Rukun Penyusuan Menurut Syarak

Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Anda di halaman 1dari 4

RUKUN PENYUSUAN MENURUT SYARAK

Rukun Radhaah (Penyusuan) Dan Syaratnya Rukun radhaah dan syaratnya yang menyebabkan seorang anak damit itu disabitkan sebagai anak susuan dan menjadi mahram kepada perempuan yang menyusukannya ada tiga perkara iaitu: 1. Al-Murdhi iaitu perempuan yang menyusukan. Disyaratkan orang yang menyusukan itu perempuan yang hidup dan telah mencapai usia sembilan tahun qamariah. 2. Ar-Radhi iaitu anak yang disusukan. Disyaratkan anak damit itu hidup dan umurnya tidak melebihi dua tahun qamariah (haulain) sekalipun lebihnya itu pada kadar sehari. 3. Al-Laban iaitu air susu perempuan. Disyaratkan air susu itu sampai masuk ke perut anak damit berkenaan sehingga ia boleh menyebabkan pertumbuhan badan anak tersebut. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam: Maksudnya: "Tidak menjadi mahram daripada susuan melainkan apa yang menumbuhkan daging dan menguatkan tulang."(Hadis riwayat Ahmad) Disyaratkan juga had penyusuan itu tidak kurang daripada lima kali dalam waktu yang berasingan dengan kadar penyusuan mengikut kebiasaan. Sebagaimana disebutkan dalam sebuah atsar shahabi daripada Aisyah Radhiallahu anha katanya: Maksudnya: "Menurut apa yang diturunkan daripada Al-Quran sebelumnya bahawa sepuluh kali susuan yang telah dipastikan itu akan mengharamkan mereka (menjadikan mereka sebagai mahram). Kemudian (ketetapan itu) dimansukhkan dengan hanya lima kali susuan yang telah dipastikan. Maka wafat Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam sedangkan (sebahagian mereka) t erus membacanya (ayat lima kali susuan) daripada ayat Al-Quran (sehinggalah mereka berpakat untuk menasakhkan pembacaannya)."(Hadis riwayat Muslim) Adapun yang dimaksudkan dengan pemansuhan ayat "sepuluh kali susuan" itu adalah pada pembacaan dan hukumnya, namun pemansuhan bagi ayat "lima kali susuan" itu adalah pada pembacaan sahaja bukan hukumnya. (Syarah Shahih Muslim: 10/26) Disyaratkan pada kadar penyusuan yang dikira sebagai sekali penyusuan itu adalah mengikut kebiasaan. Maksud daripada penyusuan mengikut kebiasaan itu ialah apabila seorang perempuan menyusukan anak damit dengan susu dadanya, nescaya anak damit itu akan menghisapnya dan apabila dipisahkan daripadanya nescaya dia akan melepaskannya (kenyang). Proses sedemikian sudah dikira sebagai sekali susuan. Jika proses penyusuan itu diselangi dengan sesuatu keadaan yang tidak lama, seperti terputus penyusuan ini disebabkan anak tersebut bernafas, keletihan, termengah-mengah atau terputus disebabkan kesedakan kerana air susu terlalu banyak di mulutnya, kemudian anak tersebut kembali menghisap susu dada perempuan itu, maka penyusuan yang demikian ini masih dikira sebagai sekali susuan. Demikian juga halnya apabila dipindahkan anak itu daripada susu dada sebelah kanan kepada susu dada sebelah kiri. Jika terputus anak damit itu daripada penyusuan dengan tanpa sebarang sebab kemudian kembali untuk menyusu, maka dalam keadaan ini tertakluk kepada jangka masa terputusnya itu, jika hanya seketika nescaya ianya dikira sekali susuan, namun jika jangka masa yang lama nescaya dikira dua

kali susuan. (Majmuk: 20/92-93) Hukum Anak Susuan Apabila sabit seorang anak kecil menyusu kepada seorang perempuan yang bukan ibunya atau bukan mahramnya dengan rukun dan syarat di atas, maka anak susuan tersebut akan dikaitkan dengan sebahagian hukum hakam anak kandung (nasab), seperti dalam hal haram berkahwin, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam: Maksudnya: "Haram dengan sebab susuan seperti apa yang haram dengan sebab nasab keturunan."(Hadis riwayat Bukhari) Begitu juga persamaan pada hukum dalam perkara wudhu apabila bersentuhan, aurat dan khalwat. Walau bagaimanapun masih terdapat beberapa hukum hakam yang berbeza antara anak susuan dengan anak kandung, seperti perwarisan, nafkah, pengguguran hukum qishah, tidak dipotong tangan apabila mencuri harta dan penjagaan (wilayah) ke atas harta atau diri sendiri, yang mana kesemua ini tidak sabit ke atas anak susuan. (Asna Al-Mathalib: 3/415) Anak Susuan Dalam Hukum Haram Pernikahan Apabila seorang perempuan menyusukan anak damit orang lain dengan air susu hasil daripada perkongsian perempuan itu dengan suaminya, maka jadilah anak itu sebagai anak susuan kepada keduanya. Dengan makna yang lain, mereka berdua menjadi ibu dan bapa susuan kepada anak damit itu. Adapun dalil dalam perkara ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidatuna Aisyah Radhiallahu anha beliau berkata: Maksudnya: "Sesungguhnya Aflah saudara Abi Al-Quaisy meminta izin kepadaku (untuk masuk) setelah turunnya ayat Hijab, lalu aku berkata: "Demi Allah tidak aku mengizinkannya masuk sehinggalah aku meminta izin kepada Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam. Kerana saudara Abi Al Quaisy bukanlah orang yang menyusuiku akan tetapi orang yang menyusuiku adalah isteri Abi Al Quaisy." Kemudian Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam masuk kepadaku maka aku berkata: "Wahai Rasulullah sesungguhnya lelaki itu bukan orang yang menyusuiku akan tetapi orang yang menyusuiku adalah isterinya (Abi Al-Quaisy)." Rasulullah bersabda: "Izinkanlah dia kerana sesungguhnya dia adalah bapa saudaramu." Urwah berkata: "Oleh kerana itu Aisyah berkata: "Haramkanlah daripada sesusuan apa yang haram kerana nasab keturunan."(Hadis riwayat Bukhari) Oleh yang demikian menjadilah anak susuan itu mahram kepada perempuan yang menyusukan dan suaminya, begitu juga terhadap keturunan kedua suami isteri tersebut. Untuk lebih jelasnya berikut disebutkan orang-orang yang menjadi mahram kepada anak damit susuan itu: i. Perempuan yang menyusukan ii. Suami ibu susuan iii. Ibu bapa kepada ibu susuan

iv. Ibu bapa kepada suami ibu susuan v. Adik beradik kepada ibu susuan vi. Adik beradik kepada bapa susuan vii. Anak-anak kepada ibu dan bapa susuan viii. Anak-anak kepada ibu susuan ix. Anak-anak kepada bapa susuan Manakala orang-orang yang menjadi mahram kepada ibu susuan dan bapa susuan, adalah anak damit yang disusukannya, begitu juga anak kepada anak susuannya sehinggalah kebawah. Tetapi ibu bapa, nenek, ibu atau bapa saudara dan adik beradik kepada anak tersebut tidak menjadi mahram kepada ibu dan bapa susuan berkenaan. Ini kerana susuan itu tidak menjadikan mahram kepada usul bagi anak yang menyusu seperti bapa, nenek sehingga ke atas dan hawashinya seperti adik beradik dan ibu atau bapa saudara. Hukum mahram itu hanya kepada anak yang menyusu itu hingga furunya seperti anak-anaknya, cucu sehingga ke bawah. Beberapa Permasalahan Perihal Radha (Penyusuan) i. Penyusuan Kanak-Kanak Yang Sudah Besar Jika kanak-kanak yang disusukan itu sudah melebihi umurnya daripada dua tahun qamariah (haulain), maka anak tersebut tidak lagi boleh disabitkan sebagai anak susuan. Firman Allah Subhanahu wa Taala: Tafsirnya: "Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu."(Surah Al-Baqarah: 233) Sabda Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam: Maksudnya: "Tidak ada hubungan susuan melainkan apa yang disusukan di dalam masa dua tahun (sebelum dua tahun)."(Hadis dikeluarkan oleh Ad-Darquthni) Sabda Baginda lagi: Maksudnya: "Tidak mengharamkan daripada penyusuan itu kecuali apa yang menyerap di dalam tali perut pada ketika menyusu dan penyusuan itu sebelum bercerai daripada menyusu."(Hadis riwayat Tirmidzi) ii. Penyusuan Anak Damit Melalui Botol, Gelas Dan Sebagainya Di antara syarat penyusuan anak damit itu ialah sampainya air susu perempuan ke perut anak damit, sama ada terus menerus melalui hisapan payudara atau secara perahan yang diminumkan ke mulut atau dimasukkan ke hidung melalui gelas, botol, sudu atau sebagainya. Kesemua cara yang demikian itu, adalah dikira sebagai proses penyusuan yang mensabitkan anak damit tersebut sebagai anak susuan. Adapun jika dimasukkan air susu itu melalui lubang atau rongga-rongga yang lain seperti telinga, mata, dubur, qubul atau melalui tempat luka, ia tidak mensabitkan anak damit itu sebagai anak

susuan kerana air susu itu tidak sampai ke dalam perut anak damit dan ia tidak memberi pertumbuhan badan terhadap anak tersebut. iii. Penyusuan Dengan Susu Yang Bercampur Air susu yang bercampur dengan sesuatu sama ada ia cecair seperti air, atau sesuatu yang keras seperti makanan air susu itu lebih banyak seperti ada tanda zahir warna susu atau rasa atau pun baunya maka sabit hukum susuan walaupun hanya sebahagian air susu yang bercampur itu diminum oleh anak damit itu. Manakala jika air susu itu sedikit daripada campuran yang lain, sama ada campuran itu yang halal atau haram seperti arak dan sebagainya sehingga menghilangkan ketiga-tiga sifatnya iaitu warna, rasa dan bau, mengikut qaul yang azhar adalah sabit hukum susuan jika diberi minum pada anak damit itu keseluruhan air susu yang bercampur tersebut. Ini kerana telah yakin akan sampainya ain air susu itu ke dalam perut. Adapun jika diminum hanya sebahagian air susu yang bercampur itu, mengikut qaul yang ashah adalah tidak sabit hukum anak susuan padanya kerana tidak yakin akan sampainya air susu itu ke dalam perut. Adapun jika jelas dan yakin bahawa lebihan campuran itu hanya tertinggal sedikit kadar susu yang dikuasai itu, maka sabitlah anak damit tersebut sebagai anak susuan. (Mughni AlMuhtaj: 3/529, Raudah At-Thalibin: 9/4-5)

Anda mungkin juga menyukai