Jabatan Perumahan Negara
Rencana ini mungkin perlu diwikikan untuk memenuhi mutu piawaian Wikipedia. |
جابتن ڤرومهن نڬارا | |
Intisari kerajaan | |
---|---|
Jenis | Kerajaan |
Ibu pejabat | Aras 30-38, No 51, Persiaran Perdana, Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62100 Putrajaya |
Kakitangan | 329 (2018) |
Belanjawan tahunan | MYR 29,459,600 (2018) |
Eksekutif kerajaan |
|
Agensi induk | Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia |
Laman sesawang | ehome |
Jabatan Perumahan Negara (Tulisan Jawi: جابتن ڤرومهن نڬارا) merupakan jabatan kerajaan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia.
Kediaman adalah keperluan asas bagi setiap individu selain keperluan asas seperti makanan, pakaian, pendidikan dan perubatan. Kediaman yang selesa adalah merupakan sebahagian daripada jaminan kehidupan yang sihat, bahagia dan produktif. Oleh hal yang demikian, sebuah jabatan telah wujud untuk memikul tugas bagi memastikan keperluan kepada kediaman yang selesa dapat dinikmati oleh setiap rakyat Malaysia iaitu Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Objektif utama JPN adalah untuk memastikan pembangunan sektor perumahan yang sempurna, berkualiti dan lebih teratur untuk dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Aspek perancangan adalah merupakan aspek terpenting dalam penyediaan pembangunan perumahan yang mampan. Oleh hal yang demikian, JPN telah mengambil inisiatif dengan menggubal Dasar Perumahan Negara (DRN) bagi memastikan perancangan perumahan di Malaysia dapat dilaksanakan dengan sempurna sekaligus mampu menjamin kehidupan yang lestari di kalangan rakyat Malaysia.
Sebagai agensi induk yang memantau pelaksanaan DRN, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berperanan memastikan DRN mencapai sasaran yang ditetapkan menerusi Pelan Tindakan DRN. Pelan Tindakan DRN bertujuan untuk menggariskan langkah-langkah strategik bagi merealisasikan teras-teras DRN menerusi program dan projek jangka masa pendek, sederhana atau panjang supaya dilaksanakan oleh kementerian dan jabatan berkaitan. Jawatankuasa Pemantauan dan Penilaian DRN di peringkat KPKT juga dibentuk bagi memantau pelaksanaan Pelan Tindakan DRN yang melibatkan penggiat-penggiat industri perumahan di peringkat Persekutuan, Negeri, Tempatan dan pihak swasta.
Secara umumnya, terdapat enam (6) teras yang menjadi tonggak utama kepada penggubalan DRN, teras-teras tersebut adalah seperti berikut:-
- Penyediaan perumahan yang mencukupi mengikut keperluan khusus golongan yang memerlukan;
- Peningkatan kualiti dan produktiviti pembinaan rumah;
- Peningkatan keberkesanan pelaksanaan dan memastikan pematuhan kepada sistem penyampaian perkhidmatan berkaitan perumahan;
- Peningkatan keupayaan rakyat bagi memiliki rumah serta memperbaiki akses kepada penyewaan rumah;
- Pemampanan sektor perumahan;
- Peningkatan tahap kemudahan sosial, perkhidmatan asas dan persekitaran yang berdaya huni (liveable).
JPN memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha untuk merealisasikan teras-teras DRN yang telah digubal. Bagi mencapai teras penyediaan perumahan yang mencukupi mengikut keperluan khusus golongan yang memerlukan, KPKT di dalam Rancangan Malaysia ke 8 (RMK-8) dan Rancangan Malaysia ke 9 (RMK-9), JPN telah membina sejumlah 76,296 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) disewa dan 3030 unit rumah di bawah program PPR dimiliki. Golongan sasar bagi pembinaan PPR ini adalah kepada golongan yang memerlukan seperti golongan ibu tunggal dan golongan yang berpendapatan rendah iaitu yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM2,500 sebulan. Kadar sewa yang dikenakan terhadap penghuni pada masa ini adalah pada tahap yang minimum iaitu sebanyak RM124 sebulan. Bagi PPR Dimiliki pula, rumah yang dibina adalah dari jenis teres dan berkembar di mana harga jualannya adalah RM30,000 untuk rumah teres dan RM35,000 untuk rumah jenis berkembar.
Bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dan memastikan pematuhan kepada sistem penyampaian perkhidmatan, JPN sentiasa memastikan pemaju-pemaju mematuhi peruntukan-peruntukan yang telah ditetapkan di dalam Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan Dan Perlesenan) 1966 [Akta 118]. Selain meningkatkan usaha penguatkuasaan, JPN juga giat melaksanakan pelbagai program pendidikan dengan tujuan mendidik bakal pembeli rumah mengenai hak dan tanggungjawab mereka selaku pembeli rumah. Dengan usaha penguatkuasaan dan pendidikan yang konsisten ini, pemaju projek perumahan swasta dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan untuk memastikan pemajuan perumahan dapat dilaksanakan dan memenuhi keperluan pembeli rumah.
JPN sangat memandang serius permasalahan Projek Perumahan Terbengkalai yang membelenggu sebilangan pembeli rumah di Malaysia. Sehingga 30 Jun 2011, sebanyak 30 projek membabitkan sebanyak 4613 unit rumah telah berjaya dipulihkan. Selain memulihkan projek perumahan terbengkalai, JPN juga memainkan peranaan utama dalam mengetengahkan konsep Bina Kemudian Jual (BKJ) bagi mengatasi projek perumahan terbengkalai. Sehingga kini, konsep BKJ telah berjaya dilaksanakan oleh beberapa pemaju dan dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya menjelang tahun 2015.
Bagi meningkatkan keupayaan rakyat bagi memiliki rumah, JPN juga telah menyediakan tabung khusus yang bertujuan memberikan kemudahan pinjaman kepada golongan yang kurang berkemampuan bagi membina rumah di atas tanah sendiri. Skim yang diberi nama Skim Pinjaman Perumahan (SPP) ini memberikan kemudahan pinjaman sehingga RM20,000 dengan tempoh bayaran balik sehingga 20 tahun. Selain proses pinjaman yang mudah, para peminjam juga akan dikecualikan daripada membayar caj perkhidmatan sebanyak 4.00% bagi pinjaman RM10,000 pertama.
Komitmen kerajaan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat tidak hanya terhad kepada aspek pembinaan perumahan sahaja, malah meliputi aspek penyenggaraan perumahan. Kerajaan sedar mengenai masalah penyenggaraan yang berlaku di sebahagian besar kawasan perumahan berstrata terutama yang membabitkan kawasan pemajuan kos rendah dan sederhana. Masalah kekurangan dana penyenggaraan telah membataskan fungsi dan peranan Joint Management Body (JMB) dan Management Corporation (MC) dalam melaksanakan aktiviti penyenggaraan. Atas keperihatinan ini, kerajaan telah melancarkan Tabung Penyenggaraan Perumahan melalui konsep geran sepadan iaitu kos penyenggaraan bangunan berstrata akan dikongsi bersama-sama di antara JMB/ MC dan kerajaan dengan nisbah 50:50. Melalui usaha ini, adalah diharapkan penyenggaraan kawasan pemajuan bangunan berstrata dapat ditingkatkan dan sekaligus menambahbaik keadaan persekitaran kawasan perumahan.
Kerajaan juga mengambil berat mengenai aspek inovasi dalam industri perumahan Negara. Melalui DRN, kerajaan sentiasa menggalakkan penerokaan teknologi baru dalam menyediakan perumahan yang mesra alam. Sehubungan itu, JPN sentiasa menggalakkan usaha penyelidikan yang dilaksanakan samada oleh pihak swasta, institusi pendidikan tinggi dan badan-badan kerajaan berkaitan teknologi perumahan. JPN yakin dengan usaha berterusan ini, negara akan mencapai prestij yang tersendiri dalam pembangunan industri perumahan dengan dipacu oleh DRN.
Usaha bagi merealisasikan teras-teras DRN ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak samada melibatkan agensi kerajaan mahupun swasta. Pelbagai perkara berkaitan DRN mempunyai hubungkaitnya yang tersendiri dengan pelbagai agensi. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi harapan JPN agar semua pihak yang terlibat dapat menyumbangkan usaha dalam memastikan agenda pembangunan perumahan di Malaysia dapat dilaksanakan dengan jayanya di bawah DRN.
Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik
Jabatan Perumahan Negara
September 2011