Monday, 5 April 2010

Perkahwinan Lelaki Biasa

Perkahwinan bukan perkara biasa. Saya seorang lelaki biasa yang akan melalui perkahwinan yang biasa-biasa sahaja.

Segalanya berakhir selepas beberapa lama. Alhamdulillah. Tuhan tempat hamba mengadu dan saya salah seorang hamba itu. Kerdil dan hina dengan dosa yang muncah. Mudah-mudahan Allah tidak menjadikan balasan terhadap segala luka dan parut ke dalam perkahwinan ini. Semoga rahmat tiba menjengah dan hujungnya menyentuh kami berdua.

Hati berada di antara dua jari Ar Rahman. Hati sesiapa pun. Hati saya dan hati dia. Juga hati-hati orang-orang di sekeliling. Biarlah saya menyambut doa baginda di akhir sabda itu 'Wahai tuhan yang menggerakkan hati, gerakkanlah hati-hati kami ke dalam ketaatanmu'. Bertapa beruntung, kalau diperkenan, walau pun sekadar insan biasa di sisiNya.

'Umur umatku di antara enam puluh hingga tujuh puluh. Sedikit sahaja dari kalangan mereka yang melepasinya'. Saya sudah berumur tiga puluh tahun. Bekalan sekecil tapak tangan belum tentu dapat digenggam. Ya Allah, ampunilah dosa-dosa. Saya hanyalah lelaki biasa yang mengimpikan angan-angan menjadi kenyataan dalam sebuah perkahwinan biasa.

Apabila Abu Darda' berada di saat kematian, Ummu Darda' berkata 'engkau meminangku di dunia dari kedua ibu bapaku, maka mereka menikahkan engkau. Aku pula mahu meminangmu di akhirat'. Abu Darda' membalas 'Jika begitu, janganlah engkau berkahwin selainku'. Saya tidak meminta sejauh itu. Saya hanyalah seorang lelaki biasa.

Segalanya akan bermula tidak berapa lama. InsyaAllah. Sekali lagi, tuhan tempat hamba mengadu. Malah, selama-lamanya tempat hamba mengadu dan saya salah seorang hamba itu. Biarlah tercipta untuk firman suci yang berbunyi ‘Katakanlah Muhammad, wahai hamba-hambaku yang melampaui batas ke atas dirinya sendiri, janganlah berputus asa dengan rahmat Allah’.

Saya ulangi, ini adalah perkahwinan biasa, teramat biasa. Cuma satu, impian dan harapan saya luar biasa sekali.