JOHOR BAHRU - Sambutan perayaan Deepavali sebuah keluarga bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut selepas sumbu bunga api yang dinyalakan di rumahnya, meletup, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Tok Beng Yeow berkata kejadian berlaku kira-kira 12.30 tengah malam di rumah mangsa di Jalan Mutiara 1, Taman Mutiara dekat Kulai.
Beliau berkata mangsa, warga tempatan berusia 25 tahun, mengalami kecederaan parah hampir di keseluruhan badan dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk menerima rawatan namun meninggal dunia di hospital berkenaan.
“Mangsa mengalami kecederaan pada kepala dan muka, manakala tubuh dari bahagian bawah hingga ke dada pula melecur serta patah tangan sebelah kiri.
“Terdapat juga pendarahan di dalam kepala mangsa yang mana pegawai perubatan percaya adalah akibat daripada letusan bunga api yang kuat mengenai muka dan dada kiri mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata bapa mangsa berusia 52 tahun kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai pada pukul 11.07 pagi, Ahad.
Tok berkata hasil bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan lain yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. #sumber
PONTIAN - Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16 Nov ini.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis mengumumkan calon dan pelancaran jentera PH PRK di Dewan Hai Kee, di sini, petang ini.
Muhyiddin, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata meskipun ramai calon yang berkelayakan untuk bertanding di kerusi parlimen itu, pemilihan Karmaine sebagai calon adalah satu pilihan yang tepat bersesuaian dengan kriteria-kriteria yang digariskan oleh PH.
“Memang banyak nama yang diberikan tetapi pihak pimpinan berpendapat Karmaine calon yang sesuai berdasarkan beberapa ciri iaitu dia anak tempatan, dilahirkan di sini dan berkelayakan.
“Ini kriteria yang difikirkan oleh pimpinan sesuai untuk meneruskan kesinambungan perjuangan Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik di Tanjung Piai, kerana kawasan ini masih memerlukan pembangunan dari segi ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain lagi,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis itu, di sini, hari ini.
Muhyiddin turut menyifatkan tanggungjawab Karmaine amat berat memandangkan beliau bukan sahaja akan meneruskan kerja-kerja yang ditinggalkan oleh Allahyarham Dr Md Farid tetapi pada masa sama memberi layanan yang adil dan saksama kepada masyarakat berbilang kaum di situ sekiranya dipilih.
“Saya yakin bahawa apabila beliau dipilih selepas 16hb, Insya-Allah, kerja-kerja untuk melaksanakan tugas akan mudah. Kenapa
“Kerana sebagai wakil rakyat PH, kalau isu berkaitan negeri, dia boleh berjumpa Menteri Besar Johor dan jika berkaitan urusan Kerajaan Negeri, akan jadi lebih mudah, bantuan dan peruntukan disalurkan kepada beliau bagi membangunkan Tanjung Piai,” kata Muhyiddin.
Ketika ditanya mengenai persediaan PH, Muhyiddin berkata jentera PH telah bergerak dan beliau berpuas hati dengan persiapan jentera sejak sebulan lepas.
“Kita juga tahu apa isu dan masalah yang dihadapi masyarakat tempatan. Sebahagian besar telah diselesaikan, bukan sebab pilihan raya tetapi secara kebetulan pilihan raya diadakan… seperti projek-projek pembangunan yang sedang dijalankan,” kata Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri.
Beliau berkata usaha jentera turut akan difokuskan bukan sahaja kepada 16 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetapi juga dalam mempertahankan PDM yang menang pada PRU berkenaan.
Terdahulu, dalam ucapannya, Muhyiddin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung peruntukan tambahan sebanyak RM7 juta bagi pembangunan Parlimen Tanjung Piai.
Sebelum ini, parlimen itu menerima peruntukan RM14.7 juta melibatkan 17 projek pembangunan hasil usaha Dr Md Farid.
Dr Md Farid, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunia pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.
Beliau, yang juga seorang pakar bius, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Seri Wee Jeck Seng dan Nordin Othman dari PAS dengan majoriti 524 undi pada PRU14. #sumber
KUANTAN - Sikap dan rasa tanggungjawab masyarakat dalam menjaga kebersihan dapat membantu mengurangkan risiko kerosakan berlaku termasuk banjir kilat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata selain kurang aspek penyelenggaraan terhadap sistem perparitan dan saliran, banjir kilat boleh berlaku akibat sikap segelintir masyarakat tidak menjaga kebersihan sehingga menyebabkan parit dan sistem saliran menjadi tempat pengumpulan sampah hingga tersumbat.
"Kita diberitahu bahawa infrastruktur (perparitan dan saliran) adalah baik walaupun ada aspek penyelenggaraan yang perlu diperbaiki selain amalan menjaga kebersihan perlu dijadikan budaya dan diterapkan sebagai tanggungjawab bersama dalam masyarakat.
"Kita sudah hadapi perkara ini (banjir kilat) untuk tempoh yang lama namun untuk mengubah sikap masyarakat supaya mereka juga ada rasa tanggungjawab itu mengambil masa yang panjang," katanya pada sidang media selepas meninjau persediaan menghadapi Monsun Timur Laut Pahang 2019/2020 di Depoh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kompleks Penyayang di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh yang juga Anggota Parlimen Kuantan, Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Zakaria Shaaban dan Pengarah JKM Pahang Zulkhairi Zainol Abidin.
Dr Wan Azizah berkata mentaliti segelintir masyarakat yang beranggapan 'tidak mengapa' juga menyebabkan mereka kurang mengambil berat akan keperluan menjaga kebersihan kerana berasakan kejadian banjir kilat tidak akan berlaku terhadap mereka.
Sikap bertanggungjawab itu juga menurut Dr Wan Azizah, perlu dipraktikkan oleh mereka yang menghuni pusat pemindahan sementara (PPS) banjir kerana melibatkan penggunaan kemudahan secara berkongsi termasuk tandas.
Mengulas mengenai persiapan menghadapi banjir di Pahang, Dr Wan Azizah berkata beliau berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan semua agensi terlibat bagi berdepan bencana banjir ekoran Monsun Timur Laut yang telah bermula 24 Okt lalu dan diramal sehingga Mac depan.
"Terdapat 429 kawasan berisiko banjir yang dikenalpasti di Pahang dan setakat ini, kekuatan anggota bagi berdepan bencana ini ialah seramai 7,174 orang daripada pelbagai agensi termasuk polis, bomba, tentera dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
"Sebanyak 171 bot pelbagai jenis dan 421 kenderaan pelbagai guna siap untuk digerakkan apabila banjir berlaku selain 245 lokasi pendaratan helikopter telah dikenalpasti untuk tujuan penghantaran bantuan," katanya.
Dr Wan Azizah berkata kerajaan Persekutuan juga telah memberi peruntukan sebanyak RM1 juta bagi pembelian barangan keperluan asas dan RM3 juta untuk makanan kering kepada mangsa banjir yang akan ditempatkan di 662 PPS yang sudah dikenalpasti di seluruh Pahang.
Di Pahang, sebanyak 429 kawasan dikategorikan sebagai berisiko tinggi banjir dengan sebahagian besar bantuan barangan keperluan asas telah dihantar ke pangkalan hadapan bagi membolehkan proses pengagihan kepada mangsa banjir dilakukan segera, katanya.
"Stok keperluan setakat ini adalah mencukupi untuk menampung keperluan mangsa banjir termasuk bantuan segera yang dilihat cukup untuk tempoh antara tiga ke lima hari jika mangsa dipindahkan ke PPS sementara menanti bantuan seterusnya," katanya.
Sebagai contoh, Dr Wan Azizah merujuk kepada Depoh JKM di sini, yang siap dibina pada 14 Sept 2018 dengan peruntukan RM3,7 juta telah sedia dilengkapi dengan stok selimut, tuala, susu tepung bayi, air minuman, makanan kering dan kit bencana. #sumber
KUANTAN - Mayat seorang lelaki disyaki terlibat dalam percubaan memecah masuk sebuah rumah ditemukan dalam longkang di Taman Inderapura di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata mayat itu ditemui orang awam sekitar 11.10 malam, dalam keadaan hanya berseluar jeans biru dan berkasut.
Beliau berkata seorang wanita mendakwa mayat itu ialah bekas suaminya yang berusia 47 tahun dan beralamat di Jalan Gambang di sini berdasarkan tanda pada lengan kanan si mati.
"Pemeriksaan awal pada tubuh tidak menemui sebarang tanda kecederaan atau pergelutan, namun keterangan tuan rumah mendakwa terdapat kejadian cuba memecah masuk sebuah rumah di taman perumahan itu pada Jumaat lepas.
"Kita tidak menolak kemungkinan si mati terlibat dan cuba menyembunyikan diri di dalam longkang sebelum mayatnya ditemui," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohamad Noor berkata mayat itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. #sumber
KUANTAN - Radio digital yang sedang meningkat naik CMK FM mengumumkan tawaran baru untuk pakej pengiklanan murah dan mampu bayar kepada pendengar mereka mulai pertengahan bulan ini. Demikian ditegaskan oleh Pengurus Eksekutif, CMK Events Management, Mohd Shukri Mohd Ramli, 48, kepada PDO pagi ini.
"Tawaran terhadap kepada pelanggan yang bertuah sahaja", katanya. Justeru kata beliau orang ramai terutamanya para usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka boleh menggunakan kemudahan pengiklanan yang ditawarkan oleh CMK FM.
Ini katanya pemasaran menerusi radio digital dilihat semakin popular dan menjadi trending sekarang ini. Tambahan pula iklan yang ditawarkan adalah dalam bentuk skrip (jingle) dan poster pada skrin FB Live di Facebook yang boleh ditonton ramai netizen seluruh dunia.
"Kami adalah syarikat yang bertanggungjawab menguruskan pemasaran dan pengiklanan CMK FM. Kami tawarkan harga mampu bayar terendah untuk para usahakan mengiklankan produk atau perniagaan mereka menggunakan radio digital ini", kata Shukri.
"Tiga pakej iklan yang ditawarkan ialah Diamond (RM500), Gold (RM300) dan Silver (RM150). Setiap satu iklan berharga RM10 sahaja untuk sekali siaran. Ini bermakna pakej Diamond 50 kali siaran, Gold 30 kali dan Silver 15 kali dalam tempoh satu bulan. Diskaun 15% hingga 25% jika pelanggan menempah iklan pakej 3 bulan dan 6 bulan", katanya.
Shukri turut menegaskan, kelebihan iklan menggunakan radio digital berbanding radio biasa. Katanya, jika iklan di radio biasa bila pelanggan terlepas mendengar ia tidak boleh lagi dulang-ulang melainkan ada pihak yang merakamkan iklan tersebut.
Tetapi dakwanya, dengan radio digital pelanggan boleh dengan iklan mereka berulang kali sebab siaran radio digital dirakamkan secara automatik dalam page di Facebook, pelanggan boleh share seberapa kerap yang mereka suka walau pun untuk iklan yang sudah lama.
"Bagi pelanggan yang mengambil iklan Diamond dan Gold, mereka ditawarkan juga untuk menempah iklan berbentuk TalkBizi iaitu sembang santai bisnes. Slot iklan jenis ini boleh diadakan di mana-mana sahaja yang pelanggan suka termasuk di premis masing-masing. Ini bemakna mereka tidak perlu datang ke konti studio, tapi boleh berkongsi maklumat secara Live TalkBiz dari lokasi terpilih secara santai. Pelanggan iklan Silver (RM150) tidak layak untuk slot iklan ini", tambah Shukri lagi.
Sementara itu katanya, bagi pelanggan yang mahu menempah iklan jenis Silver (RM150) mereka haruslah bertindak segera kerana ia terhad kepada 15 pelanggan sahaja.
"Orang ramai dipelawa beriklan dengan CMK FM dalam usaha memajukan lagi bisnes mereka secara digital. Tambahan pula di CMK FM, pendengar sendiri yang akan share dan termasuk juga FB Ads akan diuruskan oleh pihak kami. Maknanya pelanggan tidak perlu keluarkan belanja lain untuk melakukannya" kata Shukri.
Para usahawan offline dan online yang berminat untuk menempah iklan murah di CMK FM, bolehlah klik pada link dibawah untuk mendapatkan info lanjut :-
Siaran radio internet CMK FM boleh diikuti secara langsung di FB Live melalui page :
Jangan lepaskan peluang keemasan ini. Pemasaran digital adalah satu kaedah baru yang boleh memajukan lagi perniagaan dan melariskan produk anda sebenarnya. #advitorial
KUALA LUMPUR - Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low boleh mengatur pertemuan dengan beberapa tokoh terkemuka dunia, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MBD) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata berdasarkan kepada pemerhatian beliau, Jho Low mempunyai hubungan peribadi dengan beberapa tokoh terkemuka dunia.
Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib pada hari ke-20 perbicaraan kes bekas perdana menteri itu membabitkan dana 1MDB.
Muhammad Shafee: Jho Low menggunakan akses ‘orang dalam’ semasa mengatur pertemuan
Shahrol Azral: Berdasarkan pemerhatian saya, Jho Low mempunyai hubungan peribadi dengan mereka ini, jadi saya tidak tahu dia menggunakan akses ‘orang dalam’.
Muhammad Shafee: Jho Low mungkin mempunyai hubungan langsung tetapi dia mendekati orang-orang ini melalui akses ‘orang dalam’, jadi perkara ini memudahkan pertemuan sebenar
Shahrol Azral: Ya, betul.
Muhammad Shafee: Kamu juga tahu yang Jho Low boleh mengatur pertemuan antara Najib dan Almarhum Raja Arab Saudi, Abdullah Abdulaziz Al Saud.
Shahrol Azral: Ya.
Saksi itu juga bersetuju bahawa Jho Low kenal CEO Mubadala, Khaldoon Al Mubarak.
Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Isnin. #sumber
KUALA LUMPUR - Permohonan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri
Salleh Said Keruak untuk menganggotai PKR akan ditentukan menerusi perbincangan dalam Mesyuarat Biro Politik PKR, kata Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Kita akan pertimbangkanlah kemasukan (Salleh) sebab dia ada sensitiviti masing-masing dan walaupun PM (Perdana Menteri) kata tiada salahnya untuk melompat parti, namun ada juga yang merasakan bahawa mungkin kita akan melihat apa yang belakang (tujuan) lompat parti ni kan.
“Kita akan bincangkan sama ada beliau diterima atau tidak. Maksud saya, kami menerima permohonan beliau, diterima sebagai ahli anggota atau tidak itu akan dibincangkan di (mesyuarat) Biro Politik,” katanya ringkas ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.
Semalam, Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berpandangan semua anggota PKR harus bersifat terbuka dalam menerima kemasukan tokoh yang dapat memberi manfaat kepada parti.
Kenyataan beliau itu susulan daripada luahan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Mustapha Sakmud yang menyatakan beliau terkesan dan merasai kebimbangan pimpinan serta ahli parti seluruh negeri itu dengan permohonan Salleh Said untuk menyertai PKR. #sumber
PUTRAJAYA - Pakatan Harapan (PH) berharap pembangkang meletakkan calon UMNO untuk bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor kerana berpendapat pakatan itu lebih berpotensi menang jika disaingi wakil UMNO, kata pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Banyak masalah di situ. Kita berpendapat bahawa kita bergantung kepada parti lawan untuk menang iaitu kita minta mereka letak calon dari UMNO. Tolonglah, supaya kita boleh menang," katanya secara sinis pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH, di sini, hari ini.
Dr Mahathir berkata walaupun buat masa ini calon PH masih belum ditentukan, namun yang pasti pakatan itu akan diwakili oleh calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 Nov ini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 Sept lepas selepas mengalami komplikasi jantung.
Pada PRU14, Dr Md Farid yang merupakan seorang pakar bius dan Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 524 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).
Ditanya mengapa PH mengharapkan calon UMNO daripada Barisan nasional (BN) bertanding PRK tersebut, Dr Mahathir berkata: "Adalah fakta-fakta yang tak boleh kita terangkan sekarang."
Perdana Menteri berkata mesyuarat tersebut turut membincangkan secara panjang lebar mengenai Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Jumaat ini.
Katanya, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin PH dan terdapat sedikit perubahan yang dicadangkan untuk belanjawan tersebut.
"Dan diharap Menteri Kewangan akan mengambil kira pandangan ini dan membuat pengumuman dalam ucapan (nanti)," katanya.
Ditanya mengenai perubahan yang diinginkan itu, Dr Mahathir secara berseloroh berkata: "I won't tell you, its embargo until Friday" (Saya tidak boleh beritahu anda, ia embargo sehingga Jumaat).
Sementara itu, Dr Mahathir ketika diminta mengulas mengenai lantikan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Junaidah Kiting, yang juga merupakan isteri kepada setiausaha politik perdana menteri, berkata PH akan melakukan lantikan politik ke jawatan tertentu jika individu tersebut berkelayakan dan boleh menjalankan tugas.
"Inilah masalah yang kita hadapi. Kami tidak sepatutnya memberi sebarang jawatan kepada orang yang bekerja keras untuk menjayakan parti kita. Sebaliknya, yang mendapat nikmat jawatan-jawatan tertinggi adalah orang-orang yang tidak pernah tolong parti kita.
"Jadi adakalanya kita pilih juga orang yang ada kaitan sedikit dengan parti kerana dia mempunyai kelayakan, dan kita akan terus lakukan perkara yang sama kalau kita dapati ada orang yang ada kaitan dengan parti, bekerja kuat dengan parti, tetapi mempunyai kebolehan untuk menjayakan tugas itu," katanya. #sumber
JOHOR BAHRU - PAS Johor mengharapkan calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, November ini, dipilih dalam kalangan rakyat tempatan yang mempunyai rekod bersih.
Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin berkata pandangan itu disampaikan oleh PAS negeri dalam pertemuan bersama UMNO Johor yang diketuai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Datuk Ir. Hasni Mohammad baru-baru ini.
“Saranan kita (PAS) mengenai calon yang akan bertanding, seeloknya hendaklah calon tempatan yang boleh diterima semua anggota masyarakat dan seboleh-bolehnya dalam kalangan Melayu Islam yang bersih dari isu–isu negatif.
“Kita mengharapkan biarlah calon Melayu Islam dicalonkan bukan kerana rasis atau sebagainya tetapi kerana mengikut keadaan sekarang, melihat realiti semasa dengan majoriti Melayu Islam di sana jadi kita rasa lebih baik kita pilih calon Melayu Islam dan kita sudah kemukakan hujah-hujah kita dan UMNO pun pandangan mereka hampir sama dengan kita,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Abdullah bagaimanapun berkata pihaknya tetap akan memberi sokongan dan akan bekerjasama walaupun keputusan yang akan ditetapkan mengenai calon yang akan mewakili pembangkang di PRK Tanjung Piai tidak seperti yang diutarakan.
“Walau apapun keputusan yang diputuskan, kita akur dan akan bekerjasama atas semangat Muafakat Nasional dan ia tidak tertakluk untuk Islam sahaja. MIC dan MCA pun boleh bernaung di bawah piagam ini kerana agenda lebih luas, kita tidak pinggirkan non-muslim,” katanya.
Abdullah turut mengingatkan bahawa pihaknya tidak boleh berasa selesa walaupun ada teori mengatakan pembangkang boleh memenangi PRK Tanjung Piai kali ini.
“Kalau mengikut teori semasa Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan menang tipis dan PAS ketika itu mendapat undian lebih 2,000, jadi kiraan kasar sudah boleh menang kalau ikut undi BN dan PAS tetapi kita tidak boleh selesa dan terlalu yakin dengan anggapan itu.
“Walaupun PRK sebelum ini seperti di Rantau, Semenyih dan Cameron Highland dimenangi pembangkang seolah menunjukkan satu petunjuk yang positif kepada kita tetapi harus diingatkan jangan terlalu selesa kerana apa sahaja boleh terjadi, pelbagai kemungkinan boleh berlaku tetapi apa yang penting kerjasama semua pihak,” katanya lagi.
Penyandang kerusi Tanjung Piai, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia di Hospital Pontian pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.
Dalam PRU -14 lepas, Dr Md Farid, yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai memperoleh 21,255 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi. #sumber