Cuba tanya kepada kawan-kawan yang anda kenal. Berapa ramai yang ada keinginan untuk berhenti kerja dan buat perniagaan sendiri secara sepenuh masa. Anda tentu akan dapati majoritinya memang ada hasrat nak jadi usahawan, punya syarikat perniagaan mereka sendiri. Dan saya yakin yang anda sendiri pun tentu ada impian yang sama.
Dulu saya rajin hasut orang supaya jadi usahawan. Orang utara kata 'perangat' orang yang makan gaji untuk berhenti kerja dan berniaga. Setiap artikel yang saya tulis sentiasa ada elemen memberikan semangat dan galakan agar pembaca berhenti kerja dan berniaga. Itu dulu ..
Sekarang saya sudah ubah pandangan terhadap jadi usahawan. Selepas bergelumang dalam dunia perniagaan saya sendiri, ter-ceburkan diri jadi coach membimbing usahawan lain, jadi penceramah kursus keusahawanan, dah bertemu dengan lebih 6 ribu usahawan di seluruh Malaysia, saya mula melihat dunia usahawan dengan seribu satu masalah dan cabarannya dalam sudut yang berbeza.
Saya rumuskan bukan semua orang perlu jadi usahawan. Maksudnya, dunia keusahawanan ini bukan untuk semua orang. Jika anda ada kemahiran dan ada syarikat atau majikan yang sanggup bayar gaji yang baik terhadap kemahiran itu, untuk makan gaji dengannya, itu adalah jauh lebih baik dari berniaga. Elok pergi kerja makan gaji saja.
Lebih-lebih lagi jika anda sudah punya kerjaya yang baik yang anda suka, halal, dapat pula melaksanakan kerja dengan cemerlang, bayaran mencukupi untuk melunaskan semua kewajiban dan tanggung jawab anda, dalam keadaan itu, teruskan saja makan gaji sebab ia 100 kali ganda lebih baik dari berhenti kerja tak tentu pasal sebab nak cuba jadi usahawan.
Perkara bisnes ni bukan perkara untuk dicuba-cuba. Melainkan anda memang berketurunan hartawan duit bertimbun 7 keturunan makan tak habis, ok lah kalau nak main cuba-cuba. Selain dari itu, fikir terlebih dahulu dengan mendalam dan pastikan anda benar-benar yakin dengan apa yang anda nak buat.
Berjaya dalam bisnes adalah satu anugerah. Banyak dibantu oleh nasib yang baik sebab sesebuah perniagaan hanya akan berjaya apabila anda ada produk yang betul, ditawarkan pada masa yang betul, dengan harga yang betul, kepada pasaran yang betul. Semua itu perlu tersusun lurus seperti beraturnya segala bintang di cakerawala untuk menjadikan bisnes anda meletup dengan kejayaan. Apa lagi yang anda boleh namakan fenomena itu jika bukan nasib baik?
Satu lagi perkara penting dalam jadi usahawan ini adalah keupayaan untuk jadi pemimpin yang orang nak ikut. Ada pendapat yang percaya anda boleh belajar untuk jadi pemimpin. Ada yang percaya pemimpin adalah bakat yang ada dalam genetik atau satu anugerah dan bukan perkara yang boleh dipelajari.
Saya cenderung kepada teori ke-2, iaitu, anda dilahirkan dan membesar dengan bakat kepimpinan yang memang dah ada dalam diri. Biasanya pemimpin ni bukan orang seni, dia juga bukan jenis suka kerja seorang diri. Itu sekadar contoh. Anda sendiri perlu buat refleksi selama perjalanan hidup anda setakat ini adakah anda rasa ada bakat dalam menjadi pemimpin?
Kalau tak ada, teruskan makan gaji saja.
Kalau berniaga dalam keadaan suam-suam kuku, bisnes yang sama seperti semua pesaing yang ada, hidup segan mati tak mahu, tak perlulah berniaga. Percayalah cakap saya bahawa anda masih dapat hidup dengan baik dengan makan gaji dan gigih berusaha agar boss sayang dan melaksanakan semua tanggung jawab dengan cekap.
Bina keyakinan berniaga
Bila dah fikir baik-baik dan anda dapati tak ada apapun yang nak dirugikan jika berhenti kerja dan berniaga. Malah anda rasa risau takut mati putih mata sebab tak mencuba untuk jadi usahawan pulak setelah dah puas menguji prestasi diri sebagai pekerja makan gaji. Maka anda perlu mula bina kekuatan untuk berpindah ke dunia baru.
Dalam kehidupan ini, antara perkara yang sangat sukar untuk dilakukan adalah buat perubahan. Dah selesa selama ini, boleh pergi kerja dan buat semua tugasan secara pejam mata saja, tiba-tiba nak ubah semua itu dengan meletakkan jawatan dan masuk dunia baru. Ini merupakan halangan besar yang membantutkan keyakinan anda untuk teruskan hasrat berhenti kerja.
Keyakinan yang rendah itu biasanya disebabkan oleh persediaan diri bagi melepaskan keselesaan yang sedia ada itu tidak dilakukan dengan rapi atau mungkin langsung tidak ada.
Untuk itu, berikut saya berikan sedikit pedoman sebagai persediaan diri sebelum terus melakukan langkah berani meletakkan jawatan dari makan gaji. Perkara ini penting agar anda tidak menyiksa diri ke tahap yang parah dan seterusnya merasa kesal dengan tindakan anda melepaskan jawatan berhenti kerja.
Langkah berhenti kerja
Sila baca dan cuba laksanakan segala langkah di bawah ini sebelum berhenti kerja untuk berniaga.
- Pastikan dah ada idea untuk menjalankan perniagaan apa. Ini cukup penting. Malah merupakan satu syarat utama untuk menjadi usahawan. Anda perlu faham bahawa, sebab utama berniaga adalah "kerana anda ada sesuatu yang mahu ditawarkan". Jika tiada tawaran berbentuk sesuatu yang punya nilai, yang dapat selesaikan masalah, yang pelanggan boleh dapatkan, maka tidak akan ada perniagaan.
- Mula kumpulkan maklumat secara aktif terhadap idea perniagaan anda. Saya tidak maksudkan menyediakan kertas kerja untuk mendapatkan pinjaman. Apa yang perlu disediakan adalah maklumat jaringan, kedudukan pesaing, apa yang ditawarkan oleh pesaing dan apakah peluang yang masih kosong untuk anda mencelah.
- Mula buat persedian untuk melepaskan komitmen kewangan yang tinggi. Ini anda boleh lakukan dengan menyenaraikan kesemua komitmen yang ada. Berapa tanggungan anda sebulan. Cantas dan ringkaskan semuanya sehingga kepada hanya perkara asas yang diperlukan sahaja seperti:
- Perlindungan asas. Jika sewa rumah mahal, mula urus untuk pindah ke rumah yang lebih murah. Jika sudah beli rumah, bincang untuk penjadualan semula dengan pihak bank agar bayaran bulanan lebih rendah.
- Kesihatan dan makan minum asas. Mula berhemah dalam bab makan. Satu jenis lauk dan sejenis sayur sudah mencukupi. Pilih makan di rumah daripada di luar. Fikirkan bekal ke sekolah atau ke tempat kerja. Berhenti merokok, penjimatan berbaloi!.
- Pendidikan asas. Jika anak-anak ke sekolah swasta, mula pindahkan ke sekolah kerajaan yang lebih murah. Fikirkan semula kelas tambahan anak-anak dan juga kelas lain seperti seni dan sebagainya perlu dihentikan.
- Buang ego. Ini perkara paling susah yang telah buatkan ramai gagal bila berhenti kerja dan berniaga. Orang pandang tinggi selama ini sebab kerja bagus, jawatan baik, hidup senang, dan semua nak dengar bila anda bagi idea atau nasihat. Anda mahu semua keadaan itu kekal walaupun selepas kerja sendiri. 99.9% dari apa yang anda dah kecapi selama ini akan hilang sekelip mata. Ingat pesan saya itu baik-baik. Rendahkan status ketika masih makan gaji adalah strategi yang terbaik untuk kuasai ego tinggi yang dah naik minyak melampau tu.
- Biasakan diri berbelanja dengan kedekut dengan tinggalkan segala yang tidak perlu. Ini adalah asas menjalani kehidupan serba ringkas. Berbelanja hanya pada perkara yang mendatangkan faedah untuk mencapai matlamat saja. Jangan berbelanja hanya sekadar untuk kepuasan diri.
- Simpan segala lebihan duit yang ada. Dengan kembali kepada kehidupan asas, anda mampu mempunyai lebihan wang yang banyak. Jangan gunakannya, sebaliknya simpan sebagai persediaan payung di masa hari hujan nanti.
- Cari tilam pelindung untuk sebagai penyelamat jika anda terjatuh. Contohnya adalah dapatkan kenalan dan rapatkan diri bersama mereka yang banyak duit, mereka yang ada banyak sumber modal lain seperti kenalan, kemahiran, pengetahuan dan sebagainya. Mereka boleh ditawarkan sebagai rakan niaga atau pelabur, apabila anda sudah bersedia untuk menjadi usahawan secara sepenuh masa nanti.
- Cuba cari syarikat yang pemiliknya nak jual. Jika ada syarikat dalam industri perniagaan yang anda mahu lalukan itu, mahu dijual, usahakan untuk membelinya. Ini lebih mudah daripada memulakan perniagaan dari kosong. Biasanya jika syarikat itu tak ada masalah, harganya tinggi. Jika bermasalah, harganya rendah. Bawa cadangan kepada ’tilam’ anda di atas tadi dan yakinkan mereka bahawa anda mampu pulihkan syarikat tersebut hingga berjaya atau lebih berjaya.
- Berikan tempoh muktamad bila anda akan berhenti. Jangan sekadar berangan-angan tanpa penetapkan masa bila anda akan mula berniaga. Anda akan terus makan gaji jika tidak ada tempoh masa yang ditetapkan. Gunakan tempoh tersebut untuk menyesuaikan diri dengan pendapatan yang minimum dan simpan selebihnya.
- Aktif menghadiri seminar perniagaan atau kepimpinan. Ini membantu untuk meluaskan jaringan anda. Aktiviti membina jaringan ini amat penting bila anda mula berniaga secara sepenuh masa nanti.
- Minta pertolongan pada yang Maha Kuasa. Banyakkan berpuasa sunat. Cuba amalkan sampai jadi kebiasaan. Bila berpuasa, anda lebih dekat kepada Tuhan, ketika itu minta padaNya. Minta Tuhan tolong tunjukkan jalan yang terbaik, bisnes yang baik dan pilihan yang baik. Berdoa dan berdoa jangan putus. Minta apa yang anda mahu dengan terperinci. Tulis skrip doa tersebut dan sering amalkan setiap kali selepas solat dan sebelum tidur. Jika berniaga memang sesuai buat anda, tentu akan dapat idea baik. Jika tidak, Tuhan akan berikan kesedaran bahawa berniaga bukanlah apa yang anda inginkan. Maka terus saja makan gaji.
Demikianlah 11 pedoman yang boleh anda lakukan sebagai persediaan untuk berhenti kerja dan berniaga. Semua yang saya kongsikan di atas adalah perkara-perkara yang saya lakukan dahulu sebelum berhenti kerja dan berniaga.
Moga ada manfaatnya !
Betul apa yang diperkatakan melalui penulisan ini. Saya sendiri pernah nak berhenti kerja sebab nak main kripto namun dinasihati untuk tidak berbuat demikian oleh sifu kripto sendiri. Salam perkenalan dr saya tuan tanah
ReplyDeleteTerima kasih Encik Hafiz atas sokongan dan sudi komen.
DeletePada usia begini dan banyak komimen untuk membesarkan anak ..saya belum sanggup untuk jadi usahawan sepenuh masa...bersyukur saja dengan makan gaji yang saya nikmati sekarang ...banyak masa juga untuk beribadah alhamdulillah
ReplyDeleteAlhamdulillah! yang penting ada sumber pendapatan untuk tunaikan kewajiban.
Delete