Hasan al-Kharrat
Abu Muhammad Hasan al-Kharrat (Bahasa Arab/Tulisan Jawi: ابو محمد حسن الخراط) atau lebih dikenali sebagai Hasan al-Kharrat (1861[a]–25 Disember 1925) ialah salah seorang ketua pemberontak Syria utama dalam Pemberontakan Syria Besar terhadap Mandat Perancis. Kawasan operasi utama beliau adalah di Damsyik dan perkampungan Ghouta. Beliau telah terbunuh dalam penentangan dan dianggap sebagai seorang wira oleh rakyat Syria.[ruj 4]
Hasan al-Kharrat حسن الخراط | |
---|---|
Kelahiran | 1861 Damsyik, Wilayah Syria, Empayar Uthmaniyah |
Meninggal dunia | 1925 (berumur 63–64) Damsyik, Mandat Perancis di Syria |
Warganegara | Syria |
Pekerjaan | Pengawal malam dan qabaday (ketua belia tempatan) al-Shaghour |
Terkenal kerana | Ketua pemberontakan Damysik dan Ghouta ketika Pemberontakan Syria Besar |
Anak-anak | Fakhri |
Sebagai qabaday (ketua belia tempatan) bagi kawasan al-Shaghour di Damsyik, al-Kharrat mempunyai hubungan dengan Nasib al-Bakri, seorang pejuang kebangsaan dari keluarga paling berpengaruh dalam kawasan itu. Dengan undangan al-Bakri, al-Kharrat menyertai pemberontakan pada Ogos 1925 lalu membentuk sekumpulan pejuang dari al-Shaghour dan kejiranan lain di sekitarnya. Beliau memimpin serangan pemberontakan terhadap Damsyik, mengambil alih kediaman Pesuruhjaya Tinggi Perancis Maurice Sarrail sebelum menarik diri di tengah pengeboman oleh pihak Perancis.
Menjelang akhir tahun 1925, hubungan semakin tegang antara al-Kharrat dan ketua-ketua pemberontakan yang lain, terutamanya dengan Sa'id al-'As dan Ramadan al-Shallash, kerana mereka dituduh merompak kampung-kampung dan memeras penduduk tempatan. Al-Kharrat terus memimpin operasi di Ghouta di mana beliau akhirnya terbunuh dalam serangan hendap oleh pihak Perancis. Pemberontakan itu mula melesap pada 1927, tetapi beliau memperoleh reputasi sebagai seorang syahid dalam penentangan Syria terhadap pemerintahan Perancis.
Kehidupan awal dan kerjaya
suntingAl-Kharrat dilahirkan dalam sebuah keluarga Sunni Muslim di Damsyik pada 1961, ketika pemerintahan Uthmaniyah di Syria.[1][ruj 1] Beliau berkhidmat sebagai pengawal malam bagi kawasan al-Shaghour dan sebagai penjaga kebun kejiranan.[ruj 1][ruj 5][ruj 6] Damsyik ditawan oleh pemberontak Arab ketika Perang Dunia Pertama pada Oktober 1918. Selepas itu, kelab dan pertubuhan kebangsaan Arab muncul di bandar untuk meningkatkan sokongan terhadap pemberontak.[ruj 7] Kelab itu membantu ketua pemberontak, Emir Faisal membentuk kerajaan awal.[ruj 7] Al-Kharrat menjadi sekutu bagi kelab Arab memberi sokongan kepada Faisal di al-Shaghour.[ruj 8] Pada Julai 1920, kerajaan Faisal runtuh selepas pelbagai angkatannya dikalahkan oleh Perancis dalam Pertempuran Maysalun.[ruj 9] Sesudah itu, Perancis menakluk Syria di bawah perlindungan mandat Liga Bangsa.
Pada tahun-tahun awal pemerintahan Perancis, al-Kharrat merupakan qabaday (jamak qabadayat),[ruj 5][ruj 10] ketua samseng di kejiranan tempatan di al-Shaghour.[ruj 11] Qabaday secara tidak formalnya bertanggungjawab dengan menyuarakan rungutan dan mempertahankan kehormatan kawasan kejiranan daripada penjenayah tempatan atau pencerobohan qabadayat dari kejiranan lain.[ruj 11] Beliau terkenal sebagai seorang lelaki yang dihormati kerana kekuatan peribadinya[ruj 11] serta melindungi golongan minoriti dan orang miskin.[ruj 12] Menurut sejarawan Philip S. Khoury, qabaday diangap sebagai "pendukung tradisi dan adat Arab, penjaga budaya popular".[ruj 11][ruj 12] Khoury juga menegaskan bahawa al-Kharrat "mungkin ialah qabaday paling dihormati dan berharga pada zamannya".[ruj 10] Qabadayat biasanya menjauhkan diri mereka daripada pendidikan formal[ruj 11] dan sejarawan, Michael Provence berpendapat bahawa al-Kharrat kemungkinan buta huruf.[ruj 13] Qabadayat juga biasanya mempunyai hubungan dengan tokoh-tokoh bandar tertentu dan dapat menjamin sokongan politik mereka di kejiranan mereka.[ruj 11] Al-Kharrat bersekutu dengan Nasib al-Bakri, ahli siasah dan tuan tanah dari Damsyik.[ruj 6] Keluarga al-Bakri merupakan keluarga paling berpengaruh di al-Shaghour dan al-Kharrat berkhidmat sebagai penghubung dan penguat kuasa kawasan bagi keluarga itu.[ruj 14]
Komander dalam Pemberontakan Syria Besar
suntingPengambilan dan konfrontasi awal
suntingSatu pemberontakan menentang pemerintahan Perancis telah dilancarkan pada pertengahan tahun 1925 oleh sheikh (ketua puak) Duruzi, Sultan Pasha al-Atrash di selatan pergunungan Gunung al-Duruzi.[ruj 6] Ketika pasukan al-Atrash meraih kemenangan pertahanan terhadap tentera Syam Perancis, nasionalis Syria telah diilhamkan lalu pemberontakan merebak ke arah utara, menuju perkampungan Damsyik dan kawasan yang lain.[ruj 6] Al-Bakri yang merupakan ketua perhubungan antara al-Atrash dan pergerakan pemberontak yang muncuk di Damsyik dan Ghouta.[ruj 6] Ghouta ialah kawasan dataran yang subur di sekeliling Damsyik,[ruj 15][2] dan kebun-kebun dan laluan airnya yang luas menyediakan perlindungan untuk pemberontak dan sebuah pangkalan untuk membolehkan mereka menyerbu Damsyik.[3] Pada bulan Ogos, al-Bakri meminta al-Kharrat untuk menyertai kebangkitan tersebut. Menurut Provence, al-Kharrat merupakan orang yang "sesuai" untuk kerja itu, mempunyai "orang tempatan yang mengikut pemuda, terkenal di luar kawasan, hubungan yang baik dan terkenal dengan kekuatannya".[ruj 14] Kumpulan pejuang yang beliau ketuai dikenali sebagai isabat al-Shawaghirah (kumpulan al-Shaghour).[ruj 6] Walaupun dinamakan sempena kawasan al-Kharrat, kumpulan tersebut termasuklah 20 qabadayat dan rombongan bersenjata mereka berasal dari kawasan-kawasan kejiranan Damsyik dan perkampungan berdekatan.[ruj 16][b] Kawasan operasi utama beliau ialah persekitaran al-Shaghour dan hutan al-Zur di timur Ghouta.[ruj 13] Melalui perikatan dengan seorang Sufi (ketua agama), al-Kharrat membawa dimensi perang suci Islam ke sebahagian besar pemberontakan sekular, sesuatu yang tidak dialu-alukan oleh beberapa orang yang terlibat.[ruj 14]
Al-Kharrat memulakan operasi gerila pada September, menyasarkan angkatan Perancis yang bertugas di timur dan selatan Ghouta.[ruj 16] Populariti beliau meningkat ketika beliau mengetuai serangan waktu malam menentang Perancis di Damsyik, di mana beliau menyerang pasukan peronda lalu mengambil tebusan tentera.[ruj 1] Di al-Shaghour, Sarouja dan Jazmatiyya, al-Kharrat dan kumpulannya membakar kesemua bangunan yang dipegang oleh pihak Perancis.[ruj 1] Pada minggu pertama bulan Oktober, 60 gendarme Perancis dihantar ke Ghouta untuk menangkap al-Kharrat dan pasukan pejuangnya.[ruj 3] Pasukan gendarme tersebut ditempatkan di rumah ketua kampung al-Malihah.[ruj 3] Pada waktu petang, pemberontak menyerang kediaman itu, membunuh seorang gendarme lalu menangkap yang lain; banduan-banduan itu akhirnya dikembalikan tanpa kecederaan.[ruj 3]
Pada 12 Oktober, pasukan Perancis yang didukung oleh kereta kebal, artileri dan sokongan udara melancarkan operasi untuk mengepung dan menyingkirkan pasukan pemberontak al-Kharrat di hutan al-Zur.[ruj 17]. Pasukan al-Kharrat telah diberitahu oleh para petani al-Mahani mengenai kedatangan tentera Perancis.[ruj 17] Ditempatkan di antara pokok-pokok, pemberontak menggunakan senapang menentang pasukan Perancis. Akhirnya, tentera Perancis tidak dapat memaksa pasukan pemberontak untuk menyerah dan berundur.[ruj 17]
Ketika pasukan tentera Perancis berundur ke al-Malihah, mereka merampas kampung itu lalu membakarnya. Para pegawai risikan Perancis mewajarkan hukuman kolektif itu terhadap al-Malihah sebagai tindak balas terhadap penangkapan gendarme pada minggu sebelumnya oleh pemberontak; tentera Perancis mendakwa seorang lelaki muda dari al-Malihah telah memberitahu pasukan al-Kharrat mengenai kehadiran mereka di perkampungan.[ruj 18] Walaupun mereka tidak dapat menyergap al-Kharrat dan pasukannya secara langsung, pasukan Perancis membunuh sekitar 100 orang awam dari perkampungan Ghouta.[ruj 18] Mayat-mayat mereka dibawa ke Damsyik dan 60 jasad terbunuh yang digambarkan oleh Perancis sebagai "penyamun" telah ditunjukkan.[ruj 18]
Pertempuran di Damsyik dan operasi di Ghouta
suntingDidorong oleh tindakan tentera Perancis di Ghouta, al-Bakri merancang untuk menawan kubu kota Damsyik, di mana angkatan Perancis tertumpu, dan Istana Azm, di mana pesuruhjaya tinggi Perancis di Syria Jeneral Maurice Sarrail akan menetap pada 17 hingga 18 Oktober (Sarrail biasanya beribu pejabat di Beirut).[ruj 18] Tugas pesuruhjaya tinggi adalah sebagai pentadbir untuk seluruh Syria bagi pihak Perancis dan memiliki kuasa mutlak.[4] Unit pemberontak yang aktif di Damsyik pada waktu itu merupakan 'isabat al-Kharrat dan pasukan pejuang Druze dan pemberontak dari kawasan al-Midan dan Ghouta.[ruj 19] Untuk mengimbangi kekurangan dari segi kekuatan, al-Bakri mengirim surat kepada Sultan al-Atrash untuk memohon bantuan.[ruj 18] Al-Atrash menjawab bahawa beliau sedang membuat operasi di Hauran, tetapi akan menghantar pasukannya kepada pemberontak Damsyik setelah urusan di situ selesai.[ruj 18] Sebelum beliau menerima jawapan daripada al-Atrash, al-Bakri memutuskan untuk meneruskan operasi.[ruj 18]
Pada 18 Oktober, al-Kharrat mengetuai empat puluh orang pemberontak ke al-Shaghour dari perkuburan lama yang terletak bersebelahan dengan selatan pintu masuk Damsyik lalu mengumumkan bahawa pasukan Druze telah tiba untuk melepaskan bandar itu daripada pendudukan Perancis.[ruj 19] Ramai penduduk dengan penuh semangat mengalu-alukan pihak pemberontak dan beberapa orang penduduk juga memegang senjata untuk bersama dengan mereka. Pasukan al-Kharrat menawan balai polis di kawasan itu, lalu mengusir garison di situ.[ruj 19] Mereka disertai oleh Ramadan al-Shallash, komander pemberontak dari Deir ez-Zor dan dua puluh orang pejuang Badwi. Pasukan bersama itu bergerak ke pasar Hamidiyah lalu menawan Istana Azm,[ruj 19][ruj 20] tetapi Jeneral Sarrail tiada ketika itu kerana menghadiri mesyuarat di pekan Daraa, Hauran.[ruj 19] Para pemberontak menjarah dan membakar istana tersebut.[ruj 19] Provence menyatakan bahawa penawanan istana tanpa kehadiran Sarrail "tidak mempunyai kepentingan taktikal" tetapi merupakan pencapaian simbolik untuk para pemberontak kerana Istana Azm "adalah penting sebagai kerusi kuasa iktisad dan siasah yang bersejarah di Damsyik, kini dirampas oleh Perancis dan benar-benar tidak dipertahankan".[ruj 19]
Semasa al-Kharrat menawan Istana Azm, al-Bakri dan 200 orang pemberontak di bawahnya memasuki bandar dan mereka disertai oleh orang awam dalam jumlah yang meningkat.[ruj 19] Selepas menggenggam Kota Lama untuk menghindari kemasukan pihak musuh, al-Kharrat mengeluarkan perintah untuk membunuh sesiapa sahaja yang mempunyai hubungan dengan pihak Perancis.[ruj 20] Kira-kira 180 orang tentera Perancis telah dibunuh.[ruj 20] Sarrail mengarahkan untuk membuat serangan dan pengeboman udara di bandar itu, yang berlangsung selama dua hari dan membunuh kira-kira 1,500 orang.[ruj 21] Kekacauan dan pertarungan berlaku di kawasan kejiranan, masjid-masjid dan gereja-geraja ditutup, pasukan Perancis bergerak masuk dan beratus-ratus orang tokoh utama dalam pergerakan kebangsaan Syria ditahan,[ruj 20] termasuklah anak lelaki al-Kharrat, Fakhri.[ruj 6] Fakhri ditahan pada 22 Oktober ketika serbuan malam hari yang dilakukan oleh pihak pemberontak terhadap Perancis, yang pada waktu itu telah mengambil semula Damsyik.[ruj 13] Al-Kharrat ditawarkan supaya anak lelakinya dilepaskan sebagai pertukaran penyerahan olehnya, tetapi beliau menolak.[5]
Pihak pemberontak berundur dari Damsyik semasa perjumpaan diadakan antara komander tentera Perancis, Maurice Gamelin dan delegasi tokoh-tokoh penting Damsyik.[ruj 22] Hasil daripada mesyuarat itu, pihak Perancis bersetuju untuk mengakhiri misi pengeboman mereka dengan bayaran 100,000 lira emas Turki pada 24 Oktober.[ruj 21] Bayaran tersebut tidak dibuat oleh pihak Perancis, tetapi misi pengeboman tidak diteruskan atas perintah daripada pemerintah Perancis di Paris.[ruj 23] Kecaman pihak antarabangsa terhadap pengeboman di Damsyik dan kritikan berterusan di Perancis terhadap pengendalian dalam menangani pemberontakan menyebabkan Sarrail dipecat pada 30 Oktober.[ruj 24] Beliau digantikan oleh ahli politik Henry de Jouvenel,[ruj 25] yang telah sampai di Syria pada bulan Disember.[ruj 26] Pada 22 November, al-Kharrat mengarahkan 700 orang pemberontak bertempur dengan kira-kira 500 orang tentera Perancis di luar Damsyik.[6] Menurut Reuters, pasukan al-Kharrat memberikan kekalahan "kecil" kepada Perancis, tetapi mereka mengalami jumlah korban yang ramai dengan tiga puluh orang maut dan empat puluh orang lagi tercedera.[6] Pada 5 Disember, al-Kharrat merupakan salah seorang komander pasukan pemberontak berjumlah 2,000 orang yang mempunyai latar belakang berbeza, yang menyerang berek-berek tentera Perancis di al-Qadam, selatan Damsyik. Pihak Perancis mendakwa telah menyebabkan korban yang besar, tetapi kegiatan pemberontak diteruskan.[ruj 27]
Ketegangan dengan pemimpin pemberontak yang lain
suntingPerintah dan pengawasan berpusat dalam kalangan pemberontak bersenjata adalah sukar untuk diwujudkan kerana terdapat kepelbagaian dan kebebasan dalam faksi-faksi pemberontak. Satu pertemuan antara para pemimpin pemberontak diadakan di kampung Saqba, Ghouta pada 26 November.[ruj 28] Sa'id al-'As menuduh al-Kharrat dan lain-lain melakukan penjarahan di Ghouta,[ruj 29] manakala al-Kharrat mendakwa al-Shallash memeras penduduk al-Midan dan pekan Douma.[ruj 30] Pertemuan itu berakhir dengan perjanjian untuk memilih pemerintah bagi menggantikan pihak berkuasa Perancis, meningkatkan pengambilan dalam kalangan penduduk Ghouta, menyelaras operasi-operasi ketenteraan di bawah perintah berpusat dan menubuhkan mahkamah revolusioner untuk menghukum mata-mata.[ruj 29] Pertemuan itu juga menetapkan kawasan di antara kampung Zabdin dan utara jalan Douma–Damsyik dijadikan sebagai zon operasi al-Kharrat.[ruj 29] Walaupun beliau memainkan peranan utama dalam usaha pemberontakan, al-Kharrat tidak dimasukkan dalam majlis kepimpinan pemberontak yang baru dibentuk ataupun dalam mana-mana sekutu al-Bakri. Sebaliknya, al-'As dilantik sebagai ketua bagi seluruh pasukan pemberontak.[ruj 29]
Perpecahan ketara dalam kalangan faksi pemberontak mula kelihatan semasa pertemuan kedua di Saqba pada 5 Disember. Menurut wartawan Syria Munir al-Rayyes, permusuhan antara al-Kharrat dan al-Shallash sememangnya sangat diketahui oleh para pemberontak.[ruj 28] Kerana al-Shallash mengenakan cukai perang terhadap tuan-tuan tanah dan golongan elit besar bandar Ghouta, penyumbang al-Kharrat, al-Bakri memandangnya sebagai satu ancaman kepada kelas pemilik tanah tradisional yang termasuk al-Bakri.[ruj 31] Al-Rayyis mendakwa pertemuan diadakan untuk memanggil al-Kharrat,[ruj 32] yang mengarahkan para pejuangnya untuk menangkap dan membawa al-Shallash ke Saqba.[ruj 33] Walau bagaimanapun, menurut al-'As, pertemuan itu dipanggil oleh al-Shallash dan apabila al-Shallash tiba di kampung itu, al-Kharrat secara peribadi menahannya lalu merampas kuda, senjata dan duitnya.[ruj 33]
Setelah ditahan, al-Shallash dibicarakan secara ringkas yang mana al-Kharrat menuduh beliau membuat "pengenaan dan mengumpulkan wang tebusan dan hasil kewangan atas nama pemberontak", manakala al-Bakri menuduh beliau secara khusus kerana memeras penduduk Douma sebanyak 1,000 giney (paun Uthmaniyah),[ruj 28] dan mengenakan denda berat terhadap penduduk Harran al-Awamid, al-Qisa dan Maydaa untuk kekayaan sendiri.[ruj 34] Al-Kharrat dan al-Bakri memutuskan untuk menghukum al-Shallash dan mengusir beliau daripada kumpulan pemberontak.[ruj 31] Walaupun ramai pemberontak dengan latar belakang yang serupa seperti al-Shallash tidak bersetuju dengan keputusan itu, mereka tidak campur tangan.[ruj 28] Dalam catatan pertemuannya itu, al-Rayyis mengecam komander pemberontak yang bersikap berpuas hati dalam "perbicaraan mengarut" tersebut dan menuduh al-Kharrat didorong oleh permusuhan peribadi semata-mata.[ruj 32] Al-Shallash dapat melarikan diri—atau dilepaskan oleh al-'As—apabila pesawat Perancis mengebom di kawasan pertemuan itu.[ruj 33] Al-Shallash kemudiannya menyerah diri kepada Jouvenel lalu bekerjasama dengan pihak berkuasa Perancis.[ruj 35]
Kematian dan legasi
suntingAL-Kharrat dibunuh dalam satu serang hendap oleh pasukan Perancis pada 25 Disember 1925 di Ghouta.[ruj 32] Beliau digantikan oleh qabaday al-Shaghour dan komander ′isabat al-Shawaghirah oleh Mahmud Khaddam al-Srija.[ruj 10] Orang-orang al-Kharrat meneruskan pertarungan dengan pihak Perancis sehingga pemberontakan berakhir pada 1927,[ruj 36] walaupun sejarawan Thomas Philipp mengatakan bahawa kumpulan al-Kharrat menghilangkan diri selepas kematiannya.[7] Pada Januari 1926, anak lelaki al-Kharrat, Fakhri dihukum mati di hadapan orang awam bersama dengan dua orang pemberontak lain di Medan Marjeh, Damsyik.[ruj 37] Pihak Perancis sebelum ini memohon Fakhri untuk memujuk bapanya untuk menyerah diri sebagai balasan untuk pembebasannya, tetapi Fakhri enggan.[ruj 13]
Abd al-Rahman Shahbandar, seorang ketua nasionalis Syria terkemuka menggambarkan al-Kharrat memainkan "peranan yang cemerlang" dalam pertempuran menentang Perancis di Ghouta dan Damsyik.[ruj 5] Sejarawan Daniel Neep menulis bahawa al-Kharrat merupakan pemimpin pemberontak "paling terkenal" yang berpangkalan di Damsyik,[ruj 6] walaupun pemimpin pergerakan pemberontak yang lain mengaitkan seranta dan pujian al-Kharrat terhadap usaha-usaha Jawatankuasa Syria–Palestin berpangkalan di Kaherah, di mana al-Bakri bersekutu rapat dengannya. Al-Kharrat dan anaknya Fakhri hari ini dianggap "wira yang syahid" oleh orang Syria atas usaha-usaha pejuangan kebangsaan dan kematian mereka dalam pergelutan Syria demi kemerdekaan daripada Perancis.[ruj 14][ruj 32]
Rujukan
suntingCatatan
sunting- ^ Sejarawan Syria Sami Moubayed dan sejarawan Palestin Hanna Batatu menyenaraikan tahun lahir al-Kharrat sebagai 1861[ruj 1][ruj 2] manakala sejarawan Amerika Michael Provence menegaskan bahawa al-Kharrat berusia 50 tahun pada lewat 1925, menunjukkan bawah beliau lahir pada 1875.[ruj 3]
- ^ Antara kampung dan kawasan kejiranan Damsyik lain yang menyumbang pejuang kepada kumpulan pemberontak al-Kharrat ialah Jaramana, Kafr Batna, Beit Sahem, al-Malihah, Sidi Amud, Suq Saruja dan al-Amara.[ruj 6]
Petikan
sunting- ^ a b c d e Moubayed (2006), hlmn. 381
- ^ Batatu (1999), hlmn. 368
- ^ a b c d Provence (2005), hlmn. 100
- ^ Provence (2005), hlmn. 119
- ^ a b c Batatu (1999), hlmn. 117
- ^ a b c d e f g h i Neep (2012), hlmn. 79–80
- ^ a b Gelvin (1998), hlmn. 69–70
- ^ Gelvin (1998), hlmn. 75
- ^ Khoury (1987), hlmn. 97
- ^ a b c Khoury (2006), hlmn. 157
- ^ a b c d e f Khoury (2006), hlmn. 152
- ^ a b Khoury (2006), hlmn. 154
- ^ a b c d Provence (2005), hlmn. 118
- ^ a b c d Provence (2005), hlmn. 101
- ^ Neep (2012), hlmn. 131
- ^ a b Khoury (1987), hlmn. 174
- ^ a b c Provence (2005), hlmn. 101–102
- ^ a b c d e f g Provence (2005), hlmn. 102
- ^ a b c d e f g h Provence (2005), hlmn. 103
- ^ a b c d Moubayed (2006), hlmn. 382
- ^ a b Provence (2005), hlmn. 104
- ^ Khoury (1987), hlmn. 177
- ^ Provence (2005), hlmn. 104–105.
- ^ Provence (2005), hlmn. 109
- ^ Khoury (1987), hlmn. 181–182
- ^ Provence (2005), hlmn. 126
- ^ Provence (2005), hlmn. 116
- ^ a b c d Provence (2005), hlmn. 134–135
- ^ a b c d Neep (2012), hlmn. 81
- ^ Neep (2012), hlmn. 83
- ^ a b Provence (2005), hlmn. 134
- ^ a b c d Provence (2005), hlmn. 135
- ^ a b c Provence (2005), hlmn. 137
- ^ Provence (2005), hlmn. 136
- ^ Provence (2005), hlmn. 138–139
- ^ Provence (2005), hlmn. 138
- ^ Neep (2012), hlmn. 54
Umum
sunting- ^ "Syria Opposition Leader Interview Transcript". The Wall Street Journal. 2 Disember 2011. Dicapai pada 7 April 2013.
- ^ Glassé, Cyril (1989). "Damascus". The New Encyclopedia of Islam. London: Stacey International. m/s. 110. ISBN 0-7591-0190-6.
- ^ Baer, Gabriel (1982). Fellah and Townsman in the Middle East: Studies in Social History. Abingdon: Frank Cass and Company Limited. m/s. 302. ISBN 0-7146-3126-4.
- ^ Peretz, Don (1994). The Middle East Today (ed. ke-6). Westport: Greenwood Publishing Group. m/s. 365–366. ISBN 0-275-94575-8.
- ^ MacCallum, Elizabeth Pauline (1928). The Nationalist Crusade in Syria. New York: Persatuan Dasar Luar. m/s. 132. OCLC 234199.
- ^ a b Reuters (1 Januari 1926). "Syrian Revolt: Hassan Kharrat Killed". The Advocate. Dicapai pada 7 April 2013.
- ^ Philipp, Thomas; Schumann, Christoph, penyunting (2004). From the Syrian Land to the States of Syria and Lebanon. Würzburg: Orient Institut der DMG Beirut. m/s. 281. ISBN 3-89913-353-6.
Bibliografi
sunting- Batatu, Hanna (1999). Syria's Peasantry, the Descendants of Its Lesser Rural Notables, and Their Politics. Princeton, New Jersey: Princeton University Press. ISBN 0-691-00254-1.
- Khoury, Philip S. (1987). Syria and the French Mandate: The Politics of Arab Nationalism, 1920–1945. Princeton University Press. ISBN 0-691-05486-X.
- Khoury, Philip S. (2006). "Abu Ali al-Kilawi, A Damascus Qabaday". Dalam Burke, Edmund III; Yaghoubian, David N. (penyunting). Struggle And Survival in the Modern Middle East (ed. kedua). London: University of California Press. ISBN 0-520-24661-6.
- Gelvin, James L. (1998). Divided Loyalties: Nationalism and Mass Politics in Syria at the Close of Empire. London: University of California Press. ISBN 0-520-21069-7.
- Moubayed, Sami (2006). Steel and Silk: Men and Women who Shaped Syria 1900–2000. Seattle: Cune Press. ISBN 1-885942-41-9.
- Neep, Daniel (2012). Occupying Syria Under the French Mandate: Insurgency, Space and State Formation. New York: Cambridge University Press. ISBN 1-107-00006-8.
- Provence, Michael (2005). The Great Syrian Revolt and the Rise of Arab Nationalism (ed. pertama). Austin, Texas: University of Texas Press. ISBN 0-292-70635-9.