Jumaat, Mei 28, 2010

SEMINAR PERUBATAN ISLAM (SEPIM) 29.05.2010 (Sabtu) Sabak Bernam

Seminar Perubatan Islam (SEPIM) 2010 Terkini...

semua dijemput hadir

Tarikh/Hari: 29.05.2010 (Sabtu)
Masa : 8:30 pagi hingga 1:00 petang
Tempat : Dewan Besar SMK Tunku Abdul Rahman Putra Sabak Bernam (STARP)
Anjuran : Kelab Guru SMK Tunku Abdul Rahman Putra Sabak Bernam
Kerjasama : Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia (BUDI)

2 Kertas Kerja - SIHIR dan SAKA YBhg Dr Hj Jahid Sidek al-Khalidi

PROGRAM PENGEMBANGAN MINDA DAN LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE HO CHI MINH CITY VIETNAM 18 - 20 MEI, 2010

PROGRAM PENGEMBANGAN MINDA KE HO CHI MINH CITY VIETNAM 18-20 MEI, 2010

Kuang, 18hb Mei, 2010 (Selasa) Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia (BUDI) telah menganjurkan rombongan Program Pengembangan Minda atau Lawatan Sambil Belajar selama 3 hari 2 malam ke Bandar Ho Chi Minh (Saigon) Vietnam. Program yang merupakan kesinambungan program lawatan ke luar negara yang telah dianjurkan sebelum ini seperti Kaherah Mesir, Istanbul Turki, Syria, Medan Indonesia, Tashkent dan Bukhara Uzbekistan dan lain-lain (kesemua kos ditanggung sendiri oleh ahli yang terlibat). Rombongan ke Vietnam ini disertai seramai 49 orang ahli yang diketuai Yang DiPertua BUDI telah berlepas dari Lapangan Terbang Airasia LCCT Sepang pada jam 2:45 petang dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Ho Chi Minh jam 4:20 petang. Rombongan mendaftar masuk menginap dengan selesa di Hotel Le Duy 4:45 pm. Hotel bertaraf 3-4 bintang ini yang menyediakan perkhidmatan WiFi percuma serta sangat selesa dengan bilik air bersaiz besar. Sebelum masuk ke bilik masing-masing ahli rombongan telah diberikan taklimat bagi perjalanan secara ringkas program 3 hari 2 malam.

18hb Mei, 2010 (Selasa) 8:30 mlm: Rombongan telah berjalan kaki sejauh 300 meter dari Hotel untuk menjamu selera di Restoran VN Muslim Halal Food. Disebabkan 49 orang ahli menjamu serentak hanya nasi goreng dan telur mata kerbau serta air buah pelbagai jenis (Buah mangga paling sedap). Harganya juga boleh tahan, setiap ahli dikenakan 6 US dollar. Selepas menikmati makan malam rombongan dibawa meninjau dan berjalan-jalan 200 meter dari restoran VN Muslim Halal Food ke pasar malam terbesar di Ho Chi Minh City. Disebabkan kepenatan tiada ramai ahli rombongan yang membeli belah, hanya membeli buah-buahan yang bersaiz besar seperti buah ciku, mangga, seri kaya (nona) dan dragon fruit. sama seperti di malaysia cuma bersaiz lebih besar. kesemuanya manis-manis belaka. 10:00 malam semua ahli telah pulang berjalan kaki ke Hotel Le Duy untuk tidur dan berehat.

19hb Mei, 2010 (Rabu) 8:30 pagi: Rombongan berkumpul di lobi hotel selepas bersarapan di bilik hotel masing-masing untuk bergerak ke Lokasi pertama. 8:30 pagi bergerak dengan bas pelancong yang selesa berhawa dingin lengkap pemandu pelancong yang mirip Chef One (kami panggil Chef Two) Lokasi pertama hari ini ialah CU CHI TUNNELS atau Terowong Cu Chi iaitu dahulunya merupakan Pusat Pemerintahan Saigon satu kawasan Zon Pemerintahan Perang yang lengkap serta strategik di bawah tanah sejauh 200 km panjang serta boleh menempatkan atau memuatkan 10,000 orang askar Vietcong dalam satu-satu masa. Vietcong ialah himpunan pelbagai lapisan masyarakat yang menjadi askar simpanan menjadi tentera perang melawan Vietnam Selatan yang dibantu Amerika Syarikat.

Lawatan ke Cu Chi Tunnels dimulai dengan taklimat di Dewan Perang dengan carta dan gambarajah (ada yang menggunakan projektor atau VCD) pemandu pelancong memberikan taklimat dan perjalanan menarik bermula di sana. Kami melihat secara umum 200 km panjang terowong yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk dewan taklimat perang, bilik tidur, bilik senjata api, bilik mencipta atau memproses bom (bom yang digugurkan oleh US tetapi tidak meletup), bilik masak, terowong terus ke sungai bagi air bersih dan setiap bilik dan terowong dilengkapi sistem udara menggunakan buluh.

Alhamdulillah kesemua ahli sihat dan kami berjalan kaki untuk pengalaman yang menarik. Bermula melihat pelbagai jenis dan kaedah jerangkap samar ciptaan Vietcong dan kemudian melihat cara vietcong menyembunyikan diri ditengah hutan dan lawatan kemudian melihat beberapa lopak besar kesan tinggalan letupan bom B52 100 meter dari terowong. Melihat kaedah pembuatan bom. Masuk ke dalam terowong pendek, bukan semua ahli rombongan yang masuk kerana saiz dan keadaan yang gelap dan terpaksa merangkak atau berjalan itik (pesakit jantung dan pesakit lain tidak dibenarkan masuk). Pengalaman masuk memang menginsafkan bila mengenangkan askar vietcong yang terpaksa berada di dalam terowong sepanjang hari dan keluar ketika malam sahaja untuk berhibur. Rombongan juga dibenarkan untuk menembak menggunakan pelbagai senjata M16, AK47 dan M60 dengan bayaran 250,000 vietnam dong bagi setiap 10 butir peluru hidup. Melihat sejenis kanji yang dibuat bagi makanan vietcong yang nipis untuk makanan askar. Kemudian melihat sebuah kereta kebal US yang telah musnah serta pelbagai perkara yang lain. Mudah2an memberikan pengalaman yang menarik kepada ahli rombongan.

Untuk makluman pembaca, negara Vietnam sekarang adalah negara yang menganut fahaman komunis dahulunya dipimpin Jeneral Ho Chi Minh. Perang saudara di antara Vietnam Utara (Komunis) dan Vietnam Selatan (Kerajaan Demokrasi tajaan Amerika Syarikat) yang berakhir dengan kemenangan Vietnam Utara (Vietcong Komunis) telah mengorbankan hampir 1 juta penduduk (askar) vietnam dan 1/2 juta (500 ribu) askar Amerika Syarikat. Kerajaan Bawah Tanah yang dibina oleh Vietcong adalah simbol kegigihan perjuangan rakyat tentera Vietnam serta kejayaan mereka melawan tentera Amerika Syarikat.

2:30 petang: Rombongan dibawa dengan bas untuk Makan tengahari istimewa di Restoran Halal Shamsuddin yang menyediakan pelbagai hidangan melayu yang lazat 10 Us Dollar harganya setiap ahli dewasa sahaja. Hidangan boleh ditambah mengikut permintaan ahli. Dengan harga yang mahal ahli rombongan dapat menikmati hidangan yang enak dan memuaskan hati. (Kalau berkunjung ke Vietnam jangan lupa untuk makan di restoran ini). Perkhidmatan lain yang disediakan ialah penghantaran makanan ke Hotel dengan caj 50,000 vietnam dong setiap penghantaran. Ahli rombongan telah memesan bagi makanan malam dan sarapan pagi untuk dihantar terus ke bilik hotel. Antara menu paling popular ialah Nasi Lemak yang istimewa 5 lauk (Daging, Sotong, Udang, Ikan Bilis serta Timun dan Nasi yang sedap) dengan harga 3 US Dollar sahaja. Mahal-mahal kan makanan halal di Vietnam... jadi bagi pembaca yang ingin ke Vietnam jangan lupa bawa makanan segera lain.

20hb Mei, 2010 (Khamis): 8:30 pagi rombongan berkumpul dan menaiki Teksi Toyota Vios dan Innova 2 US Dollar ke Masjid Besar Jami di Ho Chi Minh City bagi bertemu Imam Yuossof untuk mendengar dan bersoaljawab berhubung perkembangan Islam dan pelbagai masalah dan perjalanan hidup seorang muslim di Vietnam. Masjid yang digunakan lebih 5000 orang muslim dan ketika Jumaat. Sesi temubual dan perbincangan juga diakhiri dengan pemberian sumbangan Ikhlas dari Persatuan dan ahlinya RM1,500.00 atau lebih (kerana ada yang menyumbang menggunakan wang vietnam dong dan US Dollar) bagi kegunaan dakwah dan perkembangan Islam di sekitar Masjid tersebut.

4:20 petang: sebahagian ahli rombongan 10 orang telah berlepas ke Malaysia dan 7:00 petang 39 orang berlepas ke Malaysia. Alhamdulillah semoga matlamat dan kesan pengalaman positif dapat diperolehi oleh setiap ahli di sana.