Pergi ke kandungan

Mimpi waras

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Mimpi waras adalah mimpi yang pemimpinya sedar dia sedang bermimpi. Inilah satu keadaan sedar ketika bermimpi yang menghasilkan pengalaman yang lebih jelas ("waras" atau "sedar") dan yang biasanya membolehkan seseorang mengawal kandungan mimpinya secara langsung. [1] Pengalaman lengkap dari mula hingga akhir dikenali sebagai mimpi waras. Stephen LaBerge, penulis buku dan pengkaji yang popular dalam bidang ini, telah mentakrifkannya sebagai "bermimpi ketika menyedari bahawa anda sedang bermimpi." [2]

LaBerge dan rakan-rakannya menggelar mereka yang memeriksa dengan teliti segala kemungkinan mimpi waras sebagai oneironaut (perkataan Greek yang membawa maksud harfiah, "penjelajah mimpi"). Topik ini telah menarik perhatian berbagai-bagai kumpulan yang bersifat eklektik, termasuk kumpulan ahli psikologi, penulis karya usaha diri, kumpulan Zaman Baru, ahli mistik, ahli ilmu ghaib, dan seniman. Senarai ini bukan sahaja tidak menyeluruh, tetapi minat terhadap mimpi waras tidak semestinya dikaitkan dengan setiap kumpulan tersebut.

Pemimpi-pemimpi waras sering kali menggambarkan mimpi mereka sebagai menguja, berwarna-warni, dan aneh. Banyak orang membandingkannya dengan pengalaman rohaniah dan mengatakan bahawa mimpi-mimpi itu mengubahkan kehidupan atau pandangan mereka terhadap dunia. Sesetengah orang turut melaporkan bahawa mimpi waras mereka mengambil bentuk hiperrealiti yang kelihatan "lebih benar daripada yang sebenarnya", dengan kesemua unsur kenyataan dipertingkatkan. Mimpi waras lebih senang diingati berbanding jenis mimpi yang lain, termasuk mimpi buruk dan mungkin oleh sebab ini, mimpi waras sering dipreskripsikan sebagai cara untuk menghilangkan mimpi-mimpi yang tidak menyenangkan seseorang.

Sungguhpun pengetahuan yang jelas dan tekal sukar didapati daripada kebanyakan tafsiran mengenai pengalaman tersebut — terutamanya kerana sifatnya yang subjektif — kesahan mimpi waras sebagai satu fenomena yang dapat ditentusahkan secara saintifik kini telah mantap. Bidang mimpi waras mungkin boleh dikelaskan sebagai satu protosains yang menantikan pertambahan pengetahuan saintifik untuk bidang ini. Penyelidik-penyelidik, seperti Allan Hobson, dengan pendekatan neurofisiologi mereka untuk bidang mimpi, telah membantu mengganjakkan sempadan pemahaman mimpi waras ke alam yang kurang bersifat mengagak-agak.


Dripada:kim


Lihat juga

[sunting | sunting sumber]

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]
Wikibooks
Wikibooks
[[wikibooks:|]] Wikibooks mempunyai maklumat lanjut mengenai: