KUANTAN – Harga jualan bekalan air terawat dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, di sini masih belum dimuktamadkan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri Terengganu sebelum ini menetapkan harga jualan pada kadar RM1.40 semeter padu.
“Kadar (harga) kita akan bincang bersama, antara kerajaan negeri Pahang dengan Kerajaan negeri Terengganu dan juga Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan Syarikat Air Terengganu (SATU).
“Dia (kerajaan negeri Terengganu) letak (harga) RM1.40, kita minta pengurangan sikit. Terpulang kepada kerajaan negeri Terengganu,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Paip Agihan Air Dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang di Rumah Pam Penggalak Gebeng, di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyerahkan secara rasmi projek pembinaan paip agihan air terawat sepanjang 29.8 kilometer yang telah disiapkan.
Projek itu merupakan satu pencapaian penting dalam usaha menangani gangguan bekalan air yang berlarutan di kawasan perindustrian Gebeng selain menyediakan kemudahan asas bagi pertumbuhan perindustrian yang berterusan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Dengan bekalan tambahan sebanyak 90 juta liter air terawat sehari dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, paip agihan ini memenuhi keperluan bekalan air di Gebeng.
Pembinaan infrastruktur yang kritikal ini memastikan bekalan air yang stabil untuk menangani permintaan air bersih yang dijangka meningkat kepada 466 juta liter sehari menjelang tahun 2025, berbanding dengan bekalan semasa yang hanya 290 juta liter sehari.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapannya berkata, projek terbabit dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi lebih dinamik khusus di daerah Kemaman.
Justeru, katanya ia merupakan satu inisiatif strategik bagi negeri Terengganu berkongsi sumber dengan Pahang demi pembangunan bersama. – MalaysiaGazette