Konsert Andalusia M. Nasir ialah konsert oleh penyanyi dan komposer Malaysia, M. Nasir. Konsert ini diadakan pada 29 Januari 2000 di Stadium Merdeka dan ia mencipta sejarah apabila menjadi konsert pertama yang mendapat iringan muzik orkestra. Senarai lagu termasuk lagu-lagu popular dari album-album beliau serta lagu-lagu bersama kumpulan Kembara.[1][2]
Konsert Andalusia M. Nasir diadakan di Kuala Lumpur pada 29 Januari 2000 di Stadium Merdeka, dan menampilkan Senario, Erra Fazira dan Siti Nordiana sebagai artis jemputan. Konsert ini juga diadakan bagi mengubati kekecewaan peminat akibat pembatalan konsert Srikandi yang sepatutnya diadakan sempena pelancaran album Srikandi Cintaku.[1] Reka bentuk pentas konsert dihasilkan oleh Jalil Ngah yang mengambil kira konsep Andalusia yang ada dalam 20 buah lagu yang akan dinyanyikan dalam konsert itu. Konsert ini merupakan konsert akustik. M. Nasir menggabungkan lebih 70 pemuzik termasuk penyanyi koir dan penyanyi latar di atas pentas sepanjang 100 kaki.[2][3] Dalam konsert yang berlangsung selama 4 jam, M. Nasir menyampaikan lagu-lagu popular beliau dari album-albumnya serta lagu-lagunya bersama kumpulan Kembara.[4]