edward C., penyunting (1995). Textbook of Veterinary Internal Medicine [Buku Teks Perubatan Dalaman Veterinar] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-4). Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat: Saunders. ISBN 9780721667959. OCLC 28723106.
- ^ Huchkowsky, Stacey Lee (November 2002). "Craniomandibular osteopathy in a bullmastiff = Ostéopathie craniomandibulaire chez un bull-mastiff" [Osteopati kraniomandibel pada seekor bulmastif]. Canadian Veterinary Journal (dalam bahasa Inggeris). Canadian Veterinary Medical Association. 43 (11): 883–885. ISSN 0008-5286. PMC 339767. PMID 12497967. S2CID 45426964.
- ^ "PCTC: Genetic Testing Information" [PCTC: Maklumat Pengujian Genetik]. www.potomacctc.org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ a b "What is von Willebrand's disease?" [Apakah penyakit von Willebrand?] (dalam bahasa Inggeris). Canine Inherited Disorders Database. 30 Oktober 2001. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ "Scottish Terrier: History" [Terier Scotland: Sejarah] (dalam bahasa Inggeris). PasOddy.com. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ a b "FDR's Fala, World's Most Famous Dog" [Fala Milik FDR, Anjing Paling Masyhur di Dunia] (dalam bahasa Inggeris). Bushy Barney. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ "Barney's Home Page" (dalam bahasa Inggeris). Rumah Putih. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ Huber, Vandra L. "Famous People Owned by Scottish Terriers" [Orang Terkenal yang Dimiliki oleh Terier Scotland] (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Mcvan Scotties. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ "Tatum O'Neal says her dog's death triggered her drugs arrest" [Tatum O'Neal kata kematian anjingnya cetus hentian ubatnya] (dalam bahasa Inggeris). Welt Online. 4 Jun 2008. Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ Ward, Julie (18 September 2006). "Move over, Rover: Hybrid labradoodle replaces Scottish terrier token" [Ke tepi, Rover: Labradoodle hibrid ganti token terier Scotland]. USA Today (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Mac 2024.
- ^ Braschi, Giannina (27 September 2011). Yo-Yo Boing! (dalam bahasa Inggeris dan Sepanyol) (ed. Spanglish). Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat: Amazon Publishing. m/s. 50, 52, 53, 79, 118, 190. ASIN B004Y6ZC2M. ISBN 9781611090895. OCLC 780707905.