Edup3033: Murid Dan Pembelajaran
Edup3033: Murid Dan Pembelajaran
Edup3033: Murid Dan Pembelajaran
1.0 PENGENALAN
Dalam bidang pendidikan terutama apabila meniti arus kemodenan yang pesat membangun,
guru perlulah sentiasa memahami murid-murid yang berada dalam kelas mereka terutamanya dari
segi perbezaan individu bagi membolehkan pembelajaran secara kondusif berlaku. Perbezaan
individu ini merangkumi dari aspek pemikiran, tindakbalas, minat dan kecerderungan, pencapaian
dan pemahaman (Muhammad Dzharil Shah& Noor Raudhiah, 2017). Manakala menurut Khairul Yusri
(2007), perbezaan individu bermaksud variasi atau ketidaksamaan individu daripada norma
kumpulannya sama ada dari segi kognitif, emosi, fizikal, moral, tingkah laku, sosial atau bakat.
Setelah perbezaan individu dikesan guru boleh merancang pengajaran terhadap pembelajaran murid
berteraskan teori-teori pembelajaran yang telah dikemukakan. Pembelajaran boleh dedefinisikan
sebagai proses pemerolehan maklumat dan pengetahuan,penguasaan kemahiran dan tabiat serta
pembentukan sikap dan kepercayaan (Ishak, 2009). Oleh itu, semasa proses pembelajaran dan
pemudahcaraan terdapat beberapa teori pembelajaran utama masa kini yang boleh diaplikasikan
iaitu behavioris, kognitif, konstruktivis dan humanistik.
2.0 PERBEZAAN INDIVIDU YANG TERDAPAT DALAM VIDEO DAN PERBINCANGAN TENTANG
TEORI PEMBELAJARAN YANG SESUAI KEPADA PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN.
Berdasarkan video yang diperhatikan, sebahagian murid kelihatan ceria dan gemar untuk
berkomunikasi apabila berada dalam kumpulan kecil atau berinteraksi dalam pasangan. Mereka
memulakan percakapan antara satu sama lain sambil melihat lembaran kerja yang berada di atas
meja mereka. Perbincangan yang dilaksanakan adalah agak lama dan komunikasi secara dua hala
tersebut berlaku secara berterusan. Hal ini menunjukkan murid-murid dari segi perbezaan individunya
mereka terdiri daripada golongan yang mempunyai gaya pembelajaran Dun & Dun secara
sosiologikal. Menurut Boon, Noriati & Sharifah Fakhriah (2017), murid yang mementingkan
sosiologikal adalah mereka yang memilih pembelajaran secara individu, berpasangan, dalam
kumpulan atau bersama guru. Pembelajaran secara pasangan ataupun kumpulan telah menunjukkan
berlakunya interaksi sosial semasa pembelajaran dan pemudahancaraan berlangsung (pdpc). Dalam
situasi ini, teori Konstruktivisme menerusi Lev Vygostsky (1879-1935) boleh diaplikasikan kepada
murid-murid.
Menurut Aznan & Mohd Ghani (2015), Vygotsky mempercayai bahawa apabila individu
berada dalam Zon Perkembangan Prosimal pada tahap bawah iaitu masih belum berlakunya
pembelajaran tentang sesuatu, individu itu memerlukan bantuan orang lain untuk membantunya
melonjakkan kepada tahap perkembangan berpotensi. Maka contoh cara pdpc yang boleh
diketengahkan oleh guru ialah dengan melakukan aktiviti pembelajaran secara penggabungan antara
pelajar yang mahir dan kurang mahir tentang tajuk pembelajaran pada hari tersebut. Untuk tajuk
Proses Pernafasan Manusia dalam DSKP Tahun 4 misalnya guru boleh memberikan kad tugasan
untuk menyelesaikan masalah dalam kumpulan dan sistem mata ganjaran untuk kumpulan diberikan
apabila mereka berjaya melakukan tugasan dengan baik. Kaedah penyelesaian masalah merupakan
satu kaedah pembelajaran aktif yang menggalakkan murid yang mahir untuk memberikan tunjuk ajar
dan perkongsian idea berlaku antara mereka (Sarimah, 2010). Penyelesaian masalah membolehkan
mereka untuk membantu antara satu sama lain dan boleh berlakunya peniruan dari segi sikap dan
nilai positif yang ditunjukkan oleh murid yang mahir. Manusia belajar secara semula jadi melalui
proses peniruan atau pemerhatian iaitu dengan melihat cara orang lain melakukan sesuatu setelah
mendapat ganjaran daripada perlakukan atau melihat orang menerima hukuman daripada perlakuan
(Bandura,1979).Jelaslah bahawa memerhatikan gerak kerja murid yang lebih mahir tersebut ialah
proses peniruan berdasarkan Teori Pembelajaran Albert Bandura dan ganjaran yang diperoleh
merupakan tindakan susulan yang boleh menyumbang kepada peneguhan dalam pembelajaran
kepada murid ini.
Berdasarkan video ini terdapat dua orang pelajar yang sedang mewarna dan melukis
menggunakan kombinasi pensil warna yang berbeza. Penggunaan gambar dan alatan ini
menunjukkan perbezaan murid dari segi kecerdasan pelbagai dalam domain kecerdasan visual
ruang. Menurut Wan Rezawan, Tajul Arifin& Melor (2018), kecerdasan visual ruang merupakan
kecerdasan yang membolehkan individu menerima imej dan maklumat visual dengan tepat. Apabila
murid tersebut mewarna mereka merupakan golongan yang bijak dalam menggunakan warna dan
ruang pada kertas tersebut. Menurut Siti Kausar (2016), kecerdasan visual ruang yang ditunjukkan
boleh merujuk kepada satu pemikiran yang mencapah dan menyumbang kepada pemikiran kreatif
dan inovatif. Oleh itu, strategi pdpc yang boleh dilaksanakan oleh guru adalah berteraskan Teori
Pembelajaran Kognitif menerusi David Ausebel (1981-2008).
Menurut Boon, Noriati & Sharifah Fakhriah (2017) berdasarkan Ausubel, maklumat akan
diperoleh menerusi pembelajaran hafalan dan pembelajaran bermakna. Untuk murid yang
mempunyai kecerdasan visual ruang pembelajaran bermakna adalah lebih sesuai kerana murid
dapat mengkaitkan maklumat baru dari gambar dengan kemahiran sedia ada seperti melukis dan
mewarna. Sebagai contohnya, menerusi tajuk cara haiwan melindungi diri dalam DSKP Sains Tahun
4, guru boleh menunjukkan animasi video haiwan yang mempunyai ciri dan warna yang berbeza
seperti landak hitam mempunyai duri tajam, lembu coklat mempunyai tanduk dan salamander hijau
berubah warna apabila bergerak dari satu tempat ke tempat. Setelah video ditayangkan, guru boleh
menyediakan kertas untuk mereka melukis apa yang mereka fahami tentang video yang dilihat.
Sekiranya pelajar mampu untuk melukis tanduk dan duri, ini menunjukkan penerimaan ilmu berlaku.
Proses menvisualiasi tersebut membawa kepada pembinaan pengetahuan yang dilihat dan dicerap
ke dalam minda secara aktif (Fatimah, 2015). Maka Advance Organizer (OA) ekspositori berbentuk
video membolehkan pelajar membuat perkaitan antara haiwan, warna dan lukisan dalam bentuk
pemahaman ingatan jangka panjang misalnya landak yang warnanya hitam memiliki duri yang tajam
untuk melindungi diri setelah mereka melukisnya dan hasil ditunjukkan kepada guru mahupun rakan-
rakan. AO eskpositori ialah satu maklumat umum yang diberikan maklumat sebelum pembelajaran
khusus agar maklumat bahari dapat diserap dengan mudah (Ausubel, 1968). Oleh itu, AO yang
mempunyai kesinambungan dengan domain kecerdasan ruang dapat membantu murid untuk lebih
faham dan menghasilkan kepuasan semasa pembelajaran berlaku.
Seterusnya berdasarkan video, terdapat pelajar yang suka bersendirian dan melentokkan
kepala semasa melakukan tugasan yang diberikan. Ekspresi wajah mereka juga menunjukkan
mereka kurang berminat untuk terlibat dalam pdpc yang telah dijalankan oleh guru. Mereka
cenderung untuk membuat kerja sendiri tanpa menghiraukan persekitaran termasuklah guru atau
rakan di sekeliling. Berdasarkan perlakukan ini tersebut, murid-murid dapat dikelaskan kepada murid
yang mempunyai masalah dari segi kecerdasan emosi. Menurut Coleman (1995), kecerdasan emosi
ialah keupayaan mengenal pasti perasaan kita dan perasaan orang lain, memotivasikan diri sendiri,
menguruskan emosi dengan baik dalam diri sendiri dan dalam perhubungan dengan orang lain. Rasa
mengantuk dan rasa ingin menyendiri bagi pelajar tersebut sebenarnya merupakan salah satu
kegagalan dalam memotivasikan diri dan menguruskan emosi untuk terus pempelajari sesuatu tajuk
dan menglibatkan diri dalam sesi pdpc Hal ini akan memberikan kesan terhadap suasana
pembelajaran. Maka dengan itu guru seharusnya melaksanakan pdpc melalui pendekatan teori
pembelajaran Humanistik oleh Ibrahim Maslow (1908-1970).
Menurut Maslow (1943), keperluan fisiologi dan keperluan psikologi perlu dipenuhi terlebih
dahulu agar seseorang itu bermotivasi untuk mengembangkan potensi diri, belajar perkara yang baru,
memanipulasikan keupayaan diri sepenuhnya serta mencabar diri untuk melakukan yang terbaik.
Untuk mengatasi masalah ini, guru perlulah memastikan pelajar ini mendapat keperluan kekurangan
mereka terlebih dahulu semasa pdpc berlangsung bermula dari sesi set induksi dan sehingga
penutup. Sebagai contohnya, pada awal sesi pembelajaran guru hendaklah memberikan perhatian
kepada semua murid dengan bertanyakan khabar dan seterusnya untuk murid-murid ini guru perlu
bertanyakan khabar secara terus dengan menyebut nama-nama mereka misalnya “Ali sihat hari ini?”.
Pertanyaan sebegini memberikan impak yang positif terhadap keperluan kekurangan mereka dari
segi keperluan kasih sayang dan penerimaan sebagai individu yang memiliki potensi berlaku.
Manusia berusaha untuk mencari kepuasan dalam setiap aspek kehidupan mereka termasuklah
kepuasan asas mereka iaitu keperluan untuk makan dan minum, rehat dan interaksi sosial
(Arman,Ridzuan, &Razlina ,2018). Manakala seterusnya semasa sesi perkembangan pdpc berlaku,
guru hendaklah memberikan peluang untuk murid-murid untuk melaksanakan sebarang aktiviti
seperti melaksanakan hands on. Dalam DSKP Sains Tahun 1, murid -murid mempelajari tentang
bentuk-bentuk asas seperti bulat, empat segi sama, empat segi tepat dan segi tiga. Berdasarkan
bentuk yang dipelajari berikan tugasan mengelaskan bentuk yang terdapat dalam gambar istana.
Aktiviti ini akan membuka ruang kepada mereka untuk melontorkan idea dan mengembangkan
potensi diri terutama dalam memulakan komunikasi dengan rakan-rakan terutamanya. Setelah murid
tersebut berjaya, guru hendaklah memberikan pujian kepada kumpulan mereka dan memuji
perubahan positif yang berlaku seperti “Wah, sungguh bagus kumpulan Ali hari ini.!” Pujian tersebut
telah menaikkan peringkat keperluan kekurangan dari peringkat tiga iaitu keperluan kasih sayang
kepada keperluan penghargaan yang berada pada peringkat keempat. Rasa dihargai dan perasan
ingin saling hormat menghormati antara guru dan pelajar akan mula dibina (Aznan, Mohd Zuri, 2015).
Maka perasaan ini mendorong murid untuk berlakunya pembelajaran berkesan kerana perubahan
dari segi tingkah laku iaitu daripada murid yang suka bersikap menyendiri kepada murid yang suka
bergaul melaksanakan tugasan.
3.0 PENUTUP
Secara tuntasnya, murid-murid memiliki perbezaan yang unik dari segi jasmani, emosi, rohani,
intelek dan tahap sosialnya. Maka guru hendaklah sentiasa peka akan perubahan atau kelakuan
murid-murid signifikannya semasa menjalani sesi pengajaran dan pemudahcaraan agar
pembelajaran boleh berlaku dengan lancar. Guru hendaklah bijak dalam mengatur strategi
pengajaran untuk memastikan perbezaan individu dalam kalangan murid tidak menjadi penyebab
objektif pembelajaran tidak dapat dicapai secara holistik oleh murid-murid dalam kelas tersebut.
Perlaksaan untuk menggabungjalinkan teori pembelajaran dan pendekatan pengajaran haruslah
diselarikan dengan perkembangan teknologi masa kini agar pendidikan yang diberikan dapat
menyediakan mereka menghadapi alam dewasa kelak. Maka guru yang memenuhi keperluan
perbezaan individu di bilik darjah bakal melahirkan murid-murid yang memiliki pemikiran kelas
pertama dan diharap dapat membantu merealisasikan aspriasi Falsafah Pendidikan Negara iaitu
dapat melahirkan murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.
Rujukan
Abraham Maslow. (1943). A Theory of Human Motivation. New York: MidWest Journal
Press
Arman Ahmad, Ridzuan Masri & Razlina Abd Rani. (2018). Teori Maslow Dalam Konteks
Memenuhi Keperluan Asas Pekerja Dan Peranannya DalamMeningkatkan Prestasi
Organisasi: Kajian Dan Perspektif Islam. Jurnal Hadhari 10 (1), 1-27.
Ausubel, D. (1968). Educational psychology A cognitive view. New York: Library of congress
catalog United States.
Aznan Che Ahmad & Mohd Zuri Ghani. (2015) Kaedah dan Strategi Pengajaran Kanak-Kanak
Berkeperluan Khas. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.
Fatimah Ismail & Normah Zakaria (2015). Kemahiran menvisualisasi ruang dalam kalangan pelajar
bagi mata pelajaran Pendidikan Seni Visual (Doctoral dissertation, Universiti Tun Hussein Onn
Malaysia).
Ishak Baba. (2009). Keberkesanan dan Pembelajaran dan Kaitannya Terhadap Prestasi
Akademik UTHM. Fakulti Pendidikan. Johor: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Khairul Yusri. (2007). Pelan Induk Pendidikan (PIPP), Kementerian Pengajaran Pelajaran
Malaysia, Malaysia
Melor Md Yunus, Wan Rezawan Wan Daud& Tajul Arifin Muhamad (2018) Hubungan
Kecerdasan Pelbagai Dengan Sikap terhadap Sukan Pelajar Pintar Cerdas Akademik. Jurnal
Pendidikan Malaysia 43(3) SI (2018): 39-47.
Muhammad Dzharil Shah Adzarin & Noor Raudhiah Abu Bakar (2017). Hubungan Antara
Personaliti, Gaya Pembelajaran, Faktor Persekitaran Dan Keagamaan Dengan Pencapaian
Akademik Dalam Kalangan Pelajar Ipts Selangor. Proceeding of 2nd International Conference
on Law, Economics and Education (ICONLEE). Grand Bluewave Hotel Shah Alam, 13-14
Disember.
Noriati A. Rashid, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad & Ying B.P (2017). Murid dan
Pembelajaran. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn Bhd.
Sarimah Ismail. (2010). Aplikasi Kaedah Penyelesain Masalah Dalam Pengajaran Kursus
Asas Penyediaan Makanan dan Pemakanan. Fakulti Pendidikan. Skudai: Universiti
Teknologi Malaysia.
Siti Kausar Zakaria. 2016. Profail kecerdasan pelbagai, gaya pembelajaran dan kemahiran
insaniah pelajar FPI UKM. Tesis Dr. Fal. Fakulti Pendidikan. Universiti Kebangsaan Malaysia.