Pergi ke kandungan

Naga Seri Gumum

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Naga Seri Gumum
AKA: Naga Tasik Chini
Sub KumpulanNaga
NegaraMalaysia
KawasanPahang

Dalam cerita rakyat Melayu Pahang, Naga Seri Gumum (Jawi: سري ݢوموم) atau lebih dikenali sebagai Naga Tasik Chini, merupakan makhluk gergasi yang sering digambarkan sebagai naga Asia, yang mendiami Tasik Chini di Pahang, Malaysia.[1] Terdapat pelbagai legenda yang berkaitan dengan makhluk ini dalam kesusasteraan lisan, terutamanya yang berkaitan dengan mitos asal tasik itu sendiri,[2] namun terdapat legenda lain yang menceritakan kisah cinta antara seorang wanita bernama Seri Gumum dan seorang lelaki bangsa Nāga yang bernama Seri Kemboja yang membawa kepada mitos asal Pulau Tioman dan Lingga.[3][4]

Lima naga bersaudara

[sunting | sunting sumber]

Alkisah pada suatu kala sebelum kedatangan Islam di Nusantara, terdapat sekumpulan saudara yang mempelopori ilmu batin yang membolehkan mereka dapat hidup bertapa selama ratusan tahun lalu menjadi naga yang tumbuh sisik berbeza warna, yakni Seri Daik yang menjadi naga bersisik emas dan menghuni kawasan Palembang, Seri Gumum (naga bersisik besi) dan Seri Pahang (naga bersisik perak) yang bersama-sama menghuni kawasan Tasik Chini, Seri Kemboja (naga tembaga atau gangsa) dari negeri Kemboja dan Seri Siam (naga bersisik biasa) dari negeri Siam. Setiap naga diiringi oleh pengawal yang berupa buaya putih. Mereka hanya boleh menjelma sebagai naga pada waktu malam kerana cahaya siang akan menukarkan bentuk naga kepada batu, maka mereka memakai bentuk manusia pada waktu siang.[5]

Naga itu berlainan warna sisik mengikut tempoh pertapaan. Mula-mula naga bersisik biasa, 25 tahun bertapa kemudian menjadi sisik besi, ditambah 25 tahun lagi menjadi sisik tembaga atau gangsa, ditambah 25 tahun lagi menjadi sisik perak dan akhirnya apabila mencapai genap seratus tahun jadilah naga bersisik emas. Daripada logik perkiraan ini, Seri Daik adalah yang tua sekali, diikuti Seri Pahang, Seri Kemboja, Seri Gumum dan yang muda sekali Seri Siam.[5]

Naga Seri Gumum dan Seri Pahang inilah yang dikatakan merupakan pembela negeri Pahang. Pada suatu hari, Naga Seri Kemboja turun ke Pahang untuk mencabar Naga Seri Pahang. Maka bertarunglah Seri Pahang dengan Seri Kemboja sehingga Seri Kemboja hampir kecundang tetapi sempat melarikan diri untuk meminta bantuan daripada Seri Siam. Maka Seri Siam memohon kepada Raja Siam agar disiapkan 100 buah meriam berpeluru emas di sepanjang pantai Pahang untuk menyerang Seri Pahang yang bersisik perak. Maka Naga Seri Pahang keluar bersemuka dengan tentera Siam, tidak terlawan hujan bedilan peluru emas tentera Siam itu lalu kecundang di lautan luas; jasadnya menjadi Pulau Tioman bertandakan dua culanya (tanduk) yang menjadi bukit. Maka kerajaan Pahang terpaksa mengejutkan Naga Seri Gumum yang ketika itu sudah lama bertapa untuk turun menentang ancaman Siam.[6]

Ada satu lagi versi mengatakan bahawa Naga Seri Pahang dan Seri Gumum turun bersama-sama menentang Seri Kemboja dan Seri Siam, tetapi akhirnya kedua-dua mereka tewas.[5]

Asal-usul Tasik Chini

[sunting | sunting sumber]

Ada pula cerita tentang sekelompok puak Jakun yang pernah menduduki kawasan yang kini Tasik Chini. Mereka sedang membasmi hutan untuk bercucuk tanam apabila tiba-tiba munculnya seorang wanita tua bertongkat dari hutan, memarahi mereka kerana tidak meminta izin dari hutan. Maka puak itu memohon maaf dan orang tua pula memacakkan tongkatnya di tengah padang untuk menandakan wilayahnya serta mengingatkan puak itu supaya tidak mencabut keluar tongkat itu.[7][8]

Beberapa ketika kemudian, seekor anjing datang menyalak-nyalak ke arah sebatang kayu balak yang rebut di tepi tinggalan hutan. Seorang lelaki melemparkan kayu tugalnya ke arah kayu balak, menyebabkan darah keluar. Orang lain pun turut melemparkan kayu-kayu tugal ke arah kayu balak, menyebabkan darah berlumuran di atas tanah. Tiba-tiba, langit dilanda kilat dan petir lalu mencurahkan hujan, maka semua orang pergi berlindung. Dalam kekacauan, tongkat si wanita tua itu tersingkir dari tanah. Dengan serta-merta air terpancut melimpah-limpah dari lubang bekas pacakan tongkat. Bertahun-tahun air itu membanjiri kawasan hinggalah jadinya Tasik Chini. Maka puak itu sedar bahawa kayu balak itu sebenarnya makhluk naga yang bergelar Seri Gumum.[9][10]

Kisah cinta

[sunting | sunting sumber]

Satu lagi legenda mengisahkan asal-usul seorang puteri tersumpah bernama Seri Gumum yang dikurung di Taman Larangan yang terdiri di atas tasik. Beberapa tahun kemudian, datangnya dari jauh seorang putera asing bernama Putera Seri Kemboja yang mencintai Puteri Seri Gumum. Puteri Seri Gumum akhirnya memecahkan kurungan setelah akur untuk mengikuti Putera Kemboja. Sebaik sahaja mereka menyeberangi sempadan Taman Larangan, Seri Gumum dan Seri Kemboja segera berubah menjadi dua Naga. Pada masa ini, Taman Larangan telah dibanjiri, tersembunyi selama-lamanya di bahagian bawah Tasik Chini. [11]

Pada malam yang gelap, ketika Sungai Pahang banjir, kedua-dua naga akan keluar dari tasik dan pergi ke hilir. Kedengaran kilat dan petir pada penduduk kampung yang berlalu. Suatu hari, ketika naga berenang ke Laut China Selatan, Seri Gumum menyedari bahawa dia tertinggal sabuknya, maka dia berenang kembali ke tasik untuk mendapatkannya. Seri Kemboja yang lebih kuat dan gemar akan bentuk baharunya, berenang ke laut terbuka, menyangka Seri Gumum mengekorinya di belakang. Malangnya, Seri Gumum berenang terlalu dekat dengan sebuah pulau bernama Pulau Bukit Dato' dan sabuknya tersangkut di atas batu. Ketika dia melepaskan diri dari sangkut, dia terdengar ayam berkokok. Maka Seri Gumum sedar akan fajar menyingsing dan dirinya tidak boleh pergi lebih jauh. Terlalu lama Seri Gumum menunggu sehingga kehabisan nafas dan jasadnya beransur-ansur berubah menjadi sebuah pulau. Burung "tiom" suka hinggap di pulau itu, dan lama-kelamaan, pulau baru itu dipanggil Pulau Tioman. Seri Kemboja yang berenang di hadapan juga terdengar ayam berkokok lalu segera berhenti dan beruah menjadi Pulau Lingga.[12][13]

Selama puluhan tahun timbulnya laporan akan kelihatan Naga Tasik Chini tetapi tidak satu pun terbukti secara sains. Dikhabarkan bahawa pemerintah Pahang bermimpi akan naga setiap kali akan ada banjir besar pada tahun berkenaan.[14] Suku Jakun masih percaya bahawa tasik itu adalah tempat tinggal makhluk naga. Penjelajah Stewart Wavell melawat Tasik Chini pada tahun 1960-an, dan diberitahu mengenai upacara kuno pengorbanan manusia kepada naga di sekitar tiang batu yang timbul dari perairan tasik dengan tujuan menenangkan si naga. Wavell mendengar cerita daripada salah seorang pemandunya, Che Yang, tentang banjir besar yang melanda Pekan beberapa tahun sebelum itu, menyebabkan ramai orang tertanya-tanya sama ada naga menuntut korban, sungguhpun upacara itu sudah lama tidak diamalkan. Pada suatu hari seorang gadis keluar membasuh pakaiannya jatuh dari rakitnya dan tenggelam, tidak lama kemudian air banjir reda dengan segera. Penduduk kampung percaya naga sudah puas hati setelah menuntut korban.[15]

Pada bulan Mei 1959, jurutera Inggeris Arthur Potter, bersama keraninya Baharuddin dan dua orang buruh bernama Lajan dan Malik, semuanya mengaku telah melihat makhluk seakan naga di Tasik Chini. Daripada itulah Encik Potter diberi julukan 'Dragonwick'. [16]

Dalam budaya masyhur

[sunting | sunting sumber]
  • Naga Tasik Chini muncul dalam filem Magika, sebuah filem fantasi muzikal tahun 2010 yang menghimpunkan pelbagai watak cerita rakyat Melayu, dilakonkan oleh M. Nasir[17][18].

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Aripin Said 1985
  2. ^ Ninotaziz 2012
  3. ^ MacDonald 2008
  4. ^ Ninotaziz 2015
  5. ^ a b c Hikayat Naga-Naga Sungai Pahang Dari Ulu Tembeling Hingga Tasik Chini ke Kuala Pahang, WZWH (Blogspot), 11 Oktober 2014.
  6. ^ Jejak Mitos Naga Tasik Chini, Sinar Harian TV (YouTube), 22 Mac 2018.
  7. ^ MacDonald 2008, halaman 39
  8. ^ Ninotaziz 2012, halaman 223
  9. ^ MacDonald 2008, halaman 39
  10. ^ Ninotaziz 2012, halaman 224
  11. ^ Ninotaziz 2015, halaman 17-20
  12. ^ Ninotaziz 2015, halaman 20
  13. ^ MacDonald 2008, halaman 40
  14. ^ Ninotaziz 2012, halaman 224
  15. ^ Freeman 2019, halaman Link
  16. ^ Freeman 2019, halaman Link
  17. ^ Wahiduzzaman (23 September 2010). ""Magika" Bukan Filem "Gebang Kosong"". mStar. Dicapai pada 28 Januari 2022.
  18. ^ "Kelainan "Magika" Berjaya Pikat Hati Penonton". mstar. 24 September 2010. Dicapai pada 6 Mac 2023.

Bibliografi

[sunting | sunting sumber]
  • Aripin Said (1985), Juara yang tewas, Dewan Bahasa dan Pustaka, ISBN 978-9836201423 Aripin Said (1985), Juara yang tewas, Dewan Bahasa dan Pustaka, ISBN 978-9836201423
  • MacDonald, Margaret Read (2008), The Singing Top: Tales from Malaysia, Singapore, and Brunei, Libraries Unlimited, ISBN 978-1591585053 MacDonald, Margaret Read (2008), The Singing Top: Tales from Malaysia, Singapore, and Brunei, Libraries Unlimited, ISBN 978-1591585053
  • Ninotaziz (2012), N A G a: A Legend of Tasik Chini, Xlibris, ISBN 978-1477129234 Ninotaziz (2012), N A G a: A Legend of Tasik Chini, Xlibris, ISBN 978-1477129234
  • Ninotaziz (2015), Nik and the Secrets of the Sunset Ship, MPH Publishing, ISBN 978-9674153144 Ninotaziz (2015), Nik and the Secrets of the Sunset Ship, MPH Publishing, ISBN 978-9674153144
  • Freeman, Richard (2019), Adventures in Cryptozoology: Hunting for Yetis, Mongolian Deathworms and Other Not-So-Mythical Monsters, Mango, ISBN 978-1642500158 Freeman, Richard (2019), Adventures in Cryptozoology: Hunting for Yetis, Mongolian Deathworms and Other Not-So-Mythical Monsters, Mango, ISBN 978-1642500158