Pergi ke kandungan

VHS

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Video Home System
Logo VHS

Pemandangan dari atas kaset VHS dengan pembaris bagi tujuan pengukuran
Jenis media:Media video
Pengekodan:FM di atas pita magnet
Dimaju oleh:JVC
Penggunaan:Storan audio/video
Pemandangan dari atas kaset VHS dengan selongsong depan dibuka

Sistem Video Rumah (bahasa Inggeris: Video Home System[1]), atau lebih dikenali dengan singkatannya VHS, ialah satu piawaian rakaman dan main balik video yang dimajukan oleh Victor Company of Japan, Limited (JVC) dan dilancarkan pada September 1976, menjadikan The Young Teacher filem pertama yang dikeluarkan dalam bentuk tersebut. Menjelang 1990-an, VHS menjadi format piawaian untuk rakaman dan tontonan pengguna, setelah berentap dalam satu perang format yang hangat menentang Betamax Sony dan juga Video 2000 Philips, Laserdisc MCA dan Capacitance Electronic Disc RCA.

Mula-mulanya VHS menawarkan tempoh rakaman lebih lama berbanding sistem Betamax, dan juga menikmati kelebihan mekanisme angkutan pita yang kurang rumit. Meskipun VHS dan Betamax bersaing, namun sesetengah teknologi penting VHS dilesenkan dari Sony. Pemain VHS awal boleh menggulung semula dan memundar laju pita dengan lebih cepat berbanding pemain Betamax VCR kerana pemain VHD mencabut pita dari kepala main balik sebelum memulakan apa-apa penggulungan laju. Kebanyakan mesin VHS baru tidak menjalankan langkah mencabut pita ini, kerana sentuhan kepala-pita bukan lagi halangan kepada penggulungan laju, hasil peningkatan dalam kejuruteraan.

Minggu 15 Jun 2003 menandakan julung kalinya format DVD (yang dilancarkan pada tahun 1996) mengatasi VHS di Amerika Syarikat. Walaupun masih popular bagi rakaman rumah, namun pita VHS sudah banyak diganti oleh DVD untuk kandungan video rumah prarakaman.

Menjelang tahun 2006, kebanyakan studio perfileman utama berhenti mengeluarkan judul filem baru dalam format VHS, demi keluaran DVD sahaja. Kebanyakan kedai-kedai utama turut menghentikan jualan filem prarakaman dalam VHS, namun kaset prarakam VHS masih digemari ramai pengumpul, terutamanya kerana masih terdapat beribu-ribu judul yang masih tidak terdapat dalam bentuk DVD atau mana-mana format baru.

  1. ^ "IEEE History Center: Development of VHS", menyebut nama asalnya sebagai "Video Home System", dari satu artikel oleh Yuma Shiraishi, salah seorang penciptanya. Dicapai 28 Disember 2006.