Sistem Pendidikan Kebangsaan

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 18

SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN

ABSTRAK Sistem pendidikan merupakan asas penting bagi membangunkan masyarakat dan Negara ke arah yang lebih baik. Malaysia merupakan Negara yang mempunyai masyarakat majmuk di mana setiap dasar yang dilaksanakan perlu selari dengan keperluan masyarakat. Dasar pendidikan yang dilaksanakan bukan sahaja bertujuan untuk member pelajaran di sekolah semata-mata tetapi sebagai alat untuk merealisasikan perpaduan bangsa. Melalui system persekolahan, masyarakat dibentuk dengan member pelajaran kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit. Bagaimanapun setelah 56 tahun mencapai kemerdekaan, masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa masih lagi tidak menunjukkan hubungan perpaduan yang kukuh. Sehingga kini, masyarakat Malaysia masih terpisah melalui system persekolahan iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan cina dan sekolah jenis kebangsaan tamil. Oleh itu, pihak kerajaan perlu mengambil perhatian serius dalam memastikan isu-isu pendidikan dikawal dengan sebaiknya supaya hubungan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa sentiasa berada dalam keadaan yang harmoni atau menemui kegagalan sekiranya system pendidikan tidak dilaksanakan dengan baik dan telus.

Kata-kata kunci : Sistem pendidikan, perpaduan bangsa, masyarakat majmuk, kualiti kehidupan dan keperluan masyarakat Malaysia.

PENGENALAN Sistem pendidikan, melalui sistem persekolahan, merupakan elemen yang penting bagi sesebuah Negara dalam usaha menuju kea rah membangunkan masyarakat dari segi ekonomi, politik dan sosial. Sistem persekolahan bukan sahaja berperanan untuk memberi pelajaran kepada masyarakat semata-mata, bahkan ia merupakan saluran untuk menyampaikan kepada rakyat berkenaan dengan wadah perjuangan Negara yang sangat mementingkan nilai-nilai murni

dalam masyarakat berbilang kaum demi mencapai perpaduan. Malaysia adalah sebuah Negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, agama dan adat resam di mana ia dikenali sebagai masyarakat majmuk. Perlaksanaan sistem pendidikan yang dijalankan perlu mengikut keperluan dan kesesuaian masyarakat Malaysia. Masyarakat Malaysia terdiri dari bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain etnik dan beragama Islam, Buddha< hindu dan Kristian menjadi rujukan pihak pemerintah sebelum sesuatu dasar dirangka agar manfaat dan faedah dapat dirasai oleh semua golongan masyarakat. Melalui pendidikan, nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, bertoleransi, bekerjasama dan aspekaspek moral diterapkan kepada masyarakat yang bertujuan untuk melahirkan pewaris Negara yang berkualiti, bertanggungjawab, berdaya saing, bijak dan mempunyai sifat patriotic di man ia penting untuk memupuk perpaduan dikalangan masyarakat. Pendidikan pula dapat menyeimbangkan sosio-ekonomi antara kaun=m dan kumpulan etnik di mana ia dapat dilihat melalui peluang-peluang pekerjaan, pendapatan dan pegangan ekuiti. Apabila keadaan ini tercapai, kestabilan ekonomi, politik dan sosial akan dapat berkembang maju. Contohnya pada zaman pemerintahan Inggeris, punca kaum Melayu mundur dan miskin adalah disebabkan nereka tidak diberikan peluang yang sama untuk mendapatkan pendidikan. Ini juga menjadikan penyebab utama perpaduan yang erat dikalangan masyarakat majmuk sukar untuk dicapai. Hal ini mempunyai kaitan yang rapat dengan dasar dan system perlaksanaan pendidikan yang tidak meliputi semua golongan masyarakat. Pendidikan mengikut Plato, ialah suatu proses membentuk individu yang berajhlak mulia. Menurut Jean Jacues Rousseau pula, pendidikan sebagai suatu proses yang berterusan dan bermula dari masa kanak-kanak lagi. Dalam proses ini, segala kebolehan semulajadi lahir dengan

sendirinya mengikut kehendak dan peraturan semulajadi. Masyarakat dan pendidikan adalah bergerak seiring kerana pendidikan adalah acuan membentuk insan.

LATAR BELAKANG PENDIDIKAN DI MALAYSIA: SEJARAH AWAL DAN SEMASA PENJAJAHAN BRITISH Sebelum kedatangan pihak British ke Tanah Melayu, system pendidikan orang Melayu berlandaskan kepada ajaran agama Islam, iaitu kitab suci Al-Quran. Mereka telah menjadikan surau dan masjid sebagai tempat untuk menuntut ilmu dengan menkaji ayat-ayat kitab Al-Quran. Pelajaran yang diperoleh ketika itu melalui dengan menghafal ayat-ayat dalam kitab tersebut, menghafal doa dan mempelajari mengenai ajaran Islam dengan merujuk kepada imam dan para guru agama. Pada ketika itu, system pemerintahan dijalankan adalah pemerintahan beraja. Jadi, tidak timbul masalah berkenaan dengan perebutan kuasa untuk memerintah. Pendidikan yang penting ketuka itu ialah pendidikan Islam di mana yang mula berkembang dengan kewujudan sekolah-sekolah pondok dan madrasah sebagai tempat mendapat pendidikan Islam. Menurut Wilkinson, murid di pondok mula belajar perkataan-perkataan Arab dan selepas sudah menguasainya, mereka akan terus mempelajari dengan cara menghafal huruf abjad Arab supaya menjadi sebagai panduan membaca doa dan teks Arab. Sewaktu zaman penjajahan British, mereka telah melaksanakan system pendidikan yang berteraskan pendidikan Inggeris, di mana sekolah-sekolah aliran Inggeris ini mengajar matapelajaran dalam bahasa Inggeris. Hal demikan member cabaran dan halangan terhadap bangsa Melayu ketika itu kerana majority masyarakat Melayu tidak mahir untuk menggunakan bahasa Inggeris dengan baik. Hal ini pula ditambah dengan dasar yang dibuat oleh pihak British

untuk meyekat kemasukan pelajar-pelajar Melayu untuk belajar di sekolah Inggeris kerana mereka bimbang jika orang Melayu belajar dengan pandai, ia akan membuat kedudukan Inggeris tergugat. Hanya pelajar-pelajar Melayu yang terdiri dari kelas atasan sahaja yeng diberi peluang untuk belajar di sekolah Inggeris. Pada zaman penjajahan ini, dasar pendidikan terutama system persekolahan tidak menghasilkan keberkesanan yang positif, terutama untuk perpaduan dan perlaksanaannya mempunyai banyak kelemahan kerana British hanya mementingkan keuntungan ekonomi dan kedudukan sendiri sahaja. Semasa penjajahan British, pihak Inggeris telah mewujudkan sekolah vernacular Melayu, sekolah vernacular Cina dan sekolah vernacular Tamil. Kewujudan sekolah vernacular telah menyebabkan masyarakat Melayu, Cina dan India dipisahkan mengikut system persekolahan dan menyebabkan hubungan mereka semakin renggang. Sekolah vernacular Melayu, Cina dan India mempunyai kepentingan sendiri terutama untuk kaum tertentu iaitu sekolah Melayu untuk kepentingan orang Melayu begitu juga untuk kaum Cina dan India. Tetapi British telah memainkan peranan dengan adil terutama dari segi layanan yang setaraf kepada semua bangsa. Contohnya sekolah vernacular Melayu dan Tamil hanya terhad untuk sekolah rendah sahaja manakala sekolah vernacular Cina mendapat keistimewaan melalui sekolah rendah (6 tahun), junior middle (3 tahun) dan senior middle (3 tahun). Lulusan sekolah Melayu hanya setakat memenuhi keperluan tenaga manusia yang paling rendah. Laporan Barnes 1950 telah menjadi penggerak perubahan kedudukan pendidikan orang Melayu kerana telah bangkit kesedaran semangat nasionalisme selepas tamat Perang Dunia II pada tahun 1946. Mengikut laporan Barnes 1950, kewujudan sekolah vernacular tidak

menyumbang ke arah perpaduan kaum, di mana antara syor Jawatankuasa Barnes adalah sekolah-sekolah vernacular Melayu, Cina dan Tamil hendaklah dibubarkan dan digantikan satu jenis sekolah sahaja iaitu sekolah kebangsaan. Tetapi masyarakat Cina merasa kedudukan mereka tergugat dan atas desakan kaum mereka sendiri, juga kerana terhasilnya Laporan FennWu 1951, berusaha dan bertujuan untuk mempertahan kan pendidikan masyarakat Cina. Perubahan pendidikan sentiasa berlaku ketika itu kerana kehendak rakyat perlu dipenuhi bagi menjamin perpaduan dan kesejahteraan Negara. Ordinan Pelajaran 1952 telah ditubuhkan impak daripada hala tuju Laporan Barnes 1950 dan Laporan Fenn-Wu 1951 yang berlainan matlamat untuk dicapai. Kesimpulannya, kesan daripada system pndidikan penjajahan British itu adalah wujudnya Sekolah pondok dan madrasah, Sekolah Vernakular Melayu, Sekolah Vernakular Cina, Sekolah Vernakular Tamil dan Sekolah Inggeris.

PENDIDIKAN DI MALAYSIA SELEPAS MERDEKA

Sistem

pendidikan

di Malaysia mengalami

banyak

perubahan

selepas

mencapai

kemerdekaan terutamanya di sekitar tahun 1980-an. Berdasarkan Laporan Jawatankuasa Kabinet yang mengkaji perlaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan (1979), Rancangan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) mula dilaksanakan di semua sekolah rendah di seluruh negara mulai tahun 1983. Rancangan KBSR ini menekankan penguasaan terhadap kemahiran asas 3M iaitu membaca , menulis dan mengira.Di samping itu juga, ia juga memberi tumpuan terhadap perkembangan individu secara menyeluruh yang meliputi aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS).Pada tahun 1989, Rancangan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pula diperkenalkan di semua sekolah menengah. KBSM ini dirancang untuk memperkembangkan potensi individu daripada aspek JERIS secara menyeluruh dan bersepadu

dalam usaha untuk melahirkan pelajar yang berilmu, berakhlak mulia serta berupaya memberi sumbangan kepada kemajuan , kesejahteraan serta pembangunan negara. Walaubagaimanapun, faktor utama yang menjadi tunjang ke arah pembentukan sistem pendidikan negara selepas mencapai kemerdekaan ialah Perpaduan. Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada penjajah British pada tahun 1957, tugas utamanya ialah untuk menyatukan kembali rakyatnya yang berbilang kaum supaya dapat membina kembali sebuah negara yang aman dan maju serta bebas daripada ancaman konflik antara kaum. Pada tahun 1959, sebuah Jawatankuasa Penyemak Matapelajaran telah dibentuk yang dikenali sebagai Laporan Rahman Talib. Jawatankuasa ini diketuai oleh Menteri Pelajaran ketika itu, iaitu Abdul Rahman Talib.Tujuan perlantikan jawatankuasa ini untuk mengkaji semula polisi pendidikan kebangsaan sebagaimana yang telah dicadangkan dalam Laporan Razak yang dibuat pada tahun 1956. Antara cadangan cadangan yang dikemukakan dalam Laporan Rahman Talib ialah yang pertama, menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di setiap sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Antara tindakan tindakan yang diambil ialah mewajibkan semua murid lulus dalam matapelajaran Bahasa Melayu dalam peperiksaan awam , kertas peperiksaan ditulis menggunakan Bahasa Melayu dan sebagainya. Ini bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Yang kedua, jawatankuasa ini mencadangkan agar umur persekolahan murid murid dinaikkan daripada 12 tahun ke 15 tahun. Ia bertujuan untuk mengelakkan berlakunya masalah penggangguran dan masalah sosial sekiranya murid murid ini berhenti sekolah terlalu awal.Yang ketiga pula, memberi bantuan kewangan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (aliran Bahasa Melayu ) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan ( aliran Bahasa Inggeris). Mana mana sekolah yang ingkar terhadap sistem pendidikan kebangsaan, bantuan kewangan terhadap sekolah tersebut akan ditarik balik. Di samping itu, Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional telah ditubuhkan bagi melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang dan jurusan. Laporan Rahman Talib ini kemudiannya dibentangkan di Parlimen dan diluluskan yang mana

kemudiannya dikuatkuasakan dalam Akta Pelajaran 1961. Sejak itu, perkembangan pendidikan kebangsaan selanjutnya adalah berdasarkan kepada polisi pendidikan kebangsaan yang tercatat dalam Akta Pelajaran 1961 ini. Sistem pendidikan negara terus mengalami perubahan di sekitar tahun 1963 hingga 1975 selaras dengan perlaksanaan rancangan lima tahun Malaysia. Perkembangan sistem pendidikan negara pada tahun ini boleh dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Tahap Pertama (1963 -1965), Tahap Kedua (1966-1970) dan Tahap Ketiga (1971-1975). Tahap pertama merupakan tahap perlaksanaan rancangan sistem pendidikan yang telah dikuatkuasakan dalam Akta Pelajaran 1961. Tahap kedua pula merupakan tahap perlaksanaan rancangan pendidikan di bawah Rancangan Malaysia Pertama. Ia digubal dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan sosial yang timbul dalam tempoh ini. Sistem pendidikan pada tahap ini bukan hanya berorientasikan kepada pembasmian buta huruf tetapi juga untuk mencapai matlamat ekonomi negara. Antara matlamat lain yang ingin dicapai ialah memperkukuhkan sistem pendidikan kebangsaan bagi memupuk perpaduan sosial, kebudayaan dan politik , menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih bersistematik dan selesa kepada para pelajar, meningkatkan taraf pendidikan di seluruh negara serta melaksanakan pendemokrasian pendidikan tanpa mengira bangsa, kaum mahu pun agama. Pada tahap ini, beberapa buah Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional telah disediakan bagi melatih pelajar dalam bidang pertukangan, pertanian, sains rumahtangga dan perdagangan agar pelajar dapat mengembangkan lagi bakat mereka dalam bidang kemahiran yang telah disediakan.Perkembangan sistem pendidikan dalam tahap ketiga pula ialah merupakan pengubahsuaian sistem pelajaran dan latihan untuk memenuhi keperluan perkembangan ekonomi serta untuk menghasilkan lebih ramai pekerja mahir bagi melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sistem pendidikan pada tahap ini dirancang supaya memberi sumbangan penting bagi menggalakkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang bangsa. Perubahan perubahan sistem pendidikan ini adalah akibat dari konflik perkauman yang tercetus pada 13 Mei 1969. Kerajaan Malaysia terpaksa mengkaji semula matlamat matlamat pendidikan negara dan seterusnya merancang suatu sistem pendidikan yang lebih sesuai dengan

harapan boleh menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan dapat mengelakkan tragedi konflik perkauman itu daripada berulang kembali. Kesinambungan daripada Rancangan Malaysia yang pertama ini , sistem pendidikan negara terus mengalami arus perubahan dan perkembangan pada Rancangan Malaysia yang kedua (1971-1975). Di bawah Rancangan Malaysia Kedua , rancangan pendidikan negara ditumpukan pada tiga bidang yang berikut iaitu yang pertama , menyatukan sistem pelajaran bagi menggalakkan perpaduan negara. Yang kedua memperluaskan rancangan pelajaran bagi mencapai keperluan negara mengenai tenaga rakyat dan yang ketiga memperbaiki mutu pelajaran ke arah mecapai masyarakat yang maju berasaskan sains dan teknologi moden. Antara strategi yang dilaksanakan untuk mencapai ketiga tiga hasrat ini ialah yang pertama melaksanakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama di semua sekolah secara berperingkat. Kedua, mengurangkan jurang perbezaan dalam memberikan peluang pelajaran di antara kawasan kawasan dan juga antara kaum melalui pembinaan sekolah dan kemudahan yang baru di sekolah luar bandar serta melaksanakan pendemokrasian pendidikan. Yang ketiga, meningkatkan mutu pelajaran. Dalam usaha untuk meningkatkan mutu pelajaran ini antaranya melalui pengurangan bilangan pelajar yang terkandas dalam peperiksaan awam, membuat penilaian secara sistematik, memperbaiki sukatan pelajaran serta memperseimbangkan antara matapelajaran teras dengan matapelajaran elektif seperti sains dan teknologi. Pada tahun 1974, kerajaan Malaysia telah menubuhkan satu Jawatakuasa Kabinet untuk mengkaji pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Jawatankuasa ini telah mengkaji semula matlamat dan kesan sistem pelajaran termasuk kurikulumnya untuk memastikan bahawa keperluan tenaga rakyat negara ini dapat dipenuhi. Walaubagaimanapun, perkara yang lebih penting ialah untuk memastikan bahawa sistem pelajaran ini dapat memenuhi matlamat negara ke arah pembentukan masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Antara aspek lain yang dikaji untuk penambah baikkan terhadap sistem pendidikan di negara ini ialah menyeragamkan sukatan pelajaran dan sistem peperiksaan di semua sekolah, menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, menstrukturkan masa persekolahan, meningkatkan kecekapan dalam sistem

pentadbiran dan pengurusan serta memasukkan matapelajaran yang baru dalam kurikulum sekolah iaitu matapelajaran Pendidikan Sivik, Pendidikan Islam dan Moral serta memantapkan lagi pembentukan disiplin dikalangan para pelajar.

Pengenalan KBSR dan KBSM Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan agar setaraf dengan negara negara maju yang lain, tahun 1986 hingga awal tahun 1991 adalah merupakan tahap terpenting dalam sejarah pendidikan negara di mana pelbagai perubahan telah dilaksanakan dalam banyak aspek, di samping berusaha untuk menangani cabaran perkembangan semasa yang mana telah mula mengabaikan nilai kerohanian dan juga nilai murni dalam kehidupan masyarakat pada waktu tersebut. Perlaksanaan kurikulum baru KBSR dan KBSM adalah susulan daripada perubahan yang dilakukan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perlaksanaan Dasar Pelajaran yang dikeluarkan pada tahun 1979. Berikutan itu, Kementerian Pendidikan pada ketika itu telah mengambil langkah drastik dengan melaksanakan perakuan yang terkandung dalam laporan tersebut. Oleh yang demikian, kurikulum di peringkat rendah dan menengah telah dikaji dan digubal semula dengan tujuan untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan negara. Oleh yang demikian, segala perubahan dalam kurikulum, cita - cita FPN dan pendekatan yang menekankan kesepaduan dalam kurikulum menengah perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat agar hasrat murni yang ingin dicapai melalui pendidikan dapat dijayakan dengan berkesan dan sempurna.

Latar belakang Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR)

Penggubalan semula Falsafah Pendidikan Negara yang dahulunya hanya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan, menyebabkan berlakunya keperluan untuk mengkaji semula keseluruhan system dalam pendidikan kebangsaan. Kesinambungan daripada perubahan ini, maka terhasilnya Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah yang telah dilancarkan sepenuhnya pada tahun 1983. Kurikulum ini digubal bagi memastikan setiap murid diberi peluang untuk mendapatkan kemahiran, pengetahuan, nilai, sikap dan amalan kehidupan yang diperlukan. Falsafah KBSR ialah memberi pendidikan yang bercorak pendidikan asas dengan penegasan terhadap kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. KBSR turut memberi penekanan terhadap perkembangan individu secara menyeluruh dan seimbang dari aspek JERIS serta pemupukan dan perkembangan bakat seseorang individu itu. Antara objektif penting pembentukan KBSR yang perlu dicapai pula ialah yang pertama, murid dapat menguasai dan menghargai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sebagai alat perpaduan dengan baik dan memuaskan. Yang kedua, murid dapat menguasai kemahiran asas bahasa iaitu kemahiran bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa pengantar sekolah rendah iaitu Bahasa Melayu. Seterusnya yang ketiga pula ialah, melalui KBSR, pembinaan sikap dan perlakuan yang baik berpandukan nilai nilai kemanusiaan dan kerohanian yang berlandaskan RUKUN NEGARA dapat dipupuk dikalangan murid. Yang keempat, murid dapat bergaul , menghargai hak dan kebolehan orang lain serta mempunyai semangat kerjasama dan toleransi. Dan yang kelima, murid dapat menambahkan ilmu pengetahuan, kefahaman, minat serta kepekaan terhadap manusia dan alam sekitar. KBSR dibahagikan kepada tiga bidang asas iaitu bidang komunikasi, bidang kemanusiaan dengan persekitaran dan bidang perkembangan diri individu. Bidang komunikasi pada asasnya terdiri daripada komponen Kemahiran Asas yang mengandungi mata pelajaran Bahasa iaitu Bahasa Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris serta matapelajaran Matematik. Bidang Kemanusiaan dan Alam Sekitar pula terbahagi kepada dua komponen iaitu Kerohanian, Nilai dan Sikap serta Komponen Kemanusiaan dengan Alam. Mata pelajaran yang mewakili bidang ini ialah matapelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Bidang yang ketiga pula iaitu bidang perkembangan diri individu terdiri daripada komponen Kesenian dan Reakreasi yang

mengandungi matapelajaran Muzik, Pendidikan Seni dan Pendidikan Jasmani. Berdasarkan perkara yang berkaitan di atas, maka jelaslah bahawa matlamat pendidikan KBSR di sekolah rendah untuk memastikan perkembangan murid secara menyeluruh dari aspek intelek, rohani, jasmani, emosi, bakat, akhlak, nilai nilai estetika dan sosial selaras dengan falsafah dan dasar pendidikan negara iaitu untuk membangunkan negara dan menyemai perpaduan kaum yang kukuh serta integrasi nasional melalui sistem pendidikan yang tersusun dan bersistematik.

Latar Belakang Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) Matlamat utama pendidikan di Malaysia pada dasarnya adalah menuju ke arah penambahan keperluan tenaga kerja serta mencapai perpaduan rakyat melalui perkembangan individu yang menyeluruh. Oleh itu, untuk menjamin akan wujudnya keseimbangan pembelajaran antara kedua dua peringkat persekolahan iaitu rendah dan menengah, beberapa perubahan terhadap kurikulum sekolah menengah adalah amat diperlukan. Perubahan kurikulum yang menyeluruh bagi peringkat menengah dikenali sebagai Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang mana mula dilaksanakan pada tahun 1988 secara berperingkat peringkat. Matlamat KBSM ini adalah berteraskan kepada perkembangan diri yang disepadukan dengan orientasi kepada masyarakat dan negara. Perkembangan diri ditujukan kepada kerohanian , pemikiran dan penaakulan, kesejahteraan diri, kemahiran hidup, reakreasi, daya kreatif dan sikap yang positif. Orientasi kepada masyarakat pula ditujukan kepada kemahiran berinteraksi, politik, perpaduan negara, sosio budaya, ekonomi dan modenisasi. Bahkan KBSM digubal berlandaskan kepada konsep pendidikan umum yang memberi penegasan kepada pendidikan yang seimbang dan menyeluruh dalam usaha pemupukan nilai dan kemahiran untuk membolehkan seseorang itu menjadi warganegara yang berguna, bersemangat patriotik, dan bertanggungjawab. Oleh itu, tumpuan khas diberikan kepada pemupukan semangat kewarganegaraan yang bertujuan untuk membina perasaan bangga terhadap bangsa dan Negara.

Aspek kewarganegaraan akan meliputi semua mata pelajaran serta kegiatan kokurikulum dalam KBSM. Antara objekif objektif yang terdapat dalam KBSM ialah membolehkan pelajar menguasai kemahiran berinteraksi dalam situasi kehidupan sebenar, menekankan pembelajaran ke arah memahami diri, mengembangkan bakat, serta mempertingkatkan peribadi dan watak, memberi keseimbangan antara ilmu pengetahuan dengan unsur nilai, amalan dan rekreasi serta memberi penekanan terhadap kemahiran menyelesaikan masalah dalam situasi kehidupan harian. Unsur unsur penting yang terkandung dalam KBSM ini ialah yang pertama Unsur ilmu dan kemahiran. Antara aspek yang terdapat dalam unsur ini ialah memperkembangkan kemahiran belajar, psikomotor dan sosial, mengembangkan intelek , kreativiti dan pemikiran serta kandungan kurikulum ini dapat dikaitkan dengan kehidupan seharian. Unsur yang kedua pula ialah Nilai nilai murni di mana penerapan nilai murni dalam kurikulum ini adalah yang bersifat sejagat yang berteraskan kepada aspek kerohanian, kemanusiaan dan kewarganegaraan seperti baik hati, bertoleransi, bekerjasama , rasional dan sebagainya. Gerak kerja kokurikulum seperti aktiviti persatuan , unit beruniform dan permainan adalah unsur ketiga yang terdapat dalam KBSM ini. Antara tujuan gerak kerja kokurikulm ini dilaksanakan adalah untuk memupuk dan mengeratkan hubungan antara murid, sekolah dan masyarakat, mengisi masa lapang murid dengan aktiviti yang berfaedah, mengamalkan dan mengukuhkan ilmu pengetahuan yang diperolehi dalam bilik darjah serta memberi peluang untuk memupuk sikap yakin dan berdikari di kalangan para pelajar.

ZAMAN DASAR PEMBANGUNAN NEGARA (1991-2000)

Dekad terakhir abad ke-20 menyaksikan perubahan yang pesat dalam pendidikan negara. Asas perundangan bagi pelaksanaan dasar pendidikan diperkukuhkan melalui penggubalan dan pindaan beberapa akta yang berkaitan dengan pendidikan, misalnya Akta Pendidikan 1996; Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996; Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 dan lainlain.

Selain itu, banyak lagi perubahan berlaku dalam bidang pendidikan termasuk: 1. Peningkatan akses dalam pendidikan khususnya peringkat tertiari; 2. Perkembangan ICT dalam pendidikan termasuk penubuhan Sekolah Bestari pada tahun 1999; 3. Menaiktarafkan kelayakan guru-guru daripada sijil kepada diploma; 4. Menaiktarafkan Maktab Perguruan Sultan Idris kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); dan 5. Menaiktarafkan Sekolah Menengah Vokasional kepada Sekolah Menengah Teknik.

ZAMAN DASAR WAWASAN NEGARA (2001-hingga sekarang)

Pada zaman ini Sistem Pendidikan Kebangsaan diperkemas sejajar dengan perkembangan dunia teknologi maklumat. Dengan mengambil kira pelbagai perubahan dan cabaran alaf ke-21, penambahbaikan dan pemantapan sistem pendidikan diperlihatkan dalam perundangan, dasar dan program utama, antaranya: Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002); Program Bimbingan dan (Keputusan Jemaah Menteri, 2002); Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dilaksanakan pada tahun 2003 (Keputusan Jemaah Menteri, 2002). Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) diperkenalkan pada tahun 2003; Program j-QAF diperkenalkan pada tahun 2005 dan diperluaskan pada tahun 2006 bagi memastikan murid Islam menguasai Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain apabila tamat sekolah rendah (Keputusan Jemaah Menteri, 2003); dan banyak lagi program-program pendidikan diperluas. Perubahan paling signifikan dalam sejarah perkembangan pendidikan negara ialah penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) pada tahun 2004. Dengan pembahagian ini KPM dipertanggungjawabkan kepada pembangunan pendidikan prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, matrikulasi dan pendidikan guru.

ASPIRASI DAN PERUBAHAN SISTEM PENDIDIKAN DENGAN PELAKSANAAN PPPM

Hasil Orang ramai dijangka dapat melihat perubahan ketara dalam kaedah pelaksanaan sistem pendidikan negara tidak lama selepas pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Antara hasil awal yang dijangka dilihat ialah syarat pengambilan guru diperketat dan dikuatkuasakan di semua institut pendidikan guru dan institusi pendidikan tinggi awam. Ia turut menyasarkan 100 peratus sekolah mempunyai sambungan Internet dengan kelajuan sekurang-kurangnya 4Mbps melalui 1BestariNet, menurut PPPM 2013-2025 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini hari ini. Satu lagi hasil awal yang dijangka diraih susulan pelaksanaan pelan pendidikan itu ialah semua guru opsyen bahasa Inggeris di bawah tahap penguasaan, dilatih untuk meningkatkan kemahiran. Daripada segi ujian, 20 peratus daripada soalan peperiksaan akan digunakan untuk mentaksir kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan pelajar. Prestasi guru turut diberi keutamaan dengan 410,000 guru akan dinilai melalui apa yang disifatkan sebagai instrumen bersepadu, dan 61,000 guru bahasa Inggeris dinilai pada tahap kecekapan berbahasa mengikut standard antarabangsa. "Perubahan ini akan menjadi asas hasil yang dihasratkan untuk masa depan," kata pelan pembangunan berkenaan. Pelan itu melakarkan visi sistem pendidikan dan aspiasi pelajar yang dapat memenuhi keperluan negara pada masa depan. Ia mencadangkan 11 anjakan strategik dan operasi yang

perlu dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan untuk mencapai visi yang dihasratkan.

Aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan merangkumi akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Menurut pelan itu yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pendidikan, kementerian berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas (Tingkatan 5) menjelang tahun 2020. Dari segi kualiti, kementerian berharap kedudukan sistem pendidikan negara diletakkan dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) yang menguji bacaan, Matematik dan Sains dalam tempoh 15 tahun. Selain itu, jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara gender sehingga 50 peratus menjelang 2020 juga diharap dapat dirapatkan serta menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman berinteraksi dengan pelbagai etnik bagi memperkukuh asas perpaduan rakyat. Dari segi kecekapan, walaupun kerajaan terus mengekalkan tahap pelaburan semasa, kementerian berhasrat untuk memaksimum keberhasilan murid mengikut tahap peruntukan semasa. Selain keberhasilan sistem pendidikan, setiap murid juga perlu berupaya untuk bersaing pada peringkat global.

Oleh itu, sebanyak enam ciri utama membabitkan pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian, dan identiti nasional perlu ada pada setiap murid sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dari segi pengetahuan, setiap kanak-kanak perlu menguasai sepenuhnya kemahiran literasi dan numerasi di peringkat paling asas serta pelbagai kemahiran kognitif termasuk penaakulan dan pemikiran kritis, kreatif serta inovatif dari segi kemahiran berfikir. Mereka juga perlu menguasai bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa serta digalakkan untuk mempelajari bahasa lain sebagai bahasa tambahan. Di samping itu, setiap murid akan dibantu untuk mencapai potensi mereka dengan sepenuhnya melalui bekerja dalam pasukan dan mengamalkan ciri kepimpinan yang merangkumi keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi, dan kemahiran berkomunikasi secara berkesan serta dibentuk sebagai individu penyayang yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan negara dari segi etika dan kerohanian. Selain itu, setiap murid dipupuk dengan semangat patriotik dengan cara memahami sejarah negara dan berkongsi aspirasi yang sama untuk masa depan negara kerana identiti nasional akan dapat dicapai bukan hanya belajar memahami dan menerima kepelbagaian tetapi juga menghayati kepelbagaian.

PENUTUP Perkembangan pendidikan di Malaysia ternyata mengalami banyak perubahan, terutama sejak zaman penjajahan hinggalah zaman selepas merdeka. Perkembangan masyarakat seiring dengan perkembangan dasar-dasar Negara yang sentiasa ditambahbaik bagi memastikan

keperluan rakyat terbela. perubahan dalam sector pendidikan menjadi intipati penting dalam pengukuhan perpaduan Negara kea rah yang lebih baik kerana pendidikan menjadi peneraju pembentukan masyarakat. Aspek-aspek murni amat ditekankan dalam pendidikan kerana sebagai sebuah masyarakat majmuk, nilai-nilai murni perlu ada dalam diri setiap masyarakat. Namun, walaupun banyak perubahan yang telah dilakukan, kelemahan-kelemahan masih lagi wujud dan perlu diambil serius oleh pihak kerajaan untuk menyelesaikannya dengan segera. Kelemahan yang wujud umpama barah yang akan merebak menjadi semakin besar, malah boleh menyebabkan pepecahan dalam masyarakat. Masalah-masalah yang melibatkan isu-isu antara kaum perlu diselesaikan segera bukan dibiarkan senyap begitu sahaja. Oleh itu, untuk mencapai matlamat perpaduan Negara yang kukuh, seluruh masyarakat perlu berganding bahu seiring dengan usaha murni kerajaan melalui dasar-dasar dan rancangan baru. Mutu pendidikan yang sempurna serta hubungan masyarakat yang harmoni menjadi tunggak kejayaan yang akan menjadikan Malaysia sebuah Negara maju dan dapat merealisasikan Wawasan 2020.

Rujukan: Abdullah Sani Yahaya (2003). Perkembangan Pendidikan di Malaysia. Bentong, Pahang: PTS Pub & Distributor Sdn. Bhd. Fadzilah bt Abdullah (1996). Dasar Pendidikan Kebangsaan. Kuala Lumpur: As Noordeen. Laporan Jawatankuasa Kabinet (1984). Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia. Sufean Hussin (2002). Dasar Pembangunan Pendidikan Malaysia. Teori dan Analisis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. Sheela Abraham (1993). Sejarah Perkembangan Negara. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Tajul Ariffin Bin Nordin (1993). Perspektif Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. Tengku Anuar (1990). Pengetahuan Kenegaraan Malaysia. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.

You might also like