Rabu, 28 Julai 2010

Terkilan...

Assalamualaikum.


Kalau diikutkan perancangan asal, sepatutnya kelmarin lagi Along dan Angah dah tiba di Malaysia. Namun kita manusia hanya mampu merancang, Allah jua yang berkuasa menentukan. Tiba-tiba Ummi dapat timbal balik dari anak-anak yang memaklumkan bahawa tiket balik 27 Julai dah penuh. Ada tak ada Ustaz cakap 10 Ogos baru diaorang dapat balik ke Malaysia.

Hmmm....memang susah sangat ke nak dapat tiket balik dari Mesir ke Malaysia ni? Apa komen anda?

Yang Ummi terkilannya, kalau dah awal lagi dibuat perancangan nak balik pada tarikh sekian dan sekian, kenapa tiket tak dibeli awal? Kenapa dah sampai tarikh tu baru nak beli? Dan lagi kenapa jauh sangat tempoh masa dari 27hb, nak kena tunggu sampai 10 Ogos pulak?

Ummi tak reti sistem di sana. Cuma kalau ada sesiapa yang berpengalaman belajar dan tinggal di Mesir, bolehlah kasi pandangan dan nasihat pada Ummi agar perkara sedemikian tak berulang lagi di tahun hadapan atau di lain masa.

Ataukah mereka yang mengambil cakna urusan pembelian tiket anak-anak ni yang kurang cakna?

Kata Abi..."Sabarlah Ummi. Pasti ada hikmahnya tu.."

InsyaAllah Ummi masih boleh bersabar tapi kalau kelembapan pengurusan maa'had yang menyebabkan terjadi apa yang tidak patut terjadi...agak terkilan juga hati ini.

"Ya Allah, permudahkanlah urusan balik anak-anakku dan rakan-rakan mereka. Semoga mereka nanti dapat pulang dengan selamat dalam perjalanan yang diredhaiMu..."


Selasa, 27 Julai 2010

Dari Isu Pizza Ke Isu Bibik...

Assalamualaikum.

Hari minggu baru-baru ni, tiba-tiba aja datang semangat Ummi yang berkobar-kobar nak mencuba resipi pizza. Resipi ni dah lama Ummi dapat dari anak saudara Ummi, Kak Long Asmaa'. Tak salah, kan belajar dengan orang yang lebih muda dari kita. Best sangat rasa pizza yang Kak Long buat tu. Tak western sangat. Rasanya lebih ketimuran..hehe. Abi pulak memang jenis tak suka western food. Pernah beli pizza kat pizza hut lamaaaaa dulu sebelum diboikot. Hmm...maunya Abi nak telan yang jenis berkeju dan berempah western ni. Ada tak ada kena tunggu Ummi buat yang eastern punya...hahaha.

Selepas berbelas-belas tahun tunggu hasil tangan Ummi....(mak oii lamanya)...inilah hasilnya...

Tu dia! Siap guna tapak dulang acuan lagi. Apa nak buat, tak sempat nak beli bekas pizza yang real punya. Ingat nak guna tutup periuk tapi tak adalah pulak. Semua penutup jenis yang ada punat.

Yang belum dibakar dan yang dah siap dibakar. Bentuknya entah apa-apa. Biasalah cubaan pertama. Nak makan sendiri pulak tu. Lantak aja..haha...

Sambil membakar, sambil 'ngap'. Waduh! Dah setengah biji pizza habis di'ngap'. Kalau macam ni, tak boleh selalu-selalu buat ni...mengembang pulak tuannya nanti!

Time Ummi masak pizza ni, anak-anak semua dah tidur. Abi masih bermesyuarat di PASTI. Nasib baiklah ada bibik temankan. Taklah boring sangat.

"Uih...sedap ni buk!"

Hmm..banyak cantiklah kau bibik. Makan memang sedap punya....hahaha.

Apapun, time Ummi masak, Ummi memang tak suka bibik campurtangan. Macam tu juga kalau time bibik masak, diapun tak suka Ummi campurtangan. Kami memang saling memahami...jadi boleh aja 'ngam' dengan bibik ni.

Jadi bila Ummi masak, tugas bibik berceritaaaaaa sepanjang masa. Waduh! Kadang tak terlayan juga. Tapi bibik Ummi ni memang suka sangat kalau kita jadi pendengar yang baik. So, tahan jerlah telinga...hehehe.

Malam tu, Ummi dapat beberapa kesimpulan dari cerita-cerita bibik.

Antaranya...kesian sangat kat diaorang ni. Bab-bab halal-haram ni diaorang sangat-sangatlah kurang arif. Sebagai contoh, dia tak tahupun makan daging yang tak disembelih oleh orang Islam tu haram. Pada dia yang haram dimakan cuma daging babi.

Lagi?

Dia tak tahupun makan duit bunga dari bank tu haram. Maka duit-duit gaji dia yang dulu-dulu tu disimpannya dalam bank yang paling banyak boleh kasi 'bunga' pada dia.

Dan lagi?

Banyaklah lagi- laginya.

Kesian bibik. Umur dia sekarang dah menjangkau 45 tahun tapi masih terumbang-ambing. Dah jadi tanggungjawab kita pula sebagai majikannnya untuk mengajar serba-sedikit pengetahuan hukum-hakam untuknya. Tapi yang paling Ummi perlu bertegas dengan bibik-bibik ni adalah bab solat.

Dari dulu-dulu Ummi tengok, bibik-bibik dari Indon ni tak ambil berat sangat hal solat. Apalagi kalau kita sebagai majikanpun tak ambik cakna. Tak pasal-pasal kita pula dapat dosa kering nanti disebabkan kelalaian kita 'menjaga' dia.

Makanya, peringatan buat majikan-majikan yang mempunyai bibik...jangan abaikan tanggungjawab kita untuk memastikan mereka menunaikan kewajipan kepada Allah. Jangan ingat nak dia selesaikan kerja rumah aja. Kena pastikan dulu tanggungjawab dia pada Allah juga selesai. Mudah-mudahan kita sebagai majikan nanti tidak dipersoalkan di akhirat sana...

Hmm...banyaklah pulak Ummi membebel hari ni. Dari isu pizza dah masuk ke isu bibik pulak?


Isnin, 26 Julai 2010

Barakallahulakuma...

Assalamualaikum.

Bila mendapat khabar yang ada sahabat sekampung yang akan berbesan dengan Tok Guru Menteri Besar Kelantan yang sangat-sangat disegani dan dihormati, terasa gembira yang amat hati ini. Hmm..itu belum lagi kalau kita sendiri yang berbesan..hehe. Tapi angan-angan nak berbesan dengan Tok Guru Nik Aziz memang dah melepaslah sebab sahabat Ummi nipun bermenantukan anak Tok Guru yang paling bongsu..huhuhu.

Apapun, sekalung tahniah buat Kak Zie dan Abang Din A&Z yang dah selamat jadi besan kepada Tuan Guru kita.

Buat pasangan pengantin : Barakallahulakuma Wabaraka'alaikuma Wajama'abainakuma fikhair.

Sempat lagi Ummi berposing bersama pengantin perempuan, Hajjah Nik Asma' Salsabila binti Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz...

Semoga perkahwinan kalian dipenuhi barakah.


Rabu, 21 Julai 2010

Menghitung Hari...

Assalamualaikum.

Anak-Anak Yang Dirindui :

Ummi giat menghitung hari.

Hanya seminggu sahaja lagi InsyaAllah Ummi akan bertemu kembali dengan anak-anak lelaki Ummi yang sekian lama dirindui. Meski baru 9 bulan terpisah, hati seorang ibu terasa bagaikan 9 ribu tahun. Malah lebih dari itu. Rindu yang tak terungkap di lidah serta kerisauan yang tak terpancar di wajah...

"Anak-anakku, mudah-mudahan kalian selamat dan dipermudahkan dalam perjalanan..."

Sungguh perjuangan di bumi anbiya' tidak semudah apa yang tergambar di kepala. Selama 9 bulan pertama di sana, Ummi banyak berbincang dengan ustaz yang menjaga. Cabaran yang tidak sedikit rupanya!

Mengapa tahap pencapaian hafazan mereka agak lemah?

"Banyak dugaannya kak..." kata Ustaz.

Seorang hafiz perlukan bi'ah yang soleh dalam membantu mempertingkatkan tahap hafazan mereka namun bi'ah di sana? Terkadang lebih teruk dari suasana di Malaysia apabila di lihat dari segi pemakaian minah-minah Arabnya, suasana bandarnya yang semakin hanyut dengan arus kemodenan dan tempoh penyesuaian diri anak-anak yang juga dalam peringkat perubahan dari alam kanak-kanak kepada alam remaja.

Ummi mengerti...

Namun bagaimana Ummi dapat membantu? Hanya kata-kata semangat buat mereka...

"Di manapun jua kamu berada, maka di sana cabaran telah sedia menunggumu..."

Bagaimana mungkin kehidupan seorang manusia itu dapat lepas dari kesusahan, musibah dan ujian? Namun jika kesusahan, musibah dan ujian itu diterima dan ditafsirkan dengan penerimaan dan tafsiran yang betul, maka ia akan berubah menjadi satu kekuatan baru kepada kita dalam menghadapi hari-hari yang mendatang.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata 'Kami beriman' sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta."

(Al-Ankabut : 2-3)

Semoga kalian akan terus tabah dalam menghadapi segenap ujian yang mendatang. Mohonlah pertolongan Allah dengan solat dan doa...

Ramadhan Yang Didambakan :

Ummi giat menghitung hari.

Hanya 20 hari sahaja lagi, Ramadhan, bulan yang mulia lagi suci akan kembali menemui kita, hambaNya.

Mampukah diri ini memanfaatkan bulan yang penuh barakah ini dalam menghampirkan diri kepadamu Ya Allah? Mampukah bulan yang suci ini menjadi titik tolak pembersihan jiwaku yang penuh noda dan dosa ini?

"Ya Allah, kurniakanlah kekuatan buatku, hambaMu yang hina ini mendekatkan diri kepadaMu, menghampirkan diri kepadaMu dengan sepenuh-penuh hati dan ketulusan jiwa.."

Kematian Yang Pasti Tiba :

Ummi giat menghitung hari.

Semakin hari semakin terasa lemahnya diri ini. Kekuatan di waktu muda telah beransur pergi. Sebagaimana beransur kendurnya keanjalan kulit, begitulah juga beransur kurangnya ketajaman penglihatan...

Hari demi hari yang berlalu menyebabkan kita mula merenungi diri. Alangkah singkatnya kehidupan di dunia ini. Namun telahkah kita bersedia untuk menghadapi hari yang teramat panjangnya, yang tidak akan ada penghabisannya di yaumul akhirah nanti?

Ahad, 18 Julai 2010

Mini Konvensyen Serikandi Tok Ku

Assalamualaikum.

Jumaat, 16 Julai - Mini Konvensyen Serikandi Tok Ku telah berjalan dengan lancar dan jayanya. Program ini merupakan program yang julung-julung kalinya diadakan atas tujuan untuk mengeratkan ukhuwwah di kalangan AJK Muslimat dan isteri-isteri AJK Muslimin beserta anak-anak remaja AJK di Kampung Tok Ku. Alhamdulillah.

Ummi adalah salah seorang pesertanya. Punyalah seronok berprogram bersama sahabiah-sahabiah serikandi Tok Ku. Terasa sekejap sahaja masa setengah hari yang berlalu.

Dah lama sebenarnya Ummi tak dapat mengikuti program-program muslimat yang diadakan di sini lantaran kekangan masa kepada waktu kerja. Kali ini program dilaksanakan pada hari Jumaat, makanya berpeluanglah Ummi untuk turut serta.

Lebih menyeronokkan lagi, program kali ini telah memberi peluang kepada AJK Muslimat untuk turut serta sebagai peserta, bukan lagi sebagai pengendali program. Terimakasih yang tidak terhingga buat Lujnah Kebajikan Muslimin atas idea dan inovasi untuk mengendalikan program seumpama ini buat kami, para muslimat.

Juga syabas buat Kelab Fasilitator Terengganu (Kelab Fasi) yang telah berjaya membantu mengendalikan program ini dengan begitu baik sekali!

Inilah dia fasilitator kami dalam konvensyen ini. Baity dan Nurul..memang pasangan DJ yang mantop!

Fasilitator Wan Na juga tak kurang hebatnya...

Lagi fasilitator kami, Ayu...

Fasilitatator Ira, kata-katanya penuh hikmah...

Alamak! Apa dah jadi pada serikandi-serikandi Tok Ku ni? Hehehe...

Rupa-rupanya inilah dia modul yang digunakan untuk memecahkan kami kepada 4 kumpulan. Masing-masing perlu berzikir dengan zikir yang tertera semasa cabutan undi terdahulu. Kemudian carilah ahli kumpulan yang turut melantunkan zikir yang sama seperti kita. "Subhanallah", "Alhamdulillah", "Laailahaillallah", "Allahuakbar" ...maka terbentuklah kami kepada 4 kumpulan.

Selesai pembentukan kumpulan dan sesi taaruf, penceramahpun tiba. Masing-masing peserta khusyuk mendengar ceramah yang bertemakan 'cinta dan kasih-sayang penguat jemaah'.

Ustazah Tuan Roslina dengan bait-bait kata yang sungguh tersusun...

Usai sesi ceramah selama 45 minit yang amat mengesankan itu, kini tibalah masanya untuk aktiviti berkumpulan. Masing-masing dah bersedia dalam 4 kumpulan.

Muslimat dan bunga, tidak dapat dipisahkan...hehehe. Masing-masing kumpulan dikehendaki menggubah bunga seorang demi seorang.

Inilah masanya nak perturunkan bakat kesenian masing-masing....

Muslimat dengan acara masak-memasak pula tapi kali ini tanpa menggunakan dapur.

Masing-masing kumpulan sedang bersedia menunggu wakil kumpulan mengambil bahan-bahan masakan untuk salad.
1, 2, 3 mula! Dalam masa 5 minit anda dikehendaki menyiapkan salad sayur-sayuran dengan rasa yang mengancam dan hiasan yang menggiurkan...hehehe...

Potong kak! Potong! Jangan tak potong....

Kumpulan yang ini ramai pulak anak-anak remajanya....Pandai ke buat salad tu adik-adik oii..hehe..

"Apa yang penting...kerjasama!" Macam pernah dengar jer...hehehe..

Dan inilah hasilnya....!

Hmmm...apa nak buat. Masa yang diberi suntuk sangat...hiasan tupun dah kira menggiurkan jugalah tu..hahaha...

Hmm..boleh tahan juga cantiknya, kan?

Alamak! Mana hiasannya? Ini memang kes kelam-kabut sebab masa dah tamat..hihihi...

Tibalah pula masanya untuk membentangkan resolusi...

Lupalah pulak apa nama kumpulan ni. Kalau tak kumpulan AllahuAkbar, mungkin kumpulan Laailahaillallah kot...

Hahh..yang ini kumpulan Subhanallah. Memanglah ingat sangat yang ini sebab ini kumpulan Ummi..hehe...

Hadiah cabutan bertuah dan hadiah pertandingan kumpulan sedang menanti...

Ketua Muslimat Cawangan Tok Ku selesai mencabut undian untuk acara cabutan bertuah...

Mereka yang bertuah kali ini ialah........jeng,jeng,jeng....

Dan antara yang turut bertuah kali ini, tak lain tak bukan, Ummi sendiri! Hehehe..Tak sangka jugak dulang kek yang Ummi duk jeling-jeling masa pendaftaran tadi tu dapat jadi hakmilik Ummi juga akhirnya...hihihi...Alhamdulillah.

Inilah dia Johan keseluruhan kumpulan kali ini. Wah! Tersenyum bukan main Che Zah kita...haha...

Demikianlah berakhirnya Mini Konvensyen Serikandi Tok Ku yang cukup-cukup meninggalkan kenangan manis buat kami. Malah yang lebih utama, konvensyen ini sememangnya telah berjaya memperutuh dan mempereratkan lagi tali silaturrahim sesama kami.

Malah antara resolusi yang telah dipersetujui bersama, acara sebegini InsyaAllah akan diadakan 2x setahun sebagai acara wajib kami dalam usaha merapatkan ukhuwwah sesama AJK, isteri-isteri AJK dan ahli keluarga AJK.

Amat benar sekali motto konvensyen kali ini - Cinta dan kasih sayang penguat jemaah. Tanpa cinta dan kasih sayang, mana mungkin ikatan ukhuwwah bisa terjalin dan tanpa ikatan ukhuwwah yang erat, mana mungkin jemaah bisa berkembang mekar.

Sehingga bertemu kembali! Ma'assalamah...

Sabtu, 17 Julai 2010

Mesyuarat Oh Mesyuarat...

Assalamualaikum.

"Tidak kecewa orang yang istikharah (minta pilihan kepada Allah), tidak menyesal orang yang bermusyawarah, dan tidak melarat orang yang hemat."

(Diriwayatkan oleh Ath-Thabarani dalam Ash-Shaghir dan Al-Ausath)

Suatu hadis yang tidak dapat disangkal lagi akan kepentingan beristikharah, bermusyawarah dan berhemat.

Namun apa yang ingin Ummi tekankan dan perkatakan di sini adalah berkaitan musyawarah atau mesyuarat.

Semenjak dulu lagi Ummi perhatikan, acapkali perjalanan mesyuarat berjalan tanpa disiplin di kalangan kita, baik di peringkat jabatan mahupun di peringkat jemaah. Kalau sekadar di peringkat jabatan, Ummi tidak hairan kerana ahli mesyuaratnya terdiri daripada pelbagai golongan. Yang faham Islam, yang kurang faham dan yang tidak faham. Namun apabila perjalanan mesyuarat berjalan tanpa disiplin di peringkat jemaah, ini amat merisaukan dan mendukacitakan.

Apakah kesilapan yang seringkali berlaku dalam mesyuarat? Teramat banyak. Namun yang ingin Ummi perkatakan di sini hanya dua perkara.

Pertamanya, mesyuarat dikendalikan secara meleret dan panjang-lebar. Pengerusi mensyuarat seringkali lari dari agenda sehingga membawa kepada perbincangan yang juga lari daripada topik yang sepatutnya.

Ini seringkali berlaku dalam mesyuarat yang dikendalikan oleh muslimat. Namun tidak kurang juga berlaku di kalangan muslimin.

Kesilapan kedua, agak sensitif untuk diperkatakan. Namun izinkan Ummi untuk meluahkannya juga agar segala kelemahan dapat diperbaiki.

Apa kesilapannya? Mesyuarat seringkali di'sambung' agendanya ke warung-warung atau kedai-kedai kopi sehingga memakan masa yang agak tidak munasabah. Apa yang Ummi maksudkan, mesyuarat yang sepatutnya berakhir paling lewat jam 12 malam, akhirnya membawa kepada perbincangan di luar topik di warung-warung sehingga ke jam 1 atau 2 pagi!

Natijahnya, ahli mesyuarat yang selama ini istiqamah dalam menunaikan solat malam atau qiamullail, mula luput qiamullailnya. Ahli mesyuarat yang selama ini tidak pernah ketinggalan dalam menunaikan solat jemaah di masjid, akhirnya terpaksa berjemaah di rumah sahaja kerana lewat terjaga lantaran pulang ke rumah terlalu lambat.

Mungkin ada yang memberikan alasan; "Sekali-sekala seronok juga berkopitiam bersama-sama sahabat. Inilah masanya untuk merapatkan ukhuwwah."

Ummi langsung tidak bersetuju dengan alasan sedemikian kerana syaitan selalunya akan menggoda umat Muhammad dengan fikiran-fikiran sedemikian. Sekali luput qiamullail, lama-kelamaan tidak mustahil solat yang wajib pula boleh luput akibat ketiadaan disiplin dalam menjaga waktu!

Kesilapan kedua ini sudah tentunya seringkali berlaku di peringkat kaum muslimin.

Di pihak muslimat, pengalaman mengajar Ummi bahawa mereka selalunya akan cuba seboleh mungkin untuk menghabiskan masa menyuarat secepat mungkin lantaran tanggungjawab di rumah yang masih menunggu. Bukan niat Ummi untuk membela muslimat dan bukan juga niat Ummi untuk memburukkan muslimin.

Segala apa yang Ummi nukilkan ini adalah sebagai muhasabah untuk diri kita sendiri sebagai penggerak Islam.

Jangan kerana sedikit kesilapan yang sepatutnya boleh dielakkan itu menjadi penyebab kepada terhakisnya iman kita sedikit demi sedikit.

Mohonlah daripada Allah agar Dia sentiasa menyedarkan kita akan segala kekhilafan yang berlaku.

Ummi cukup terharu dengan apa yang pernah dinukilkan oleh Professor Dr Muhammad Kamil akan betapa besarnya kerugian yang dirasai akibat tertinggal qiamullail. Bagaimana dengan kita?

Bacalah artikelnya di sini...

Ummi sendiri sedang berusaha untuk mengubah diri. Selama ini keletihan bekerja dan penyakit migrain yang dihadapi seringkali dijadikan alasan untuk luput dari qiamullail.

"Ya Allah, kurniakanlah diri ini kekuatan untuk menghampirkan diri kepadaMu..."

Khamis, 15 Julai 2010

Husband Related Insomnia?

Assalamualaikum.


Masa kecil dahulu, bak (panggilan Ummi kepada ayah) selalu masuk hutan. Dah memang itu pekerjaannya sebagai seorang renjer hutan. Setiap minggu, dua tiga hari bak akan bermalam di hutan. Memeriksa pokok-pokok balak dan memastikan tiada kecurian balak yang berlaku. Itulah antara tugas beliau buat mencari sesuap rezeki yang halal untuk isteri dan anak-anak.


Setiap kali bak masuk hutan, Ummi selalu mendengar keluhan dari mak yang tidak lena tidur. Kalau dapat lena sekejappun, mak pasti akan bermimpi yang bukan-bukan lantas terjaga kembali. Namun Ummi yang masih kecil waktu itu tidak mengerti apa yang mengganggu mak sehingga membuatkan mak tidak lena tidur.


Bila kini Ummi sendiri dah membina kehidupan berkeluarga, barulah pengertian itu datang.


Setiap kali Abi (panggilan manja Ummi pada hubby..hehe) balik lewat ke rumah kerana menghadiri mesyuarat, bersukan atau apa-apa programpun, Ummi pasti tidak dapat melelapkan mata. Kalau terlelap pun, pasti Ummi akan terjaga kembali pada waktu yang sepatutnya Abi dah kembali ke rumah. Lewat dari itu, tentunya akan menyebabkan Ummi bersengkang mata tanpa di pinta.


Rupanya itulah kegusaran hati seorang isteri…


Lewat suami pulang, bermacam-macam perkara yang difikirkan. Kemalangankah? Jatuh gaung ke kereta Abi ni? Ada apa-apa perkara burukkah yang berlaku?


Bermacam-macam andaian yang bermain di kepala. Apalagi kalau sms yang dihantar tak berjawab, panggilan yang dibuat tak bersambut.


Rupanya itulah kegalauan perasaan seorang isteri…


Dalam keadaan sebegini, tidak ada lain yang diharapkan oleh seorang isteri sebenarnya melainkan sedikit nota yang dismskan… “Abi balik lewat sikit malam ni,ya.Mesyuarat dah jadi panjang pula.Ummi jangan risaulah.InsyaAllah ½ jam lagi Abi baliklah…”


Pasti hati yang kerisauan, jiwa yang kekacauan akan kembali reda.


Tak begitu?


Hmm..Ummi pasti ramai isteri yang akan bersetuju…


P/s – Agaknya ‘penyakit’ tak boleh tidur Ummi ni boleh aja dinamakan ‘Husband Related Insomnia’….hahaha…


Amaran : Tidak ada istilah Husband Related Insomnia dalam perubatan. Ni rekaan Ummi aja...Boleh baca artikel berkaitan Insomnia di sini.



Selasa, 13 Julai 2010

Migrain Tanpa Ubat?

Assalamualaikum.

Pagi ini kepala terasa agak 'ringan'. Harap-harapnya hari ini Ummi tak perlu lagi mengambil ubat migrain. Dah banyak hari Ummi terpaksa menelan pil migrain bagi menahan kesakitan. Lebih-lebih lagi pada hari berpuasa. Tiba sahaja waktu tengahari, kepala dah macam nak pecah. Cukup-cukup menguji ketahanan dan kesabaran.

Keadaan ini cukup merisaukan Ummi sebenarnya kerana Ramadhan dah semakin dekat. Ummi teringin nak berpuasa dalam keadaan diri yang sihat agar mampu beribadah sebanyak-banyaknya. Ramadhan yang lepas, Ummi terpaksa mengambil pil migrain setiap hari sewaktu sahur bagi mengelakkan sakit kepala. Sungguh kalau boleh Ummi ingin memberhentikan pengambilan ubat. Namun bagaimana?

Sebarang cadangan perawatan amat Ummi alu-alukan. Mana tahu ada antara cadangan itu nanti yang Allah izinkan untuk menjadi asbab penyembuhan terhadap masalah Ummi.

Opps...ada yang tak berani nak kasi cadangan sebab Ummi ni doktor? Hahaha...tak perlu segan, tak perlu takut. Doktorpun turut Allah uji dengan kesakitan dan kadangkala Allah juga ingin menguji kita dengan ilmu dan kepakaran yang kita ada. Ummi bersyukur kerana dengan kesakitan yang Allah kuniakan ini turut mengingatkan Ummi agar jangan terlalu bangga dan taksub dengan kepakaran yang kita ada kerana adakalanya kepakaran dan ilmu itu tidakpun mampu menyelesaikan masalah dalam diri kita sendiri. Betul, kan?

Makanya, jangan segan-segan. Ummi tunggu cadangan perawatan dari sahabat-sahabiah yang dikasihi lillahi ta'ala...



Khamis, 8 Julai 2010

Bujang Melayu Terakhir...

Assalamualaikum.

Hahaha...pelik kan tajuk Ummi kali ini? Sebenarnya itu hanyalah kata-kata gurauan Ummi pada anak saudara sulung Ummi yang akan menamatkan zaman bujangnya seminggu lagi.

Entah kenapa Ummi terasa nak berbicara topik anak saudara nak kahwin pulak hari ni. Mungkin kerana hubungan Ummi yang agak rapat dengannya selama ini.

Inilah dia anak saudara sulung Ummi (anak kepada abang sulung Ummi), Amir Faisal bin Mohd Khairi. Ummi cakap kat Amir.."Ni gambar kenangan terakhir zaman Amir bujang..."

Masa Amir kecik dulu, Ummi sempat jaga Amir sekejap sementara menunggu keputusan SPM. Waktu tu ibu dan ayah Amir masih lagi belajar dalam bidang kedoktoran di Belgium. Tak sampai hati tengok ibu dan ayah Amir yang terpaksa menjaga anak kecil sewaktu masih dalam pengajian, Wan dan Ki mohon supaya Amir ditinggalkan aja di Malaysia untuk dijaga oleh Wan dan Ki. Alhamdulillah ibu dan ayah Amir setuju walaupun dengan hati yang berat.

Mengingatkan telatah Amir sewaktu kecil dulu, tersenyum sendiri Ummi. Apapun, Amir memang si kecil yang pintar, cerdas dan lucu.

Sepertimana ibu dan ayahnya dulu, Amir juga kini sedang dalam pengajian di bidang kedoktoran di luar negara. Bukan Belgium tetapi Ireland. Malah ditakdirkan kini, Amir juga akan berkahwin semasa masih dalam pengajian.

Namun Ummi yakin itulah pilihan yang terbaik buat Amir, InsyaAllah.

Keputusan yang Amir buat bukan calang-calang. Keputusan yang penuh dengan strategi, perancangan dan kesungguhan. Apalagi dengan bukti flying colours dalam setiap kali peperiksaan. Malah segala halangan menuju ke gerbang perkahwinan berjaya beliau atasi dengan sebaiknya.

Mudah-mudahan Amir akan terus cemerlang bukan sahaja di dunia, malah juga di akhirat.

Buat Amir, Cek Su tujukan lagu dan doa ini khusus untuk Amir & Muna...