Isnin, 3 Jun 2013

Pemandu bas sekolah cedera ditembak


BUTTERWORTH: Seorang pemandu bas sekolah cedera di kaki kanan akibat terkena tembakan di hadapan rumahnya di Taman Merbau, Sungai Dua di sini, tengah malam tadi. 

Dalam kejadian jam 12.21 malam itu, mangsa Chin Sai Yoke, 51, baru memakir basnya di hadapan rumah, sebelum didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal dan secara tiba-tiba melepaskan lima das tembakan ke arahnya. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim, berkata suspek dipercayai menggunakan pistol jenis semiauto dan polis turut menemui lima kelongsong peluru di lokasi kejadian. 



"Sebutir peluru mengenai kaki kanannya manakala empat das lagi tersasar terkena bas. Lelaki itu sedang dirawat dan berada dalam keadaan stabil," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Beliau berkata, polis masih menyiasat motif kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berdekatan. - BERNAMA

Mesin ATM dipecah, rugi RM200,000


PASIR MAS – Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bersebelahan Bangunan Tabung Haji Pasir Mas di sini dipecah perompak menyebabkan kerugian lebih RM200,000 awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, kejadian tersebut disedari pada pukul 8.30 pagi oleh orang awam yang dipercayai mahu menggunakan perkhidmatan mesin berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek menggunakan gas Oxy-Acetylene untuk memecahkan mesin ATM tersebut.

“Pemeriksaan mendapati di dalam mesin itu mengandungi wang tunai berjumlah RM217,950,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Mazlan, pihaknya sedang meneliti televisyen litar tertutup di kawasan kejadian bagi membantu siasatan selain kesan cap jari.

Sementara itu, seorang pemilik kedai bersebelahan, Lim Chung Yau memberitahu, dia mengetahui mengenai kejadian itu pada pukul 9 pagi sebaik tiba di premisnya untuk memulakan operasi perniagaan.

“Khamis lalu saya tutup kedai pada pukul 6 petang manakala semalam (Jumaat) semua premis ditutup namun saya tidak nampak kelibat orang yang mencurigakan,” katanya.

Menurut Chung Yau, kejadian tersebut adalah yang pertama dilaporkan berlaku di kawasan tersebut sejak dia mula berniaga kira-kira 12 tahun lalu.

Bekas penyampai radio memfailkan saman terhadap Polis


ALOR SETAR - Seorang bekas penyampai radio memfailkan saman terhadap lima pegawai polis dan kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin lalu kerana mendakwa ditahan dan digari tanpa perintah reman mahkamah di lokap Balai Polis Kota Setar awal tahun lalu.

Saadon Awang, 47, menamakan Inspektor Aida, Inspektor Amirul, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Setar, Ketua Polis Daerah Kota Setar dan Ketua Polis Kedah masing-masing sebagai defendan pertama hingga kelima. 

Saadon selaku plaintif turut menamakan kerajaan Malaysia sebagai defendan. Kesemua defendan didakwa melanggar Artikel 5(4) Perlembagaan Persekutuan.


Kematian Dharmendran: Empat Pegawai Polis Digantung Tugas

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri mengarahkan penggantungan empat anggota polis yang didakwa terbabit dalam kematian seorang tahanan lokap, N. Dharmendran baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa pihaknya tidak akan melepaskan mana-mana individu yang bertanggungjawab terhadap kematian dalam tahanan, terutamanya jika proses siasatan dilakukan dengan menggunakan kaedah di luar prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan pasukan itu.
"Ya, ia sedang dilakukan," katanya bagi mengesahkan bahawa empat pegawai polis akan digantung daripada menjalankan tugas.
Awal minggu lalu, polis mendedahkan bahawa empat anggotanya yang terbabit dalam kematian Dharmendran ditukarkan ke unit lain sementara menunggu siasatan kes itu selesai.
Bagaimanapun langkah itu tetap mencetuskan kemarahan orang ramai apabila wujud gesaan yang menuntut agar tugas mereka digantung serta-merta.
Dalam kejadian pada 21 Mei lalu, Dharmendran, 32, yang ditahan bersama tiga lagi rakannya di lokap Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, disahkan meninggal dunia setibanya di Hospital Kuala Lumpur selepas mengadu sesak nafas.
Bedah siasat yang dijalankan oleh pegawai perubatan mendapati terdapat unsur-unsur jenayah dalam kematian tahanan tersebut.

Lelaki warga Myanmar maut ditetak 10 lelaki

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Myanmar maut akibat ditetak dalam kejadian di Jalan Merdeka Ria 3, Kampung Baru Ampang di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Md. Nazri Zawawi berkata, kejadian berlaku pukul 7.30 pagi ketika mangsa yang bekerja di sebuah premis mencuci kereta, sedang tidur di premis tempat kerjanya.
"Siasatan awal mendapati mangsa yang berusia lewat 20-an itu diserang sekumpulan lebih 10 lelaki bersenjatakan parang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, polis menerima panggilan menyatakan ada pergaduhan, dan apabila tiba di lokasi kejadian polis menemui mayat mangsa dalam keadaan meniarap kira-kira 100 meter daripada tempat dia diserang.
"Polis percaya mangsa mati akibat terkena satu tetakan masing-masing di bahagian leher, rusuk dan bahagian belakang badan," katanya. - Bernama



Lelaki Indonesia ditemui mati dengan perut terburai

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR 3 Jun - Mayat seorang lelaki Indonesia ditemui dalam keadaan yang mengerikan dengan perutnya terburai dipercayai dibunuh di Jalan Residen Utama, Desa Park City di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang itu, lelaki berusia 30-an berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian selepas perutnya dirobek dan luka di bibir, dagu serta belakang badan.

Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai pekerja elektrikal dengan sebuah syarikat sub kontrak dalam perjalanan pulang ke rumahnya kira-kira satu kilometer dari tempat kerjanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Othman Abu Bakar berkata, mangsa dipercayai diserang dua lelaki senegara menggunakan kerambit.

``Senjata itu digunakan berdasarkan penemuan sarung yang ditemui tidak jauh dari mayat mangsa,’’ katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...