Pergi ke kandungan

Collie licin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Collie licin
Seekor collie licin triwarna
Nama lainCollie berbulu pendek
Negara asalScotland
Anjing (Canis lupus familiaris)

Collie licin[a] atau collie berbulu pendek[b] ialah satu baka anjing yang dikembangkan pada asalnya untuk penggembalaan. Ia merupakan versi berbulu pendek bagi collie kasar yang mempunyai kemasyhuran Lassie. Sesetengah pertubuhan baka menganggap collie berbulu licin dan collie berbulu pendek sebagai keragaman bagi baka sama.

Sejarah awal collie, seperti sejarah banyak baka anjing, ialah perkara spekulasi. Asal usul nama baka ini pun tidak jelas dengan pelbagai dakwaan tentang perihal warna gelap anjing gembala awal ("coaly") atau asal usul daripada nama baka biri-biri dengan muka hitam yang pernah umum dibela di Scotland ("colley") atau terbitan daripada perkataan bahasa Inggeris-Saxon yang memaksudkan "berguna". Perkataan ini juga dapat dijejak kepada bahasa Gaelik atau/dan bahasa Ireland - yang memadankan perkataan "anjing kecil", masing-masing, dengan càilean dan coileán. Ini lebih tekal dengan asal usul baka ini di Tanah Tinggi Scotland yang berbahasa Gaelik berbanding dengan istilah bahasa Inggeris-Saxon.

Collie licin pada sekitar tahun 1915

Sejarah moden kedua-dua collie licin dan collie kasar bermula pada zaman pemerintahan Ratu Victoria, yang menjadi berminat dengan anjing gembala semasa baginda di Istana Balmoral di Scotland. Pada tahun 1860, baginda membeli beberapa ekor anjing untuk kenel baginda sendiri. Dengan minat sang Ratu, bermulalah gaya untuk memiliki collie licin. Maka, bermulalah transformasi baka ini daripada anjing ladang pekerja, serupa dengan collie sempadan moden, kepada anjing yang dibiakbakakan sebagai haiwan peliharaan dan untuk sukan pertunjukan pengakuran yang dikenali kini.

Collie licin kini dianggap sebagai keragaman bagi baka sama dengan collie kasar di Amerika Syarikat dan di Kanada yang bermakna bahawa ia boleh saling membiak dan sesetengah statistik disimpan hanya untuk "collie" dan bukannya untuk kedua-dua keragaman secara berasingan. Yang licin dan yang kasar dikelaskan sebagai baka berasingan di negara lain, seperti United Kingdom dan Australia. Collie kasar ialah hasil perkembangan agak lewat, walau bagaimanapun, dengan keizinan The Kennel Club (United Kingdom) untuk pembiakbakaan menyaling antara kedua-dua keragaman tersebut sehingga tahun 1993.

Sebuah persatuan baka, iaitu Smooth Collie Club of Great Britain, diasaskan pada tahun 1955.[1] Baka ini diterima secara muktamad oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa pada tahun 1974.[2]

Triwarna, kepala

Collie licin bersaiz sederhana hingga besar: jantan berdiri setinggi kira-kira 56–61 cm (22–24 in) pada paras kelasa, sementara betina adalah lebih rendah sebanyak 5 cm (2 in); berat adalah dalam julat 18–25 kg (40–55 lb) untuk betina dan sekitar 21–30 kg (45–65 lb) untuk jantan.[3][4]

Ia lebih panjang sedikit daripada ketinggiannya, dengan belakang sekata dan dada dalam. Ciri-ciri kepala, khususnya ekspresi "manis", dianggap sangat penting dalam gelanggang pertunjukan. Baka ini mempunyai muncung panjang, tengkorak rata, dan telinga separa tegak.

Lapis bulu luarnya adalah rata, pendek, dan bertekstur kasar dan lapis bulu bawahnya adalah pendek dan padat. Tiga warna lapis bulu diiktiraf: sabel (warna pasir, yang berkisar daripada emas pucat hingga mahogani pekat); triwarna (kebanyakannya hitam, dengan tanda-tanda sawo matang dan putih); dan merle (kelabu perak bertelau hitam dengan tanda-tanda sawo matang atau tanpa tanda-tanda sawo matang), kesemuanya bertanda dengan kawasan putih pada dada, pada leher, pada kaki, pada tungkai, dan di hujung ekor.[3][4]

Collie licin triwarna yang meninggalkan terowong ketangkasan

Collie licin pada umumnya merupakan anjing keluarga yang mudah bergaul dan mudah dilatih. Walaupun bukan baka agresif, ia berwaspada dan vokal, yang menjadikannya anjing pengawas baik, jika terlatih dengan baik, dan gangguan berpotensi, jika diizinkan menyalak sembarangan. Collie ialah anjing tangkas dan giat dan memerlukan senaman kerap dengan cara tertentu. Baka ini mudah dilatih kerana kecerdasan tinggi dan keinginan untuk menggembirakan pemiliknya. Pelatihan baka ini memerlukan sentuhan ringan kerana ia sensitif terhadap pembetulan dan menjauhkan diri daripada layanan kasar. Ia bergaul dengan baik dengan kanak-kanak dan haiwan lain, biasanya berbaik-baik dengan anjing lain. Collie licin digunakan sebagai anjing peliharaan keluarga dan dalam pertandingan kepatuhan, ketangkasan, ujian penggembalaan, dan sukan anjing lain. Sesetengah anjing masih digunakan sebagai anjing gembala pekerja. Ia juga sangat berguna sebagai anjing pembantu untuk orang kurang upaya.

Kesihatan

[sunting | sunting sumber]
  • Atrofi retina progresif: Degenerasi beransur-ansur bagi retina mata, akhirnya membawa kepada kebutaan. Penyakit ini kurang umum berbanding dengan CEA pada collie, tetapi lebih sukar disingkirkan melalui pembiakbakaan, kerana gejala biasanya tidak dapat dikesan sehingga anjing terjejas berusia pertengahan atau lebih tua.
  • Kepekaan berbilang ubat (MDR1): Kadang-kadang tindak balas maut terhadap kelas ubat umum, khususnya ivermektin, yang digunakan sebagai pencegah cacing jantung dan rawatan untuk tungau. Gen yang menyebabkan kepekaan ini baru-baru ini dikenal pasti dan kerentanan anjing kini dapat ditentukan melalui ujian darah ringkas.
  • Volvulus pendilatan gastrik (kembung): Pulasan perut menyakitkan dan kerap membawa maut yang berlaku pada baka-baka besar atau berdada dalam yang biasanya dapat dicegah dengan memberikan jumlah makanan kecil dan mengelakkan senaman kuat serta-merta sebelum makan atau selepas makan.
  • Epilepsi: Sawan dengan asal usul yang tidak diketahui. Kekerapan sawan kerap dapat dikurangkan dengan ketara melalui ubat-ubatan, tetapi tiada penawar untuk penyakit ini.
  • Neutropenia berkitar: CN juga dikenali sebagai sindrom Collie kelabu. Neutropenia berkitar ialah penyakit yang menjejaskan neutrofil pada anjing, yang merupakan bahagian integral bagi sistem imun anjing. Kebanyakan anjing terjejas mati sebagai anak anjing dan, walaupun dengan penjagaan terbaik, anjing berkenaan mungkin tidak hidup melepasi usia 2–3 tahun.[5]

Anomali mata collie ialah keadaan resesif autosom yang disebabkan oleh suatu mutasi pada gen NHEJ1 yang menjejaskan collie dan baka berkaitan.[6]

Kerja dan sukan

[sunting | sunting sumber]

Collie licin dapat bersaing dalam ujian ketangkasan anjing, kepatuhan, kemahiran persembahan, flyball, penjejakan, pencarian dan penyelamatan, anjing pembantu, dan acara penggembalaan. Naluri dan kebolehlatihan penggembalaan dapat diukur dalam ujian penggembalaan tanpa persaingan. Collie licin yang menunjukkan naluri penggembalaan asasi dapat dilatih untuk bertanding dalam ujian penggembalaan.[7]

  1. ^ Jawi: کولي ليچين; bahasa Inggeris: smooth collie
  2. ^ Jawi: کولي بربولو ڤينديق
  1. ^ The Club. Smooth Collie Club of Great Britain. Dicapai pada 1 Jun 2024.
  2. ^ "FCI breeds nomenclature: COLLIE SMOOTH (296)" [Tatanama baka FCI: COLLIE LICIN (296)] (dalam bahasa Inggeris). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. Dicapai pada 1 Jun 2024.
  3. ^ a b "FCI-Standard N° 296 COLLIE (SMOOTH)" [Piawaian FCI No. 296 Collie Licin] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 15 September 2021. Dicapai pada 1 Jun 2024.
  4. ^ a b Breed standards: Collie (Smooth). London, United Kingdom: The Kennel Club Limited. Dicapai pada 1 Jun 2024.
  5. ^ "Cyclic Neutropenia | Gray Collie Syndrome | Animal Genetics" [Neutropenia Berkitar | Sindrom Collie Kelabu | Animal Genetics]. www.animalgenetics.eu (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Januari 2020. Dicapai pada 31 Januari 2024.
  6. ^ Oliver, James A. C.; Mellersh, Cathryn Suzanne (14 Disember 2020). "Genetics" [Genetik]. Dalam Cooper, Barbara; Mullineaux, Elizabeth; Turner, Lynn (penyunting). BSAVA Textbook of Veterinary Nursing [Buku Teks Kejururawatan Veterinar BSAVA] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-6). Gloucester, United Kingdom: British Small Animal Veterinary Association. m/s. 131. ISBN 9781910443392. OCLC 1197697572.
  7. ^ Hartnagle-Taylor, Jeanne Joy; Taylor, Ty (2010). Stockdog Savvy [Selok-belok Anjing Ternakan] (dalam bahasa Inggeris). Crawford, Colorado, Amerika Syarikat: Alpine Publications. ISBN 9781577791065. OCLC 456420606.

Bacaan lanjut

[sunting | sunting sumber]
  • Clark, Stella (1993). Rough & Smooth Collies [Collie Kasar dan Collie Licin] (dalam bahasa Inggeris). Lydney, Gloucestershire, United Kingdom: Ringpress Books. ISBN 9780948955822. OCLC 29357941.
  • Collie Club of America (1983). The New Collie [Collie Baharu] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Howell Book House. ISBN 9780876051306. OCLC 8928882.
  • Dorsten, Cindy M. (2002). A Celebration of the Working Collie [Perayaan Collie Pekerja] (dalam bahasa Inggeris). Loveland, Colorado, Amerika Syarikat: Alpine Publications. ISBN 9781577790013. OCLC 46858890.
  • Welton, Michele (15 Oktober 2000). Your Purebred Puppy: A Buyer's Guide [Anak Anjing Baka Tulen Anda: Panduan Pembeli] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). New York, New York, Amerika Syarikat: Henry Holt and Company. ISBN 9780805064452. OCLC 43552835.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]