Portal:Anime dan manga/Rencana pilihan/1
Fullmetal Alchemist (鋼の錬金術師 , Hagane no Renkinjutsushi) ("Ahli Alkimia Keluli"), (singkatan FMA atau Hagaren), merupakan siri manga hasil karya Hiromu Arakawa yang telah diadaptasikan kepada bentuk siri TV and filem anime, serta beberapa novel dan permainan video susulan. Manga FMA masih diterbitkan di Jepun, dan sehingga kini 15 jilid telah dikeluarkan. Namun bentuk animenya, sebaliknya, sudah tamat siaran setelah 51 episod serta sebuah filem susulan. FMA telah meraih sambutan amat hangat di Jepun, Asia dan Amerika Utara; animenya diundi sebagai anime #1 paling digemari sepanjang waktu di Jepun dalam undian web anjuran TV Asahi pada September 2005. Anime ini juga berjaya mempertahankan kedudukan #1 dalam undian terbaru pada tahun 2006.
Fullmetal Alchemist berlatarkan sebuah negara bernama Amestris dalam suatu dunia selari pada abad ke-20 yang mencapai teknologi Eropah. Di dunia selari ini, pseudosains alkimia menjadi tumpuan utama, namun ia juga merangkumi unsur fantasi yang tidak didapati dalam alkimia sebenar. Ahli alkimia dunia sebenar cuba membentuk emas daripada logam lain yang kurang bermutu. Di dunia fiksyen siri ini, alkimia merupakan sains membentuk sesuatu jirim menjadi jirim yang sangat berbeza melalui penggunaan bulatan penukaran (transmutation) — berdasarkan sains alam sebenar, namun adanya unsur magis, yang kelihatan tidak terhingga gunanya. Ahli alkimia kuno boleh mendaftar untuk mengambil ujian Alchemist Negara untuk menyertai angkatan tentera Amestris.