Academia.eduAcademia.edu

Faktor kegagalan pelajar PPG sains

2011

Salah satu usaha Kementerian Pelajaran Malaysia ke arah memartabatkan profesion perguruan adalah dengan melaksanakan Program Pensiswazahan Guru (PPG) yang bertujuan untuk memastikan guru-guru mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya di peringkat ijazah sarjana muda. Institut Pendidikan Guru (IPG) telah diberi mandat untuk melaksanakan program ini bermula pada Jun 2011 dengan agihan kepada 27 IPG di seluruh Negara. IPG Kampus Pendidikan Teknik telah diberi peluang melaksanakan program ini dengan pemberian sebanyak 4 kumpulan pelajar Sains. Keputusan peperiksaan semester 1 amat memeranjatkan pihak pengurusan IPG. Justeru IPG Kampus Pendidikan Teknik telah memulakan langkah proaktif dalam menjalankan satu kajian yang mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi kegagalan pelajar PPG kohort 1 dalam peperiksaan semester 1 mereka. Soalan kajian adalah untuk melihat apakah faktor-faktor yang menyebabkan pelajar PPG Sains Ambilan Jun 2011 di IPG Kampus Pendidikan Teknik gagal dalam peperiksaan semester 1? Kajian ini dijalankan dengan menggunakan satu set soalan refleksi yang mengandungi soalan-soalan jenis terbuka dan peserta kajian adalah terdiri daripada pelajar PPG kohort 1. Seramai 65 orang pelajar telah tampil dan menjawab soalan refleksi tersebut dan dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor-faktor yang menyebabkan kegagalan mereka adalah kurikulum yang terlalu mendalam dan sistem pentaksiran yang rumit, kursus-kursus yang dilaksanakan, masalah peribadi, peranan pensyarah dan rakan sekuliah yang jauh antara satu sama lain.

FAKTOR-FAKTOR KEGAGALAN DALAM PEPERIKSAAN SEMESTER 1 BAGI PELAJAR PPG SAINS PENDIDIKAN RENDAH AMBILAN JUN 2011 DI IPG KAMPUS PENDIDIKAN TEKNIK Ellyza bt Karim & Dr Rosmawati Shaharuddin Jabatan Sains, IPG Kampus Pendidikan Teknik ABSTRAK Salah satu usaha Kementerian Pelajaran Malaysia ke arah memartabatkan profesion perguruan adalah dengan melaksanakan Program Pensiswazahan Guru (PPG) yang bertujuan untuk memastikan guru-guru mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya di peringkat ijazah. Institut Pendidikan Guru (IPG) telah diberi mandat untuk melaksanakan program ini bermula pada Jun 2011 dengan agihan kepada 27 IPG di seluruh Negara. IPG Kampus Pendidikan Teknik telah diberi peluang melaksanakan program ini dengan pemberian sebanyak 4 kumpulan pelajar Sains. Keputusan peperiksaan semester 1 amat memeranjatkan pihak pengurusan IPG. Justeru IPG Kampus Pendidikan Teknik telah memulakan langkah proaktif dalam menjalankan satu kajian yang mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi kegagalan pelajar PPG kohort 1 dalam peperiksaan semester 1 mereka. Soalan kajian adalah untuk melihat apakah faktor-faktor yang menyebabkan pelajar PPG Sains Ambilan Jun 2011 di IPG Kampus Pendidikan Teknik gagal dalam peperiksaan semester 1? Kajian ini dijalankan dengan menggunakan satu set soalan refleksi yang mengandungi soalan-soalan jenis terbuka dan peserta kajian adalah terdiri daripada pelajar PPG kohort 1. Seramai 65 orang pelajar telah tampil dan menjawab soalan refleksi tersebut dan dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor-faktor yang menyebabkan kegagalan mereka adalah kurikulum yang terlalu mendalam dan sistem pentaksiran yang rumit, kursus-kursus yang dilaksanakan, masalah peribadi, peranan pensyarah dan rakan sekuliah yang jauh antara satu sama lain. ABSTRACT One of the Ministry of Education endeavour is to elevate the prestige of the teaching profession by implementing the Program Pensiswazahan Guru (PPG) with the purpose to ensure that the teachers have at least a degree qualification. Teacher Education Institute (IPG) was given the mandate to carry out the programme starting from Jun 2011 throughout 27 IPG campus in Malaysia. IPG Kampus Pendidikan Teknik was given the opportunity to run the programme with 4 groups of science student intakes. The result’s of the first semester was so surprising to IPG management. That is why IPG Kampus Pendidikan Teknik started the proactive step to study the factors that influence the failure of cohort 1 PPG students. The research question is to look what are the factors causing the failure in semester 1 exam. This study was carried out using one set of reflection forms contain open ended questions answered by cohort 1 PPG students. 65 students answered the reflection forms and findings showed that several factors causing the failure were indepth curriculum and rigid assesment system, courses implemented, personal problems, lecturers role and long distance coursemates. Kata kunci: Program Pensiswazahan Guru, kegagalan pelajar, IPG Kampus Pendidikan Teknik, Sains, Matematik. PENGENALAN Program Pensiswazahan Guru (PPG) yang ditawarkan kepada guru dalam perkhidmatan merupakan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia ke arah memartabatkan profesion perguruan seperti yang terkandung dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) Teras 5 bagi memastikan guru-guru mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya peringkat ijazah pertama. Matlamat PPG adalah untuk meningkatkan tahap kelayakan pendidikan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPLD) disamping untuk melahirkan guru-guru siswazah yang berkualiti dari segi penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran, dan ketrampilan profesionalisme selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru. Program ini amat penting untuk meningkatkan bilangan guru-guru siswazah di sekolah, sekolah rendah sebanyak 60% dan sekolah menengah 90% pada tahun 2015. Ini selaras dengan Program Transformasi Kerajaan yang melancarkan tawaran baharu untuk semua guru bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan serta meningkatkan profil dan profesionalisme kerjaya ini. Pada awal semester satu yang lepas terdapat 78 orang pelajar PPG Sains ambilan Jun 2011 di IPG Kampus Pendidikan Teknik. Selepas peperiksaan ulangan dijalankan seramai 23 orang pelajar iaitu 30% gagal dan diberhentikan. Jumlah bilangan pelajar PPG yang gagal ini adalah amat besar jika dibandingkan bilangan pelajar PISMP yang gagal walaupun kedua-dua kumpulan pelajar ini mengikuti struktur kurikulum yang sama. TUJUAN KAJIAN Tujuan kajian ini adalah untuk mengenalpasti faktor-faktor kegagalan pelajar PPG Sains Ambilan Jun 2011 di IPG Kampus Pendidikan Teknik dalam peperiksaan semester 1. SOALAN KAJIAN Kajian ini hanya melihat apakah faktor-faktor yang menyebabkan pelajar PPG Sains Ambilan Jun 2011 di IPG Kampus Pendidikan Teknik gagal dalam peperiksaan semester 1? TINJAUAN LITERATUR Struktur kurikulum dikonsepsikan sebagai kerangka yang merangkumi komponen-komponen penting yang menetapkan wajaran, jumlah kredit dan kursus-kursus yang ditawarkan kepada pelajar. Struktur kurikulum direkabentuk mengikut tiga aras bagi mencerminkan kurikulum yang bersifat spiral dan developmental dan berasaskan kemahiran-kemahiran yang hendak dicapai di dalam kandungan sukatan pelajaran dan sistem penilaian yang akan digunakan sepanjang tempoh pengajian (Buku Panduan PISMP, 2007). Dapatan kajian Senanayake, Liyanege dan Dadigemuwa (2005), mendapati kegagalan pelajar kejuruteraan Open University of Sri Lanka mod pendidikan jarak jauh adalah disebabkan faktor-faktor seperti latar belakang pendidikan lepas, kurang panduan daripada universiti, salah membuat pemilihan opsyen, penyampaian kursus dan kesedaran tentang konsep dan pengajaran mod pendidikan jarak jauh. Antara faktor penyampaian kursus yang menjadi penyebab kegagalan pelajar dalam peperiksaan ialah bahan pengajaran terlalu sukar, penyampaian pengajaran yang teruk, isi kandungan yang terlalu banyak, kualiti bahan pengajaran rendah, bilangan interaksi bersemuka yang tidak mencukupi dan metodologi pengendalian interaksi yang tidak memuaskan. Pelajar matang mempunyai tanggungjawab ke atas keluarga yang menjadi kekangan untuk belajar (Nyondo, 1999). Jika mereka bekerja, masa untuk belajar hanya selepas bekerja. Masalahnya, masa selepas bekerja jugalah masa untuk keluarga. Maka, motivasi untuk belajar dan alasan utama menyambung pelajaran yang akan menentukan sejauh mana pelajar boleh berjaya walaupun tanpa sokongan. METODOLOGI Bahagian ini akan membincangkan metodologi kajian yang menyentuh mengenai reka bentuk kajian, proses pemilihan peserta kajian, instrumen kajian, prosidur pengumpulan data, prosidur menganalisis data serta kesahan dan kebolehpercayaan. Reka bentuk kajian Dalam konteks kajian ini, kaedah yang digunakan adalah kaedah kualitatif. Kajian ini menggunakan reka bentuk huraian secara deskriptif/naratif. Ia telah digunakan untuk menghuraikan pemahaman tentang faktor-faktor yang menyebabkan kegagalan pelajar-pelajar PPG ini. Proses pengutipan data dilakukan melalui teknik soalan refleksi yang berbentuk Open-Ended Questionnaire. Pengumpulan data dimulai dengan mengedarkan soalan refleksi tersebut dan hasilnya akan dianalisis secara manual dengan terperinci. Rajah 1 menunjukkan proses pengumpulan data yang dilaksanakan oleh penyelidik. Soalan Refleksi Untuk mengetahui: 1. latar belakang peserta kajian, 2. pemahaman terhadap faktor utama dan faktor yang menyumbang kepada gagal peperiksaan dan 3. mengetahui usaha yang akan dilakukan oleh peserta kajian untuk mengatasi masalah Analisis data secara manual Rajah 1: Carta alir pengumpulan data Subjek kajian Subjek kajian terdiri daripada 65 orang guru yang mengikuti Program Pensiswazahan Guru di IPG Kampus Pendidikan Teknik. Ada di antara guru ini memiliki opsyen Sains tetapi tidak mengajar subjek opsyen. Ada pula yang tidak memiliki opsyen Sains tetapi berpegalaman mengajar subjek Sains di sekolah rendah. Instrumen kajian Instrumen utama dalam kajian ini adalah satu set soalan refleksi yang telah digubal khas untuk menghuraikan dan memahami faktor-faktor utama yang menyebabkan kegagalan pelajar PPG dalam mata pelajaran major khususnya Sains. Soalan refleksi ini terdiri daripada tiga aspek iaitu aspek demografik (12 item), aspek-aspek yang dikenalpasti menjadi faktor utama dan faktor-faktor lain yang menyumbang dalam kegagalan pelajar PPG dan aspek yang terakhir adalah cadangan bagi usaha-usaha yang akan dilaksanakan oleh pelajar untuk mengatasi masalah mereka. Soalan ini merupakan soalan yang diubahsuai daripada kajian Keberkesanan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Kelolaan Institut Pendidikan Guru (IPG) Dalam Melahirkan Guru Berkualiti (2011). Oleh itu, kesahan dan kebolehpercayaannya adalah terjamin serta mampu untuk menjawab soalan kajian yang ditetapkan. Seperti yang dinyatakan oleh Merriam (2001), kesahan data kualitatif bagi kajian ini adalah melalui semakan rakan yang mana semua data yang akan dianalisis dikumpulkan dan disemak satu persatu oleh rakan dalam kajian. Analisis data Pengurusan penganalisisan dan pengekodan data secara manual adalah berdasarkan kepada tema-tema yang telah dikenalpasti untuk mengumpulkan semua konstruk-konstruk yang berupaya memberikan kefahaman kepada fenomena yang terjadi. DAPATAN KAJIAN Seramai 65 orang pelajar telah tampil untuk memberikan refleksi mereka secara sukarela. Mereka memberi pendapat mereka mengapa mereka sendiri atau rakan-rakan mereka gagal dalam peperiksaan yang lepas. Bahagian ini akan memperihalkan faktor-faktor yang disenaraikan sebagai faktor kegagalan mereka semasa peperiksaan semester yang lalu. Faktor Kurikulum dan Pentaksiran Analisis menunjukkan bahawa sebahagian besar pelajar PPG bersetuju bahawa faktor utama yang menyebabkan kegagalan pelajar PPG adalah struktur kurikulum. Ungkapan ini menunjukkan bahawa kurikulum yang diambil dari program PISMP yang menggunakan mod sepenuh masa tidak sesuai dan amat berat bagi mereka. Mereka juga berpendapat bahawa kurikulum tersebut sangat mendalam. Ini dapat dijelaskan sebab-sebab mengapa ianya tidak sesuai, “Interaksi terlalu sikit. Kurikulum terlalu mendalam (banyak).” ...VP2 “Skop kurikulum sangat luas sedangkan bilangan interaksi terlalu terhad.” ...VP29 Mereka juga berpendapat bahawa penggubal kurikulum perlu mengambilkira latar belakang pelajar yang akan mengikuti program tersebut. Mereka menyatakan isi hati mereka bahawa, “Faktor utama ialah sukatan padat dan saya bukan dari aliran sains.” ...VP21 “Kursus yang ditawarkan mempunyai aras pembelajaran yang sangat tinggi, tidak banyak yang berguna untuk p&p di sekolah rendah.” ...VP29 “Tiada pengalaman dalam sains tulen.” ...VP39 Mereka amat merasakan bahawa perbandingan nyata dengan kurikulum yang dijalankan oleh institusi pendidikan yang lain adalah lebih ringan berbanding dengan IPG. Penggubal kurikulum dirasakan tidak peka kerana menceduk kurikulum sedia ada sehinggakan tidak mengambil kira tahap pelajar yang akan mengikuti program tersebut. Menurut mereka, “Silibus tak selaras dengan kursus sains di bawah OUM dan UITM.” … VP58 “Dalam satu semester banyak subjek diambil” …VP60 Sistem pentaksiran juga berbeza dengan IPT lain di mana “Pengiraan markah 60%-kerja kursus, 40%-peperiksaan, mengapa ia tidak dipraktikkan? Jika ia digunakan mungkin dapat membantu pelajar, atau markah lulus 50 diturunkan.” ...VP22 “Sistem penilaian tidak sama / selaras dengan IPT lain yang turut menawarkan program PPG. Di sini timbul ketidakadilan terhadap pelajar IPG yang mengambil program ini.” ...VP29 “Berorientasikan peperiksaan 100%. Terlalu banyak syarat jika hendak duduki peperiksaan, perlu lulus KKBI. Jika hendak markah KKBI dikira perlu lulus peperiksaan. Apa guna markah KKBI elok jika peperiksaan juga diambil kira.” ...VP34 Secara kesimpulannya, semua pendapat yang diberikan oleh pelajar itu menunjukkan bahawa kurikulum adalah terlalu mendalam dan mereka tidak dapat mengadaptasikan pembelajaran mereka dengan kurikulum seperti itu. Ianya menjadi lebih kritikal dengan masalah interaksi yang tidak begitu banyak masa untuk perbincangan lebih lanjut. Satu lagi fakta kurikulum yang diceduk dari kurikulum PISMP sepenuh masa itu dikatakan kurang sesuai dengan tahap guru sekolah rendah dan pembahagian kursus mestilah lebih berstruktur dan mengambil kira tahap pelajar. Sistem pentaksiran yang rumit pula membebankan pelajar. Faktor kursus yang ditawarkan Selain itu, mereka juga memberi refleksi yang cukup jelas dengan menyatakan bahawa kursus yang ditawarkan adalah sangat berat memandangkan bahawa kursus tersebut adalah di “adopt” dari kursus sepenuh masa. Ini disebabkan oleh masa interaksi yang terlalu sedikit. “Matapelajaran juga agak berat / susah.” ...VP28 “Subjek perlu dipermudahkan lagi bersesuaian dengan PPG yang pengajiannya separuh masa.” ...VP36 Pelajar mengakui bahawa mereka terlalu bergantung kepada modul yang disediakan. Walaupun begitu, mereka merasa kecewa dengan modul yang disediakan. Ianya bukan sahaja susah untuk di akses melalui internet malahan ianya tidak boleh digunakan untuk persediaan peperiksaan. Menurut mereka lagi, modul tersebut tidak lengkap dan tidak cukup padat seperti yang disarankan dalam pro forma. Modul yang disediakan terlalu ringkas seperti sebuah buku yang berperanan hanya untuk melihat apa yang perlu dipelajari dan bukan untuk tujuan mentelaah dan dijadikan bahan rujukan utama untuk peperiksaan. “Modul tak lengkap utk menghadapi peperiksaan.” …VP2 “Modul tidak diberi pada awal semester, pemberian sedikit-sedikit.” ...VP14 “Isi kandungan modul tak memenuhi semua skop peperiksaan / maklumat modul tak lengkap.” …VP15 Pada dasarnya, modul merupakan salah satu bahan pengajaran yang diberikan kepada pelajar dalam membantu mereka untuk membuat rujukan khususnya untuk menghadapi peperiksaan tetapi ternyata modul tersebut amat tidak membantu kerana terlalu ringkas dan tidak langsung menyediakan diri pelajar untuk peperiksaan. Kursus yang amat padat dan sangat berat yang diperkenalkan adalah terlalu membebankan mereka. Ini adalah kerana latarbelakang mereka yang bukan dari aliran Sains lantaran ini mereka sangat bergantung kepada modul. Masa interaksi bersemuka yang kurang juga amat membebankan pelajar kerana jika ada masalah pembelajaran, mereka tidak dapat memohon bantuan secara lebih berstruktur bersama pensyarah. Dengan sikap pensyarah yang mengajar sambil lewa menyebabkan peluang mereka tipis untuk terus cemerlang dalam peperiksaan. Pensyarah yang mengajar dengan tidak bersungguh-sungguh juga merupakan salah satu faktor yang boleh dihuraikan dengan lebih lanjut di bahagian yang mengkhusus kepada faktor pensyarah itu sendiri. Faktor pensyarah Faktor utama yang diberikan oleh pelajar PPG ini juga menunjukkan bahawa kekangan peranan bimbingan peribadi sesetengah pensyarah menjurus kepada kegagalan mereka. Mereka memberi ulasan berikut; “Masa yang diperuntukkan berjumpa dengan beliau secara peribadi kurang berbanding pensyarah SCE 310X.” ...VP30 “Kurang memberi pendedahan tentang topik & tak membantu pelajar yang lemah.” ...VP22 “Ada pensyarah yang datang tanpa bahan mengajar (chalk & talk).” ...VP47 Ada juga segelintir pensyarah yang tidak memanfaatkan ruangan portal pembelajaran atas talian (OLL) yang telah dibuka oleh pihak IPGM untuk mereka. Oleh kerana faktor interaksi bersemuka bersama pelajar PPG amat terhad iaitu hanya sebulan sekali, sepatutnya interaksi di alam maya patut ditingkatkan. “Ada pensyarah langsung tidak berinteraksi dengan pelajar dalam portal” ...VP18 “Info melalui emel lambat.” ...VP41 “Ada sebilangan pensyarah yang kurang/ tak gunakan OLL dengan berkesan.” ...VP2 “Buat pengumuman dalam portal dan bukannya email kepada ketua kelas sahaja.” ...VP61 Malangnya pelajar merasakan bahawa pensyarah juga tidak membantu dalam penyediaan kerja kursus. Mereka tidak mendapat maklumat yang betul-betul jelas dalam pelaksanaan kerja kursus. Ramai yang berpendapat bahawa penerangan tidak jelas dan kabur sehinggakan mereka tidak dapat melaksanakan kerja kursus seperti yang diharapkan. Ini sekali lagi menyumbang dalam faktor kegagalan di mana markah kerja kursus yang akan ditambah dengan markah peperiksaan tidak langsung dapat membantu markah keseluruhan. Mereka mengatakan bahawa, “Mohon pensyarah beri peluang pada pelajar untuk perbaiki KKBI yang rendah markahnya. Mohon pensyarah tunjukkan contoh-contoh kerja kursus terbaik.” ...VP46 “Perlu lulus peperiksaan, baru tambah markah KKBI sedangkan IPT lain tiada syarat sedemikian.” …VP35 Faktor pensyarah adalah faktor yang amat penting dan kritikal. Peranan pensyarah dalam memastikan pembelajaran berlaku seperti yang diharapkan adalah amat perlu. Walaubagaimanapun, pelajar PPG memerlukan komitmen yang sangat tinggi daripada pensyarah memandangkan kepada tahap kefahaman mereka yang sangat rendah dan juga mereka telah lama meninggalkan zaman pembelajaran. Selain itu juga, pensyarah diharapkan untuk membantu dalam bimbingan kerja kursus dengan lebih berstruktur dan bukan setakat memberi soalan dan melepaskan mereka menghasilkan kerja kursus yang tidak mencapai standard pensyarah tersebut. Penggunaan OLL patut diperhebatkan kerana interaksi bersemuka sangat terhad. Bimbingan dan bantuan pensyarah amat penting bagi pelajar PPG untuk memastikan pelaksanaan kerja kursus yang baik dan berkesan serta layak untuk mendapat markah yang tinggi dan membantu markah keseluruhan peperiksaan. Faktor masalah peribadi Sebahagian daripada pelajar PPG juga meletakkan faktor masalah peribadi sebagai salah satu faktor yang amat kritikal dalam kegagalan mereka. Walaupun begitu, mereka menekankan peranan mentor dalam memantapkan lagi kekurangan dalam faktor masalah peribadi itu amat penting agar mereka benar-benar bersedia dan jelas bagaimana untuk menangani masalah pembelajaran dalam program jarak jauh (PJJ) ini. Bagi mereka kekangan masa dan cara mereka yang tidak dapat membahagikan bebanan tugas di sekolah dan rumah semasa belajar menyumbang kepada kegagalan mereka. “Kekangan masa dengan tugasan sebagai guru, pelajar & urusan rumah tangga.” ...VP14 “Masa tak mencukupi - beban kerja banyak (kerja sekolah & kerja pelajar).” ...VP15 “Kurang persediaan akibat beban kerja sekolah.” ...VP23 Ada pelajar yang memberi refleksi yang jelas menunjukkan bahawa mereka terlalu kurang bersedia dan membuat kerja di saat akhir. Ini juga merupakan faktor yang penting dalam kegagalan mereka. “Kurang persediaan dan masih tidak mampu mengikuti kehendak program.” ...VP16 Pelajar PPG juga berpendapat bahawa mereka memandang mudah kepada tugasan dan tidak bersedia dalam peperiksaan menyebabkan mereka gagal. Ini menunjukkan persediaan pelajar amat kurang dalam menghadapi peperiksaan. Menurut mereka; “Memandang mudah tugasan yang diberikan dan tidak bersedia sepenuhnya untuk menduduki peperiksaan” ...VP17 “Kurang buat ulangkaji sebab kekurangan masa.” ...VP28 Ada yang berpendapat bahawa kegagalan pada dirinya adalah disebabkan oleh masalah OLL IPGM. Ini menyebabkan mereka lambat berhubung dan tidak berkolaborasi dengan rakan-rakan mahupun pensyarah. “Laman web tak dikemaskini, OLL tak berfungsi bagi saya.” ...VP59 Mereka juga menganggap bahawa mereka kurang pengetahuan dalam matapelajaran asas yang penting untuk belajar di peringkat yang lebih tinggi. Ada yang memberikan refleksi bahawa mereka tidak mempunyai asas sains yang akan memudahkan kefahaman mereka dalam pengajaran-pembelajaran dalam program ini. Menurut mereka; “Tiada asas sains kerana semasa di sekolah menengah dahulu ramai adalah beraliran sastera” ...VP27 Walaubagaimanapun, faktor motivasi juga penting dalam hal ini, pelajar yang tiada motivasi sukar untuk cemerlang. Sikap rendah diri kerana latarbelakang yang bukan dari latarbelakang sains, menyebabkan pelajar terus hanyut dan tidak berupaya menangani masalah pembelajaran. Mereka menyatakan bahawa; “Kurangnya motivasi, kekangan dengan beban tugas” .....VP27 Dalam kes ini, perihalan yang paling penting adalah pelajar yang tidak dapat membahagikan masa untuk belajar dan bekerja. Pelajar yang masih baru dalam program ini merasakan kejutan budaya apabila memasuki ruang belajar dalam program ini. Ini ditambah pula dengan latarbelakang yang tidak mantap untuk meneruskan pembelajaran ke peringkat ijazah. Motivasi juga merupakan satu perkara yang amat penting dalam kecemerlangan pelajar. Faktor rakan-rakan Sebahagian kecil pelajar PPG berpendapat bahawa faktor yang juga memberi sumbangan dalam kegagalan mereka adalah rakan-rakan. Mereka berpendapat bahawa rakan yang jauh antara satu sama lain mengurangkan peluang mereka untuk berbincang. Ini didapati menjadi satu masalah kepada pelajar-pelajar yang biasa belajar dengan kaedah perbincangan. Menurut mereka; “Kedudukan rakan jauh sukar urusan perbincangan.” ...VP14 “Tidak dapat melakukan perbincangan dengan rakan kerana perjumpaan sebulan sekali.” ...VP15 Pembelajaran berlaku dengan pelbagai cara. Suasana program yang berpandukan kepada Teknologi Maklumat dan Komunikasi ini amat menyukarkan bagi pelajar PPG. Mereka merasa tidak puas dalam belajar melalui internet. Mereka masih perlukan pembelajaran secara fizikal di mana pembelajaran berlaku dalam kumpulan dengan pelbagai interaksi berlaku dan menyebabkan semua mendapat satu konsesus dalam suatu pembelajaran. Ini tidak berlaku. Ianya tidak tersedia kerana pelajar jauh antara satu sama lain. Mereka merasakan bahawa pembelajaran secara individual tidak memantapkan pembelajaran mereka. Mereka perlu ada ruang untuk berjumpa dan berbincang untuk bukan sahaja memahami apa yang perlu dibelajar tetapi juga mendapatkan sokongan moral daripada semua ahli dalam kumpulan. Ini boleh menaikkan motivasi dan sikap bersedia untuk menghadapi peperiksaan. PERBINCANGAN Kajian ini adalah satu usaha untuk mencari penyelesaian berkenaan dengan faktor-faktor kegagalan pelajar PPG Sains IPG Kampus Pendidikan Teknik dalam peperiksaan semester 1. Dapatan kajian ini hampir sama dengan dapatan kajian Senanayake et al., (2005) seperti yang dinyatakan dalam bahagian tinjauan literatur sebelum ini. Aspek kurikulum & pentaksiran, kursus yang ditawarkan, pensyarah, masalah peribadi dan rakan-rakan jelas menunjukkan impak yang sangat besar terhadap keberkesanan program ini. Bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan dapat dimanfaat oleh pelajar-pelajar PPG, kurikulum PISMP sedia ada perlu diubahsuai mengikut tahap kemampuan pelajar PPG yang mengikuti mod pendidikan jarak jauh. Tajuk-tajuk di dalam pro forma perlu dikurangkan selaras dengan bilangan jam interaksi. Sistem pentaksiran sedia ada juga perlu diubah kepada syarat lulus gabungan antara markah kerja kursus dan markah peperiksaan. Kursus opsyen Sains tidak sesuai dijalankan secara mod PJJ kerana ia merupakan kursus berat dan isi kandungannya yang tinggi. Penyediaan modul yang lengkap perlu diberikan kepada pelajar. Satu alternatif lain yang boleh dicadangkan adalah dengan menukarkan mod PJJ kepada mod Kursus Dalam Cuti (KDC) untuk mengatasi masalah kurang interaksi bersemuka, bebanan kerja guru yang banyak di waktu persekolahan, kebergantungan kepada modul dan sistem OLL. Pertukaran mod ini secara tidak langsung tidak menganggu waktu hujung minggu pensyarah dan pensyarah akan menunjukkan komitmen yang tinggi jika dibuat pada waktu cuti sekolah. Dalam mengkaji faktor masalah peribadi dan rakan-rakan, dapatan kajian menunjukkan pengetahuan sedia ada dan kesediaan pelajar PPG menghadapi pembelajaran dalam setiap interaksi bersemuka amat diperlukan bagi memastikan kejayaan mereka dalam setiap kursus yang ditawarkan. Selain itu, usaha di pihak pelajar itu sendiri adalah penting terutama dalam meningkatkan kemahiran mereka dalam penggunaan TMK bagi membolehkan mereka berinteraksi dengan rakan-rakan lain walaupun mereka berada jauh antara satu sama lain. Faktor pengurusan masa, beban kerja serta masalah keluarga perlu ditangani dengan bijak supaya setiap tugasan dan latihan tutorial yang diberikan melalui atas talian dapat dibuat sebaik mungkin. IPG KP Teknik boleh membantu memberi sokongan kepada pelajar melalui kursus-kursus motivasi dan pengurusan. Mentor dan Jabatan HEP perlulah memainkan peranan kepada pelajar PPG sama seperti pelajar PISMP. Ujian aptitud dan diagnostik perlu menjadi kriteria dalam pemilihan pelajar-pelajar PPG bagi menguji pengetahuan sedia ada dan kemahiran dalam subjek yang dipilih. Ini amat penting supaya pelajar-pelajar yang layak sahaja diberikan peluang menyambung pelajaran mereka ke peringkat ijazah sarjana muda. Dengan ini kualiti guru-guru sekolah rendah akan terjamin dan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak berkepentingan termasuk murid sekolah. Satu kajian lanjut boleh dilaksanakan untuk mengkaji tahap kesediaan pengajaran dan pembelajaran pensyarah IPG KP Teknik dan pelajar PPG. KESIMPULAN Sebagai kesimpulan faktor-faktor yang mempengaruhi kegagalan dalam peperiksaan Semester 1 bagi pelajar PPG Sains Pendidikan Rendah ambilan Jun 2011 di IPG Kampus Pendidikan Teknik adalah seperti berikut: Kurikulum PISMP yang digunapakai adalah kurang sesuai dengan tahap guru PPG. Ia perlu diubahsuai mengikut kesesuaian mod pendidikan jarak jauh dan tahap guru sekolah rendah. Kursus yang ditawarkan adalah sangat berat kerana menggunapakai mod kursus sepenuh masa sedangkan masa interaksi bersemuka pelajar PPG terlalu sedikit. Selain itu mereka juga terpaksa menggunakan modul yang tidak lengkap dan pembelajaran atas talian (OLL) yang tidak mantap. Faktor lain yang menyumbang kepada kegagalan pelajar ialah sikap pensyarah yang tidak membimbing sewajarnya sedangkan masa interaksi bersemuka antara pensyarah dengan pelajar PPG sangat terhad. Faktor ini turut memberi kesan kepada pensyarah dalam bimbingan pelaksanaan KKBI yang baik. Pelajar PPG juga meletakkan faktor diri sendiri sebagai faktor kritikal dalam kegagalan mereka. Antaranya ialah masalah pengurusan masa, beban kerja, masalah keluarga dan sikap tidak bersedia. Mereka mengakui mempunyai asas sains yang sangat lemah terutama pelajar yang beropsyen bukan aliran sains. Pelajar PPG juga kurang bermotivasi lantaran itu peranan mentor dan Jabatan HEP adalah sangat penting untuk memberi sokongan moral kepada mereka. Sebilangan kecil pelajar PPG berpendapat bahawa tempat tinggal rakan sekuliah yang berjauhan antara satu sama lain mengurangkan peluang untuk mereka berinteraksi dan berkolaborasi. Rujukan Buku Panduan PISMP Dengan Kepujian, IPG Kampus Pendidikan Teknik. (2007). Faridah Yakob, Suhaidah Tahir, Ibrahim Mohamed Zin & Rosli Yacob (2011). “Keberkesanan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Kelolaan Institut Pendidikan Guru (IPG) Dalam Melahirkan Guru Berkualiti”. Kertas kerja dibentangkan dalam Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Guru, Anjuran Bahagian Pendidikan Guru (Kementerian Pelajaran Malaysia) dengan kerjasama Institut Perguruan Guru Malaysia, Hotel A Famosa Resort, Melaka. 30 Oktober-2 November 2011. Senanayake, S.A.M.A.N.S, Liyanege, K.N.H.P. dan Dadigamuwa, P.R. (2005). Factors Affecting on Student Unsuccessfulness in Engineering Programmes in Distance Education retrieved through itdl.org/Journal/Jun_05/article07.htm. Tarikh 5 Jun 2012. Merriam, S. B. (2001). “Andragogy and Self-Directed Learning: Pillars of Adult Learning Theory,” New Directions for Adult and Continuing Education, Spring-Spring 21 89, pp. 3-14. Nyondo, A.C. (1999). Open and Distance Learning Practise at The Papua New Guinea University of Technology, Indian Journal of Open Learning. Vol.8. No. 1 pp. 103-108 retrieved through www.col.org/pcf3/Papers/PDFs/Nyondo_Andrew.pdf. Tarikh 5 Jun 2012. 11