Pandangan falsafah tentang bunuh diri
Bunuh diri | ||||||||||||||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
|
Dalam bidang etika dan cabang-cabang falsafah yang lain, bunuh diri menimbulkan soalan yang sukar, dan telah diberikan jawapan yang berbeza-beza oleh para ahli falsafah dari zaman-zaman dan tradisi-tradisi yang berlainan.
Alasan-alasan yang menentang bunuh diri
[sunting | sunting sumber]Banyak alasan falsafah telah diberikan untuk menegaskan bahawa bunuh diri adalah suatu perbuatan yang tidak bermoral dan tidak mengikut etika. Salah satu alasan yang popular adalah bahawa banyak daripada alasan-alasan untuk membunuh diri, seperti kemurungan, sakit jiwa, atau kesukaran kewangan adalah sesuatu keadaan yang sementara dan dapat diatasi melalui terapi dan perubahan-perubahan gaya hidup.
Satu pepatah umum dalam huraian terhadap pencegahan bunuh diri menyimpul pandangan ini: Bunuh diri ialah penyelesaian tetap untuk masalah sementara. Ken Baldwin, seorang murung yang berumur 28 tahun dan yang cuba membunuh diri, mengenangkan fikiran-fikiran pertamanya selepas melompat dari Jambatan Golden Gate:
- "Aku menyedari dengan serta merta bahawa kesemua masalah dalam kehidupanku yang aku anggap tidak dapat diatasi semuanya dapat diatasi — kecuali perbuatan melompat". [1] Bagaimanapun, alasan yang menentang ini adalah bahawa sedangkan sakit mungkin kelihatan sementara kepada kebanyakan orang dan bagi banyak kes, ini adalah benar, dalam banyak kes yang lain, keadaan itu terlalu sukar atau juga tidak mungkin dapat diatasi walaupun adanya kaunseling atau perubahan gaya hidup, bergantung kepada teruknya kes tersebut, serta keupayaan seseorang untuk menghadapi dan mengatas sakitnya. Contoh-contohnya ialah penyakit yang teruk atau tidak dapat dirawat, serta penyakit mental seumur hidup.
John Stuart Mill memperdebatkan dalam eseinya yang terpengaruh, Mengenai Kebebasan (On Liberty), bahawa oleh sebab sine qua non kebebasan ialah daya upaya seseorang untuk membuat pilihan, sebarang pilihan yang menyebabkan kehilangan keupayaan seseorang untuk membuat pilihan lanjut harus dihalang. Oleh itu, bagi Mill, pengabdian diri atau pembunuhan diri harus dicegah agar mengelakkan sebarang kehilangan untuk membuat pilihan selanjutnya. Berkenaan dengan perkara ini, Mill menulis dalam Mengenai Kebebasan:
- Bukan sahaja orang-orang tidak terikat kepada perjanjian-perjanjian yang mencabuli hak pihak-pihak ketiga, ia juga kekadang dianggap sebagai alasan yang munasabah untuk membebaskan mereka daripada perjanjian yang dibuat jika perjanjian-perjanjian itu menjejaskan mereka. Umpamanya di negara ini serta negara-negara yang bertamadun, sebuah perjanjian yang memerlukan seseorang menjual diri atau membenarkan seseorang menjual diri sebagai abdi adalah tidak sah di sisi undang-undang dan tidak dapat dikuatkuasakan, baik oleh undang-undang mahupun oleh pendapat. Alasan untuk mengehadkan kuasa sedemikian adalah nyata, dan dapat dilihat dengan amat jelas daripada kes berketerlaluan ini. Alasan untuk tidak bercampur tangan dengan perbuatan-perbuatan rela seseorang, kecuali semata-mata untuk kepentingan orang lain, berdasarkan pertimbangan kebebasannya. Pilihannya yang rela ialah bukti bahawa apa yang dipilih adalah keinginannya, atau sekurang-kurangnya dapat ditahannya. Pada keseluruhannya, tindakan yang paling baik untuk memastikan kebaikan seseorang adalah untuk membenarkannya membuat keputusan sendiri. Tetapi jika dia menjual diri sebagai abdi, dia melepaskan kebebasannya dan hilangnya pada masa hadapan dengan satu tindakan tunggal tersebut. Dengan itu, dia menggagalkan tujuan yang merupakan justifikasi untuk membenarkannya membuat keputusan sendiri. Dia tidak lagi bebas sejak dari masa itu, berbanding dengan jika dia masih mengekalkan diri dengan rela dalam kebebasannya. Prinsip kebebasan tidak boleh memberikan seseorang kebebasan untuk memilih tidak bebas. Ini bukannya kebebasan jika ia membenarkan seseorang melepaskan kebebasannya.
Utilitarianisme
[sunting | sunting sumber]William Godwin menunjukkan sikap optimistiknya yang berketerlaluan apabila beliau mengatakan bahawa bunuh diri hampir selalu merupakan suatu kesilapan, kerana lebih banyak keseronokan dapat diperoleh daripada pilihan menghidup. Oleh sebab beliau adalah seorang penyokong Utilitarianisme yang mempertimbangkan prinsip moral dari segi keseronakan dan kesakitan yang dihasilkan, beliau menganggap bunuh diri sebagai tidak berakhlak.
Deontologisme
[sunting | sunting sumber]Immanuel Kant yang dianggap secara meluas sebagai bapa deontologisme mengemukakan alasan menentang bunuh diri dalam karyanya, Prinsip-prinsip Asas Metafizik Moral. Menurut ungkapan perintah mutlaknya yang kedua, beliau menyatakan bahawa: "Sesiapa yang berfikir-fikir hendak membunuh diri harus menanyakan diri tentang adakah tindakannya selaras dengan idea bahawa kemanusiaan merupakan suatu tujuan pada dirinya." Kant kemudian mengemukakan alasan bahawa jika orang itu memilih untuk membunuh diri, jadi dia telah memperalatkan diri untuk memuaskan sendiri. Tetapi seseorang tidak boleh dipergunakan "hanya sebagai alat, tetapi harus dalam semua tindakannya selalu dianggap sebagai suatu tujuan pada dirinya." Oleh itu, pembunuhan diri untuk memuaskan diri merupakan suatu tindakan yang tidak beretika.
Walau bagaimanapun, kritikan terhadap teguran Kant tentang bunuh diri boleh disimpul daripada pandangannya terhadap keseksualan. Alasan tentang mengapa persetubuhan dalam perkahwinan dapat diterima (dan pada mata Kant, ini merupakan cara yang tunggal untuknya) adalah kerana tidak terdapat orang lain yang dapat diperalatkan. Oleh itu, mengambil kesempatan daripada seseorang yang tidak wujud adalah mustahil dan serupa juga, seseorang tidak berupaya mengambil kesempatan daripada diri sendiri. Berdasarkan itu, bunuh diri kelihatan tidak dapat diterima oleh Kant atas alasan-alasan lain selain daripada memuaskan sendiri.
Eksistensialisme
[sunting | sunting sumber]Albert Camus, ahli falsafah penyokong Eksistensialisme Perancis, mendapat tahu akan matlamat eksistensialisme ketika menentukan adakah bunuh diri diperlukan dalam sebuah dunia tanpa Tuhan. Baginya, bunuh diri ialah penolakan kebebasan. Beliau berpendapat bahawa melarikan diri daripada kenyataan hidup yang tidak masuk akal memasuki ilusi, agama, serta kematian bukannya jalan keluar. Sebaliknya, sebagai ganti untuk melarikan diri daripada kewujudan yang tidak bermakna ini, kita harus mendakap kehidupan dengan penuh semangat.
Sartre, lagi seorang ahli falsafah penyokong Eksistensialisme, memerihalkan pendirian Meursault, protagonis dalam karya Camus, L'Etranger, yang dihukum mati dengan cara yang berikut: "Manusia yang hidup dengan tidak munasabah tidak akan membunuh diri; dia hendak hidup dengan tidak meninggalkan sebarang kepastian, tanpa masa hadapan, tanpa harapan, tanpa ilusi ... dan juga tanpa penuh reda. Dia merenung kematian dengan perhatian yang ghairah, dan keterpesonaan ini membebaskannya. Dia mengalami 'ketakbertanggungjawaban ketuhanan' orang yang dihukum mati. [2]
Kontrak Sosial
[sunting | sunting sumber]Kontrak sosial, menurut Jean-Jacques Rousseau, memperdebatkan bahawa setiap orang mempunyai "hak untuk membahayakan hidup supaya dapat memeliharanya."
Thomas Hobbes dan John Locke menolak hak seseorang untuk menamatkan hayatnya. Dalam bukunya, Leviathan, Hobbes mendesak bahawa hukum semula jadi melarang setiap orang "membuat sesuatu yang akan memusnahkan hayatnya atau menghapuskan cara-cara untuk mengekalkannya". Mengikutnya, mencabuli hukum semula ini adalah tidak rasional serta tidak bermoral. Hobbes juga menyatakan bahawa keinginan untuk kebahagiaan serta ketakutan terhadap kematian adalah sesuatu yang rasional serta intuitif bagi manusia.
Alasan-alasan lain
[sunting | sunting sumber]Penulis Dorothy Parker, yang cuba membunuh diri banyak kali, menulis sebuah puisi komedi hitam yang berfikir-fikir tentang bunuh diri dan akhirnya menolaknya. [3]
Alasan-alasan yang menyokong bunuh diri
[sunting | sunting sumber]Terdapat juga alasan-alasan yang menyokong kebenaran untuk seseorang memilih antara hidup dan bunuh diri. Pandangan ini melihat bunuh diri sebagai satu pilihan yang sah.
Jalan fikiran ini menolak fikiran bahawa bunuh diri sentiasa atau biasanya bersifat tidak rasional tetapi sebaliknya, menganggapnya sebagai suatu penyelesaian untuk masalah-masalah sebenar. Ia merupakan jalan keluar yang sah apabila pilihan-pilihan yang lain dianggap lebih teruk. Tiada sesiapa yang harus dipaksa menderita lebih daripada yang perlu, dan bunuh diri memberikan cara untuk melepaskan diri daripada penderitaan.
Idealisme
[sunting | sunting sumber]Sesetengah pemikir mempunyai pandangan positif atau sekurang-kurangnya berkecuali terhadap bunuh diri, dengan sebilangan ahli falsafah pesimis, seperti Goethe dan Schopenhauer, yang menganggap bunuh diri sebagai suatu kemewahan yang terunggul dalam kehidupan.
Herodotus menulis: "Apabila kehidupan terlalu membebankan, kematian merupakan suatu perlindungan yang dicari". Schopenhauer menegaskan: "Mereka memberitahu kita bahawa bunuh diri ialah suatu perbuatan pengecut yang paling teruk... bahawa bunuh diri adalah salah; sedangkan agak jelas bahawa tidak terdapat sebarang di dunia ini yang mana-mana orang dapat memiliki yang mempunyai hak yang lebih tidak dapat disangkal daripada nyawa dan orangnya diri".
Arthur Schopenhauer memang dijangka mengambil berat tentang perkara ini kerana pandangan suramnya terhadap hidup. Karya utamanya, Dunia sebagai Kebebasan Bertindak dan Perlambangan (The World as Will and Representation), seringnya mempergunakan bunuh diri sebagai contoh-contohnya. Beliau menafikan bahawa bunuh diri adalah suatu perbuatan yang tidak bermoral dan menganggapnya sebagai hak seseorang. Dalam sebuah alegori yang menarik, beliau membandingkan bunuh diri di bawah keadaan penderitaan teruk sebagai bangkit daripada tidur selepas suatu mimpi yang amat buruk. Bagaimanapun, kebanyakan bunuh diri dilihatnya sebagai suatu perbuatan kebebasan bertindak kerana ia berlaku apabila sesorang menolak kesakitan hidup dan oleh itu, adalah berbeza daripada pelepasan kebebasan bertindak oleh para zahid yang menolak keseronokan hidup. Gagasan-gagasannya menjadi keliru apabila beliau membincangkan bunuh-bunuh diri zahid; dari satu segi, beliau mendesak bahawa pembunuhan diri zahid hanya dapat dilakukan melalui kebuluran, sedangkan dari segi yang lain, beliau menceritakan tentang bagaimana zahid-zahid telah menjadikan diri sebagai makanan untuk buaya-buaya serta juga dikebumikan semasa masih hidup. Ini kelihatan bercanggah tetapi pada keseluruhannya, Schopenhauer jelas menunjukkan banyak rasa simpati kepada mereka yang membunuh diri.
Pada akhir abad ke-18, karya Goethe, Die Leiden des jungen Werthers, ("Kesedihan Werther Yang Muda"), sebuah cerita percintaan mengenai seorang pemuda yang membunuh diri kerana cintanya terbukti tidak berbalas, dikatakan mengakibatkan segelombang bunuh diri di negeri Jerman.
Liberalisme
[sunting | sunting sumber]Liberalisme menegaskan bahawa hayat seseorang hanya dimiliki oleh orang tersebut, dan tiada orang yang lain mempunyai sebarang hak untuk memaksakan idaman mereka pada orang lain. Sebaliknya, hanya orang tersebut boleh membuat keputusan, dan apa-apa sahaja keputusannya harus dihormati.
Thomas Szasz, ahli falsafah dan psikiatri, memperdebatkan bahawa bunuh diri merupakan hak yang paling asas. Jika kebebasan bermakna pemilikan diri, iaitu pemilikan hayat dan badan diri, jadi hak untuk menamatkan hayat merupakan hak yang asas sekali. Jika orang-orang lain boleh memaksa anda hidup, anda tidak lagi memiliki diri tetapi dimilik oleh mereka.
Dalam bukunya, Mengenai Bunuh Diri: Huraian mengenai Mati Rela (asalnya diterbitkan dalam bahasa Jerman pada tahun 1976), Jean Améry memberikan wawasan yang menyentuh perasaan tentang akal bunuh diri. Beliau memberikan alasan yang kuat dan hampir romantik bahawa bunuh diri mewakili kebebasan kemanusian yang muktamad dan cuba memberikan justifikasi kepada bunuh diri dengan frasa-frasa seperti "kita hanya tiba pada diri kita dalam kematian yang dipilih secara bebas", dan mengeluh tentang "hidup harian yang tidak masuk akal serta pengasingannya". Beliau membunuh diri pada tahun 1978.
Fikiran-fikiran falsafah dalam abad ke-19 dan ke-20 telah menyebabkan, dalam sesetengah kes, peralihan fikiran daripada menyokong sebarang pilihan seseorang kepada fikiran bahawa bunuh diri bukan lagi merupakan suatu jalan keluar atau sesuatu yang patut dipertahankan. Sebaliknya, falsafah patut memberikan justifikasi tentang mengapa manusia harus tidak membunuh diri. Banyak bentuk fikiran Eksistensialisme pada dasarnya bermula dengan premis bahawa hidup adalah tidak bermakna dari segi objektif, dan terus menujukan persoalan tentang mengapa seseorang harus "tidak membunuh diri". Ia kemudian menjawab soalan ini dengan mencadangkan bahawa manusia mempunyai daya upaya untuk memberikan makna peribadi kepada hidup sendiri.
Pendirian berkecuali dan situasi
[sunting | sunting sumber]Utilitarianisme
[sunting | sunting sumber]Utilitarianisme boleh dipergunakan sebagai justifikasi atau alasan untuk menentang bunuh diri. Walaupun kematian seorang yang murung menamatkan kesedihan dirinya, keluarga dan kawan-kawan orang tersebut akan bersedih. Bagaimanapun, Gereja Eutanasia mengatakan bahawa manusia harus membunuh diri supaya dapat mengurangkan tekanan pada persekitaran.
Nihilisme
[sunting | sunting sumber]Pemikir-pemikir Nihilisme menolak daya upaya seseorang untuk mencipta makna dan mendesak bahawa semua benda dan perkara di dunia ini adalah serupa tidak bermakna, termasuk bunuh diri.
Alasan-alasan lain
[sunting | sunting sumber]Mereka yang menyokong hak untuk mati memperdebatkan bahawa bunuh diri boleh diterima atas keadaan-keadaan yang tertentu, seperti penyakit yang tidak dapat dirawat serta umur tua. Gagasan mereka berdasarkan fakta bahawa walaupun hidup pada umumnya adalah baik, manusia yang mengalami kederitaan yang tidak dapat dibalikkan harus tidak dipaksa meneruskan penderitaan mereka.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "www.newyorker.com/fact/content/?031013fa_fact". Diarkibkan daripada yang asal pada 9 September 2012. Dicapai pada 21 Januari 2007.
- ^ Analisis Sartre mengenai Mersault dalam Esei-esi Kesusasteraan dan Falsafah, 1943
- ^ ""Résumé"". Dicapai pada 21 Januari 2007.