Ramanujacharya
Rāmānujācārya (1017-1137 Masihi) merupakan seorang ahli teologi Hindu, falsafah dan pengulas sastera Hindu. Beliau berasal daripada keluarga Brahmin Tamil di kampung Sri Perumbudur, Tamil Nadu. Rāmānujācārya juga dikenali sebagai Śri Rāmānuja, Udayavar, Yatirāja (Ethirajar), Emberumānar, dan Lakshmana Muni. Beliau dianggap sebagai Acharya (guru) yang penting dalam tradisi Śri Vaiṣṇava (pemuja Viṣn̩u). Beliau juga merupakan salah seorang tokoh penting Viśiṣṭādvaita Vedānta, iaitu salah satu mazhab Vedanta.
Biografi
[sunting | sunting sumber]Kelahiran
[sunting | sunting sumber]Rāmānujā lahir pada tahun 1017 di kampung Sri Perumbudur, Tamil Nadu. Bapanya ialah Asuri Kesava Dikshita dan ibunya Kantimati. Menurut tradisi, Kesava Dikshita dan Kantimati telah berdoa kepada Dewa Parthasarathy untuk mendapat cahaya mata. Doa mereka terkabul apabila Dewa Parthasarathi muncul dalam mimpi Kesava dan berjanji untuk lahir sebagai anaknya. Sejak kecil, Rāmānujā mempunyai daya pemahaman dan kepintaran yang menakjubkan dalam memahami persoalan falsafah.
Pendidikan awal
[sunting | sunting sumber]Ketika Rāmānujā berusia 16 tahun, bapanya meninggal dunia. Ini mendorong keluarganya untuk berpindah ke Kanchipuram bagi mendapat ketenangan. Di Kanchipuram, beliau menyertai Gurukula Yadava Prakasa, seorang pendeta Advaita yang terkenal. Meskipun pada mulanya Yadava Prakasa amat mengagumi kepintaran Rāmānujā, beliau menjadi risau apabila mendapati kecendurungannya untuk Bhakti. Sering kali, guru dan pelajar sering bercanggah pendapat dalam menafsirkan sastera agama. Akhirnya, khuatir Rāmānujā akan menjadi ancaman kepada fahaman Advaita, Yadava Prakasa bersuhabat dengan beberapa orang pelajarnya untuk membunuhnya. Bagi melaksanakan rancangan jahatnya, Yadava Prakasa membawa pelajar-pelajarnya untuk lawatan ke Ganges. Dalam perjalanan, mereka bercadang untuk membunuh Rāmānujā dan kemudian, menebus dosa dengan mandi di sungai Ganges.
Govinda Bhatta, seorang abang saudara Rāmānujā berjaya mengetahui rahsia Yadava Prakasa dan membantunya untuk melarikan diri. Rāmānujā berjaya kembali ke kampungnya, Kanchi.
Waris Yamunacharya
[sunting | sunting sumber]Rāmānujā seterusnya, menerima Kanchi, seorang alim daripada kasta rendah sebagai gurunya. Atas nasihat Kanchi, Rāmānujā melakukan perkhidmatan membawa air untuk pemujaan harian Varada Raja Perumal.
Sementara itu, nama Rāmānujā telah tersebar luas. Yamunacharya, ketua kuil Sri Rangam, teringin untuk melantik Rāmānujā sebagai penggantinya. Rāmānujā mendapat tahu tentang ini melalui kawannya, Kancipurna. Namun, sebelum beliau sempat berjumpa dengan Yamunacharya, beliau telah meninggal dunia. Apabila Rāmānujā tiba di Sri Rangam, jasad Yamunacharya telah dibawa ke tempat pembakaran mayat. Apabila Rāmānujā bergegas ke tempat pembakaran mayat, beliau mendapati tiga jari kanan jasad itu terlipat dalam genggaman. Beliau memahami bahawa terdapat tiga hajat akhir Yamunacharya yang tidak terkabul. Rāmānujā berikrar bahawa dia akan menunaikan semua hajat itu. Sebaik sahaja beliau melafazkan ikrarnya, ketiga-tiga jari jasad Yamunacharya itu terbuka!
Tiga janji Rāmānujā ialah:
- Pertama, “Saya akan kekal sebagai seorang Vaishnava dan menulis ulasan Tiruvaimoli oleh Nammalvar.”
- Kedua, “Saya akan menulis ulasan untuk kitab Brahmasutra.”
- Ketiga, “Sebagai mengenang Rishi Parasara, penulis Vishnu Purana dan bapa Veda Vyasa, saya akan meninggalkan seorang Vaishnava hebat dengan nama itu.”
Dengan menerima mendiang Yamunacharya sebagai gurunya , Rāmānujā mempelajari falsafah Vishishtadvaita daripada Mahapurna, seorang pelajar Yamanucharya.
Ketua Biara Sri Rangam
[sunting | sunting sumber]Ketika dalam usia 30-an, Rāmānujā menjadi seorang rahib dengan mengambil ikrar rahib di Kanchipuram. Kemudian beliau menerima tanggungjawab sebagai ketua biara Sri Rangam. Dengan ini, bermulalah zaman keemasan mazhab Śri Vaiṣṇava dan falsafah Viśiṣṭādvaita. Rāmānujā memperkenalkan pelbagai aturan dan tradisi pemujaan di kuil. Beliau memeriksa khazanah kuil Sri Rangam, memecat beberapa orang pegawai yang tidak jujur dan melantik pegawai-pegawai baru.
Orang ramai mula melawat Rāmānujā untuk mendapatkan ilmu dan restunya. Ramai orang menjadi pengikutnya dengan mengikuti ajaran Śri Vaiṣṇava . Beliau juga melatih tujuh puluh empat orang yang telah berumah tangga untuk menjadi guru.
Rāmānujā menerima Asthakshari Mantra (Aum Namo Narayanaya) daripada Gosthipurna. Sebelum memberikan Maha Mantra itu, Gosthipurna telah menegah Rāmānujā mendedahkan mantera itu kepada orang-orang yang tidak layak. Peliknya, sebaik sahaja beliau menerima Maha Mantra itu, Rāmānujā memanjat sebuah menara kuil dan melaungkannya dalam khalayak ramai. Apabila disoal oleh Gosthipurna, Rāmānujā mengakui kesalahannya dan menyatakan bahawa beliau sanggup memasuki neraka demi memberikan kebebasan kepada orang lain. Kagum dengan kemuliaan hatinya, Gosthipurna, sujud di hadapannya.
Di Sri Rangam juga, Rāmānujā juga mengajar Tiruvaymoli oleh Nammalvar dan Divya Prabandham bagi memenuhi janjinya kepada Yamunachaya. Usaha Rāmānujā berjaya apabila Divya Prabandham menerima status yang sama seperti sastera Sanskrit.
Rāmānujā merupakan seorang pemimpian dan pentadbir yang hebat. Beliau membahagikan masyarakat Śri Vaiṣṇava kepada tujuh puluh empat kawasan uskup dan setiap satu uskup diketuai oleh seorang Simhāsanādhipati atau seorang alim yang telah berumah tangga. Ketua-ketua uskup ini memainkan peranan penting dalam perkembangan ajaran Viśiṣṭādvaita dalam kalangan penduduk di bawah uskup mereka.
Sri Bhasya
Seperti yang dijanjikannya di depan jasad Yamunacharya, Rāmānujā menulis ulasan Brahmasutras (atau Vedantasutras) oleh Badarayana (Vyasa) menurut falsafah Vaishnavisme. Ulasan ini dikenali sebagai Sri Bhasya. Hasil penulisan ini menjadi asas falsafah Vishishtadvaita. Bagi menghasilkan karya ini, Rāmānujā dan Kuresa, berjalan kaki ke Kashmir, di mana satu-satunya salinan Vṛtti oleh Bodhāyana, iaitu satu ulasan Brahmasutras, masih wujud.
Bagi memenuhi janji ketiganya kepada Yamunacharya, Rāmānujā menamakan anak Kuresa, seorang pengikut setianya sebagai Parasara Bhatta. Beliau juga mengarahkan Parasara Bhatta untuk menulis ulasan Vishnu Sahasranama.
Hijrah ke Melkote
[sunting | sunting sumber]Semasa Rāmānujā berada di Sri Rangam, beliau terpaksa menghadapi ancaman daripada Kulottunga Chola, seorang penganut Shaivisme yang fanatik. Apabila Kulottunga mengarahkan Rāmānujā untuk mengakui kemuliaan Dewa Shiva, Rāmānujā berpindah ke Melkote, berdekatan kota Mysore. Di Melkote, beliau membina sebuah kuil Vishnu (dikenali sebagai Celuvanarayana atau SelvapillaI). Bagi menghargai bantuan penduduk-penduduk kasta rendah yang membantunya untuk mendapatkan arca purva Vishnu yang tertanam di sebuah bukit, Rāmānujā membenarkan mereka untuk memasuki kuil itu untuk tiga hari setiap tahun.
Selepas kemangkatan Kulottunga Chola, Rāmānujā kembali ke biaranya di Sri Rangam. Sebelum itu, beliau menabalkan sebuah patungnya sendiri di kuil Melkote, atas permintaan penduduk tempatan. Sebuah patung Ramanuja juga dipuja di kuil Sri Perumbudur, tempat lahirnya.
Rāmānujā menghabiskan tahun-tahun akhirnya di Sri Rangam. Dalam bulan Māgha (Januari-Februari) 1137 Masihi, Rāmānujā meninggal dunia sambil mendengar bacaan Divya Prabandham. Ketika itu, beliau berumur 120 tahun.
Sumbangan utama
[sunting | sunting sumber]Rāmānujā dikenang sebagai seorang tokoh utama yang mengajar dan menyebarkan satu sistem falsafah-agama yang memberikan kepentingan yang sama kepada Bhakti (iman) dan Jnana (ilmu). Sumbangan hebatnya ialah penyatuan ideologi dan metodologi Veda dalam bahasa Sanskrit dengan sastera agama oleh para Alwar yang berunsur iman. Penyatuan ini melahirkan "Ubhaya Vedanta", atau Vedanta yang berdasarkan kepada dua tradisi. Menurut Swami Vivekananda, “Gerakan Sankara meluaskan pengaruhnya dengan keintelektualan tinggi. Tetapi ia tidak banyak berguna kepada rakyat jelata kerana pematuhan ketat hukum kasta, skop yang sangat kecil untuk emosi biasa, dan menjadikan Sanskrit sebagai satu-satunya bahasa komunikasi. Sebaliknya, Ramanuja dengan falsafah yang sangat praktikal, dengan mengutamakan emosi, dan penafian sepenuhnya taraf sosial dengan menekankan pencapaian rohani, dan tarikan bahasa yang popular, dengan sepenuhnya berjaya membawa masyarakat kepada ajaran Veda.”[1]
Rāmānujā memperkembangkan sistem Vedanta yang dikenali sebagai Viśiṣṭādvaita Darsana. Ini ialah separa Advaita. Menurutnya, Brahman (Tuhan) ialah realiti yang agung dan bebas. Acit atau alam (juga dikenali sebagai Prakriti) dan Cit atau makhluk hidup (atau jiwa) ialah realiti yang abadi tetapi bergantung kepada Brahman yang merangkuminya dan pada masa yang sama, mengatasinya. Brahman ialah Sarvesvara (Makhluk Yang Agung) yang mempunyai kemuliaan yang tidak terkira. Brahman bertindak sebagai pencipta, pemelihara, dan pemusnah alam ini. Jiwa bersaiz halus dan jumlahnya tidak terkira. Jiwa dibezakan dengan jasad atau badan dan jiwa mempunyai kesedaran. Orang yang ingin untuk mencapai Mukti atau kebebasan mesti memulakan aktiviti-aktiviti karma atau kewajiban yang ditetapkan. Tindakan begini menyucikan mindanya dan membantu dalam perkembangan rohaninya dengan mengikuti jalan Bhakti (iman), Jnana (ilmu) dan Prapatti (pengabdian diri). Acit pula ialah benda-benda bukan hidup yang membentuk dunia ini. Jiwa yang dibebaskan, tinggal di Paramapada atau Vaikuntha. Jiwa-jiwa ini akan tinggal selama-lamanya bersama-sama Mahavishnu dan mereka tidak lahir semula di dunia ini.[2]
Hasil karya Rāmānujā
[sunting | sunting sumber]Rāmānujā juga menulis lapan buah buku dalam bahasa Sanskrit iaitu:
- Śr Bhasya yang dianggap sebagai karya terhebatnya.
- Vedartha Sangraha iaitu satu karya yang mengandungi interpretasi ayat-ayat dari Upanishad utama menurut fahaman Viśiṣṭādvaita.
- Vedantadipa merupakan ulasan ringkas Vedantasutras
- Vedantasara merupakan ulasan ringkas Vedantasutras
- Gitabhasya iaitu ulasan Bhagavad Gita menurut mazhab Viśiṣṭādvaita.
- Nityagrantha ialah buku arahan untuk pemujaan dan sembahyang harian
- Gadyatraya ialah tiga buah buku lagu-lagu suci. Tiga komponen Gadyatraya ialah: Saranagatigadya (berhubung kemuliaan pengabdian kepada Tuhan), Srirangagadya (doa kepada Tuhan untuk menerima dirinya sebagai seorang hamba Tuhan), dan Vaikunthagadya (satu deskripsi Vaikuntha).
Ajaran Rāmānujā
[sunting | sunting sumber]Rāmānujā mengajar satu falsafah agama yang mengabungkan ilmu dan iman yang dikenali sebagai Viśiṣṭādvaita . Falsafah ini berasaskan kepada kitab-kitab Sanskrit iaitu Upanishad, Brahmasutra, dan Bhagavadgita dan hasil karya golongan Alwar dalam bahasa Tamil yang dikenali sebagai Divya Prabandham. [3]
Mazhab Śri Vaiṣṇava dibezakan dengan mazhab Vaiṣṇava disebabkan peranan Sri Devi. Dalam mazhab Vaiṣṇava , Dewa Vishnu disembah sebagai Yang Maha Berkuasa. Sebaliknya dalam Śri Vaiṣṇava pula Vishnu dan isteri-Nya Sri Devi diberi keutamaan yang sama.[4]
Menurut Rāmānujā, Brahman atau Ishvara dalam Vedanta adalah sebenarnya Narayana. Bhakti kepada Vishnu dan Sri Devi akan memberikan kebebasan. Jiwa yang bebas akan tinggal selama-lamanya di Vaikuntha, iaitu alam Narayana dan mereka tidak akan kembali ke dunia fana ini.[5]
Menurut Swami Vivekananda, "Sejak kedatangan Ramanuja, kamu boleh perhatikan satu ciri utama – iaitu pintu kerohanian telah dibuka untuk semua orang. Itulah cogan kata semua wali-wali selepas Ramanuja."[6]
Tradisi berterusan
[sunting | sunting sumber]Golongan Brahmin Iyengar di Tamil Nadu, Karnataka dan Andhra Pradesh mengikuti tradisi falsafah Rāmānujā. Divya Prabandhas dalam bahasa Tamil dinyanyikan sama seperti ayat-ayat suci Veda. Semua lapisan masyarakat, Brahmin dan bukan Brahmin diberikan tugas dalam upacara pemujaan di Sri Rangam dan beberapa buah kuil utama. Ajaran falsafah Rāmānujā telah diteruskan daripada generasi ke generasi yang lain oleh ketua-ketua biara seperti Pillai Lokacharya, Vedanta Desika, Manavala Mamuni yang hidup dalam kurun ke-13 dan ke-14.
Tradisi Swaminarayan di Gujarat juga berasal daripada keturunan guru (Acharya-parampara) Ramanuja melalui Ramananda. Menurut tradisi, Ramananda telah mempelajari Pancha-samskaras daripada Ramanuja.
Falsafah Viśiṣṭādvaita telah berkembang luas dan masih diikuti di Andhra Pradesh, Tamil Nadu, Karnataka Selatan, Gujarat dan beberapa bahagian Maharashtra.
Sehingga kini, hampir semua kuil-kuil Śri Vaiṣṇava memberikan penghormatan kepada Rāmānujā pada awal upacara sembahyang. Arca Rāmānujā juga dipuja di kuil-kuil Śri Vaiṣṇava seperti kuil Sri Venkateswara di Tirumala, kuil Sri Parthasarathy di Chennai, dan kuil Sri Thirunarayana Swami di Melkote.
Bacaan lanjut
[sunting | sunting sumber]- Ayyangar, S. Krishnaswami; Chariar,, Rajagopala; Rangacharya, M (1911). Sri Ramanujacharya: a sketch of his life and times and His Philosophical System. G. A. Natesan & Co.
- Sampatkumaran, M. R. (1985). The Gītābhāṣya of Rāmānuja. Bombay: Ananthacharya Indological Research Institute.
- Raghavachar, S. S. (2010). Vedartha Sangraha. Advaita Ashrama. ISBN 978-81-7505-118-8.
- Devamani, B. S. (1990). The Religion of Rāmānuja: A Christian Appraisal. Christian Literature Society.
- Duraisingh, Christopher (1979). Toward an Indian-Christian Theology, Rāmānuja's Significance a Study of the Significance of Rāmānuja's Theological Hermeneutics for an Indian-Christian Understanding of the Relation Between God and All-else. Harvard University.
- Lott, Eric J. (1976). God and the universe in the Vedāntic theology of Rāmānuja: a study in his use of the self-body analogy. Ramanuja Research Society.
- Govindacharya, A. (1960). The Life of Rāmānuja. S. Murthy.
- Rao, T. A. Gopinatha (1923). Sir Subrahmanya Ayyar Lectures on the History of Śrī Vaiṣṇavas. University of Madras, Government Press.
- Sastri, K. A. Nilakanta (1955). A History of South India: From Prehistoric Times to the Fall of Vijayanagar. Oxford University Press.
- Sharma, Arvind (1978). Viśiṣṭādvaita Vedānta: A study. Heritage Publishers.
- Aiyengar, C. R. Srinivasa (n.d.). The Life and Teachings of Sri Ramanujacharya. R. Venkateshwar.
- Subramanian, T. N. (1957). South Indian Temple Inscriptions. Madras Government Oriental Series, no. 157 3 (2). pp. 145–60.
- Barua, Ankur (2010). "God's Body at Work: Rāmānuja and Panentheism". International Journal of Hindu Studies 14 (1): 1–30.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]- Sankaracharya
- Madhvacharya
- Sri Krishna Caitanya
- Sri Ramakrishna
- Swami Vivekananda
- Falsafah Vedanta
- Falsafah Hindu
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Vivekananda, Swami, Lectures from Colombo to Almora
- ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism
- ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism
- ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism
- ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism
- ^ Vivekananda, Swami, Lectures from Colombo to Almora
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]Biografi
- Biography of Ramanuja, Sanskrit.org
Hasil karya
- Sri Bhashya: Ramanuja's commentary on Vedanta Sutras, translated By George Thibaut (1904)
- Works by Ramanuja at Project Gutenberg
Lain-lain