Kita pernah digemparkan dengan cerita telur tiruan sedikit masa dulu. Ia sudah tentu mencetuskan kegusaran kerana telur tiruan ini berpotensi untuk memberi implikasi negatif kepada kesihatan kita jika diambil secara berterusan.
Bagaimanapun dengan tindakan pantas pihak berwajib kegiatan orang yang tidak bertanggungjawab mengedarkan telur tiruan ini telah dapat ditangani.
Saya mendapat permintaan daripada salah seorang teman Facebook saya supaya berkongsi tip bagaimana untuk mengenal-pasti telur tiruan setelah saya bertanyakan apakah cerita yang perlu saya tulis dalam ruangan saya ini.
Oleh itu pada minggu ini saya ingin bercerita bagaimana untuk mengenal-pasti telur tiruan.
Saya pasti panduan ini banyak sekali telah dikeluarkan dalam media tetapi mungkin ada sesetengah daripada anda terlepas pandang atau terlupa.
Saya juga ingin berkongsi fungsi telur dalam makanan kerana sesetengah makanan ada menggunakan telur sebagai bahan-bahannya.
Terdapat beberapa ciri-ciri telur tiruan yang boleh kita kenal pastikan iaitu kulitnya lebih berkilat berbanding telur asli.
Kemudian permukaan kulit agak
kasar dan lebih lutsinar apabila diletakkan di bawah cahaya terang kerana tiada lapisan kulit pada bahagian dalam telur tiruan.
Apabila telur tiruan digoncang ia menghasilkan bunyi yang kuat kerana kandungan air dalam bahan mentah yang digunakan.
Ia juga mempunyai bau yang berbeza. Putih dan kuning telur sangat nipis dan ia akan bercampur sebaik sahaja telur dipecahkan. Jika anda menggoreng telur tiruan ini, putih telur mudah merebak tanpa di sentuh.
Saya berharap anda dapat menjadikan panduan ini untuk mengenal-pasti telur tiruan dan supaya kita sebagai pengguna tidak mudah diperdaya dengan peniaga yang ingin mengaut keuntungan dengan cara yang mudah.
Telur boleh dimasak dan dimakan dengan pelbagai cara seperti direbus dan digoreng.
Bukan itu sahaja dijadikan lauk pauk, malah telur juga digunakan sebagai bahan tambahan dalam makanan dan mempunyai pelbagai fungsi tersendiri.
Telur berfungsi sebagai pengikat apabila digunakan dalam makanan seperti kek atau bebola daging.
Kesan ini akan mengikat makanan dan memberikan struktur kepada makanan yang dicampurkan dan makanan itu menjadi mampat dan tidak mudah terpisah atau berderai.
Telur yang dipukul mudah memerangkap udara dan jika ia digunakan dalam pastri seperti kek span dan seumpamanya maka akan menambahkan isipadu, menggebu dan meringankan kek.
Selain itu telur akan memberikan rasa lemak dalam pembuatan makanan terutama kek dan pastri.
Pasti anda sangat biasa dengan mayonis tetapi tahukah anda kuning telur yang digunakan dalam membuat mayonis berfungsi sebagai pengemulsi yang mengikat minyak supaya ia tidak terpisah.
Telur juga digunakan untuk melekatkan salutan seperti serbuk roti pada permukaan makanan sebelum digoreng.
Telur sering dijadikan penggilap yang disapu atas roti supaya kerak roti lebih lembut dan berkilat.
Untuk pengetahuan anda telur boleh memekatkan sup, kastard dan sos juga.
Ia dikenali sebagai agen untuk membekukan makanan dalam erti kata lain makanan yang menggunakan telur akan mengeras kerana telur mudah menjadi set apabila dikenakan suhu yang panas.
Selalunya makanan yang bercirikan kastard seperti krim karamel dan tat telur akan menjadi keras selepas anda memasaknya.
Sebenarnya banyak informasi telur yang ingin saya kongsikan dengan para pembaca yang saya sayangi tapi tidak mengapa mungkin di keluaran akan datang saya akan berkongsi maklumat lain tentang telur pula. Apa kata anda cuba apam madu yang saya kongsi ini. Jumpa lagi!
(Sumber: Utusan Malaysia, Jumaat, 10 Feb 2012)
No comments:
Post a Comment