Sabtu, November 23

Ketika menyatakan pilihan

Kalaulah aku punya keberanian 
Sudah lama aku luahkan
Kudiamkan kerana melalui penolakan juga satu cabaran

Di satu saat
Terpana aku pada elok akhlaknya
Masakan tidak
Seseorang yang aku sangat hormat
Ringan lidahnya menuturkan kata maaf
Belum lagi suara lembutnya menerjah halus di telingaku

Ya tuhan
Sebegini elok akhlaknya
Semoga aku tidak lalai

Ditanyakan kepadaku
Apa aku punya keberanian
Tidak
Tidak untuk yang ini

Dan aku
Bersyukur yang amat
kerana hati ini Allah pilih melihat kebaikan kembali
Dan rasional di hati
Bahawa akhlak, peribadi baik
Tetaplah yang utama terpaling disanjung

Semoga berjodohlah kamu dengan yang baik-baik



Rabu, Oktober 30

3 Jumaat

Sudah 3 Jumaat berlalu

Harapan yang tersemat di hati sedikit demi sedikit semakin menipis

Terkadang bisik hati bermonolog sendirian

Betapa lebih molek kalau ia tersemat di hati nurani

Tidak diucapkan dan tidak menjadi iringan doa setiap sujud

Semoga aku memiliki kesabaran yang cantik


Ada orang ditakdirkan bertemu hanya untuk mengisi ruang waktu seketika


Jumaat keempat 

Selamat tinggal kamu


3am teaching

Dahulu, semasa di HSIP, ada seorang housemen akan memaksa aku mengajarnya pada jam 3pagi. Katanya, masa tu ajelah yang ada waktu luang. Kalau kerja syif pagi dan petang, jarang dapat mengajar. Asyik terkejar nak merawat pesakit sahaja. Aku gagahkan jua mengajar topik-topik pilihan housemenku walaupun kadang- kadang mata dah mengantuk. 


Tabiat mengajar housemen jam 3 pagi ni aku bawa sentiasa walaupun selepas housemen aku bersilih ganti. Seronok rasanya dapat berkongsi ilmu. Terima kasih kepada housemenku yang asyik memaksa aku mengajarnya. Rajinlah jugak membaca buku kalau tak gitu- gitu ajalah. 


Sekarang, bila ditanyakan kepada housemen, awak nak belajar apa😅 semua terkedu. Tak tahu nak jawab apa bila aku tanya. Zaman dah berubah. Tapi gitulah. Akan aku pastikan aku tetap mengajar juga housemen aku biarpun ambil masa cuma 5 minit. Semoga perkongsian yang diberikan bermanfaat. 


Rindunya pada housemen-housemen yang semangat belajar macam dulu. Love what you do or leave





Selasa, Juli 23

Darjah 3

Harini kelas bersama Prof H.  Setiap kali kelas prof sentiasa diri ragu- ragu layakkah jadi pelajar master ni. Seringkali monolog dalaman tak pandainya. Macam mana nak jadi pandai macam yang lain. Dan akhirnya kemurungan mengenang nasib sendiri.


Ada masa-masa aku memang bersyukur sangat direzekikan sambung belajar. Dapat mengenali jiwa-jiwa baru, dapat ilmu baru, dapat pencerahan dari rakan-rakan atau pensyarah tentang sesuatu topik yang aku rasa macam faham tapi rupanya tak😅


Pernah buat perbentangan dan pakar perubatan kecemasan terangkan kembali padaku tentang topik yang aku sampaikan. Faham dan terharu. Betul-betul terharu. Direzekikan mendapat kefahaman ilmu tentang sesuatu topik. Sangat-sangat bersyukur. 


Selamat melalui darjah 3! 

Rabu, Mei 15

Orang yang tepat pada waktu yang tepat

Ahad lepas, aku kerja malam. Syif malam tu kekurangan pegawai perubatan. Ada yang terpaksa cuti kecemasan atas sebab tertentu. Zon merah tinggal aku berdua dengan rakanku beserta seorang adik housemen. 


Lama sudah tidak aku rasakan nikmat bekerja dengan rakan sekerja yang super duper best. Walaupun kekurangan tenaga kerja, tetapi terasa ringan sekali bekerja syif malam tersebut.


Permulaan syif malam di zon merah agak tenang bagi aku. Sempat berbual bergelak ketawa dengan staf dan rakan sekerja sambil- sambil di selang jeda waktu datang kes-kes untuk kami rawat. Sempat juga rakanku ke emart24. Sempat juga makan-makan di pantri jabatan. Pokoknya, walaupun zon merah punya pesakit, kesempatan itu ada sebab kami saling cover mengcover bila salah seorang kami tiada.


Suasana yang dirasakan tenang tidaklah berpanjangan. Selepas selesai sesi kaunseling emas oleh partner in crime aku, kes datang bertubi-tubi. Seorang dua pesakit perlukan non invasive ventilation. Berjaga-jaga juga takut-takut perlu bantuan intubasi. 


Dan kemuncak pesakit kami adalah pesakit dari zon kuning yang ketika hendak dihantar ke wad mengalami kesukaran pernafasan. Terus dihantar ke zon merah. Pelik pesakit kami ni. Ujian darah gas arteri yang dibuat menunjukkan beliau sudah mula mengalami masalah kegagalan pernafasan jenis 2( type II respiratory failure) dan tiada bacaan garam( potassium) yang direkodkan. ECG beliau menunjukkan prominent U wave sedangkan di zon kuning bacaan formal potassium beliau adalah 2.9 dan itupun telah diberi correction potassium 2g memandangkan pesakit datang dengan masalah lemah kedua belah kaki.


Sepantas kilat rakanku mengarahkan correction potassium 2g sekali lagi bersama correction electrolytes yang lain. Kalau tidak dirawat, pesakit boleh mengalami ritma jantung yang tidak sekata( Ventricular tachycardia/ventricular fibrillation) dan boleh membawa maut. Pakar kecemasan bertugas on floor juga turut dipanggil. Resuscitation kami ke atas pesakit pun bermula. Sebanyak 11g potassium correction diberikan kepada pesakit. Setiap sejam kami monitor ecgnya kerana ujian darah yang normal mengambil masa sejam dua dan ujian vbg tidak dapat lagi mendeteksi bacaan potassium. Akhirnya jam 6.50pagi barulah ecg pesakit menunjukkan tanda perubahan positif tanpa ada prominent U wave. VBG pesakit juga sudah berjaya mendeteksi potassium level iaitu 1.7mmol😅 masih sangat rendah kerana normal potassium kita adalah 3.5-4.5mmol. Berapalah agaknya tahap potassium pesakit semasa beliau mengalami kesukaran bernafas.


Sambil- sambil tu aku dan rakan- rakan sekerja malam dari zon kuning sempat menggoogle sekiranya ada kes yang hampir sama seperti kes yang kami dapatkan. Terjumpalah satu kes report yang dibuat berkaitan thyrotoxic periodic paralysis. Kes presentation hampir sama dengan kes kami. Kami pun berkeputusan menghantar ujian thyroid urgent dan keputusannya pesakit disahkan mengalami thyrotoxicosis. Kes ini dibincang secara terus oleh pakar kecemasan kami bersama endocrinologist. Dan rawatan untuk thyroid dimulakan terus di ED. Pesakit dimasukkan ke ICU untuk pemantauan lanjut. 


Jam 7 pagi, pesakitku yang niv sudah tidak mampu bernafas normal. Aku lakukan intubasi ke atas beliau setelah memberi penerangan kepada pesakit dan waris pesakit. Kami tutup syif kami dengan intubasi pesakit. Yang menolong aku semasa proses intubasi adalah rakan-rakan dari zon kuning juga. Alahai, sibuk-sibuk begini dapat rakan sekerja sama-sama tolong adalah nikmat paling padat. Ringan sahaja hati bekerja syif malam hari tersebut. 


Semuanya berlaku pantas. Proses resuscitation dan menstabilkan pesakit adalah proses yang berterusan. Dan aku kira pesakit dipermudahkan urusannya kerana beliau berjumpa orang yang tepat. Pakar kecemasan yang bertugas yang mengguide kami para pegawai perubatan dan perbincangan antara pakar dengan pakar membantu menstabilkan pesakit kami. Sesungguhnya Allah memang menguji kita sesuai dengan kemampuan kita. Tepat sungguh ujian itu diberikan kepada pakar kecemasan kami🙂


Seusai syif malam, aku meneruskan tugasan utama minggu ini. Perbentangan cme berkaitan crashing asthmatic. Segar sungguh biji mata semasa sesi perbentangan. Dan sekali lagi, orang yang tepat mengelola perbentangan cmeku. Terima kasih kepada kedua pakar kecemasanku yang tak lokek ilmu dan tak jemu membetulkan salah faham aku semasa perbentangan. Haritu, walaupun pulang lewat, segar dan ringannya hati seperti mahu menyambung syif pagi pula🤣


Di kumpulan whatsapp aku ucapkan ribuan terima kasih kepada team malam yang sama-sama datang membantu kami di zon merah. Semoga Allah membalas jasa kalian semua. 


Dan aku akhiri syif malamku dengan menghadiahkan nota perbincangan cme kepada rakan-rakan sekerja team malam. Almaklumlah, dorang semua tertidur semasa sesi perbentangan cmeku. 


Terima kasih untuk pelajaran erti ikhlas yang tidak mampu aku fahami sehingga melaluinya sendiri.

Selasa, Februari 6

Refleksi diri

Selesai menjalani latihan sangkut di posting neuromedikal HRPZII. Banyak yang dipelajari dan banyak sangat pengajaran sepanjang berada di posting neuromedikal.

Di akhir posting, aku sempatkan diri menjamu staf-staf klinik neuromedikal sebagai tanda penghargaan. Semasa sedang makan bersama kakak jururawat, Kak Wardah sempat berbual dengan aku. Sempat beliau kongsikan kisah betapa beliau sangat bahagia bekerja di Hospital Kuala Lumpur. Sukanya beliau bekerja di HKL kerana bekerja semata-mata, tiada gosip dan politik dalaman. 

Semasa di HSIP, aku benar-benar bekerja. Seronok betul waktu itu. Sejak aku berpindah, kehidupan agak lain. Aku cuba sedaya upaya untuk bekerja dan tidak terlalu mengambil pusing hal-hal di jabatan kecemasan tempat aku bekerja. Tapi itulah, walaupun aku cuba mengelak, ada juga beberapa kali kisah-kisah orang yang sampai kepadaku. Pernah aku katakan pada temanku, tak menariknya banyak interaksi dengan manusia. Semakin banyak interaksi, semakin banyak pula kisah-kisah orang aku tahu. Aku faham benar perasaan Kak Wardah, sebab aku pun pernah melalui fasa tersebut. Datang bekerja semata-mata bekerja. Tidak melibatkan diri dengan umpatan manusia. Gembira dan lapang dada sangat. Kita tak perlu menjatuhkan sesama kita, bercakap kasar hanya untuk menyatakan pendapat kita. 

Di akhir perbualan, sempat Kak Wardah doakan kejayaan aku agar dapat lulus pengajian perubatan sarjana dan menjadi Pakar Perubatan Kecemasan. Bertakung kolam air mataku mendengar doa ikhlas beliau. Seseorang yang mengenali aku barang sejenak berdoa sedemikian untukku. Sedangkan aku sendiri sentiasa ragu-ragu samada aku mampu meneruskan pengajian sarjana ini atau tidak. Semoga Allah juga permudahkan urusan Kak Wardah yang sentiasa komited dan profesional dalam perkhidmatan.












Sabtu, Agustus 5

Nikmat paling padat

Seminggu dua ke depan, jadual kerja sedikit kacau bilau. Dua hari lepas aku kerja malam. Selepas kerja malam, masuk pula syif petang tu. Perasaan nak ke tempat kerja petang semalam sangatlah berat hati. 


Masuk kerja petang, keadaan zon kuning agak tenang. Pada aku, kalau sempat menulis dan duduk barang sejenak di kaunter, sudah terlalu damai untuk zon kuning.


Seusai menjalankan perawatan ke atas pesakit, masuk waktu solat maghrib pula. Tiada kes baru yang datang dan pesakit zon kuning kebanyakan semua tengah menunggu darah atau doktor jabatan yang dirujuk. Cepat-cepat aku ke bilik atas panggilan untuk solat. 


Solat senantiasa menjadi kerehatan pada aku. Selesai solat, terasa nikmat betul. Syukur kerana sesibuk apapun, Allah tetap rezekikan aku untuk solat. Sempat bertafakur sebentar di atas sejadah semasa syif adalah nikmat paling padat.



Selamat datang Ogos. Bulan kecintaanku dalam banyak-banyak bulan. Bulan melepaskan impian paling dalam dan bulan menapak impian ke depan dengan jiwa besar.