Showing posts with label Attitude. Show all posts
Showing posts with label Attitude. Show all posts

Saturday, January 08, 2011

Sesudah Gabenor Dibunuh

Dua hari lepas Gabenor Wilayah Punjab Salman Taseer mati dibunuh di kawasan Pasar Kohsar Islamabad. Pasar Kohsar terletak cuma lebih kurang 2km dari rumah saya. Sehari sebelum kejadian tersebut saya dan ibu mertua ke Pasar Kohsar membeli sayur-sayuran dan air kopi dari Gloria Jeans. Itu adalah tempat kebiasaan kami untuk mendapatkan pelbagai jenis barang keperluan dapur dan bahan-bahan mentah. Pasar Kohsar juga adalah destinasi yang popular untuk diplomat dan ekspatriat di Islamabad kerana di situ terdapat pelabagai barang-barang keperluan yang bersifat antarabangsa dan orang-orang asing gemar berkunjung ke situ termasuklah saya dan warganegara Malaysia yang lain di Islamabad ini. Hari-hari selepas pembunuhan itu Pasar Kohsar dilaporkan lengang, itulah yang saya baca dan lihat di surat khabar.

Lebih mengejutkan kami, kerana Gabenor tersebut telah dibunuh oleh pengawal keselamatannya sendiri! Malik Qadri Mumtaz telah menembaknya bertubi-tubi sehingga habis 2 kelopak peluru dan 27 peluru terbenam di dalam badannya. Dia sempat menghabiskan 2 kelopak peluru pistolnya tanpa ada sesiapa yang menghalangnya, sedangkan dia ditembak dari jarak yang tidak jauh dan di kawasan awam. Sebaik sahaja selesai menembak dia terus ditangkap dan laporan berita menyebut dia memang tidak lari tetapi terus menyerah diri. Malik Qadri Mumtaz memberitahu umum bahawa dia membunuh gabenor itu kerana dia menentang undang-undang blasphemy di Pakistan dengan memanggilnya sebagai black law

Bertentangan dengan laporan di media-media utama di sini, saya perhatikan ramai orang yang menyokong pembunuhan itu. Ramai orang yang saya jumpa dan berbual dengan mereka, tidak menyukai gabenor itu yang disifatkan sebagai seorang yang liberal, tidak Islamik dan malah ada menganggapnya sudah murtad. Khadim seorang pemuda  Pashtun pertengahan 20-an yang mengaku tidak pernah solat berkata, "it's good, he's a mother fucker!" Ada juga yang melahirkan sokongan dan menyanjung tinggi pembunuh itu, saya mendengar orang Pakistan berkata, "janggutnya panjang dan dia kelihatan seperti seorang Muslim yang sangat taat". Seorang kawan, Naeem yang kelihatan agak moden, rajin membaca, berpengetahuan dan berjanggut panjang berkata dia menyokong pembunuhan kerana gabenor itu sudah murtad kerana dia menghina undang-undang Islam yang menjaga kesucian agama Islam dan nabi Muhammad. Naeem tidak berpuas hati dengan saya kerana saya tidak bersetuju dengan pembunuhan dengan cara itu. Dan saya sangat terkejut dengan reaksinya tentang pembunuhan itu kerana selama ini saya menganggap dia adalah seorang yang berfikiran sederhana.

Ini adalah sebahagian dari Pakistan. Ramai orang-orang yang suka membunuh orang atas nama agama atau menghalalkan pembunuhan jenis itu dan mereka menganggap bahawa mereka adalah wakil Tuhan yang telah diberikan kuasa untuk melaksanakan segala hukuman dari Tuhan. Tiada pembuktian, tiada perbicaraan dan tiada mahkamah, malah bukti pandang dengar pun sudah cukup untuk mereka. Dan saya percaya mereka tidak faham pun apa itu Islam yang sebenarnya tetapi sangat fanatik pada ajaran yang telah disalahfahami itu. Pihak berkuasa di negara ini telah gagal memberikan ilmu pengetahuan kepada rakyatnya supaya memahami kesederhanaan dan toleransi Islam. Pembunuhan-pembunuhan yang disebabkan perbezaan pemikiran dan mazhab adalah antara masalah yang serius di negara ini. Saya sangat sedih dan kecewa dengan keadaan ini kerana ia memberikan satu gambaran yang sangat buruk kepada agama yang saya juga penganutnya.

Naeem menyalahkan kerajaannya. "Kelemahan kami adalah pemimpin kami, kami tiada pemimpin sebaik Mahathir Mohamed".
Lalu saya menjawab, "sebenarnya kamu sendiri dan orang-orang Pakistan yang keliru. Saya rasa seandainya kamu mengenali Mahathir Mohamed dengan lebih dekat, saya rasa kamu juga ingin membunuhnya! Maaf, ideologi kita tidak sama dan pemikiran kita sangat berbeza sekali, tetapi saya harap kamu tidak akan membunuh saya hanya sebab kita berbeza."

Thursday, July 08, 2010

Sepasang Selipar Jepun & Sekeping Nota

Sepasang selipar merah yang masih baru itu diikat dengan sebelah selipar hitam yang lama di atasnya. Dan di atas selipar hitam itu terikat sekeping nota. "Ini selipar yang saya ganti, dengan sebab kecuaian saya. Harap maaf." Saya melihat selipar itu di masjid di sebuah pondok pengajian agama di Pasir Tumbuh, Kelantan selepas selesai solat Asar di situ.

Petang itu saya menghantar Moklong ke pondoknya di situ. Setelah kematian suaminya, dia mengambil keputusan untuk menjual tanah dan rumahnya dan dia ingin menghabiskan sisa hidupnya di pondok itu. Dia tidak pernah mempunyai anak kandung sendiri tetapi pernah mengambil dua anak angkat perempuan dan kedua-duanya telah berkahwin dan mengikut suami masing-masing. Walaupun pertaliannya dengan kami cuma bau-bau bacang, tetapi dia selalu datang ke rumah keluarga saya di Setiu dan selalunya bermalam untuk beberapa hari malah kadang-kadang berminggu. Dia cuma seorang perempuan tua yang kesunyian dan inginkan sedikit perhatian dan kasih sayang anak cucu. Dan itulah yang cuba kami berikan, cuma sedikit perhatian agar dia tidak berasa kesunyian dan dipinggirkan.

Petang itu saya tergerak hati untuk menghantarnya pulang ke pondoknya. Sebenarnya saya sudah lama teringin melihat pondoknya. Saya senang melihat dia gembira tatkala sampai di pondok kecilnya sambil disambut rakan-rakan yang juga jiran-jirannya, kebanyakannya hampir sebaya usia dengannya. Keadaan di situ kelihatan tenang dan penghuninya juga kelihatan bahagia. Mereka hanya menjalani hidup yang sangat ringkas. Pondok-pondok kecil dibina rapat-rapat di antara satu sama lain dan tidak jauh dari pondok itu terdapat sebuah masjid yang tersergam indah, berpagarkan batu marmar. Di masjid itulah mereka sering berkumpul untuk beribadat, mendengar kuliah dan ceramah, belajar dan sebagainya.

Apabila melihat selipar dan nota itu, hati saya terdetik bahawa betapa jujur dan mulianya hati penduduk di situ. Selipar itu cuma selipar jepun yang mungkin diwakafkan orang. Tetapi rasa kebertanggungjawaban dan integriti yang tinggi orang di situ jelas terlihat apabila dia tidak mengambil mudah walaupun perkara yang kecil sebegitu. Kepada saya pengunjung pertama kali ke situ, selipar bernota itu bercerita tentang mereka di situ, tentang moral dan peradaban mereka. Lalu saya yakin Moklong telah membuat pilihan yang tepat untuk tinggal di situ. Semogalah Moklong selalu bahagia di situ.

Tuesday, April 06, 2010

Perempuan-Perempuan Islamabad

Sebelum saya datang ke Pakistan saya mempunyai tanggapan bahawa perempuan Pakistan semuanya bertudung dan menutup aurat kerana Pakistan adalah sebuah Republik Islam. Tetapi setelah hampir setahun saya tinggal di Islamabad, dirumuskan bahawa di Islamabad terdapat lebih ramai perempuan yang tidak bertudung. Walaupun mereka memakai kurta dan shalwar tetapi kurta mereka sangat ketat terutamanya di bahagian dada, belahan sisinya sangat tinggi sehingga kadang-kadang menampakkan kulit perutnya. Walaupun mereka membawa dupatta (selendang) apabila keluar rumah tetapi dupatta tersebut hanya diletakkan di atas dada, bukan di atas kepalanya.

Hanya sebahagian dari mereka yang meletakkan dupatta di atas kepala bagi menutup rambut. Tetapi apabila mendengar azan mereka semua akan cepat-cepat menutup rambut mereka dengan dupatta tersebut dan akan meletakkan kembali hanya ke atas dada mereka apabila azan selesai. Menurut cerita yang saya dengar, mereka akan memastikan sehelai dupatta berada di atas dada mereka kerana biasanya perempuan Pakistan selesa tidak berbaju dalam, jadi sebab itulah mereka perlukan sehelai dupatta bagi melindunginya.

Di kedai-kedai makan yang biasanya menjadi tumpuan muda-mudi, kelihatan ramai perempuan yang berpakaian lebih moden dan kurta yang lebih ketat, bermekap tebal, menghisap rokok dengan bangganya, termasuk di restoran Mint yang sempit dan berhawa dingin itu. Di restoran Rendovouz Sektor F7 perempuan-perempuan Islambad menghisap rokok dan shisha di kawasan terbuka, sambil bergelak ketawa bagai menarik perhatian semua lelaki.

Kadang-kadang saya pelik dan benar-benar ingin tahu kenapa perempuan Islamabad kelihatan sangat biadap, sombong, bodoh dan kurang ajar bagai tidak pernah ke sekolah. Mereka tidak suka beratur dan suka memotong barisan dengan muka selamba tanpa rasa bersalah dan malu, tanpa mengira perasaan orang lain yang sudah lama beratur. Pernah di restoran McDonald seorang perempuan memotong barisan yang panjang ketika giliran Mawar untuk membuat pesanan. Walaupun ditegur dan dimarah, dia tetap ingin memotong barisan itu tanpa sekelumit malu. Saya pernah memarahi seorang juruwang di sebuah farmasi di Sektor F6 kerana mengutamakan seorang perempuan yang hanya baru datang sedangkan saya telah lama menunggu untuk dilayan, lalu saya sengaja tidak jadi membeli ubat-ubatan yang telah berada di tangan saya kerana ingin 'mengajar' mereka. Hampir setiap hari kami berhadapan dengan perempuan yang berperangai begini di Islamabad, sehinggakan kadang-kadang kami menjadi sangat tertekan dan hilang sabar.

Begitulah juga sikap perempuan Islamabad sewaktu memandu di jalan raya. Beberapa hari lepas di Pasaraya Metro saya menyaksikan bagaimana bodoh dan biadapnya seorang pemandu perempuan yang cuba berebut petak letak kereta yang sememangnya bukan haknya. Terdapat sebuah kereta di hadapannya yang sedang menunggu untuk memasuki petak tersebut kerana kereta di petak tersebut sudah hendak keluar. Tiba-tiba perempuan yang memandu Honda Civic (LOY 60) datang untuk juga memasuki petak tersebut. Sewaktu dua buah kereta tersebut berasak-asak, perempuan itu tidak mahu mengalah malah melanggar sedikit bahagian sisi kereta yang hendak memasuki petak itu. Lelaki itu akhirnya berjaya mendapatkan haknya dari perempuan  itu. Saya rasa semua orang yang menyaksikan adegan tersebut pasti akan mengutuk perempuan pencuri yang sangat kurang ajar dan tidak tahu malu itu. Dan dia juga telah menunjukkan contoh yang paling hodoh kepada anak perempuan yang duduk di sebelahnya.

Dialah salah seorang perempuan Islamabad yang berdupatta di atas dada, yang memberi imej buruk kepada Islam dan Islamabad, yang bermaksud tempat menetap Islam.

Biarlah Saya Menjadi Melayu

Semasa di Mekah pada minggu lepas, saya berjumpa dengan seorang pemuda yang berketurunan Arab dari Utara Afrika (Tunisia) yang dilahirkan dan dibesarkan di Perancis. Namanya Bashir dan setiap hari dia memakai sarung pelikat yang dipadankan dengan kemeja T. Dia memberitahu saya bahawa dia adalah seorang muallaf baru sahaja memeluk agama Islam. Lalu saya bertanya apakah agamanya sebelum ini. Dia berkata mungkin Kristian, kerana mereka tinggal di Perancis. Ibu bapanya tidak pernah peduli tentang agama, tetapi kali ini dia datang ke Mekah bersama bapanya yang baru sahaja dipekenalkan kepada Islam olehnya sendiri. Dan menurutnya ibunya juga inshaAllah akan menjadi Muslim tidak lama lagi.

Menurut Bashir terdapat banyak sekali orang berketurunan Arab yang tinggal di Perancis dan mereka tidak lagi beragama Islam, tetapi tetap mengekalkan nama Arab mereka dan mereka sangat tertutup fikirannya mengenai Islam. Bashir yang pernah melawat Malaysia sangat terpegun dengan masyarakat Islam Malaysia yang masih mengamalkan sebahagian besar dari ajaran Islam seperti memilih makanan halal, tidak meminum arak, bersolat dan menutup aurat. Dia selalu bercerita kepada ayahnya tentang orang Islam di Asia tenggara.

"Jadi mereka ingin menjadi Arab?" Ayahnya yang berketurunan Arab selalu keliru dengan antara bangsa-keturunan dan agama. Dan Bashir selalu membetulkan tanggapan ayahnya itu.

Saya memberitahu Bashir, "sila beritahu ayah kamu, saya tidak ingin menjadi Arab, saya senang menjadi Melayu, yang bersopan-santun, jujur dan berbudi bahasa. Tetapi, ya, kami tetap akan memastikan anak-cucu menjadi Muslim." Saya benar-benar memaksudkannya.
Saya lihat sendiri bagaimana biadap dan kasarnya seorang perempuan Arab menolak dan mengganggu orang yang tengah bersolat dalam masjidil haram, hanya semata-mata ingin mendapatkan satu ruang solat untuk dirinya sendiri. Dan tatkala selepas sa'ie seorang pemuda Arab dengan selamba tanpa malu-malu mengambil gunting kecil saya dan mengguntingkan rambut jemaah lain dan mengutip bayaran dari mereka. Apabila saya meminta kembali gunting itu dia enggan mengembalikan kepada saya. Setelah saya memberitahunya bahawa itu adalah hak saya dia membaling gunting itu ke lantai dengan marahnya dan terkena kaki seorang perempuan Arab yang berkerusi roda. Tercengang saya melihat perlakuan orang Arab dalam masjidil haram yang terletak di tempat paling suci bagi orang Islam.

Dan saya juga memilih untuk tidak memasuki Raudhah di Masjid Nabawi dan mengucup hajarul aswad di suatu sudut Ka'abah setelah melihat keadaan yang sangat padat dan tegang. Sewaktu hendak masuk ke terminal berlepas di lapangan terbang di Jeddah, orang-orang Arab dan Pakistan memilih untuk berebut-rebut dan tolak-menolak. Saya berkeras menyuruh mereka beratur dan tidak memotong kami yang mendukung anak kecil dan menolak kereta sorong bayi. Ada orang Arab yang mencarut kepada saya.

Seorang perempuan Arab Lubnan yang tidak menutup rambut menghampiri saya. Dia sudah lama memerhatikan saya yang asyik menyuruh orang beratur termasuk dirinya sendiri.

"Saya sangat malu sebentar tadi kerana disuruh beratur oleh kamu. Inilah perangai orang Arab dan saya telah terpaksa menjadi sebahagian daripada mereka. Ada orang berkata jika sekiranya orang Arab sudah mula pandai beratur, maka nescaya sudah lama Israel dapat dikalahkan oleh orang-orang Arab yang tinggal di sekeliling mereka. Tetapi malang sekali orang Arab tidak mahu beratur." Dia mencebik.

Wednesday, November 25, 2009

Perasaan Yang Hancur Lebur

Sewaktu saya hendak bersangka baik pada orang Pakistan yang saya jumpa, selalunya harapan saya itu akhirnya hanya akan dileburkan begitu sahaja. Dan selepas itu saya menjadi sangat kecewa dan tidak ingin berharap apa-apa yang berbeza dari orang Pakistan. Sikap dan perangai mereka sangat streotaip dan tidak keterlaluan jika saya katakan tidak apa-apa yang boleh dilakukan untuk mengubah mereka. Mereka akan tetap begitu.

Mereka sangat senang berjanji dan dengan mudah memungkiri, malah mengkhianatinya. Sebenarnya saya tersangat sakit hati dengan tuan rumah saya yang berjanji tentang beberapa perkara sewaktu kami hendak menduduki rumah ini dahulu. Dahulu saya rasakan dia adalah orang Pakistan yang sangat jujur dan tidak seperti orang Pakistan yang lain. Tetapi sekarang setelah dia mendapat semua bayaran untuk dua tahun (mereka berkeras bahawa bayaran sewa mesti dibayar terlebih dahulu bagi kadar 2 tahun), dengan selamba dia mungkir segala janji-janjinya. Malah tanpa rasa bersalah dan malu mereka menafikannya janji dan persetujuan yang mereka telah buat dengan kami. Macam-macam alasan dan helah diberikan. Pada mulanya saya berkeras hendak melawan kerana menyedari akan hak-hak saya.

Tetapi setelah berfikir panjang serta menghargai fakta bahawa mereka orang Pakistan yang sejati, saya rasa saya harus pasrah. Kali ini jika dia menelefon atau datang ke rumah saya lagi, saya akan katakan begini:

"Puan, saya sudah penat dan tidak mahu berfikir atau berhujah lagi. Dahulu pun, sewaktu sebelum saya datang ke sini saya sudah digambarkan tentang bagaimana sikap orang-orang di sini. Anda telah membuktikan segalanya benar. Jadi sekarang anda buatlah ikut suka hati anda agar semua faedah dan keuntungan berpihak kepada anda, saya tidak ingin minta apa-apa lagi. Saya harap anda akan puas hati dan gembira."

Atas beberapa sebab termasuk kerana sikap dan perangai tuan rumah itu, saya berasa menyesal memilih rumah ini. Jika diberi pilihan saya ingin berpindah. Tetapi buat masa ini semua itu bagaikan agak mustahil untuk berlaku.

Tuesday, July 07, 2009

Jangan Hantar Lagi, Faham?

Sejak mula-mula pindah ke rumah ini, setiap pagi ada seorang pemuda penghantar surat khabar datang menghantar surat khabar ke rumah. Di atas muka depannya tertulis "call me" diikuti dengan nombor telefon. Saya tidak pernah membuat panggilan ke nombor itu. Penghantar surat khabar itu pernah menekan loceng rumah dan bila Mawar keluar, dia bertanyakan Mawar jika kami berminat untuk melanggan surat khabar. Mawar memberitahu kami tidak berminat. Tetapi selepas itu kami tetap menerima surat khabar itu. Saya tidak pernah membaca surat khabar tersebut dengan serius kerana biasanya saya membaca surat khabar di tempat kerja dan juga akhbar secara atas talian di internet. Saya juga pernah berpesan kepada pemuda penghantar surat khabar itu supaya jangan menghantar surat khabar ke rumah saya lagi, kerana saya tidak ingin melanggan.

Semalam pemuda penghantar surat khabar itu menunggu di hadapan pintu pagar rumah saya. Dia meminta duit sebanyak Rs150 (kira-kira RM6.80) kerana menurutnya dia telah menghantar surat khabar ke rumah saya selama 10 kali. Setahu saya cuma lebih kurang 4 kali sahaja. Dengan tegas saya memberitahunya bahawa saya tidak pernah meminta sesiapa supaya menghantar surat khabar ke rumah saya dan malah saya dan isteri juga pernah berpesan kepadanya supaya jangan menghantar surat khabar ke rumah kami, dan saya tidak akan membayar satu rupee pun kepadanya. Dia terus merayu-rayu dengan muka tidak tahu malu.

Katanya dia telah tersilap hantar dan meminta saya membayarkan juga RS150 kepadanya. Dan saya tidak percaya bahawa itu satu kesilapan, kerana kami telah memesannya berkali-kali. Itu bukan satu kesilapan, tetapi mungkin kebodohan atau penipuan! Tetapi menjadi seorang melayu, saya selalunya mudah jatuh simpati, bertimbang rasa dan ingin menjaga hati segala. Akhirnya saya hulurkan juga Rs20 (RM0.90).
"Tolong jangan hantar surat khabar ke rumah saya lagi, faham?!"

Dia mengambilnya tanpa terima kasih. Saya lihat dia masih tidak gembira, ada riak-riak kekesalan pada wajahnya.

Saturday, July 04, 2009

Mereka dan Jalan Raya

Saya kurang gemar dengan sikap pemandu kenderaan di Islamabad. Mereka tidak mengikut peraturan jalan raya seperti di tempat asal saya. Mereka menukar lorong sesuka hati tanpa melihat siapa di lorong kanan di belakang kenderaan mereka. Mereka terlalu kerap membunyikan hon, di mana-mana sahaja. Dan keseluruhannya mereka sangat degil dan tidak mahu mengalah. Di sini siapa yang berani, dialah yang akan mendapat jalan. Kadang-kadang ada juga kelihatan perempuan memandu, seperti biasa dengan gaya tipikal pemandu perempuan. Tetapi pemandu-pemandu lelaki biasanya sangat menghormati pemandu perempuan dan mudah memaafkan apa-apa kebodohan dan kesilapan pemandu perempuan. Bukan sahaja di jalan raya, tetapi di mana-mana sahaja perempuan di sini dilayan begitu oleh lelaki Pakistan. Perempuan tidak boleh dimarah atau ditegur oleh lelaki di tempat awam.

Saya tidak tahu jika di sini terdapat undang-undang jalan raya atau pun tidak, kerana mereka sungguh tidak menghormati peraturan, jauh sekali perasaan timbang rasa dan sopan santun. Tetapi ironinya saya diberitahu bahawa secara keseluruhannya, sikap pemandu di Islamabad adalah yang terbaik di seluruh Pakistan. Keadaan jalan raya dan trafik di wilayah lain-lain adalah jauh lebih teruk, suasananya bagai hampir-hampir tiada peraturan langsung. Saya tertanya-tanya jika pemandu di Pakistan perlu menghadiri kelas di sekolah memandu atau pun tidak sebelum mendapat lesen memandu. Selain itu, terdapat ramai polis trafik di jalan raya, mengawal lalulintas dan kadang-kadang mengeluarkan tiket saman.

Ada satu peraturan yang sangat kelakar. Jika melalui jalan bulatan, pemandu yang berada dalam bulatan harus mengutamakan pemandu yang baru hendak masuk ke dalam bulatan. Pemandu yang sudah berada dalam bulatan yang wajib berhenti bagi memberi laluan. Jika kita tidak berhenti kita yang akan diberi hon yang panjang serta dipandang serong seolah-olah kita yang bersalah. Satu lagi peraturan yang pelik, hanya pemandu kenderaan sahaja yang diwajibkan memakai tali pinggang keledar. Jika penumpang lain tidak memakai tali pinggang itu tidak menjadi kesalahan. Begitu juga dengan motosikal, hanya pemandu hadapan sahaja diwajibkan memakai topi keledar, pembonceng di belakang tidak perlu. Mereka juga dibenarkan menaiki motosikal beramai-ramai, tiga, empat atau berapa saja semuat-muatnya. Polis mereka sendiri pun dilihat berbuat begitu.

Jika terdapat sebarang pergeseran dan perlanggaran di jalan raya, mereka suka bertegang leher lama-lama di atas jalan raya. Ramai orang yang akan berduyun-duyun mengerumuni tempat kejadian untuk menyaksikannya. Yang lalu-lalang akan singgah sebentar. Jika ada polis pun mereka tidak berbuat apa-apa, hanya melihat. Tetapi pertengkaran mereka biasanya tidak akan berakhir dengan tumbukan atau pergaduhan fizikal, kerana terdapat ramai orang yang akan cuba meleraikan pertengkaran antara pihak-pihak yang terlibat.