Showing posts with label Dapur. Show all posts
Showing posts with label Dapur. Show all posts

Friday, July 1, 2011

POPIA GORENG SEDAP.






Petang Rabu lepas saya cuba resepi ni buat kali kedua. Al maklum masa cuba kali pertama beberapa hari sebelumnya, semua hakim - hakim mengadu tak puas menikmatinya.
Alhamdulillah cubaan kali edua lebih menjadi. Popia kurang berminyak dan warnanya lebih cantik.
Habis jer popia, hakim - hakim pun bertanya, "bila nak buat lagi". Sabar je la.....
Terima kasih banyak pada Azie, rakan yang berkongsi resepi ini.

Bahan:

Kulit popia ( guna saiz besar)
1 biji sengkuang *
1 batang lobak merah *
3 ulas bawang merah #
2 ulas bawang putih #
3 sudu besar sos tiram
3 ketul ayam di kisar ( boleh guna yang dah siap di kedai)
 garam dan gula ikut citarasa masing - masing

Cara :
1. Bahan bertanda * di sagat atau di blend - jangan terlalu hancur
2. Bahan bertanda # di tumbuk
3. Sos tiram boleh ditambah (kalau suka)
4. Tumis bawang putih dan bawang merah. Masukkan ayam kisar. Gaulkan hingga ayam masak.
5. Masukkan sos tiram, sengkuan dan lobak. Gaul rata.
6. Tambah gula dan garam. Masak hingga sekering yang boleh.
7. Angkat, toskan dari minyak. Bila dah sejuk balut dengan kulit popia - ikut kreativiti masing - masing.
8. Goreng dengan api sederhana panas. Angkat bila warna dah kekuningan dan tegakkan atas dulang untuk toskan minyak.
9. Untuk lekatkan kulit popia, gunakan bancuhan tepung yang agak pekat.

Sos ;
Saya guna yang simple jer, ketuk 3 ulas bawang putih, masukkan dalam periuk bersama dengan sos cili dan sos tomato atau mana - mana sos yang anda suka. Masakkan sekejap.

Ok , dah boleh hidang.....buat lebih - lebih sikit ye..nanti tak cukup pulak!

Tuesday, April 19, 2011

BISKUT OAT SUJI.

"Bila nak buat biskut 'feberet' Ammar?"
"Bila nak buat biskut 'feberet Ammar?" Dah hampir sebulan, itulah ayat yang di'zikir'kannya setiap hari. Jadi , bila saja ada sedikit kelapangan masa, saya tunaikan hajat Abang Cik sorang ni.... Biskut 'feberet' yang dimaksudkan tu tak lain dan tak bukan ialah biskut oat suji.

Resepi yang saya gunakan ini asalnya milik chef seleberiti kita Chef Wan. Tapi setelah sedikit ubahsuai mengikut tekak para hakim jadilah seperti di bawah. Maaf ye Chef Wan, bukan nak menderhaka cuma mengembangkan lagi kreativiti....he...he.... Kalau mengikut Chef Wan, biskut ini lebih lembut, lebih manis dan dilonggokkan saja kecil-kecil atas tray pembakar. Jadi dengan pandainya saya pun mengubahnya menjadi kurang manis, lebih pejal dan diletak dalam 'paper cup' supaya lebih comel dan senang disimpan.


Kebetulan semasa 'shopping' di kampung dulu saya terjumpa 'paper cup' yang menawan hati dan membelinya untuk simpanan. Sekaranglah masa untuk menggunakannya!

Bahan - bahan ;

250 gm oat  (dikisar halus)
250 gm minyak sapi ( pastikan yang halal)
120 gm tepung gandum
180 gm gula kasar (dikisar. Kalau nak kurangkan lagi pun boleh)
1 sudu teh esen vanilla
2 peket paper cup bersaiz kecil
gula manik secukupnya untuk hiasan

Cara;

Gaulkan minyak sapi, tepung,gula dan esen vanilla hingga sekata.
Kemudian, masukkan oat dan gaul lagi hingga sebati dan sekata. Dah siap! Senangkan.
Sekarang bentukkan bulat - bulat , lebih kurang 2/3 saiz paper cup. Masukkan dalam paper cup, susun atas tray pembakar dan akhir sekali tabur gula manik atasnya ( 'part' ni Abang Cik memang suka tolong).
Bila dah tersusun dalam tray... eemm comelnyer....Terhiburnya rasa hati, tak terasa penat membuatnya.

Setelah oven dipanaskan lebih kurang 2o minit, bakar dengan suhu 130 darjah celsius atau mengikut ragam oven masing- masing. Yang penting bahagian bawah biskut mestilah nampak sedikit perang.
Setelah disejukkan, bolehlah dihidangkan. Simpanlah kalau sempat he...he....

Sunday, December 19, 2010

RESEPI KHURMAK AYAM


Wah, wah, wah.... Masuk yang ni dah tiga kali berturut-turut buat entri resepi. Adakah ini petanda yang blog ni akan jadi jadi blog masak? Kalau betul, ini sudah kira bagus....

Tapi sebenarnya cuma kebetulan. Manalah ada bakat memasak.... Sikit - sikit tu boleh la....

Ok, kali ni nak tayang resepi Khurmak pulak. Khurmak ayam biasa aje.... Resepi ini pada asalnya resepi ibu mertuaku tapi biasalah... ia telah menjalani proses pengubahsuaian mengikut selera para hakim. Pada yang baru nak belajar tu cubalah resepiku ini.


Bahan - bahan;


4 ketul ayam

1 pek serbuk kurma ADABI

1 inci halia

2 ulas bawang putih

3 ulas bawang merah

2 biji bawang besar - belah 4

2 biji kentang - belah 4

2 biji tomato -belah 2

2 biji cili api - ketuk ( kalau nak rasa 'original', tak perlu masukkan cili api)

2 biji cili masak - belah 2

1 atau 2 biji limau nipis - ambil airnya

1/2 kotak santan ( kotak kecil)

Beberapa helai daun pandan - penting untuk menambah 'ummph'



CARA;


1. Tumbuk bawang merah, bawang putih, halia.

2. Tumis bahan - bahan di atas bersama cili api hingga wangi

3. Masukkan pes kurma yang telah dibancuh dengan air, masak hingga pecah minyak.

4. Tambah sedikit air.

5. Masukkan kentang yang telah dibelah 4. Pastikan air tadi menutupi kentang. Masak dengan api sederhana hingga kentang menjadi hampir empuk.

6. Masukkan ayam dan bawang besar. Kacau rata hingga ayam masak.

7. Masukkan santan dan daun pandan. "Adjust' kepekatan kuah dengan menambah air.

8. Masukkan air limau nipis dan garam secukup rasa.

9. Masukkan cili masak dan tomato gaul sekejap. Dah siap!


Lebih sedap dihidangkan panas-panas bersama nasi putih atau nasi minyak.

Wednesday, December 15, 2010

RESEPI MINI DONUT

Hari ni nak tayang resepi mini donut pulak. Resepi ni dah diubah suai beberapa kali hinggalah ia sesuai dengan selera panel hakim.


BAHAN- BAHAN;


280 gm tepung gandum
3 sudu makan susu tepung fernleaf
1 cawan air suam
1 susu makan gula
2 sudu teh mauripan (pastikan yang baru)
1 1/2 sudu makan butter


CARANYA;

1. Tepung gandum dan susu tepung disatukan.
2. Gula dan mauripan dibancuh dengan air suam. Biarkan sekejap hingga ia berbuih.
3. Tepung dan susu tadi dimasukkan ke dalam mangkuk doh. Masukkan bancuhan mauripan kedalam mangkuk. Gaul sebati dan uli.
4. Masukkan butter. Uli lagi hingga lembut dan licin. Biarkan lebih kurang 4o minit di tempat yang hangat.
(saya letakkan atas 'rice cooker' yang telah digunakan untuk memanaskan nasi. Tutup rapat.)
5.Keluarkan. Canai dan bentukkan dengan acuan. Saya gunakan saiz paling kecil supaya senang dipegang oleh anak-anak.
6. Biar sekejap hingga doh naik semula, barulah digoreng dengan api sederhana panas.
7. Untuk hiasan terpulang masing-masing. Boleh letak coklat atau gula. Kalau untuk Abang cik Ammar, dia siap-siap pesan supaya saya tak lupa tinggalkan yang kosong saja untuknya. Yang ada coklat tak sedap katanya. Ihsan pulak lagi senang, dua-dua dia 'ngap'.



Amboi Ihsan! Takkan nak makan sorang... kot?

Friday, December 10, 2010

RESEPI PAPRIK AYAM

Resepi ni saya reka sendiri, he..he.... Bukan hebatpun... sebab suka sangat makan lauk paprik jadi rasa- rasa macam boleh agak apa dia bubuh dalam paprik tu. Sifu dan anak-anak pun suka. Merekalah panel hakim saya. Jadi kalau nak rasa paprik versi ummuafiq cubalah resepi ni. 'Simple' dan mudah disediakan.

4 - 5 ketul ayam dipotong dadu
4 ulas bawang putih di ketuk atau tumbuk
3 ulas cili api diketuk atau tumbuk ( ini untuk anak2, kalau nak pedas gunalah 4 - 5 biji cili api
atau lebih)
3 sudu hidang (serving spoon) sos tiram adabi
1 sudu hidang sos cili life
sedikit kicap manis kipas udang
sedikit air limau nipis
sayur - sayur yang berwarna- warni. Bunga kobis, lobak merah, putik jagung , kacang panjang, boleh tambah ikut suka. Potonglah ikut suka asal cantik dipandang.
2 cawan air
1 sudu makan tepung gandum atau tepung jagung

CARA:

1. Tumis bawang putih dan cili api yang diketuk.
2. Masukkan ayam dan masak hingga ayam separuh masak.
3. Masukkan sayur-sayur yang keras seperti putik jagung dan lobak merah. Masak sekejap dan gaul rata.
4. Masukkan secawan air, gaul rata kemudian masukkan sos tiram, sos cili dan kicap manis.
5. Biarkan sekejap,masukkan sayur- sayur yang lembut, biar agak masak dan digaul rata.
6. Masukkan air limau nipis dan akhir sekali masuk tepung gandum yang dibancuh dengan secawan air untuk memekatkannya.
Saya lebih suka guna tepung gandum sebab dia tak bergentel.
7. Masukkan garam secukup rasa. Ok, dah siap! Kena makan panas- panas!

Lepas ni rasa macam nak cipta resepi telur bungkus pulak... emmm boleh ke... ?

Sunday, September 26, 2010

Resepi Kek Oren.



Dah lepas raya pun buat kek? Biasa la..... ada permintaan, kenalah buat. Lagi pun kuih raya terakhir telah menjadi korban semalam. Sebenarnya teringin juga nak buat entri resepi biskut raya, emmmm... tak sempat dah.


Resepi kek ni sebenarnya resepi masa sekolah dulu. Oleh kerana sifu dan anak-anak suka kek ni jadi ikut je resepi lama ni.

BAHAN-BAHAN;


170 gm tepung
170 gm gula kastor
170 gm butter
4 bijitelur
air dari sebiji oren
setengah sudu teh kulit oren setelah diparut
secubit garam
1 sudu teh serbuk penaik
CARA;
1. Pukul gula dan butter hingga kembang dan ringan.
2. Masukkan telur satu persatu sambil pukul lagi hingga sebati.
3. Masukkan kulit oren dan garam, pukul hingga rata.
4. Masukkan tepung di selang seli dengan air oren kemudian di kaup sehingga rata.
5. Panaskan ketuhar 20 minit sebelum masukkan adunan kek.
6. Bakar dengan api 130 darjah C (mengikut oven saya) selama 1 jam.
50 minit pertama guna apa bawah
10 minit terakhir guna api atas bawah

Tuesday, March 9, 2010

Ayam Percikku Menjadi.


Inilah kali pertama cuba resepi Ayam Percik. Lauk kegemaran anak-anak. Kalau di beli dari luar atau mengikut cara yang asli, memasaknya mestilah dengan cara memanggang ayam. Tapi kalau buat sendiri kita boleh tukar dengan cara yang lebih sihat, panggang je dalam 'oven'!

Memang remeh sikit membuatnya tapi berbaloi sebab mendapat pujian dari ahli jemaah meja makan. Walau baru pertama kali mencuba tapi rasanya ayam percikku menjadi. Kalau nak mencubanya, singgahlah ke shshada.blogspot.com dan cari resepi Ayam Percik Panggang. .

Thursday, July 9, 2009

Bubur kacang, kuah durian.


Durian, durian, durian. Mana-mana pergi pun nampak durian. Tapi menurut Mak Wan, kat Teluk Intan tak ada pulak orang jual durian. Emmm.... belum musim la tu, agaknya. Durian ni memanglah sedap walau pun orang barat mengkelaskannya sebagai makanan eksotik...he...he... ( sebab baunya kot..! ).

Cakap pasal durian ni, ada 'part' nikmat dan ada 'part' mujahadahnya. Mana tidaknya, nikmat masa makan.....sedapnya. Mujahadah pulak sebab tak boleh makan lebih-lebih. Nanti boleh mendatangkan mudarat terutamanya pada orang-orang macam saya. Boleh kembung, mabuk dan paling teruk boleh demam...

Memandangkan saya dan sifu dah menangguhkan hampir dua tahun untuk menikmati durian di rumah, (takut saya terlebih makan) maka minggu lepas hajat kami tercapai.

Sifu mendapat durian dari Pak Ngah (kenalannya), katanya antara yang terbaik dari kebun durian Pak Ngah.

Apalagi....mula-mula makan mentah-mentah. Lepas tu buat kuah pulak. Kuah durian ni bukan semua tempat yang tahu mengenainya. Semasa saya di Trengganu dulu, kuah durian ni langsung tak jumpa. Agaknya ini makanan orang pantai barat, orang Perak..... negeri saya la tu..!

Tapi anak-anak saya semuanya membesar dan lahir di pantai timur..... Kuah durian tak disentuh langsung. Dapatlah juga saya berikan separuh pada jiran, K.Hawa (suami dia orang Perak). Kuah durian ni saya makan dengan roti saja. Tapi ada juga orang makan dengan roti jala, ikutla selera masing-masing. Nak buat dia ? Senang je...

Bahan-bahannya ;
  1. buah durian - yang telah diasingkan dari bijinya atau boleh juga masukkan bijinya (saya masukkan 2 biji durian )
  2. santan - ikut citarasa nak selemak mana nanti kuahnya (saya gunakan 2 kotak santan, dapat seperiuk besar)
  3. gula - ikut manis yang kita suka
  4. sedikit garam- penting ni untuk 'balance'kan rasa dia.
  5. dua helai daun pandan
  6. 2 cawan air - tambah lagi kalau terlalu pekat

Caranya ; masukkan semua bahan-bahan dalam periuk, lepas tu masakla dengan api perlahan. Bila dah mendidih, dah masak la tu..


Lepas kuah durian dah habis, hajat sifu pulak perlu ditunaikan..... Tiadalah yang lebih istimewa pada sifu kalau bukan bubur kacang durian.

Yang ni rasanya semua orang biasa makan....dan dah tentu tahu membuatnya.... Kali ni saya berikan pula pada jiran saya Nora. Seronok tukar-tukar juadah ni, tak perlu tunggu bulan puasa...

Jemput-jemputla.... tengok gambar he...he... Bismillah ye...!

Wednesday, June 10, 2009

Donut coklat dan tom yam.


Dah terlewat sebenarnya memasukkan entri yang ini, tapi memandangkan gambar dah ada saya 'publish'kan saja. Sepanjang dua minggu cuti sekolah ni banyak perkara yang tak dijangka berlaku, jadi semua rutin jadi tunggang langgang.


Donut coklat ni saya buat sempena meraikan anak-anak yang mula bercuti pada hari Sabtu lepas. Makanya hari tu saya dan sifu terpaksa bersarapan mengikut selera anak-anak. Anak-anak memangla suka... segala yang bercoklat pasti sedap pada mereka. Tinggal tiga ni saja yang sempat diambil gambar.


Oleh kerana terasa bersalah kerana dah 'ter'ngap beberapa biji donut, bercoklat pulak...! Saya dan sifu sepakat untuk masak tom yam sebagai hidangan tengahari tu. Nak meng'cover' kalori dan lemak yang termasuk ke dalam perut pagi tadi........ Kononnyer......! He...he...




Sunday, April 26, 2009

Lempeng nostalgia dan kari daging.


Bila anak-anak dah jemu makan nasi,inilah menu yang mereka minta saya siapkan. Saya bagi nama lempeng nostalgia. Sebabnya,masa sifu kecik-kecik dulu ,inilah makanan kegemarannya. Sekarang ni dah pun diwariskan pada anak-anak. Kemana lagi tumpahnya kari kalau tak ke lempeng! He...he.....jangan marah sifu.

Selalunya lempeng ni dimakan dengan kari ikan, tapi hari ni saya buat kari daging. Nak buat kelainan sikit. Rasanya semua orang pandai buat lempengkan.. tapi kalau tak tahu bolehlah buat 'request'. Nanti saya berikan caranya,malulah nak tulis kat sini.

Kalau saya , lempeng ni lebih sedap rasanya kalu di 'ngap' dengan sambal ikan bilis. Emmmm.. sedap! Tapi hari ini saya cuba resepi baru sambal daging cincang berhias mix vege. Sila lah menjamu mata..

Tuesday, April 14, 2009

Simple Pizza dan Pau.




Dua gambar ni dah dua minggu saya simpan untuk blog ini.Simple Pizza tu diambil dari dapur dzana dan pau tu pula dari dapur k.ummi.Terima kasih lah untuk kawan-kawan yang bermurah hati sudi berkongsi resepi.Sekali cuba dah menjadi,sedap pula tu.Saya dah banyak kali tertipu dengan resepi-resepi canggih dari majalah,belum tentu jadi.Simple Pizza tu saya buat sempena hari lahir Hakim.Anak kedua saya yang saya panggil angah saja.Hari lahirnya pada 4 april yang lepas.Apalagi bergumbiralah budak-budak tu menikmati piza buatan tangan ibu mereka sendiri.Pau pula saya buat untuk sarapan pagi sabtu lalu.Nampaknya ia lebih memenuhi selera sifu..Pada sesiapa yang teringin nak mencuba dapatkan resepinya dari dzanariah.blogspot.com dan resepi pau dari ummizaihadi-homesweethome.blogspot.com.Selamat mencuba.Rajin-rajinlah memasak untuk keluarga,ia penambat kasih sayang antara suami isteri juga antara anak dan ibu..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...