Pergi ke kandungan

Napata

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

18°32′N 31°50′E / 18.53°N 31.84°E / 18.53; 31.84

npy
Napata[1]
dalam hieroglif
n
p
iin
n
n
niwt

Napata (Mesir Lama Npt, Npy; Meroitik Napa; Bahasa Yunani Kuno: Νάπατα[2] dan Ναπάται[3]; Jawi: ناڤتا) ialah sebuah bandar Kush purba di riam keempat Sungai Nil yang diasaskan oleh kultus Amun Mesir untuk para penziarah Mesir. Ia terletak kira-kira 1.5 kilometer dari tebing timur Sungai Nil di lokasi Karima moden, Sudan.

Ia merupakan penempatan tetap yang paling selatan dalam Kerajaan Baru Mesir (abad ke-16–11 SM) dan tempat letaknya Jebel Barkal, pusat pemujaan Amun utama orang Kush. Ia pernah menjadi ibu kota Dinasti Kedua Puluh Lima Mesir dan, selepas kejatuhannya pada 663 SM, Kerajaan Kush. Pada 593 SM, ia telah diserbu oleh orang Mesir dan ibu kota Kush dipindahkan ke Meruwi. Walaupun selepas perpindahan ini, Napata terus menjadi pusat keagamaan utama kerajaan mereka.[4] Bandar ini diserbu untuk kedua kalinya oleh orang Rom pada 23 SM tetapi dibina semula dan terus sebagai pusat penting kultus Amun.[5]

Perkataan "Napata" atau "Zaman Napata" juga boleh merujuk kepada pemerintahan Kushi dari kebangkitannya sekitar 750 SM hingga 270 SM, apabila Napata hilang makna simboliknya sebagai lokasi pengebumian diraja Meruwi. Tempoh seterusnya dalam sejarah Kush dipanggil Meroitik hinggalah runtuhnya kerajaan mereka.[6]

Sejarah awal

[sunting | sunting sumber]
npt
Napata[1]
dalam hieroglif
n
p t
qmA
N25
Tiang-tiang terakhir yang masih nerdiri kuil Amun di kaki Jebel Barkal

Napata diasaskan oleh Thutmose III pada abad ke-15 SM selepas penaklukan Kush. Kerana orang Mesir percaya bahawa banjir Sungai Nil mencerminkan Penciptaan Alam Semesta, lokasi Napata sebagai titik paling selatan dalam empayar menyebabkan ia menjadi pusat keagamaan dan penempatan yang penting.[4] Pada awal Dinasti ke-18, Jebel Barkal, sebuah bukit batu pasir, menjadi tumpuan agama Mesir sebagai kediaman dewa penaung mereka Amun dari Karnak. Di bawah bayangan Jebel Barkal, sebuah pusat keagamaan bernama Karnak didirikan dan penempatan di sekeliling itu dikenali sebagai Napata.

Pada 1075 SM, Pendeta Besar Amun di Thebes, ibu kota Mesir, menjadi cukup berkuasa untuk mengehadkan kuasa Firaun Smendes daripada Dinasti Kedua Puluh Satu di Mesir Hulu. Ini menandakan permulaan Tempoh Perantaraan Ketiga (1075–664 SM). Kehilangan kuasa di Mesir membolehkan orang Kush mendapat autonomi semula dengan bebasnya daripada pendeta-pendeta Thebes. Mereka mengasaskan Kerajaan Kush, yang berpusat di Napata. Sebuah stele yang didirikan di Napata pada abad ke-8 menggambarkan seorang raja Kush (yang gelarannya telah dipahat keluar) sebagai satu-satunya pemerintah yang disahkan oleh dewa Amun, melantik raja-raja rendah dan penghulu-penghulu Libya yang berkongsi Mesir pada masa itu serta memperoleh legitimasi mereka dengan budi bicara panglima-panglima baginda.[7]

Zaman Napata

[sunting | sunting sumber]
Patung pemerintah dan firaun Kush Dinasti ke-25 Mesir, Taharqa (r. 690-664 SM), yang mengetuai pertempuran melawan orang Assyria semasa mereka menakluk Mesir. Rekonstruksi Muzium Louvre.

Pada tahun 750 SM, Napata merupakan sebuah bandar yang maju sementara politik Mesir masih lagi tidak stabil. Kashta, iaitu gelaran orang Mesir untuk raja orang Kush, mengambil kesempatan dan menyerang Hulu Mesir. Dasar baginda diikuti oleh pewaris-waris baginda Piye, dan Shabaka (721 – 707 SM), yang akhirnya berjaya menguasai seluruh Lembah Nil di bawah kawalan Kush dalam tahun kedua pemerintahannya. Raja-raja Kush memerintah Mesir Hulu selama lebih kurang satu abad dan seluruh Mesir selama kira-kira 57 tahun, dari 721 ke 664 SM. Mereka membentuk dinasti ke-25 dalam catatan sejarah Mesir oleh Manetho berjudul Aegyptiaca. Tambahan itu, raja-raja Kush ini disokong oleh pendeta-pendeta Amun di Thebes dan percaya mereka berkuasa dengan perkenan Amun di Jebel Barkal dan Amun di Karnak.[8] Mereka digambarkan dalam seni memakai sejenis mahkota berbentuk kopiah yang menyerupai bentuk Jebel Barkal, untuk menunjukkan bahawa mereka mendapat kuasa daripada "Gunung Murni" tersebut.[4]

Empayar Mesir yang kembali bersatu di bawah dinasti ke-25 berkembang semula ke saiz zaman Kerajaan Baru dan memulakan sebuah nahdah.[9] Agama, seni dan seni bina telah dipulihkan kepada bentuk-bentuk asalnya semasa Kerajaan Lama, Pertengahan dan Baru. Firaun-firaun, seperti Taharqa, membina atau merestorasikan pelbagai kuil dan monumen di seluruh Sungai Nil, termasuk di Memphis, Karnak, Kawa, Jebel Barkal dan lain-lain.[10]

Pencerobohan Asyur dan berakhirnya dinasti Kedua Puluh Lima

[sunting | sunting sumber]

Pemerintahan Firaun Taharqa dan pewaris baginda, sepupunya Tantamani, penuh dengan konflik yang tidak henti dengan Empayar Assyria Baru. Sekitar 670 SM, maharaja Esarhaddon (681–669 SM) menakluk Mesir Hilir etapi membenarkan kerajaan-kerajaan terus wujud untuk dijadikan sekutu menentang pemerintah Kush di Mesir Hulu, yang telah diterima dengan berat hati.

Apabila Raja Ashurbanipal menggantikan Esarhaddon, raja Kush Taharqa meyakinkan beberapa penguasa Mesir Hilir untuk berpecah daripada Assyria. Bagaimanapun, Ashurbanipal mengalahkan gabungan mereka. Baginda melantik Necho I, pemerintah Memphis dan Saïs. Necho ialah raja pertama Dinasti Kedua Puluh Enam (664–525 SM) Mesir, yang juga dikenali sebagai "Dinasti Saïte".

Pada tahun 664 SM, Assyria menamatkan semua itu dengan menjarah Thebes dan Memphis. Pada tahun yang sama, Taharqa mangkat. Raja Kush baru, Tantamani (664 – 653 SM), membunuh Necho I pada tahun yang sama apabila dia cuba menyerang Mesir Hilir. Walau bagaimanapun, Tantamani tidak dapat mengalahkan Assyria, yang menyokong anak Necho, Psamtik I. Tantamani akhirnya mengalah cuba menakluk Mesir Hilir dan berundur ke Napata. Walau bagaimanapun, kuasanya ke atas Mesir Hulu diakui sehinggalah pada tahun 656 SM apabila Psamtik I menghantar armada tentera laut ke Mesir Hulu dan berjaya menguasai seluruh Mesir.

Dinasti ke-25 berakhir dengan para pemerintahnya lari ke Napata. Di sanalah (di El-Kurru dan Nuri) semua firaun dinasti ke-25 dimakamkan di bawah piramid-piramid pertama yang dilihat oleh lembah Nil sejak Kerajaan Pertengahan.[11][12][13]

Dinasti Napata terus memerintah negeri Kush, yang berkembang pesat di Napata dan Meroë sehingga sekurang-kurangnya abad kedua Masihi.

  1. ^ a b Gauthier, Henri (1926). Dictionnaire des Noms Géographiques Contenus dans les Textes Hiéroglyphiques. 3. m/s. 86-87.
  2. ^ Strabo, Geography, §17.1.54
  3. ^ Stephanus of Byzantium, Ethnica, §N469.1
  4. ^ a b c Kendall, Timothy (2016). A Visitor's Guide to The Jebel Barkal Temples. Khartoum. m/s. 7. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama ":0" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  5. ^ Timothy Kendall (2001), "Napata", in Donald B. Redford, The Oxford Encyclopedia of Ancient Egypt, Oxford University Press.
  6. ^ Richard A. Lobban, "Napata", Historical Dictionary of Ancient and Medieval Nubia (Scarecrow, 2004), pp. 274–276.
  7. ^ "Le faiseur de rois et de chefs libyens, sur la stèle de Napata au Musée de Khartoum, SNM 1851".
  8. ^ "Napata" in the American Heritage Dictionary of the English Language (2020).
  9. ^ Diop, Cheikh Anta (1974). The African Origin of Civilization. Chicago, Illinois: Lawrence Hill Books. m/s. 219–221. ISBN 1-55652-072-7.
  10. ^ Bonnet, Charles (2006). The Nubian Pharaohs. New York: The American University in Cairo Press. m/s. 142–154. ISBN 978-977-416-010-3.
  11. ^ Mokhtar, G. (1990). General History of Africa. California, USA: University of California Press. m/s. 161–163. ISBN 0-520-06697-9.
  12. ^ Emberling, Geoff (2011). Nubia: Ancient Kingdoms of Africa. New York: Institute for the Study of the Ancient World. m/s. 9–11. ISBN 978-0-615-48102-9.
  13. ^ Silverman, David (1997). Ancient Egypt. New York: Oxford University Press. m/s. 36–37. ISBN 0-19-521270-3.

Bacaan lanjut

[sunting | sunting sumber]